Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Anda dapat bersiap sedia sekarang untuk memasuki dunia baharu yang bakal tiba

Dunia Baharu Sudah Dekat!

Dunia Baharu Sudah Dekat!

Tuhan menciptakan bumi sebagai kediaman yang kekal bagi manusia yang setia. (Mazmur 37:29) Dia menempatkan Adam dan Hawa, iaitu pasangan manusia yang pertama, di Taman Eden yang cantik. Dia memberi mereka dan keturunan mereka tanggungjawab untuk memelihara dan menjaga bumi.​—Kejadian 1:28; 2:15.

Dunia hari ini bukanlah seperti Firdaus yang diingini oleh Tuhan. Meskipun begitu, Tuhan tidak mengubah fikiran-Nya, dan Dia pasti melaksanakan tujuan-Nya yang asal. Bagaimana? Seperti yang dinyatakan dalam rencana yang sebelumnya, Tuhan tidak akan memusnahkan bumi ini. Sebaliknya, Dia akan membiarkan manusia yang setia untuk tinggal di bumi. Apabila Tuhan menunaikan janji-Nya, bagaimanakah keadaan di bumi?

Satu kerajaan akan memerintah seluruh bumi

Tidak lama lagi, Kerajaan Tuhan di syurga akan memerintah semua manusia. Ketika itu, semua orang di bumi akan hidup dengan gembira dan harmoni, dan mereka akan melakukan kerja yang bermanfaat dan memuaskan. Tuhan telah melantik Yesus Kristus untuk memerintah bumi. Tidak seperti ramai pemerintah hari ini, Yesus sentiasa prihatin terhadap rakyatnya. Maka, kita yakin bahawa dia akan menjadi Raja yang pengasih, baik hati, berbelas kasihan, dan adil.​—Yesaya 11:4.

Semua manusia hidup bersatu padu

Manusia sejagat yang hidup di bawah pemerintahan Tuhan akan bersatu padu. Mereka tidak akan lagi dipisahkan oleh sempadan negara atau bangsa. (Wahyu 7:9, 10) Semua orang di bumi akan mengasihi Tuhan dan satu sama lain. Mereka akan bekerjasama dalam suasana yang damai untuk melaksanakan tujuan Tuhan, iaitu untuk menjaga bumi, tempat tinggal mereka.​—Mazmur 115:16.

Alam sekitar yang terpelihara dan terurus

Semasa Kerajaan Tuhan memerintah bumi, Pencipta kita akan memastikan keadaan cuaca sentiasa terkawal. (Mazmur 24:1, 2) Semasa Yesus di bumi, dia menunjukkan betapa hebatnya kuasa yang diberikan oleh Tuhan. Sebagai contoh, dia dapat menenangkan ribut yang dahsyat dengan mudah sekali. (Markus 4:39, 41) Jadi, semasa Kristus memerintah bumi, kita tidak perlu takut akan bencana alam. Selain itu, semasa Kerajaan Tuhan memerintah, manusia dan binatang akan hidup dengan damai, dan manusia tidak akan merosakkan alam sekitar lagi.​—Hosea 2:18.

Kesihatan yang sempurna dan makanan yang berlimpah-limpah

Tiada orang akan jatuh sakit, menjadi tua, atau mati. Pada masa itu, semua orang akan menikmati kesihatan yang sempurna. (Yesaya 35:5, 6) Manusia akan menikmati persekitaran yang cantik dan bersih sepertimana yang dinikmati oleh pasangan yang pertama di Taman Eden. Di dunia baharu nanti, tanah akan menghasilkan makanan yang melimpah dan semua penduduk di bumi akan mempunyai makanan yang mencukupi sama seperti keadaan di Taman Eden. (Kejadian 2:9) Seperti umat Tuhan pada zaman kuno, semua orang di Firdaus akan “menikmati makanan sampai puas.”​—Imamat 26:4, 5.

Kedamaian dan keselamatan yang sejati

Di bawah pemerintahan Tuhan, orang di serata bumi akan menikmati kedamaian dan akan melayan satu sama lain dengan baik hati dan adil. Tiada lagi peperangan, penyalahgunaan kuasa, dan semua orang tidak perlu bersusah payah untuk memenuhi keperluan asas mereka. Bible berjanji, “Setiap orang akan duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut.”​—Mikha 4:3, 4.

Rumah yang indah dan kerja yang memuaskan

Setiap keluarga akan mempunyai rumah dan tidak perlu risau bahawa mereka akan kehilangan tempat tinggal, dan semua kerja yang kita lakukan akan membawa kepuasan. Bible menyatakan bahawa mereka yang tinggal di dunia baharu “tidak akan berjerih lelah dengan sia-sia.”​—Yesaya 65:21-23.

Pendidikan yang terbaik

Bible berjanji, “Pengetahuan tentang Yehuwa akan memenuhi bumi.” (Yesaya 11:9) Manusia yang hidup di bawah pemerintahan Tuhan Yehuwa akan belajar tentang kebijaksanaan Pencipta mereka yang tidak terhingga dan segala ciptaan-Nya yang indah. Mereka tidak akan menggunakan pengetahuan mereka untuk membuat senjata atau mencederakan orang lain. (Yesaya 2:4) Sebaliknya, mereka akan belajar cara untuk hidup aman dengan satu sama lain dan cara untuk menjaga bumi dengan baik.​—Mazmur 37:11.

Kehidupan yang kekal

Tuhan telah mempersiapkan bumi dengan teliti supaya kita dapat menikmati hidup setiap hari. Dia mahu manusia hidup selama-lamanya di bumi. (Mazmur 37:29; Yesaya 45:18) Untuk melaksanakan tujuan asal-Nya, Tuhan “akan melenyapkan kematian buat selama-lamanya.” (Yesaya 25:8) Bible juga berjanji bahawa “kematian tidak akan ada lagi. Ratapan, tangisan, dan kesakitan pun tidak akan ada lagi.” (Wahyu 21:4) Tuhan akan memberikan peluang untuk hidup selama-lamanya kepada semua manusia yang diselamatkan semasa Dia memusnahkan dunia jahat ini, dan kepada semua orang yang dibangkitkan di dunia baharu nanti.​—Yohanes 5:28, 29; Kisah 24:15.

Kini, terdapat jutaan orang yang sedang mempersiapkan diri untuk hidup di bawah pemerintahan Tuhan. Meskipun mereka tidak sempurna, mereka sedang berusaha untuk menjadi individu yang dianggap layak oleh Tuhan untuk hidup di dunia baharu. Bagaimanakah mereka melakukannya? Dengan mempelajari tentang Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus yang diutus-Nya.​—Yohanes 17:3.

Ketahuilah bagaimana anda dapat terselamat daripada akhir dunia dan hidup di dunia yang lebih baik, yang bakal tiba. Terimalah pembelajaran Bible secara percuma daripada Saksi-Saksi Yehuwa, atau hubungi mereka melalui www.dan124.com/ms.