Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Apa yang Dapat Anda Lakukan untuk Hidup di Dunia Baharu

Apa yang Dapat Anda Lakukan untuk Hidup di Dunia Baharu

Rencana sebelumnya menunjukkan bahawa tidak lama lagi, Tuhan akan mengakhiri sistem dunia yang jahat ini dan semua masalah manusia. Hal ini pasti terjadi, kerana dalam Firman Tuhan terdapat janji ini:

“Dunia . . . sedang berlalu.”​—1 YOHANES 2:17.

Namun, kita yakin bahawa akan ada orang yang terselamat kerana ayat yang sama juga menyatakan:

“Orang yang melakukan kehendak Tuhan akan hidup selama-lamanya.”

Oleh itu, jika kita ingin terselamat, kita perlu melakukan kehendak Tuhan. Untuk mengetahui kehendak Tuhan, kita perlu mengenali-Nya terlebih dahulu.

DISELAMATKAN KERANA MENGENAL TUHAN

Yesus berkata, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar . . . maka mereka mendapat kehidupan kekal.” (Yohanes 17:3) Jika kita ingin terselamat semasa akhir dunia dan menerima kehidupan kekal, kita perlu “mengenal” Tuhan. Namun, sekadar mengakui bahawa Tuhan wujud atau mengetahui beberapa fakta tentang-Nya tidak mencukupi. Kita juga perlu bersahabat dengan-Nya. Sebagaimana kita perlu meluangkan masa untuk menjalin persahabatan dengan seseorang, kita juga perlu meluangkan masa untuk menjalin persahabatan dengan Tuhan. Perhatikan beberapa kebenaran penting dalam Bible yang dapat membantu kita memupuk dan memelihara persahabatan dengan Tuhan.

MEMBACA BIBLE SETIAP HARI

Anda dapat diselamatkan semasa akhir dunia dengan berdoa kepada Tuhan dan melakukan kehendak-Nya

Kita perlu makan secara kerap agar dapat terus hidup. Namun, Yesus berkata, “Manusia mesti hidup bukan dengan roti sahaja, tetapi juga dengan setiap kata yang keluar daripada mulut Yehuwa.”​—Matius 4:4.

Hari ini, kita dapat membaca apa yang dikatakan oleh Yehuwa dalam Bible. Dengan mengkaji Bible, anda akan mempelajari apa yang sudah, sedang, dan akan dilakukan oleh Tuhan.

BERDOA KEPADA TUHAN UNTUK MEMINTA BANTUAN

Apakah yang harus anda lakukan jika anda mahu mengikut bimbingan Tuhan, tetapi berasa susah untuk berhenti melakukan apa yang salah di mata-Nya? Anda perlu belajar lebih banyak lagi tentang Tuhan.

Perhatikan pengalaman seorang wanita yang bernama Sakura. * Dia menjalani kehidupan yang tidak bermoral. Apabila dia mula mempelajari Bible, dia mengetahui tentang perintah Tuhan untuk ‘menjauhi perbuatan seks yang tidak bermoral.’ (1 Korintus 6:18) Oleh itu, Sakura berdoa kepada Tuhan untuk meminta kekuatan, dan dia dapat berhenti melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Tetapi, dia masih perlu melawan godaan. Dia berkata, “Jika fikiran yang tidak bermoral muncul dalam minda saya, saya akan berdoa dan memberitahu Yehuwa masalah saya dengan jujur kerana saya sedar bahawa saya tidak dapat melawan godaan ini seorang diri. Doa telah mengeratkan hubungan saya dengan Yehuwa.” Seperti Sakura, jutaan orang sedang mengenali Tuhan. Tuhan memberi mereka kekuatan untuk mengubah kehidupan mereka dan hidup dalam cara yang menyenangkan-Nya.​—Filipi 4:13.

Apabila anda semakin mengenal Tuhan, Tuhan juga akan semakin mengenal anda sebagai sahabat-Nya yang dikasihi. (Galatia 4:9; Mazmur 25:14) Dengan itu, anda akan layak diselamatkan dan memasuki dunia baharu Tuhan. Tetapi, bagaimanakah keadaan hidup di dunia baharu? Rencana yang seterusnya akan menjelaskan hal ini.

^ per. 15 Yehuwa ialah nama Tuhan seperti yang tercatat dalam Bible.

^ per. 23 Nama telah diubah.