Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kita Dapat Belajar tentang Tuhan Menerusi Para Utusan-Nya

Kita Dapat Belajar tentang Tuhan Menerusi Para Utusan-Nya

Pada zaman dahulu, Tuhan menggunakan para utusan-Nya untuk menyampaikan mesej yang penting kepada umat manusia. Melalui mesej-mesej ini, kita dapat mengetahui cara untuk menerima berkat Tuhan. Mari kita lihat apa yang dapat kita pelajari daripada tiga orang utusan Tuhan yang setia.

ABRAHAM

Tuhan tidak berat sebelah dan ingin memberkati semua manusia.

Tuhan berjanji bahawa melalui Abraham, “semua bangsa di bumi pasti akan diberkati.”​—Kejadian 12:3.

Apakah pengajarannya? Tuhan sangat mengasihi kita dan ingin memberkati semua orang yang mentaati-Nya, termasuk lelaki, wanita, dan kanak-kanak.

MUSA

Tuhan berbelas kasihan dan memberkati mereka yang berusaha untuk mengenali-Nya.

Tuhan Yang Maha Kuasa memberi Musa kuasa untuk melakukan mukjizat. Meskipun begitu, Musa berdoa, “Ajarlah aku kehendak-Mu, agar aku dapat mengenal-Mu dan terus menyenangkan hati-Mu.” (Keluaran 33:13) Tuhan berkenan dengan permintaan Musa dan mengurniainya lebih banyak pengetahuan dan pemahaman. Hasilnya Musa dapat mengenali haluan dan sifat-sifat Tuhan. Sebagai contoh, dia belajar bahawa Pencipta kita ialah “Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan.”​—Keluaran 34:6, 7.

Apakah pengajarannya? Tuhan ingin memberkati semua lelaki, wanita, dan kanak-kanak, yang berusaha untuk mengenali-Nya. Menerusi Ayat-Ayat Suci, Tuhan menyatakan cara untuk menyembah-Nya, dan Dia juga memberitahu kita bahawa Dia sangat ingin memberkati kita.

YESUS

Yesus menunjukkan belas kasihan dengan menyembuhkan semua jenis penyakit

Kita dapat menikmati berkat Tuhan buat selama-lamanya jika kita belajar tentang kehidupan dan ajaran Yesus.

Firman Tuhan mengandungi banyak maklumat tentang kehidupan dan ajaran Yesus. Tuhan memberi Yesus kuasa untuk melakukan banyak mukjizat, seperti menyembuhkan orang yang buta, yang pekak, dan yang tempang. Yesus bahkan dapat membangkitkan orang mati. Menerusi mukjizat-mukjizat ini, Yesus menunjukkan berkat yang akan diberikan oleh Tuhan kepada umat manusia pada masa depan. Bagaimanakah kita dapat menikmati berkat-berkat itu? Yesus menjelaskan, “Jika orang mengenal Engkau, satu-satunya Tuhan yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang Engkau utus, maka mereka mendapat kehidupan kekal.”​—Yohanes 17:3.

Yesus berbelas kasihan, lemah lembut, dan baik hati. Oleh itu, ramai orang, tidak kira lelaki atau wanita, tua atau muda, telah datang kepadanya untuk diajar dan disegarkan. (Matius 11:29) Orang pada zaman Yesus melayan wanita dengan kejam, tetapi Yesus melayan wanita dengan lemah lembut dan hormat.

Apakah pengajarannya? Yesus menunjukkan kasih yang mendalam terhadap orang. Menerusi teladannya, Yesus mengajar kita bagaimana kita harus melayan satu sama lain.

YESUS BUKAN TUHAN

Ayat-Ayat Suci mengajarkan bahawa hanya ada satu Tuhan dan bahawa Yesus Kristus ialah utusan Tuhan. (1 Korintus 8:6) Yesus menyatakan dengan jelas bahawa Tuhan lebih besar daripadanya dan bahawa Tuhanlah yang mengutusnya ke bumi.​—Yohanes 11:41, 42; 14:28. *

^ per. 17 Untuk maklumat lanjut tentang Yesus Kristus, sila lihat bab 4 dan 5 dalam buku Apakah yang Diajarkan Bible? di www.dan124.com/ms.