Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda, Adakah Anda Bertumpu kepada Matlamat Rohani?

Kaum Muda, Adakah Anda Bertumpu kepada Matlamat Rohani?

“Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.”​—AMS. 16:3.

LAGU: 135, 144

1-3. (a) Apakah cabaran yang dihadapi semua orang muda? Jelaskan dengan menggunakan contoh. (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Apakah cara terbaik bagi kaum muda Kristian untuk menghadapi cabaran tersebut?

BAYANGKAN anda perlu menghadiri acara penting di sebuah pekan. Perjalanannya jauh, dan anda perlu menaiki bas ke situ. Setibanya di stesen bas, anda mendapati tempat itu sesak dengan penumpang dan bas. Namun, anda tidak lupa matlamat anda: Mencari bas yang akan sampai ke destinasi anda. Anda pasti tidak mahu menaiki bas yang lain, kerana anda akan sampai di tempat yang salah.

2 Kaum muda, anda seperti penumpang itu, dan kehidupan anda bagaikan perjalanan jauh tersebut. Ada kalanya, anda mungkin bingung kerana dibanjiri begitu banyak pilihan dan keputusan. Namun, jika anda sudah tahu hala tuju sendiri, anda dapat membuat keputusan yang betul dengan lebih mudah. Apakah sepatutnya hala tuju anda?

3 Rencana ini akan menjawab soalan tadi dan menggalakkan kaum muda untuk bertumpu kepada usaha menyenangkan hati Yehuwa. Maksudnya, kaum muda digalakkan untuk mengejar matlamat rohani dan untuk mengikut nasihat Yehuwa dalam semua aspek kehidupan, tidak kira pendidikan, pekerjaan, tanggungjawab keluarga, dan sebagainya. Orang muda yang bertumpu kepada khidmat Yehuwa pasti diberkati-Nya dan berjaya dalam hidup.​—Baca Amsal 16:3.

MENETAPKAN MATLAMAT ROHANI​—MENGAPA?

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Mengapakah orang muda yang menetapkan matlamat rohani sedang bertindak dengan bijak? Terdapat tiga sebab. Dua sebab pertama menunjukkan bahawa mengejar matlamat rohani akan mengeratkan hubungan anda dengan Yehuwa, dan sebab ketiga menunjukkan manfaatnya jika anda menetapkan matlamat rohani sejak muda lagi.

5. Apakah sebab utama kita menetapkan matlamat rohani?

5 Sebab utama kita menetapkan matlamat rohani adalah untuk membalas kasih Yehuwa dan menunjukkan penghargaan kepada-Nya. Pemazmur menulis, “Betapa bagusnya untuk bersyukur kepada-Mu, ya Yehuwa, . . . Aku gembira kerana perbuatan-Mu. Aku bersorak dengan gembira kerana karya tangan-Mu.” (Mzm. 92:1, 4) Kaum muda, fikirkan segala kurniaan yang anda terima daripada Yehuwa​—nyawa anda, iman anda, Bible, sidang, dan harapan masa depan anda. Dengan mengutamakan hal-hal rohani, anda menunjukkan kesyukuran atas segala yang diberikan oleh Tuhan, dan usaha anda akan mendekatkan anda kepada-Nya.

6. (a) Apakah kaitan matlamat rohani dengan hubungan kita dengan Yehuwa? (b) Apakah matlamat rohani yang dapat anda tetapkan sejak kecil lagi?

6 Apakah sebab kedua? Dengan berusaha mencapai matlamat rohani, anda sedang melakukan apa yang baik di mata Yehuwa dan akan bertambah akrab dengan-Nya. Rasul Paulus menjamin, “Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya.” (Ibr. 6:10) Anda dapat menetapkan matlamat rohani biarpun anda sangat muda. Christine berumur 10 tahun semasa dia bermatlamat untuk membaca kisah hidup Saksi secara tetap. Semasa berumur 12 tahun, Toby bermatlamat untuk membaca seluruh Bible sebelum dibaptis. Maxim berusia 11 tahun dan adik perempuannya Noemi berusia 10 tahun semasa mereka dibaptis. Selepas itu, mereka berusaha mencapai matlamat untuk bekerja di Bethel. Agar tetap berfokus kepada matlamat itu, mereka menampal borang permohonan Bethel pada dinding rumah mereka. Dapatkah anda menetapkan matlamat rohani dan berusaha mencapainya juga?​—Baca Filipi 1:10, 11.

7, 8. (a) Mengapakah kaum muda yang sudah ada matlamat dapat membuat keputusan dengan lebih mudah? (b) Mengapakah seorang remaja memilih untuk tidak pergi ke universiti?

7 Sebab ketiga untuk menetapkan matlamat hidup sejak muda lagi berkaitan dengan keputusan anda. Orang muda perlu membuat keputusan tentang pendidikan, pekerjaan, dan sebagainya. Keputusan sebegini seperti persimpangan jalan. Selagi anda tahu di mana destinasi anda, anda dapat memilih jalan yang betul dengan mudah. Begitu juga, dengan mengetahui hala tuju atau matlamat hidup anda, anda dapat membuat keputusan yang baik dengan lebih mudah. Amsal 21:5 menyatakan, “Rancangan yang dibuat dengan teliti pasti membawa kejayaan.” Lebih awal anda merancang dan menetapkan matlamat yang baik, lebih cepat anda akan menuai kejayaan. Itulah yang dialami Damaris semasa dia perlu membuat satu keputusan yang penting sebagai remaja.

8 Damaris merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan berpeluang mendapat biasiswa untuk kursus undang-undang di universiti, tetapi dia memilih untuk bekerja separuh masa di bank. Mengapa? “Awal-awal lagi, saya sudah memutuskan untuk kerja separuh masa supaya dapat merintis. Ijazah universiti bidang perundangan mungkin membawa gaji besar, tetapi sangat susah untuk cari kerja separuh masa.” Kini, Damaris sudah merintis selama 20 tahun. Adakah dia berasa bahawa matlamat dan keputusan yang dibuatnya bijak? Dia berkata, “Semasa di bank, saya jumpa banyak peguam yang sangat tidak puas dengan kerja mereka. Itulah yang akan berlaku kepada saya jika saya pilih untuk belajar undang-undang. Keputusan saya untuk merintis telah menjauhkan saya daripada kerunsingan kerja sekular dan membolehkan saya berkhidmat kepada Yehuwa dengan sukacita selama bertahun-tahun.”

9. Mengapakah kaum muda kita harus dipuji?

9 Terdapat ribuan kaum muda kita di serata dunia yang harus dipuji. Mereka mengutamakan Yehuwa dan bertumpu kepada matlamat rohani. Mereka juga menikmati kehidupan dengan sepenuhnya dan pada masa yang sama belajar untuk mengikut bimbingan Yehuwa dalam semua aspek, seperti pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan keluarga. “Percayalah kepada Yehuwa dengan sepenuh hatimu,” tulis Salomo, “ingatlah akan Dia dalam segala perbuatanmu, dan Dia akan meluruskan jalan hidupmu.” (Ams. 3:5, 6) Anak-anak muda, Yehuwa sangat sayang anda! Anda berharga di mata-Nya, dan Dia pasti melindungi, membimbing, dan memberkati anda.

BERSEDIALAH UNTUK MEMBERIKAN KESAKSIAN

10. (a) Mengapakah kerja penyebaran harus menjadi salah satu keutamaan kita? (b) Bagaimanakah kita dapat menginjil dengan lebih mahir?

10 Orang muda yang ingin menyenangkan hati Yehuwa akan bertumpu kepada kerja penyebaran. Yesus menegaskan bahawa “berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.” (Mrk. 13:10) Ya, kerja penyebaran amat mendesak dan harus diutamakan. Maka, dapatkah anda bermatlamat untuk menginjil dengan lebih kerap? Dapatkah anda merintis? Tetapi bagaimana jika anda tidak berapa suka menginjil? Bagaimanakah anda dapat memberikan kesaksian dengan lebih berkesan? Terdapat dua langkah yang berguna: Buatlah persiapan yang baik, dan jangan putus asa. Anda mungkin akan meraih sukacita yang tidak disangka.

Bagaimanakah anda dapat bersedia untuk memberikan kesaksian? (Lihat perenggan 11, 12)

11, 12. (a) Bagaimanakah anak muda dapat bersedia untuk memberikan kesaksian? (b) Bagaimanakah seorang saudara muda mengambil peluang untuk memberikan kesaksian di sekolah?

11 Mula-mulanya, cubalah bersedia untuk menjawab soalan yang sering ditanya oleh rakan sekolah, seperti “Adakah anda rasa Tuhan ambil berat tentang kesusahan kita?” Maklumat di jw.org dapat membantu orang muda menjawab soalan itu. Lihat AJARAN BIBLE > REMAJA > PANDUAN PEMBELAJARAN > APAKAH KEBENARAN TENTANG TUHAN? (BAHAGIAN 1). Lembaran kerja itu akan membantu anda menyediakan jawapan sendiri. Terdapat ayat Bible yang dapat anda gunakan seperti: Yakobus 1:13, Kejadian 6:5, 6, dan 1 Yohanes 4:8. Anda dapat menggunakan lembaran-lembaran kerja seperti itu untuk menjawab banyak soalan lagi.​—Baca 1 Petrus 3:15.

12 Jika ada peluang, jemputlah rakan sekolah anda untuk melayari jw.org. Itulah yang dilakukan Luca. Semasa perbincangan kelas tentang agama, Luca mendapati buku teks mereka mengandungi maklumat yang salah tentang Saksi. Walaupun Luca berasa teragak-agak, dia minta izin gurunya untuk membetulkan pernyataan yang salah itu. Gurunya setuju, dan Luca bukan sahaja dapat menjelaskan kepercayaannya, malah dapat menunjukkan laman web kita kepada seluruh kelas. Gurunya juga menyuruh semua murid untuk menonton video Cara Berdepan dengan Pembuli sebagai kerja rumah. Luca sangat gembira kerana dapat memberikan kesaksian.

13. Mengapakah kita tidak patut putus asa semasa menghadapi kesusahan?

13 Janganlah patah hati sekiranya jalan yang menuju matlamat anda berliku-liku. (2 Tim. 4:2) Sebaliknya, teruslah berusaha. Semasa Katharina berumur 17 tahun, dia bermatlamat untuk memberikan kesaksian kepada semua rakan kerjanya. Salah seorang rakannya mengejeknya beberapa kali, tetapi dia tidak mengalah. Kelakuannya yang baik membuat Hans, seorang rakan kerja yang lain, sangat kagum sehingga dia membaca bahan terbitan kita, belajar Bible, dan dibaptis. Katharina tidak tahu akan hal itu, kerana dia sudah berpindah. Tiga belas tahun kemudian, semasa dia dan keluarganya duduk di Dewan Perjumpaan, dia terperanjat semasa Hans diperkenalkan sebagai penceramah undangan. Alangkah baiknya kerana Katharina terus berusaha mencapai matlamatnya untuk menginjil kepada rakan kerjanya!

JANGAN TERSIMPANG

14, 15. (a) Semasa menghadapi tekanan, apakah yang perlu diingat oleh kaum muda? (b) Bagaimanakah kaum muda dapat melawan tekanan rakan sebaya?

14 Setakat ini, rencana ini telah menggalakkan anda agar bertumpu kepada matlamat rohani dan berusaha menyenangkan hati Yehuwa. Namun, orang muda lain yang bertumpu kepada keseronokan mungkin menjemput anda untuk menyertai mereka. Semasa menghadapi tekanan rakan sebaya, jangan lupa matlamat anda, dan janganlah tersimpang. Tunjukkan betapa teguhnya tekad anda untuk mencapai matlamat anda. Fikir kembali contoh bas tadi. Sudah pasti anda tidak akan menaiki sebuah bas semata-mata kerana semua penumpangnya kelihatan riang.

15 Terdapat beberapa cara untuk melawan tekanan rakan sebaya. Contohnya, cuba elakkan situasi yang mencabar. (Ams. 22:3) Ingatlah akibatnya jika anda terikut-ikut orang yang berbuat jahat. (Gal. 6:7) Selain itu, akuilah bahawa anda memerlukan nasihat. Sikap rendah hati akan membolehkan anda sudi menerima cadangan daripada ibu bapa dan ahli sidang yang matang secara rohani.—Baca 1 Petrus 5:5, 6.

16. Ceritakan satu pengalaman yang menunjukkan pentingnya bersikap rendah hati.

16 Kerendahan hati membantu Christoph untuk menerima nasihat. Tidak lama selepas dibaptis, dia mula berlatih secara tetap di pusat senaman. Orang muda di situ menjemputnya untuk mengikut kelab sukan mereka, maka dia membincangkan hal itu dengan seorang penatua. Penatua itu menyuruh Christoph memikirkan risikonya, seperti dijangkiti semangat suka bersaing. Namun, Christoph tetap menyertai kelab itu. Beberapa lama kemudian, dia mendapati bahawa sukan itu ganas dan bahkan berbahaya. Maka dia berjumpa lagi dengan beberapa orang penatua, dan mereka memberinya nasihat daripada Bible. Christoph berkata, “Yehuwa beri saya penasihat yang baik, dan saya dengar cakap-Nya, walaupun saya memerlukan sedikit masa.” Adakah anda cukup rendah hati untuk menerima nasihat yang baik?

17, 18. (a) Apakah keinginan Yehuwa bagi orang muda? (b) Apakah yang mungkin menyebabkan sesetengah orang menyesal apabila mereka dewasa kelak? Bagaimanakah keadaan sedemikian dapat dielakkan? Berikan contoh.

17 “Wahai orang muda, bersukacitalah sementara kamu masih muda. Hendaklah hatimu menikmati zaman mudamu.” (Pkh. 11:9) Ya, anak-anak muda, Yehuwa mahu anda bersukacita, dan rencana ini telah menyebut salah satu cara untuk berbuat demikian: Bertumpulah kepada matlamat rohani dan ikutlah bimbingan Yehuwa dalam segala rancangan anda. Semakin awal anda berbuat demikian, semakin cepat anda akan merasai bimbingan, perlindungan, dan berkat Yehuwa. Fikirkan semua nasihat bijak daripada Firman Tuhan, dan biarlah seruan ini terukir di hati anda: “Ingatlah akan Pencipta Agungmu semasa kamu masih muda.”​—Pkh. 12:1.

18 Tiada orang yang muda selamanya. Orang muda akan menjadi dewasa dalam beberapa tahun. Sedihnya, ramai orang dewasa menyesal kerana memilih matlamat yang salah semasa muda, atau kerana langsung tidak menetapkan matlamat. Tetapi kaum muda yang bertumpu kepada matlamat rohani mulai sekarang akan berasa puas dan bahagia apabila mereka dewasa nanti. Itulah pengalaman Mirjana. Semasa remaja, dia sangat berbakat dalam sukan dan dijemput menyertai Olimpik Musim Sejuk. Namun, dia memilih khidmat sepenuh masa. Lebih daripada 30 tahun kemudian, Mirjana masih berkhidmat sepenuh masa bersama suaminya. Dia menjelaskan, “Kemasyhuran, kemuliaan, kuasa, dan kekayaan, bukanlah matlamat yang terbaik. Matlamat yang benar-benar terpuji dan bernilai adalah untuk menyembah Tuhan dan berusaha membantu orang secara rohani.”

19. Apakah manfaatnya jika anda bertumpu kepada matlamat rohani sejak muda lagi?

19 Kaum muda, anda memang layak dipuji kerana walaupun menghadapi cabaran, anda tetap bertumpu kepada khidmat Yehuwa. Anda berusaha mencapai matlamat rohani dan mengutamakan kerja penyebaran. Anda juga tidak membiarkan dunia ini menyimpangkan perhatian anda. Yakinlah bahawa usaha keras anda tidak sia-sia. Saudara saudari mengasihi anda dan akan menyokong anda. Oleh itu, serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.