Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tirulah Yehuwa​—Tuhan yang Memberi Kita Galakan

Tirulah Yehuwa​—Tuhan yang Memberi Kita Galakan

“Terpujilah Tuhan . . . yang menggalakkan kita dalam apa jua situasi.”​—2 KOR. 1:3, 4, nota kaki.

LAGU: 7, 3

1. Apakah galakan yang diberikan Yehuwa semasa pemberontakan tercetus di Eden?

SEJAK manusia menjadi hamba dosa dan ketidaksempurnaan, Yehuwa sentiasa memberikan galakan. Sejurus selepas pemberontakan Adam dan Hawa, Tuhan telah menyatakan satu nubuat di Kejadian 3:15. Apabila maksud nubuat itu diketahui, janji itu akan membawa galakan kepada keturunan Adam dan Hawa. Mereka dapat menantikan masanya “ular tua” yang dipanggil Syaitan Si Iblis dan semua perbuatan jahatnya dihancurkan.​—Why. 12:9; 1 Yoh. 3:8.

YEHUWA MENGGALAKKAN HAMBA-NYA PADA MASA LALU

2. Bagaimanakah Yehuwa menggalakkan Nuh?

2 Nuh, seorang hamba Yehuwa, hidup dalam kalangan orang yang ganas, derhaka, dan tidak bermoral. Pada masa itu, hanya Nuh dan keluarganya yang menyembah Yehuwa, maka Nuh mungkin berasa tawar hati. (Kej. 6:4, 5, 11; Yud. 6) Tetapi Yehuwa telah memberinya galakan supaya dia dapat terus “hidup akrab dengan Tuhan.” (Kej. 6:9) Yehuwa memberitahu Nuh bahawa Dia akan mengakhiri dunia jahat itu, dan Dia menjelaskan apa yang perlu dilakukan Nuh agar dia sekeluarga diselamatkan. (Kej. 6:13-18) Ya, bagi Nuh, Yehuwa sesungguhnya Tuhan yang memberikan galakan.

3. Apakah galakan yang diterima Yosua? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

3 Yosua telah diberikan tugas yang amat berat: Dia perlu memimpin umat Tuhan ke Tanah yang Dijanjikan dan mengalahkan bangsa-bangsa yang kuat di situ. Yosua memang ada sebab untuk berasa takut, maka Yehuwa berfirman kepada Musa, “Lantiklah Yosua sebagai penggantimu dan kuatkanlah hatinya, kerana dialah yang akan memimpin umat Israel untuk menyeberangi Sungai Yordan dan menduduki tanah yang akan engkau lihat itu.” (Ul. 3:28) Sebelum Yosua memulakan tugasannya, Yehuwa menggalakkannya dengan berfirman, “Hendaklah engkau berani dan teguh. Janganlah berasa takut atau gentar kerana Aku, Yehuwa, ialah Tuhanmu yang akan menyertaimu ke mana sahaja engkau pergi.” (Yos. 1:1, 9) Kata-kata yang cukup memberangsangkan!

4, 5. (a) Bagaimanakah Yehuwa menguatkan semangat umat-Nya pada masa lalu? (b) Bagaimanakah Yehuwa menggalakkan Anak-Nya?

4 Yehuwa bukan sahaja menggalakkan hamba-Nya secara individu, malah Dia juga menguatkan semangat umat-Nya. Contohnya, semasa orang Yahudi ditawan di Babilon, Yehuwa memberitahu mereka sebuah nubuat yang menggalakkan: “Janganlah takut kerana Aku menyertaimu. Janganlah risau kerana Akulah Tuhanmu. Aku akan meneguhkanmu, dan Aku akan membantumu. Aku pasti akan memegangmu dengan tangan kanan-Ku yang menegakkan keadilan.” (Yes. 41:10) Galakan yang sama diberikan kepada orang Kristian masa dahulu dan kepada kita hari ini.​—Baca 2 Korintus 1:3, 4.

5 Yesus juga digalakkan oleh Bapanya. Semasa dibaptis, Yesus mendengar suara dari langit yang berfirman, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Aku berkenan kepadanya.” (Mat. 3:17) Kata-kata itu pasti telah menguatkan Yesus sepanjang kerjanya di bumi!

YESUS MENGGALAKKAN ORANG LAIN

6. Bagaimanakah perumpamaan tentang talenta menggalakkan kita?

6 Yesus meniru teladan Bapanya. Untuk menggalakkan pengikutnya agar tetap setia, dia menceritakan sebuah perumpamaan tentang talenta, yang menggambarkan keadaan pada penghujung sistem dunia. Tuan dalam perumpamaan itu memuji setiap hambanya dengan berkata, “Bagus, hamba yang baik dan setia! Kamu menguruskan hal yang kecil dengan setia. Jadi, aku akan melantik kamu untuk menguruskan lebih banyak hal. Bersukacitalah bersama tuanmu.” (Mat. 25:21, 23) Galakan yang amat baik untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia!

7. Bagaimanakah Yesus menggalakkan para rasulnya, khususnya Petrus?

7 Rasul-rasul Yesus sering bertengkar tentang siapa antara mereka yang lebih besar, tetapi Yesus sabar terhadap mereka. Dia menggalakkan mereka agar merendahkan diri dan bersikap seperti hamba, bukannya bos. (Luk. 22:24-26) Petrus pernah mengecewakan Yesus banyak kali. (Mat. 16:21-23; 26:31-35, 75) Tetapi Yesus tidak menolak Petrus. Sebaliknya, Yesus menggalakkannya dan bahkan menugaskannya untuk menguatkan orang lain.​—Yoh. 21:16.

GALAKAN PADA ZAMAN KUNO

8. Bagaimanakah Hizkia menggalakkan ketua-ketua tentera dan rakyat Yehuda?

8 Bahkan sebelum Anak Yehuwa datang ke bumi dan menyediakan teladan yang sempurna dalam soal memberikan galakan, hamba-hamba Yehuwa sudah pun sedar akan pentingnya memberikan galakan. Semasa diancam oleh orang Assyria, Hizkia mengumpulkan ketua-ketua tentera dan rakyat Yehuda untuk menggalakkan mereka. Hasilnya, “seluruh rakyat dikuatkan dengan kata-kata Hizkia.”—Baca 2 Tawarikh 32:6-8.

9. Apakah yang kita belajar daripada buku Ayub tentang memberikan galakan?

9 Semasa Ayub tengah menderita dan memerlukan kelegaan, dia mengajar tiga orang sahabatnya cara yang betul untuk memberikan galakan. Dia mengatakan bahawa jika dia berada di pihak mereka, dia ‘akan menguatkan mereka, dan melegakan hati mereka dengan kata-katanya.’ (Ayb. 16:1-5) Akhirnya Ayub mendapat kelegaan daripada Elihu dan Yehuwa.​—Ayb. 33:24, 25; 36:1, 11; 42:7, 10.

10, 11. (a) Mengapakah anak perempuan Yefta perlu digalakkan? (b) Siapakah yang patut kita galakkan pada zaman ini?

10 Pada zaman dahulu, anak perempuan Yefta juga memerlukan galakan. Sebelum berperang dengan orang Ammon, Hakim Yefta berikrar bahawa jika Yehuwa memberinya kemenangan, orang yang pertama-tama keluar dari rumahnya untuk menyambutnya akan berkhidmat kepada Yehuwa di khemah suci. Apabila Yefta kembali sesudah meraih kemenangan, hatinya hancur berkecai semasa melihat anak perempuannya keluar menyambutnya. Meskipun itulah anak tunggalnya, Yefta berpegang pada janjinya. Dia menghantar anak perempuannya yang masih dara ke khemah suci di Silo untuk berkhidmat di situ seumur hidupnya.​—Hak. 11:30-35.

11 Hal itu memang susah bagi Yefta, tetapi lebih susah lagi bagi anak perempuannya. Namun, dia masih rela mengikut keputusan bapanya. (Hak. 11:36, 37) Maksudnya, anak perempuan Yefta tidak dapat berkahwin dan beranak, dan garis keturunan keluarga mereka akan berakhir. Sudah pasti dia amat memerlukan galakan. Bible menyatakan, “Terdapat satu adat di Israel, iaitu setiap tahun, gadis-gadis Israel akan meluangkan masa selama empat hari untuk melawat anak perempuan Yefta, orang Gilead itu, dan memujinya.” (Hak. 11:39, 40) Hari ini, terdapat orang Kristian yang tetap membujang supaya dapat bertumpu kepada “perkara-perkara Tuan.” Tidakkah mereka patut dipuji dan digalakkan juga?​—1 Kor. 7:32-35.

PARA RASUL MENGGALAKKAN RAKAN SEIMAN

12, 13. Bagaimanakah Petrus ‘meneguhkan iman saudara-saudaranya’?

12 Pada malam sebelum kematiannya, Yesus berkata kepada Rasul Petrus, “Simon, Simon, lihatlah! Syaitan telah mengatakan bahawa dia mahu menampi kamu semua seperti seseorang yang memisahkan gandum daripada sekamnya. Namun, aku telah merayu kepada Tuhan bagi pihakmu agar kamu tidak kehilangan iman. Sebaik sahaja kamu bertaubat, teguhkanlah iman saudara-saudaramu.”​—Luk. 22:31, 32.

Surat-surat para rasul telah menggalakkan sidang abad pertama dan menguatkan kita pada hari ini (Lihat perenggan 12-17)

13 Petrus telah menjadi seperti tiang yang kukuh dalam sidang Kristian abad pertama. (Gal. 2:9) Keberaniannya semasa Pentakosta dan selepas itu telah menggalakkan rakan seimannya. Setelah lama berkhidmat, Petrus menulis kepada orang Kristian lain, “Aku menulis kepada kamu dengan menggunakan beberapa patah kata untuk menggalakkan kamu, dan untuk memberikan kesaksian yang sungguh-sungguh bahawa inilah kebaikan hati Tuhan yang sejati. Berpegang teguhlah pada kebaikan hati itu.” (1 Ptr. 5:12) Surat-surat Petrus telah menggalakkan orang Kristian sejak zamannya sehingga hari ini. Tidakkah anda setuju bahawa kita amat memerlukan galakannya sementara kita menantikan janji Tuhan ditunaikan?​—2 Ptr. 3:13.

14, 15. Bagaimanakah buku Bible yang ditulis Yohanes menjadi sumber galakan kepada orang Kristian selama berabad-abad?

14 Rasul Yohanes juga seperti tiang dalam sidang Kristian masa awal. Catatannya yang mendebarkan tentang kegiatan Yesus telah menjadi sumber galakan kepada orang Kristian selama berabad-abad, sampai hari ini. Hanya Yohanes yang mencatatkan kata-kata Yesus bahawa kasih ialah tanda pengikutnya yang sejati.​—Baca Yohanes 13:34, 35.

15 Tiga pucuk surat Yohanes juga mengandungi kebenaran yang sangat bernilai. Sewaktu kita berasa tawar hati akibat dibebani dosa, kita berasa lega apabila membaca bahawa korban tebusan Yesus “membersihkan kita daripada semua dosa.” (1 Yoh. 1:7) Apabila kita diselubungi perasaan bersalah, tidakkah kita terharu kerana membaca bahawa “Tuhan lebih besar daripada hati kita”? (1 Yoh. 3:20) Yohanes ialah satu-satunya penulis Bible yang menulis bahawa “Tuhan itu kasih.” (1 Yoh. 4:8, 16) Dalam suratnya yang kedua dan ketiga pula, dia memuji orang Kristian yang terus “berjalan mengikut kebenaran.”​—2 Yoh. 4; 3 Yoh. 3, 4.

16, 17. Bagaimanakah Rasul Paulus menggalakkan orang Kristian pada abad pertama?

16 Barangkali, rasul yang paling berusaha menggalakkan orang lain ialah Rasul Paulus. Nampaknya, selepas kematian Yesus, kebanyakan rasul terus berada di Yerusalem, tempat badan pimpinan berkhidmat. (Kis. 8:14; 15:2) Orang Kristian di Yudea bercakap tentang Kristus kepada orang yang percaya bahawa Tuhan hanya satu. Tetapi kuasa suci Tuhan mengutus Rasul Paulus kepada orang berbangsa Yunani dan Roma, yang menyembah pelbagai tuhan.​—Gal. 2:7-9; 1 Tim. 2:7.

17 Paulus telah menjelajahi kawasan yang kini dikenali sebagai Turki, Greece, dan Itali, untuk menubuhkan sidang Kristian yang terdiri daripada orang bukan Yahudi. Mereka yang baru memeluk agama Kristian ketika itu “menderita di tangan orang yang sebangsa” dan perlu digalakkan. (1 Tes. 2:14) Kira-kira pada tahun 50 M, Paulus menulis kepada sidang Tesalonika yang baru ditubuhkan: ‘Kami sentiasa bersyukur kepada Tuhan semasa kami menyebut kamu semua dalam doa kami. Kami terus mengingati perbuatan kamu yang didorong oleh iman, kerja keras kamu yang didorong oleh kasih, dan juga ketabahan kamu.’ (1 Tes. 1:2, 3) Dia juga menggesa mereka, “Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain.”​—1 Tes. 5:11.

GALAKAN DARIPADA BADAN PIMPINAN

18. Bagaimanakah badan pimpinan abad pertama menggalakkan Filipus?

18 Badan pimpinan abad pertama telah menjadi sumber galakan bagi semua orang Kristian, termasuk mereka yang mengambil pimpinan. Semasa Filipus menyebarkan berita tentang Kristus kepada orang Samaria, badan pimpinan menyokong usahanya dan mengutus dua orang wakil, iaitu Petrus dan Yohanes, untuk berdoa agar orang Kristian yang baharu diberi kuasa suci Tuhan. (Kis. 8:5, 14-17) Filipus dan orang yang dibantunya pasti amat digalakkan kerana mendapat sokongan badan pimpinan!

19. Apakah reaksi sidang abad pertama setelah menerima surat daripada badan pimpinan?

19 Kemudian, badan pimpinan perlu memutuskan sama ada orang Kristian bukan Yahudi perlu bersunat atau tidak, seperti yang wajib dilakukan oleh orang Yahudi di bawah Hukum Musa. (Kis. 15:1, 2) Setelah badan pimpinan memohon bimbingan kuasa suci dan menyelidiki Ayat-Ayat Suci, mereka memutuskan bahawa sunat tidak diwajibkan lagi. Kemudian, mereka menulis sepucuk surat tentang keputusan itu dan melantik beberapa orang saudara untuk menghantarnya ke sidang-sidang. Apabila ahli-ahli sidang “membaca surat yang menggalakkan itu, mereka bersukacita.”​—Kis. 15:27-32.

20. (a) Bagaimanakah Badan Pimpinan menggalakkan persaudaraan antarabangsa kita hari ini? (b) Apakah soalan yang akan dijawab dalam rencana berikutnya?

20 Hari ini, Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa memberikan galakan kepada ahli Bethel, pekhidmat khas sepenuh masa di kawasan penyebaran, dan seluruh persaudaraan orang Kristian di serata dunia. Seperti ahli sidang abad pertama, galakan sedemikian memberi kita sukacita yang besar! Pada tahun 2015, Badan Pimpinan juga menerbitkan brosur Kembalilah kepada Yehuwa untuk menggalakkan ramai orang yang telah meninggalkan kebenaran. Namun, adakah mereka yang mengambil pimpinan sahaja yang patut memberikan galakan? Rencana berikutnya akan menjawab soalan ini.