Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Jumpa Lagi di Firdaus!”

“Jumpa Lagi di Firdaus!”

“Kamu akan bersama-sama aku di Firdaus.”​—LUK. 23:43.

LAGU: 145, 139

1, 2. Apakah pendapat orang tentang maksud firdaus?

KETIKA wakil-wakil dari luar negara meninggalkan stadium konvensyen di Seoul, Korea, Saksi-Saksi tempatan melambai-lambai dan berseru, “Jumpa lagi di Firdaus!” Apakah firdaus yang dimaksudkan mereka?

2 Sesetengah orang berasa bahawa “firdaus” ialah negeri fantasi. Yang lain pula berasa bahawa mana-mana tempat yang menggembirakan ialah firdaus. Pada abad ke-19, semasa melihat sebuah lembah yang penuh dengan bunga, seorang pelancong berseru, “Cantiknya firdaus ini!” Sampai hari ini, lembah itu dipanggil Paradise (Firdaus), walaupun kawasan tersebut diliputi lebih daripada 15 meter salji setiap tahun. Apakah maksud Firdaus bagi anda? Adakah anda menantikannya?

3. Bilakah Firdaus mula-mulanya disebut dalam Bible?

3 Bible menyebut tentang firdaus yang pernah wujud dan yang akan tiba. Konsep Firdaus sebenarnya terdapat pada halaman-halaman pertama Bible. Di Kejadian 2:8, Bible versi Douay Katolik yang diterjemahkan daripada bahasa Latin menyatakan, ‘Tuhan menanamkan firdaus kenikmatan sejak mula. Di situ Dia menempatkan Adam yang dijadikan-Nya.’ Teks Ibrani Bible pula menyebut tentang ‘Taman Eden.’ Nama Eden, yang bermaksud “Nikmat,” memang padan dengan taman itu yang kaya dengan makanan, pemandangan yang indah, dan pelbagai haiwan yang jinak.​—Kej. 1:29-31.

4. Mengapakah Taman Eden wajar digambarkan sebagai firdaus?

4 Perkataan Ibrani untuk “taman” diterjemahkan sebagai pa·raʹdei·sos dalam bahasa Yunani. Mengenai istilah itu, Cyclopaedia M’Clintock dan Strong memberikan gambaran ini: “Taman yang luas dan terbuka, tidak terdedah kepada bahaya, yang keindahan alam semula jadinya terpelihara. Pokok-pokok di situ gagah berdiri, dan banyak antaranya berbuah lebat. Tanah di situ diairi sungai yang jernih, dan terdapat kawanan rusa atau bebiri di pinggir sungai. Itulah gambaran yang timbul di minda pengembara Yunani semasa mendengar perkataan pa·raʹdei·sos.”​—Bandingkan Kejadian 2:15, 16.

5, 6. Bagaimanakah manusia kehilangan Firdaus? Apakah soalan yang perlu dijawab?

5 Tuhan menempatkan Adam dan Hawa di firdaus yang indah, tetapi mereka kemudiannya mengingkari-Nya dan tidak dibenarkan terus tinggal di situ. Demikianlah mereka dan keturunan mereka kehilangan Firdaus. (Kej. 3:23, 24) Meskipun tidak dihuni, taman itu nampaknya terus wujud sehingga Banjir pada zaman Nuh.

6 Sesetengah orang mungkin tertanya-tanya, “Adakah Firdaus akan wujud lagi di bumi?” Apakah bukti yang dapat dikaji? Jika anda menantikan kehidupan bersama orang tersayang di Firdaus, apakah asas bagi harapan anda? Dapatkah anda menjelaskan sebabnya Firdaus pasti menjadi kenyataan?

BUKTI TENTANG FIRDAUS PADA MASA DEPAN

7, 8. (a) Apakah janji Tuhan kepada Abraham? (b) Semasa mendengar tentang janji Tuhan, apakah yang mungkin difikirkan Abraham?

7 Jawapannya terdapat dalam buku yang diilhami Pencipta Firdaus. Perhatikan firman Tuhan kepada sahabat-Nya Abraham. Setelah berjanji untuk memberinya keturunan yang sangat banyak seperti “pasir di pantai,” Yehuwa menambah, “Melalui keturunanmu, semua bangsa di bumi akan meraih berkat.” (Kej. 22:17, 18) Tuhan telah mengulangi janji itu kepada anak dan cucu Abraham.​—Baca Kejadian 26:4; 28:14.

8 Bible tidak pernah menyatakan bahawa Abraham menyangka manusia akan mendapat ganjaran dalam firdaus di syurga. Maka, semasa Tuhan menyebut tentang berkat untuk “semua bangsa di bumi,” Abraham akan terfikir tentang berkat di bumi. Janji daripada Tuhan itu menunjukkan bahawa “semua bangsa di bumi” akan menikmati kehidupan yang lebih baik. Adakah penyembah Tuhan selepas zaman Abraham diberitahu tentang hal yang sama?

9, 10. Apakah janji Tuhan yang memberi kita sebab untuk menantikan berkat pada masa depan?

9 Daud, iaitu keturunan Abraham, menyatakan bahawa pada masa depan, “orang jahat” dan “pendosa” akan dibinasakan dan “tidak akan dijumpai.” (Mzm. 37:1, 2, 10) Ketika itu, “orang yang rendah hati akan memiliki bumi, dan mereka akan menikmati kebahagiaan dan kedamaian yang berlimpah-limpah.” Tuhan juga mengilhami Daud untuk bernubuat bahawa “orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.” (Mzm. 37:11, 29; 2 Sam. 23:2) Apakah makna janji ini bagi orang yang ingin melakukan kehendak Tuhan? Jika bumi hanya didiami orang baik, bumi akan menjadi firdaus seperti Taman Eden.

10 Oleh sebab kebanyakan orang Israel kemudiannya meninggalkan Yehuwa dan ibadat sejati, Tuhan membiarkan orang Babilon mengalahkan mereka, memusnahkan negeri mereka, dan menawan mereka ke negeri asing. (2 Taw. 36:15-21; Yer. 4:22-27) Meskipun begitu, nabi-nabi Tuhan menubuatkan bahawa selepas 70 tahun, umat Tuhan akan kembali ke tanah air mereka. Nubuat-nubuat itu sudah berlaku pada masa lalu, tetapi masih berkaitan dengan kita. Mari kita meneliti beberapa nubuat itu dan memperhatikan kaitannya dengan bumi firdaus pada masa depan.

11. Bilakah nubuat di Yesaya 11:6-9 menjadi kenyataan pada masa lampau? Namun, apakah soalan yang timbul?

11 Baca Yesaya 11:6-9. Melalui Yesaya, Tuhan menubuatkan bahawa umat-Nya yang kembali ke tanah air tidak akan menghadapi ancaman dan kesusahan. Mereka juga tidak akan diserang oleh binatang atau orang yang ganas. Baik tua ataupun muda akan selamat. Tidakkah gambaran itu mengingatkan anda tentang keadaan di Taman Eden? (Yes. 51:3) Namun, nubuat itu juga menyatakan bahawa seluruh bumi, bukan sahaja negeri Israel, akan dipenuhi “pengetahuan tentang Yehuwa.” Bilakah hal itu akan terjadi? Pada masa depan.

12. (a) Apakah berkat yang dirasai oleh orang Israel yang kembali dari Babilon? (b) Apakah yang menunjukkan bahawa Yesaya 35:5-10 akan berlaku lagi pada masa depan?

12 Baca Yesaya 35:5-10. Yesaya menegaskan sekali lagi bahawa umat Tuhan tidak akan diancam manusia mahupun binatang. Negeri mereka akan membuahkan hasil yang banyak kerana diairi dengan secukupnya seperti Taman Eden. (Kej. 2:10-14; Yer. 31:12) Adakah nubuat Yesaya hanya berlaku pada zaman lampau? Orang Israel yang kembali pada waktu itu tidak disembuhkan secara mukjizat. Contohnya, mata orang buta tidak dipulihkan. Maksudnya, penyembuhan yang dijanjikan akan berlaku pada masa depan.

13, 14. Bagaimanakah orang Yahudi yang kembali ke negeri mereka menyaksikan nubuat di Yesaya 65:21-23 menjadi kenyataan? Namun, bahagian apakah dalam nubuat itu yang belum berlaku? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

13 Baca Yesaya 65:21-23. Semasa orang Yahudi kembali ke negeri mereka, mereka tidak menjumpai rumah yang selesa atau ladang dan kebun anggur yang subur. Namun, dengan adanya berkat Tuhan, mereka telah membina rumah sendiri, menikmati hasil tanaman sendiri, dan dapat bersukacita.

14 Perhatikan butiran ini: Umur kita “akan sepanjang umur pokok.” Sesetengah pokok dapat hidup beberapa ribu tahun. Manusia perlu berada dalam keadaan sihat untuk hidup begitu lama. Jika mereka dapat hidup dalam persekitaran yang dinubuatkan oleh Yesaya, mereka sesungguhnya sudah hidup dalam firdaus! Nubuat itu pasti ditunaikan, tetapi pada masa depan.

Bagaimanakah janji Yesus tentang Firdaus akan ditunaikan? (Lihat perenggan 15, 16)

15. Berdasarkan buku Yesaya, apakah berkat-berkat yang dapat kita nantikan?

15 Renungkan bagaimana janji-janji tadi menggambarkan firdaus pada masa depan: Semua penduduk bumi akan diberkati Tuhan. Tiada seorang pun yang akan diancam oleh binatang atau manusia yang ganas. Orang yang buta, pekak, dan tempang akan disembuhkan. Semua orang dapat membina rumah sendiri dan menanam makanan yang berkhasiat. Mereka akan lebih panjang umur daripada pokok. Ya, Bible menunjukkan bahawa keadaan sebegini akan terjadi pada masa depan. Namun, sesetengah orang mungkin berkata bahawa kita terlampau meneliti nubuat itu. Bagaimanakah anda akan menjawab mereka? Apakah sebabnya anda menantikan bumi firdaus? Yesus Kristus sendiri telah memberikan bukti yang kukuh.

ANDA AKAN BERADA DI FIRDAUS!

16, 17. Bilakah Yesus menyebut tentang Firdaus?

16 Walaupun Yesus tidak berdosa, dia dijatuhkan hukuman mati dan digantungkan pada tiang. Sebelum meninggal, salah seorang penjenayah yang digantung di sebelahnya mengaku bahawa Yesus ialah raja dan dia memohon, “Yesus, ingatlah aku apabila kamu masuk dalam Kerajaanmu.” (Luk. 23:39-42) Jawapan Yesus di ayat 43 berkaitan dengan masa depan anda. Sesetengah cendekiawan menterjemahkan kata-katanya secara harfiah, “Sesungguhnya, hari ini kamu akan bersamaku di Firdaus.” Apakah maksud “hari ini”?

17 Dalam banyak bahasa moden, tanda koma atau titik bertindih digunakan untuk menjelaskan maksud sesebuah ayat. Namun, naskhah-naskhah Yunani yang tertua tidak menggunakan tanda baca secara konsisten. Maka, adakah kata-kata Yesus bermaksud “Aku memberitahu kamu, hari ini kamu akan bersamaku di Firdaus,” atau “Aku memberitahu kamu hari ini, kamu akan bersamaku di Firdaus”? Penterjemah mungkin memasukkan tanda koma menurut pandangan sendiri, dan kedua-dua maksud itu terdapat dalam banyak Bible.

18, 19. Apakah yang dapat membantu kita memahami maksud sebenar kata-kata Yesus?

18 Namun, Yesus pernah memberitahu para pengikutnya, ‘Anak Manusia akan berada di dalam perut bumi selama tiga hari dan tiga malam,’ dan “Anak Manusia akan dikhianati dan diserahkan ke dalam tangan musuhnya. Mereka akan membunuh dia, dan pada hari ketiga, dia akan dibangkitkan.” (Mat. 12:40; 16:21; 17:22, 23; Mrk. 10:34) Petrus mengesahkan bahawa hal itu telah berlaku. (Kis. 10:39, 40) Jadi, Yesus tidak pergi ke Firdaus pada hari dia dan penjenayah itu mati. Sebaliknya, dia berada “di Kuburan” sehingga Tuhan membangkitkannya.​—Kis. 2:31, 32. *

19 Maka, kita boleh menyimpulkan bahawa Yesus telah menggunakan ungkapan “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini” untuk memperkenalkan janjinya kepada penjenayah itu. Gaya percakapan sebegini sering digunakan, bahkan pada zaman Musa. Musa pernah berkata, “Semua yang aku sampaikan kepada kamu hari ini mesti kamu simpan dalam hati kamu.”​—Ul. 6:6; 7:11; 8:1; 30:15.

20. Apakah bukti yang menyokong pemahaman kita tentang kata-kata Yesus?

20 Mengenai jawapan Yesus, seorang penterjemah Bible dari Timur Tengah berkata, “Penekanan dalam teks ini adalah pada perkataan ‘hari ini’ dan harus dibaca sebagai, ‘Sesungguhnya aku berkata kepada kamu hari ini, kamu akan bersamaku di Firdaus.’ Janji Yesus dibuat pada hari itu dan akan ditunaikan pada kemudian hari. Inilah ciri bahasa di Timur yang menyatakan bahawa sesebuah janji dibuat pada hari tertentu dan pasti dikotakan.” Maka sebuah terjemahan bahasa Suryani abad kelima mengungkapkan jawapan Yesus sebagai, “Amin, aku memberitahumu hari ini bahawa bersamaku engkau akan berada di Taman Eden.” Janji itu harus menggalakkan kita semua.

21. Adakah penjenayah itu dipilih untuk pergi ke syurga? Mengapa?

21 Penjenayah yang akan mati itu tidak tahu bahawa Yesus telah membuat perjanjian dengan para rasul untuk memerintah bersamanya dalam Kerajaan di syurga. (Luk. 22:29) Tambahan lagi, penjenayah itu belum dibaptis. (Yoh. 3:3-6, 12) Maka, janji Yesus kepadanya tentang firdaus pasti akan berlaku di bumi. Bertahun-tahun kemudian, Rasul Paulus menerima penglihatan tentang seseorang yang “dibawa ke firdaus.” (2 Kor. 12:1-4) Tidak seperti penjenayah itu, Paulus dan rasul-rasul lain telah dipilih untuk memerintah di syurga bersama Yesus dalam Kerajaannya. Namun, kata-kata Paulus menunjukkan bahawa “firdaus” akan wujud pada masa depan. * Adakah firdaus itu akan wujud di bumi? Adakah anda akan berada di firdaus itu?

HARAPAN YANG DAPAT DINANTIKAN

22, 23. Apakah yang dapat anda nantikan?

22 Semasa Daud menulis, “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi,” dia sedang menggambarkan masanya penduduk bumi akan hidup menurut piawaian Tuhan. (Mzm. 37:29; 2 Ptr. 3:13) Nubuat di Yesaya 65:22 menyatakan, “Umur umat-Ku akan sepanjang umur pokok.” Maksudnya manusia akan hidup beribu-ribu tahun. Dapatkah janji itu dipercayai? Ya. Wahyu 21:1-4 menjanjikan bahawa apabila Tuhan memperhatikan penyembah-Nya di dunia baharu, “kematian tidak akan ada lagi.”

23 Gambaran yang amat jelas, bukan? Adam dan Hawa kehilangan Firdaus semasa di Eden, tetapi Firdaus akan wujud lagi. Tuhan telah berjanji bahawa manusia di bumi akan diberkati, dan Dia mengilhami Daud untuk menulis bahawa orang yang rendah hati dan yang berbuat benar akan mewarisi bumi dan mendiaminya untuk selama-lamanya. Nubuat dalam buku Yesaya juga membuat kita menanti-nantikan keadaan hidup yang sempurna. Bilakah semua itu akan terjadi? Ketika janji Yesus kepada penjenayah itu ditunaikan. Semasa anda berada di Firdaus, ucapan kepada para wakil di Korea akan menjadi kenyataan: “Jumpa lagi di Firdaus!”

^ per. 18 Profesor C. Marvin Pate menulis bahawa ramai cendekiawan percaya bahawa maksud “hari ini” yang disebut Yesus ialah dia akan mati dan pergi ke Firdaus pada hari itu juga, iaitu dalam masa 24 jam. Namun, Profesor Pate menambah bahawa pandangan ini bercanggahan dengan ajaran Bible yang menyatakan bahawa selepas kematiannya, Yesus turun ke Kuburan dahulu dan kemudiannya naik ke syurga.​—Mat. 12:40; Kis. 2:31; Rm. 10:7.

^ per. 21 Lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam terbitan ini.