Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Kaum Muda, Pencipta Anda Ingin Anda Gembira

Kaum Muda, Pencipta Anda Ingin Anda Gembira

“Dia memuaskan hidupmu dengan segala yang baik.”​—MZM. 103:5.

LAGU: 135, 39

1, 2. Semasa memilih matlamat hidup, mengapakah bijak untuk mendengar nasihat Pencipta kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

JIKA anda orang muda, anda mungkin telah diberi banyak nasihat tentang masa depan. Cikgu, kaunselor, atau orang lain mungkin menggalakkan anda untuk mengejar pendidikan tinggi dan kerjaya besar. Tetapi Yehuwa menasihati anda untuk mengikut haluan yang berbeza. Sudah pasti, Dia ingin anda belajar dengan rajin semasa di sekolah, supaya anda dapat menampung kehidupan sendiri selepas itu. (Kol. 3:23) Namun, semasa anda perlu menentukan keutamaan hidup, Dia menggalakkan anda untuk memilih berdasarkan prinsip yang diberi-Nya. Dengan itu, anda dapat hidup menurut tujuan dan kehendak-Nya bagi kita pada hari-hari terakhir.​—Mat. 24:14.

2 Ingatlah juga bahawa Yehuwa mengetahui segala-galanya. Dia tahu kesudahan dunia sekarang dan seberapa dekatnya akhir sistem ini. (Yes. 46:10; Mat. 24:3, 36) Dia juga tahu apa yang akan memberi kita kepuasan dan kebahagiaan, dan apa yang akan membawa kekecewaan dan dukacita. Maka, tidak kira betapa masuk akalnya nasihat manusia, jika nasihat itu tidak berdasarkan Firman Tuhan, nasihat itu bukanlah nasihat yang bijak.​—Ams. 19:21.

‘TIDAK ADA KEBIJAKSANAAN YANG DAPAT MENENTANG YEHUWA’

3, 4. Bagaimanakah Adam, Hawa, dan keturunan mereka mendapat padah kerana mengikut nasihat yang buruk?

3 Nasihat yang buruk telah bertapak di dunia tidak lama selepas manusia diciptakan. Syaitan berlagak pandai dan memberitahu Hawa bahawa dia dan Adam akan lebih bahagia jika mereka memilih haluan hidup sendiri. (Kej. 3:1-6) Sebenarnya, Syaitan hanya mementingkan diri. Dia mahu Adam, Hawa, dan keturunan mereka untuk mentaati dan menyembah dirinya, bukan Yehuwa. Namun, Syaitan tidak pernah melakukan apa-apa yang baik untuk Adam dan Hawa. Segala milik mereka​—pasangan hidup, kediaman yang indah, tubuh sempurna yang dapat hidup kekal—semuanya dikurniai Yehuwa.

4 Sedihnya, Adam dan Hawa mengingkari Tuhan dan memisahkan diri daripada-Nya. Akibatnya, mereka menjadi tua dan akhirnya mati, seperti bunga yang terpisah daripada pokoknya. Keturunan mereka juga menderita akibat kutukan dosa. (Rm. 5:12) Meskipun begitu, kebanyakan orang masih enggan mentaati Tuhan dan ingin hidup mengikut keinginan sendiri. (Ef. 2:1-3) Kesudahan mereka jelas menunjukkan bahawa “tidak ada kebijaksanaan . . . yang dapat digunakan untuk menentang Yehuwa.”—Ams. 21:30.

5. Apakah yang diyakini Yehuwa tentang manusia? Adakah keyakinan-Nya itu benar?

5 Meskipun demikian, Yehuwa yakin bahawa sesetengah orang, termasuk ramai orang muda, akan mencari-Nya dan menyembah-Nya. (Mzm. 103:17, 18; 110:3) Kaum muda sedemikian sungguh bernilai dalam mata-Nya! Adakah anda tergolong antara mereka? Jika ya, Tuhan pasti sedang memuaskan kehidupan anda dengan “segala yang baik.” (Baca Mazmur 103:5; Ams. 10:22) Sekarang, mari kita perhatikan empat berkat yang dikurniai-Nya, iaitu makanan rohani yang melimpah, sahabat yang terbaik, matlamat hidup yang bermakna, dan kebebasan sejati.

YEHUWA MEMUASKAN KEPERLUAN ROHANI ANDA

6. Mengapakah anda harus menjaga keperluan rohani sendiri? Bagaimanakah Yehuwa membantu anda berbuat demikian?

6 Tidak seperti binatang, anda mempunyai keperluan rohani yang hanya dapat dipuaskan oleh Pencipta anda. (Mat. 4:4) Apabila anda mentaati Tuhan, anda akan memperoleh pemahaman, kebijaksanaan, dan kebahagiaan. Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.” (Mat. 5:3) Untuk memenuhi keperluan rohani anda, Yehuwa memberi anda Firman-Nya dan menggunakan “hamba yang setia dan bijaksana” untuk menyediakan makanan rohani yang beraneka jenis dan bermutu tinggi.​—Mat. 24:45; Yes. 65:13, 14.

7. Apakah manfaatnya jika anda menerima makanan rohani yang disediakan Tuhan?

7 Makanan rohani yang disediakan Tuhan akan memberi anda kebijaksanaan dan keupayaan berfikir, dan sifat-sifat itu akan melindungi anda. (Baca Amsal 2:10-14.) Contohnya, anda dapat mengenal pasti ajaran salah, seperti pandangan bahawa Pencipta tidak wujud. Anda dilindungi daripada dusta bahawa wang dan harta ialah kunci kebahagiaan. Anda juga dapat mengetahui dan melawan keinginan yang salah serta kelakuan yang memudaratkan. Maka, teruslah mencari kebijaksanaan dan kebolehan berfikir seperti mencari harta karun! Setelah memiliki sifat-sifat yang bernilai itu, anda sendiri akan melihat bahawa Yehuwa mengasihi anda dan menginginkan yang terbaik untuk anda.​—Mzm. 34:8; Yes. 48:17, 18.

8. Mengapakah anda perlu menghampiri Tuhan sekarang? Bagaimanakah hal ini akan membawa manfaat pada masa depan?

8 Tidak lama lagi, setiap penjuru dunia Syaitan akan hancur. Ketika itu, hanya Yehuwa yang dapat melindungi kita, dan kita mungkin perlu bergantung pada-Nya setiap kali kita memerlukan makanan! (Hab. 3:2, 12-19) Ya, sekaranglah masanya untuk menghampiri Bapa anda yang di syurga dan meneguhkan keyakinan anda kepada-Nya. (2 Ptr. 2:9) Dengan itu, tidak kira apa yang terjadi, anda akan berasa seperti Daud yang menulis, “Ya Yehuwa, aku sentiasa melihat Engkau di hadapanku. Engkau ada di sebelah kananku, maka aku tidak akan sekali-kali goyah.”​—Mzm. 16:8.

YEHUWA MEMBERI ANDA SAHABAT YANG TERBAIK

9. (a) Menurut Yohanes 6:44, apakah yang dilakukan Yehuwa? (b) Mengapakah berjumpa dengan Saksi lain merupakan pengalaman yang istimewa?

9 Apabila anda berjumpa buat kali pertama dengan seseorang yang bukan penyembah Yehuwa, anda hanya tahu serba sedikit tentangnya, seperti nama dan rupanya. Tetapi apabila anda berjumpa dengan seorang rakan seiman buat kali pertama, anda sudah tahu bahawa dia mengenali dan mengasihi Yehuwa. Anda juga tahu bahawa dia ialah seorang yang berhati jujur, yang dipimpin oleh Yehuwa untuk menyertai keluarga rohani-Nya. (Baca Yohanes 6:44.) Maka, biarpun negara asal, latar belakang, suku, atau budayanya berbeza daripada anda, anda sudah tahu banyak hal tentangnya, dan dia sudah tahu banyak hal tentang anda!

Yehuwa ingin kita mendapat sahabat yang terbaik dan menetapkan matlamat rohani (Lihat perenggan 9-12)

10, 11. Apakah persamaan yang wujud dalam kalangan umat Yehuwa? Apakah manfaatnya bagi kita?

10 Contohnya, anda dan dia sudah menuturkan “bahasa yang murni,” iaitu bahasa kebenaran. (Zef. 3:9) Oleh itu anda dan dia mempercayai Tuhan yang sama, berpegang pada prinsip moral yang sama, dan memiliki harapan masa depan yang sama. Semua itu merupakan asas penting yang membolehkan anda dan dia untuk saling mempercayai dan menikmati persahabatan yang erat dan berkekalan.

11 Maka, sebagai penyembah Yehuwa, anda memiliki sahabat yang terbaik. Anda mempunyai kawan sebegini di serata dunia, biarpun anda belum lagi berjumpa dengan mereka! Selain umat Yehuwa, adakah sesiapa lagi yang menikmati kurniaan sebegini?

YEHUWA MEMBANTU ANDA MENETAPKAN MATLAMAT YANG BERMAKNA

12. Apakah matlamat rohani yang dapat anda tetapkan?

12 Baca Pengkhutbah 11:9–12:1. Adakah anda sedang berusaha mencapai matlamat rohani? Mungkin anda bermatlamat untuk membaca Bible setiap hari atau meningkatkan kemahiran bercakap dan mengajar. Apabila anda menuai hasil baik, atau dipuji semasa orang lain memerhatikan kemajuan anda, apakah perasaan anda? Sudah tentu anda berasa puas dan gembira, dan anda patut berasa begitu, kerana anda sedang meniru Yesus dan mengutamakan kehendak Tuhan!​—Mzm. 40:8; Ams. 27:11.

13. Mengapakah khidmat Tuhan lebih unggul daripada matlamat duniawi?

13 Dengan bertumpu kepada khidmat Yehuwa, anda sedang melakukan kerja yang amat memuaskan, kerana kerja itu tidak sia-sia. Rasul Paulus menulis, “Hendaklah kamu teguh dan tidak tergoyah. Hendaklah kamu sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita, kerana kamu tahu bahawa usaha kamu dalam khidmat Tuan kita tidak sia-sia.” (1 Kor. 15:58) Sebaliknya, orang yang bertumpu kepada kekayaan atau kemasyhuran akan berasa hampa, biarpun mereka kelihatan berjaya. (Luk. 9:25) Contoh Raja Salomo membuktikan hakikat itu.​—Rm. 15:4.

14. Apakah yang dapat anda pelajari daripada eksperimen Salomo?

14 Raja Salomo yang kaya-raya dan berkuasa telah membuat satu eksperimen. Dia “mengejar nikmat hidup dan melihat sama ada [dia] akan bahagia atau tidak.” (Pkh. 2:1-10) Dia membina rumah, mereka taman, dan mengusahakan apa sahaja yang disukainya. Adakah dia puas dan bahagia selepas itu? Salomo menulis, ‘Sewaktu aku merenungkan segala perbuatanku, aku sedar bahawa semuanya sia-sia. Tiada apa-apa pun yang benar-benar bernilai.’ (Pkh. 2:11) Adakah anda akan mengambil iktibar daripada hal ini?

15. Mengapakah anda memerlukan iman? Apakah manfaat iman, seperti yang disebut di Mazmur 32:8?

15 Yehuwa tidak ingin anda membuat kesilapan dan menimba pengajaran melalui akibat buruk. Sebaliknya, Dia ingin anda mendengarkan-Nya dan mengutamakan kehendak-Nya. Anda perlu iman untuk berbuat demikian, tetapi anda tidak sekali-kali akan kecewa kerana membuat keputusan yang berdasarkan iman. Ya, Yehuwa tidak akan melupakan “kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya.” (Ibr. 6:10) Maka berusahalah untuk membina iman yang kukuh, dan lihatlah sendiri bahawa Bapa anda yang di syurga memang menginginkan yang terbaik untuk anda.​—Baca Mazmur 32:8.

TUHAN MEMBERI ANDA KEBEBASAN SEJATI

16. Mengapakah kita harus menghargai kebebasan dan menggunakannya dengan bijak?

16 Paulus menulis, “Di mana ada kuasa suci Yehuwa, di situ ada kebebasan.” (2 Kor. 3:17) Yehuwa mencintai kebebasan, dan Dia telah menanamkan perasaan itu dalam hati anda. Namun, pada masa yang sama, Dia mahu anda menggunakan kebebasan dengan bijak supaya anda dilindungi. Fikirkan orang muda yang melihat bahan lucah, berbuat cabul, menyertai sukan yang berbahaya, mengambil dadah, atau menyalahgunakan alkohol. Keseronokan yang dirasai dengan cara sebegini hanyalah sementara, dan sering mengakibatkan penyakit, ketagihan, dan bahkan kematian. (Gal. 6:7, 8) “Kebebasan” sebegini hanya menipu diri dan membawa padah.​—Tit. 3:3.

17, 18. (a) Mengapakah mentaati Yehuwa membawa kebebasan? (b) Mengapakah kita boleh berkata bahawa Adam dan Hawa jauh lebih bebas daripada manusia zaman sekarang?

17 Sekarang, cuba fikirkan: Berapa ramaikah orang yang jatuh sakit kerana mematuhi piawaian Bible? Jelaslah, mentaati Yehuwa membawa kebebasan dan menyihatkan badan. (Mzm. 19:7-11) Tambahan lagi, apabila anda menggunakan kebebasan dengan bijak, iaitu untuk mematuhi hukum dan prinsip Tuhan yang sempurna, anda sedang menunjukkan kepada Tuhan dan ibu bapa bahawa anda layak diberi kebebasan yang lebih besar. Sebenarnya, tujuan Tuhan adalah untuk memberikan kebebasan yang sempurna kepada hamba-hamba-Nya, iaitu “kebebasan dan kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.”​—Rm. 8:21.

18 Itulah kebebasan yang pernah dimiliki Adam dan Hawa. Semasa di Taman Eden, mereka hanya diberi satu larangan: Tidak boleh makan buah daripada sebatang pokok. (Kej. 2:9, 17) Adakah perintah itu tidak adil atau terlalu tegas? Memang tidak! Fikirkan betapa banyaknya undang-undang manusia yang terpaksa kita patuhi sekarang.

19. Bagaimanakah kita sedang diajar untuk menjadi umat yang bebas?

19 Cara Yehuwa memperlakukan para hamba-Nya sungguh bijak. Daripada membebani kita dengan perintah yang banyak, Dia mengajar kita dengan sabar untuk mematuhi hukum kasih. Dia ingin kita hidup berpandukan prinsip-Nya dan membenci kejahatan. (Rm. 12:9) Dalam Ceramah Di Atas Gunung, Yesus telah menjelaskan cara menghentikan salah laku dari akar umbinya. (Mat. 5:27, 28) Sebagai Raja Kerajaan Tuhan, Kristus akan terus mendidik kita di dunia baharu supaya kita dapat mencerminkan sikapnya terhadap kebaikan dan kejahatan. (Ibr. 1:9) Dia juga akan menjadikan kita sempurna dari segi fikiran dan jasmani. Pada masa itu, kita tidak lagi akan digoda oleh dosa ataupun menderita akibat ketidaksempurnaan. Sebaliknya, kita akan menikmati “kebebasan dan kemuliaan” yang dijanjikan Yehuwa.

20. (a) Bagaimanakah Yehuwa menggunakan kebebasan-Nya? (b) Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Tuhan?

20 Sudah pasti, kebebasan kita ada hadnya. Kita perlu sentiasa dibimbing oleh kasih kepada Tuhan dan manusia. Dengan berbuat demikian, kita sedang meniru Yehuwa. Walaupun kebebasan-Nya tidak terbatas, Dia memilih agar segala perbuatan-Nya, termasuk hubungan-Nya dengan kita, dibimbing oleh kasih. (1 Yoh. 4:7, 8) Maka, dengan meniru kasih Tuhan, barulah kita akan benar-benar bebas.

21. (a) Apakah perasaan Daud terhadap Yehuwa? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

21 Adakah anda menghargai segala kurniaan Yehuwa, seperti makanan rohani yang melimpah, sahabat yang baik, matlamat yang bermakna, dan peluang untuk menikmati kebebasan yang sejati? (Mzm. 103:5) Jika ya, semoga doa di Mazmur 16:11 menjadi suara hati anda: “Engkau menunjukkan jalan kehidupan kepadaku. Sukacitaku melimpah kerana aku berada di hadirat-Mu; kegembiraanku kekal abadi kerana aku berada di sebelah kanan-Mu.” Dalam rencana seterusnya, kita akan meneliti permata rohani lain dalam Mazmur 16, dan memahami dengan lebih jelas cara untuk menikmati kehidupan yang terbaik.