Adakah Anda Membiarkan Tukang Tembikar Membentuk Anda?
“Sebagaimana tanah liat itu dalam tangan tukang [“tembikar,” NW], demikian juga kamu dalam tangan-Ku.”—YER. 18:6.
LAGU: 60, 22
1, 2. Mengapakah Yehuwa mengatakan bahawa Daniel ialah seorang yang ‘dikasihi’? Bagaimanakah kita boleh menunjukkan ketaatan seperti Daniel?
APABILA orang Yahudi dibawa ke kota Babilon, mereka melihat kota itu penuh dengan patung berhala dan penduduknya dipengaruhi roh jahat. Namun, orang Yahudi yang setia seperti Daniel dan tiga sahabatnya enggan dibentuk mengikut cara hidup orang Babilon. (Dan. 1:6, 8, 12; 3:16-18) Mereka bertekad untuk hanya menyembah Yehuwa, Tukang Tembikar Yang Agung, dan mereka berjaya melakukannya! Meskipun Daniel hidup dalam persekitaran yang teruk di Babilon hampir sepanjang hayatnya, malaikat Tuhan mengatakan bahawa dia sangat ‘dikasihi Tuhan.’—Dan. 10:11, 19.
2 Pada zaman Bible, tukang tembikar menekan tanah liat ke dalam acuan supaya mendapat bentuk tembikar yang diinginkan. Penyembah Tuhan mengakui bahawa Pemerintah Alam Semesta Yang Berdaulat berhak membentuk manusia. (Baca Yeremia 18:6.) Tuhan berhak membentuk kita secara peribadi. Namun, Dia telah memberi kita kebebasan untuk memilih dan ingin kita mentaati-Nya dengan rela. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji tiga soalan supaya kita tetap mudah dibentuk dalam tangan Tuhan: (1) Apakah yang boleh menyebabkan kita menjadi seperti tanah liat keras dan menolak nasihat Tuhan? (2) Apakah sifat-sifat lain yang dapat membantu kita tetap menjadi seperti tanah liat yang mudah dibentuk oleh Yehuwa? (3) Bagaimanakah ibu bapa dapat tunduk kepada Yehuwa semasa membentuk anak?
ELAKKAN DARIPADA MENJADI KERAS HATI
3. Apakah yang boleh menjadikan hati kita keras? Berikan contoh.
3 Amsal 4:23 (NW) menyatakan, “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu, kerana hatimu menentukan hidup matimu.” Mengapakah kita harus menjaga hati kita? Kerana keangkuhan, kecenderungan berbuat dosa, dan kekurangan iman boleh menyebabkan kita memberontak dan tidak mentaati Tuhan. (Dan. 5:1, 20; Ibr. 3:13, 18, 19) Contohnya, Raja Uzia dari Yehuda menjadi angkuh. (Baca 2 Tawarikh 26:3-5, 16-21.) Pada mulanya, Raja Uzia ‘melakukan apa yang diperkenankan Yehuwa’ dan ‘beribadat kepada Yehuwa dengan setia.’ Tetapi, “selepas Raja Uzia menjadi kuat, baginda menjadi sombong” walaupun kekuatannya adalah daripada Tuhan! Dia bahkan cuba membakar kemenyan di atas mazbah meskipun hanya imam keturunan Harun dibenarkan melakukannya. Apabila para imam menghalangnya, Raja Uzia menjadi murka! Apakah akibatnya? “Kesombongan mengakibatkan kemusnahan” dan dia diserang penyakit kusta lalu mati.—Ams. 16:18.
4, 5. Apakah yang mungkin berlaku jika kita tidak berwaspada terhadap keangkuhan? Berikan contoh.
4 Jika tidak berwaspada, kita boleh menjadi angkuh dan ‘menganggap diri lebih daripada yang sepatutnya’ sehingga enggan menerima nasihat Bible. (Rm. 12:3; Ams. 29:1) Fikirkan contoh seorang penatua yang bernama Jim. Dia tidak setuju dengan penatua lain mengenai hal tertentu. Jim berkata, “Saya memberitahu para penatua bahawa mereka tidak menunjukkan kasih lalu saya meninggalkan perjumpaan penatua.” Sekitar enam bulan kemudian, Jim berpindah ke sidang baru. Tetapi dia tidak dilantik sebagai penatua. Dia berkata, “Saya sangat kecewa. Saya meninggalkan kebenaran kerana sangat mementingkan diri.” Selama 10 tahun, Jim tidak aktif secara rohani. Dia mengakui, “Ego saya tercabar dan saya menyalahkan Yehuwa atas apa yang berlaku. Selama bertahun-tahun, saudara melawat dan berbincang dengan saya. Tetapi, saya menolak bantuan mereka.”
5 Pengalaman Jim menunjukkan bahawa keangkuhan menyebabkan kita membela diri dan menjadi seperti tanah liat yang sukar dibentuk. (Yer. 17:9) Jim berkata, “Saya cenderung bertumpu kepada kesalahan orang.” Pernahkah anda dilukai oleh rakan seiman atau hilang peluang istimewa tertentu? Jika ya, apakah reaksi anda? Adakah anda menjadi angkuh? Atau adakah anda mengutamakan kedamaian sidang dan tetap setia kepada Yehuwa?—Baca Kolose 3:13.
6. Apakah yang mungkin berlaku jika kita sering berbuat dosa?
6 Jika kita berbuat dosa dan menyembunyikannya, hati kita mungkin menjadi tidak peka terhadap nasihat Tuhan. Jika hal itu berlaku, kita cenderung berbuat dosa. Seorang saudara mengatakan bahawa dia sering berbuat dosa sehingga hal itu menjadi kebiasaannya. (Pkh. 8:11) Seorang lagi saudara yang melihat bahan lucah berkata, “Saya mula mempunyai pandangan yang negatif terhadap penatua.” Tabiat buruk itu menjejaskan kerohaniannya. Kemudian apabila perbuatannya telah diketahui, dia menerima bantuan yang diperlukan. Memang benar, kita tidak sempurna. Namun, bagaimana pula jika kita berbuat salah tetapi enggan memohon bantuan dan pengampunan Tuhan serta suka mengkritik dan membela diri? Hal ini menunjukkan bahawa hati kita mungkin sudah menjadi keras.
7, 8. (a) Berikan contoh bagaimana kekurangan iman menjadikan seseorang keras hati. (b) Apakah yang boleh kita pelajari?
7 Kekurangan iman juga boleh menyebabkan hati seseorang menjadi keras. Contohnya, orang Israel yang dibebaskan dari Mesir telah melihat Tuhan melakukan banyak mukjizat. Namun, apabila mereka hampir tiba di Tanah yang Dijanjikan, mereka mula hilang iman. Mereka menjadi takut lalu bersungut terhadap Musa dan tidak lagi mempercayai Yehuwa. Mereka bahkan ingin kembali ke Mesir, tempat mereka diperhamba! Yehuwa berasa sangat sedih. Dia berkata, “Berapa lama lagi umat ini melawan Aku?” (Bil. 14:1-4, 11; Mzm. 78:40, 41) Oleh sebab mereka keras hati dan tidak beriman, mereka mati di padang belantara.
8 Kita menghampiri dunia baru dan iman kita sedang diuji. Maka adalah baik jika kita memeriksa iman kita. Contohnya, sambil memikirkan ayat Matius 6:33, tanyalah diri: “Adakah keutamaan dan keputusan saya menunjukkan bahawa saya mempercayai ayat itu? Adakah saya akan mengabaikan perjumpaan atau kerja penyebaran semata-mata untuk menambahkan pendapatan? Apakah reaksi saya jika tekanan daripada dunia bertambah? Adakah saya akan membiarkan diri dibentuk oleh dunia dan meninggalkan kebenaran?”
9. Mengapakah kita harus ‘terus menguji’ sama ada iman kita masih teguh? Apakah caranya?
9 Jika kita tidak mengikut nasihat Bible mengenai pergaulan, penyingkiran, dan hiburan, kita mungkin menjadi keras hati. Tanyalah diri, “Adakah hal ini berlaku kepada saya?” Jika ya, kita harus memeriksa iman kita dengan segera! Bible berkata, “Teruslah menguji diri kamu sendiri untuk mengetahui sama ada kamu sedang berpegang teguh pada kepercayaan atau tidak.” (2 Kor. 13:5) Kita harus memeriksa diri dengan jujur dan menggunakan Bible untuk membetulkan pemikiran kita.
TETAP MENJADI SEPERTI TANAH LIAT YANG MUDAH DIBENTUK
10. Apakah yang dapat membantu kita menjadi seperti tanah liat yang mudah dibentuk?
10 Menerusi Firman Tuhan, sidang Kristian, dan aktiviti penyebaran, Tuhan membantu kita menjadi seperti tanah liat yang mudah dibentuk. Sepertimana air dapat melembutkan tanah liat, membaca dan merenungkan Bible setiap hari membantu kita menjadi seperti tanah liat yang mudah dibentuk. Yehuwa menghendaki raja-raja Israel menyalin Hukum-Nya dan membacanya setiap hari. (Ul. 17:18, 19) Para rasul sedar bahawa membaca dan merenungkan Ayat-Ayat Suci penting bagi aktiviti penyebaran mereka. Mereka memetik dan merujuk Ayat-Ayat Ibrani beratus-ratus kali dalam tulisan mereka. Mereka menggalakkan orang untuk membaca dan merenungkan Ayat-Ayat Suci. (Kis. 17:11) Hari ini, kita sedar bahawa membaca Firman Tuhan setiap hari dan merenungkannya amat penting. (1 Tim. 4:15) Dengan berbuat demikian, kita menjadi rendah hati dan mudah dibentuk oleh Yehuwa.
11, 12. Bagaimanakah Yehuwa membentuk kita menerusi sidang Kristian? Berikan contoh.
11 Menerusi sidang Kristian, Yehuwa membentuk kita mengikut keperluan kita masing-masing. Jim yang disebut tadi, mula mengubah sikapnya apabila seorang penatua mengambil berat tentangnya. Jim berkata, “Dia tidak menyalahkan atau mengkritik saya. Sebaliknya, dia bersikap positif dan *”
membantu saya secara tulus.” Kira-kira tiga bulan kemudian, penatua itu menjemput Jim ke perjumpaan. Jim berkata, “Saudara saudari mengalu-alukan kedatangan saya. Kasih merekalah membuat saya berubah. Saya sedar bahawa perasaan saya bukanlah perkara yang terpenting. Dengan sokongan saudara saudari dan isteri saya yang tidak pernah goyah secara rohani, saya mendapat semula kekuatan rohani. Saya juga menerima banyak galakan daripada rencana ‘Yehuwa Tidak Dapat Dipersalahkan’ dan ‘Melayani Yehuwa dengan Loyal’ dalam majalah Menara Pengawal terbitan 15 November 1992.12 Lama-kelamaan, Jim dilantik semula sebagai penatua. Sejak itu, dia membantu saudara saudari lain untuk mengatasi masalah yang serupa dan pulih secara rohani. Dia menyimpulkan, “Saya berfikir hubungan saya dengan Yehuwa kukuh tetapi sebenarnya tidak! Saya menyesal kerana keangkuhan menyebabkan saya hanya bertumpu kepada kesilapan orang dan membutakan saya daripada melihat apa yang lebih penting.”—1 Kor. 10:12.
13. Aktiviti penyebaran dapat membantu kita untuk memupuk sifat-sifat apa? Apakah manfaatnya?
13 Bagaimanakah aktiviti penyebaran membentuk kita? Apabila kita menginjil kepada orang, kita dapat memupuk sifat rendah hati dan pelbagai aspek buah daya aktif Tuhan. (Gal. 5:22, 23) Fikirkan sifat baik yang telah anda pupuk dalam aktiviti penyebaran. Apabila kita mencerminkan keperibadian Kristus, kita menghiasi mesej yang disampaikan. Hal ini memberi kesan yang baik kepada sesetengah penghuni rumah. Contohnya, dua orang Saksi di Australia bertemu dengan seorang wanita yang bercakap kasar. Namun mereka mendengar dengan penuh hormat. Kemudian, wanita itu menyesal dan menulis surat kepada pejabat cawangan. Dia meminta maaf kerana mementingkan diri dan menghina dua orang Saksi itu. Dia berasa bahawa dia bertindak melulu kerana menghalang mereka daripada menyampaikan mesej Firman Tuhan dan menghalau mereka. Adakah wanita itu akan menulis surat jika penyiar menunjukkan perasaan geram? Mungkin tidak. Hal ini menunjukkan bahawa aktiviti penyebaran membawa manfaat kepada kita dan orang lain!
TUNDUK KEPADA TUHAN SEMASA MEMBENTUK ANAK
14. Apakah yang harus dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk anak dengan berjaya?
14 Kebanyakan kanak-kanak rendah hati dan suka belajar. (Mat. 18:1-4) Maka, ibu bapa harus menyemai kebenaran dalam hati dan minda si kecil. (2 Tim. 3:14, 15) Untuk berjaya melakukannya, ibu bapa perlu menanam kebenaran dalam hati sendiri dahulu dan menyebatikan kebenaran dalam kehidupan. Dengan demikian, kebenaran menjadi lebih nyata kepada anak. Anak-anak juga akan memandang disiplin ibu bapa sebagai ungkapan kasih yang mencerminkan kasih Yehuwa.
15, 16. Bagaimanakah ibu bapa menunjukkan keyakinan kepada Yehuwa apabila anak mereka disingkirkan?
15 Sesetengah anak yang dibesarkan dalam keluarga Saksi mungkin meninggalkan kebenaran atau disingkirkan. Hal ini tentu menyedihkan. Seorang saudari di Afrika Selatan berkata, “Apabila abang disingkirkan, saya berasa dia seolah-olah sudah mati. Saya sangat sedih!” Apakah yang dilakukan oleh keluarganya? Mereka mematuhi arahan dalam Bible. (Baca 1 Korintus 5:11, 13.) Ibu bapanya berkata, “Kami bertekad untuk menerapkan nasihat Tuhan dan tahu cara Tuhanlah yang terbaik. Kami memandang penyingkiran sebagai disiplin daripada Tuhan. Kami yakin bahawa Yehuwa memberikan disiplin dengan kasih dan pada tahap yang sesuai. Jadi, kami hanya berkomunikasi dengan anak kami tentang hal-hal keluarga jika perlu.”
16 Apakah perasaan anak lelaki itu? Dia berkata, “Saya tahu keluarga saya tidak membenci saya. Mereka hanya mematuhi Yehuwa dan organisasi-Nya.” Dia juga berkata, “Apabila kita dalam keadaan terdesak dan merayu untuk bantuan dan pengampunan Yehuwa, barulah kita sedar betapa kita memerlukan Yehuwa.” Bayangkan sukacita keluarga lelaki itu apabila dia diterima kembali ke dalam sidang! Ya, kita menuai hasil terbaik jika kita mentaati Tuhan dalam segala perbuatan kita.—Ams. 3:5, 6; 28:26.
17. Mengapakah kita harus menunjukkan ketundukan kepada Yehuwa? Bagaimanakah hal ini akan membawa manfaat kepada kita?
17 Nabi Yesaya bernubuat bahawa orang Yahudi di Babilon akan bertaubat dan berkata, ‘Tetapi Engkaulah Bapa kami, ya Yehuwa. Kami ini seperti tanah liat, dan Engkau seperti tukang [“tembikar,” NW]. Engkaulah yang menciptakan kami. Oleh itu janganlah terlalu murka terhadap kami, ataupun mengingat dosa kami selama-lamanya. Kami umat-Mu, kasihanilah kami.’ (Yes. 64:8, 9) Apabila kita dengan rendah hati tunduk kepada Yehuwa, Dia akan mengasihi kita sepertimana dia mengasihi nabi Daniel. Yang terpenting, kita dapat terus dibentuk oleh Yehuwa menerusi Firman-Nya, daya aktif-Nya, dan organisasi-Nya. Maka, kita dapat menjadi “anak-anak Tuhan” yang sempurna pada suatu hari nanti.—Rm. 8:21.
^ per. 11 Terdapat dalam bahasa Indonesia.