Tirulah Semangat Para Nabi
ADAKAH anda mempunyai apa-apa persamaan dengan para nabi pada masa kuno? Menurut New World Translation Edisi 2013 dalam bahagian daftar kata, nabi ialah “seseorang yang memberitahu tujuan Tuhan. Para nabi merupakan jurucakap bagi Tuhan. Mereka bukan hanya memberitahu ramalan, tetapi juga menyampaikan ajaran, perintah, dan penghakiman Yehuwa.” Walaupun anda tidak menyampaikan ramalan, anda mewakili Tuhan dan menyampaikan mesej yang terkandung dalam Firman-Nya.—Mat. 24:14.
Kita mendapat penghormatan istimewa kerana dapat memberitahu orang lain tentang Yehuwa dan tujuan-Nya bagi manusia! Kita bekerjasama dengan para “malaikat yang terbang di tengah langit.” (Why. 14:6) Namun, kita mungkin menghadapi cabaran sehingga kita lupa akan penghormatan istimewa ini. Apakah beberapa cabaran yang dihadapi? Kita mungkin berasa penat, kecewa, atau berasa usaha kita sia-sia. Para nabi juga menghadapi cabaran tersebut, tetapi mereka tidak putus asa. Yehuwa membantu mereka untuk melaksanakan tugas mereka. Mari kita lihat beberapa contoh.
MEREKA MENGERAHKAN USAHA
Kadangkala kita mungkin berasa penat disebabkan aktiviti seharian dan berasa tidak larat menyertai kerja penyebaran. Sememangnya, seperti Yesus dan para rasul, kita juga memerlukan rehat. (Mrk. 6:31) Namun, fikirkan sewaktu Yehezkiel berkhidmat sebagai nabi bagi orang Israel yang ditawan di Babilon. Tuhan menyuruh Yehezkiel untuk mengambil sebuah batu bata lalu mengukir kota Yerusalem di atasnya. Selepas itu, Yehezkiel harus menggambarkan pengepungan kota itu dengan berbaring di sebelah kirinya selama 390 hari, dan kemudian di sebelah kanannya selama 40 hari. Yehuwa berkata kepadanya: “Aku akan mengikat engkau supaya engkau tidak dapat membalikkan badan ke kanan ataupun ke kiri sehingga pengepungan itu berakhir.” (Yeh. 4:1-8) Sudah tentu hal itu menarik perhatian orang Israel. Selama lebih daripada setahun, Yehezkiel harus menghadapi rutin fizikal yang memenatkan itu. Bagaimanakah nabi itu melaksanakan tugasnya?
Yehezkiel faham mengapa dia diutus sebagai nabi. Sewaktu mengutus Yehezkiel, Tuhan berkata, “Sama ada pemberontak itu [orang Israel] mendengar engkau atau tidak, mereka akan tahu bahawa ada nabi di kalangan mereka.” (Yeh. 2:5) Yehezkiel ingat akan peranannya sebagai nabi. Itulah sebabnya dia rela melakonkan pengepungan Yerusalem. Dia memang merupakan nabi yang sejati. Kemudian, dia dan orang Israel yang ditawan mendengar laporan bahawa “kota itu telah jatuh.” Akhirnya, orang Israel sedar bahawa seorang nabi berada dalam kalangan mereka.—Yeh. 33:21, 33.
Hari ini, kita memberikan amaran tentang pembinasaan dunia Syaitan. Walaupun penat, kita menggunakan tenaga untuk menginjil, membuat kunjungan kembali, dan mengadakan pembelajaran Bible. Nubuat-nubuat tentang akhir sistem dunia ini sedang menjadi kenyataan. Maka, kita berasa puas kerana menjadi “seseorang yang memberitahu tujuan Tuhan.”
MEREKA MENANGANI KEKECEWAAN
Kita mengerahkan usaha dengan bantuan daya aktif. Namun, ada kalanya kita berasa kecewa disebabkan reaksi orang terhadap mesej yang kita sampaikan. Marilah kita meniru contoh Yeremia. Dia diejek dan dihina kerana mengumumkan mesej Tuhan kepada orang Israel. Pada suatu ketika, Yeremia berkata, ‘Biarlah aku melupakan Yehuwa, aku tidak mahu berucap demi nama-Nya lagi.’ Yeremia juga mempunyai perasaan seperti kita. Namun, dia tetap mengumumkan mesej Tuhan. Mengapa? Dia berkata, “Perkhabaran-Mu bagaikan api yang membara dalam hati sanubari. Aku telah cuba menahannya, tetapi aku tidak berdaya.”—Yer. 20:7-9.
Apakah yang boleh kita lakukan apabila berasa kecewa dengan reaksi orang terhadap mesej kita? Kita boleh merenungkan mesej yang kita sampaikan. Mesej itu boleh menjadi seperti “api yang membara dalam hati sanubari.” Maka, kita harus membaca Bible setiap hari supaya api itu tetap bernyala di dalam hati kita.
MEREKA MENGATASI PERASAAN NEGATIF
Sesetengah orang Kristian berasa bimbang apabila diberikan tugas baru. Nabi Hosea juga mungkin berasa begitu. Yehuwa memberinya perintah: “Kahwinlah dengan seorang perempuan yang suka melacur; dan anak-anakmu juga akan menjadi seperti dia.” (Hos. 1:2) Bayangkan anda akan berkahwin tidak lama lagi, tetapi Tuhan menyuruh anda mengahwini seseorang yang akan menjadi pelacur! Namun, Hosea menerima tugas itu. Dia mengahwini Gomer yang kemudiannya melahirkan seorang anak lelaki. Selepas itu, dia melahirkan seorang anak perempuan dan seorang lagi anak lelaki. Nampaknya, kedua-dua anak ini ialah hasil daripada pelacurannya. Yehuwa memberitahu Hosea bahawa bakal isterinya akan “mengejar kekasihnya.” Bible mengatakan bahawa dia mencari “mereka.” Maksudnya, dia mempunyai ramai kekasih. Kemudian, dia ingin kembali kepada Hosea. Jika anda ialah Hosea, adakah anda akan menerimanya kembali? Nabi itu membeli semula isterinya dengan harga yang tinggi. Itulah apa yang diperintahkan oleh Yehuwa!—Hos. 2:6; 3:1-5.
Hosea mungkin tertanya-tanya apa yang akan dicapai dengan melakukan tugas itu. Namun, dengan menerima tugas itu, Hosea membantu kita memahami perasaan Tuhan apabila orang Israel mengkhianati-Nya. Usaha Hosea telah mendorong sesetengah orang Israel yang berhati jujur kembali kepada Tuhan.
Hari ini, Tuhan tidak menyuruh sesiapa pun untuk ‘mengahwini seorang perempuan yang suka melacur.’ Namun, kita boleh belajar daripada Kis. 20:20) Sesetengah kaedah menginjil mungkin susah bagi anda. Ramai pelajar Bible berkata bahawa mereka suka belajar Bible tetapi enggan menginjil dari rumah ke rumah. Namun, kebanyakan daripada mereka akhirnya melakukan apa yang dianggap mustahil.
kerelaan hati Hosea untuk menerima tugas itu. Kita boleh memupuk kerelaan hati walaupun kita berasa susah untuk menginjil “di depan umum dan dari rumah ke rumah.” (Kita boleh dapat satu lagi pengajaran daripada pengalaman Hosea. Hosea boleh memilih untuk tidak mengahwini wanita itu. Lagipun, orang lain tidak akan tahu jika Hosea menolak tugas itu. Kita juga mungkin mendapat peluang untuk memberikan kesaksian dan barangkali tiada sesiapa pun akan tahu jika kita berdiam diri. Hal ini berlaku kepada Anna, seorang pelajar sekolah menengah di Amerika Syarikat. Gurunya menyuruh semua pelajar untuk menulis sebuah karangan tentang sesuatu yang dipercayai mereka dan kemudian meyakinkan seluruh kelas mengenai hal itu. Anna boleh memilih untuk tidak memberikan kesaksian. Namun, dia berasa bahawa peluang ini diberi oleh Tuhan. Walaupun dia tahu reaksi rakannya, dia berdoa kepada Yehuwa. Keinginannya untuk menginjil semakin kuat. Maka dia menulis sebuah karangan yang bertajuk “Evolusi: Pertimbangkan Buktinya.”
Apabila Anna menyampaikan karangannya di kelas, seorang rakan yang percaya kepada evolusi menanya Anna banyak soalan untuk membuktikan bahawa kepercayaan Anna itu salah. Namun, Anna berjaya mempertahankan kepercayaannya. Guru berasa kagum dan memberinya hadiah kerana menulis karangan yang begitu meyakinkan. Sejak itu, Anna dapat membincangkan topik penciptaan dengan rakan yang mencabarnya. Oleh sebab Anna menerima tugas daripada Yehuwa, dia berkata, “Saya kini dapat menginjil dengan berani.”
Walaupun kita bukan nabi, kita boleh meniru semangat rela berkorban seperti Yehezkiel, Yeremia, dan Hosea. Dengan demikian, kita akan berjaya melaksanakan kehendak Yehuwa hari ini! Semasa penyembahan keluarga dan pembelajaran peribadi, bacalah kisah tentang para nabi dan renungkanlah cara anda dapat meniru teladan mereka.