Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Mengapakah 2 Samuel 21:7-9 menyatakan bahawa Daud “menunjukkan belas kasihan kepada Mefiboset” tetapi kemudiannya menyerahkan Mefiboset untuk dihukum mati?

Seseorang yang membaca kisah ini secara sepintas lalu mungkin menanyakan soalan ini. Sebenarnya, terdapat dua orang yang bernama Mefiboset dalam kisah ini, dan kita dapat mempelajari sesuatu daripada apa yang berlaku.

Raja Saul mempunyai tujuh orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Anak sulung Saul ialah Yonatan. Kemudian, Raja Saul mendapat seorang lagi anak lelaki yang bernama Mefiboset, yang dilahirkan oleh gundiknya Rizpa. Yang menariknya, anak lelaki Yonatan juga bernama Mefiboset. Maka, Raja Saul mempunyai seorang anak yang bernama Mefiboset dan seorang cucu yang juga bernama Mefiboset.

Pada zaman pemerintahannya, Raja Saul membenci orang Gibeon yang tinggal bersama orang Israel dan ingin membunuh mereka semua. Nampaknya, dia berjaya membunuh sebilangan daripada mereka. Tindakan itu salah kerana pada zaman Yosua, para pemimpin orang Israel telah membuat perjanjian damai dengan orang Gibeon.​—Yos. 9:3-27.

Perjanjian itu masih berkuat kuasa pada zaman Raja Saul. Namun, Saul melanggar perjanjian itu dengan mencuba melenyapkan orang Gibeon. Tindakan itu menyebabkan “Saul dan seisi rumahnya berhutang darah.” (2 Sam. 21:1) Selepas Daud menjadi raja, orang Gibeon yang terselamat memberitahunya tentang perbuatan Saul. Daud menanya mereka bagaimana dia dapat menebus dosa yang dilakukan Saul terhadap mereka supaya Yehuwa memberkati semula tanah Israel. Daripada meminta wang, orang Gibeon memberitahu Daud, “Oleh sebab lelaki itu merancang untuk membunuh kami . . . serahkanlah tujuh orang lelaki daripada keturunannya kepada kami. Kami akan menggantungkan mayat-mayat mereka.” (2 Sam. 21:2-6; Bil. 35:30, 31) Daud menunaikan permintaan orang Gibeon.

Pada masa itu, Saul dan Yonatan sudah terkorban di medan perang, tetapi Mefiboset anak Yonatan masih hidup. Mefiboset tempang sejak kecil kerana kemalangan, jadi dia tidak terlibat semasa datuknya menyerang orang Gibeon. Selain itu, Daud telah membuat perjanjian dengan Yonatan untuk mengasihi dia dan keturunannya, termasuk anaknya Mefiboset. (1 Sam. 18:1; 20:42) Maka Bible menyatakan, “Daud menunjukkan belas kasihan kepada Mefiboset anak Yonatan, cucu Saul, kerana Daud dan Yonatan anak Saul pernah bersumpah di hadapan Yehuwa.”​—2 Sam. 21:7.

Jadi, bagaimanakah Daud menunaikan permintaan orang Gibeon? Dia menyerahkan dua orang anak lelaki Saul, yang salah seorangnya bernama Mefiboset, dan menyerahkan lima orang cucu lelaki Saul lagi kepada mereka. (2 Sam. 21:8, 9) Selepas Daud berbuat demikian, tanah negeri Israel tidak lagi berhutang darah.

Apakah yang dapat kita pelajari daripada kisah ini? Hukum Tuhan menyatakan, “Anak tidak patut dihukum mati kerana dosa bapa. Setiap orang harus dihukum mati kerana dosanya sendiri.” (Ul. 24:16) Jadi, Yehuwa tentu tidak akan membiarkan dua orang anak lelaki dan lima orang cucu Saul dihukum mati jika mereka tidak bersalah. Nampaknya, tujuh orang keturunan Saul itu telah menyokong usaha Saul untuk melenyapkan orang Gibeon. Maka, mereka dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Kisah ini juga mengajar kita bahawa seseorang tidak boleh menggunakan alasan “saya hanya menurut perintah” untuk membela diri atas kesalahan yang dilakukannya. Dia harus bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri. Itulah sebabnya Bible menyatakan, “Setiap orang harus memikul tanggungjawab masing-masing.”​—Gal. 6:5, nota kaki; Ef. 5:15.