RENCANA PEMBELAJARAN 22
LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku
Cara Berdating yang Memuliakan Yehuwa
“Batin kamu . . . sangat bernilai.”—1 PTR. 3:4.
FOKUS
Rencana ini akan membincangkan cara pasangan yang bercinta dapat membuat keputusan yang bijak dan cara saudara saudari lain dapat menyokong mereka.
1-2. Apakah perasaan sesetengah orang tentang dating?
MASA berdating ialah masa yang menyeronokkan. Jika anda sedang berdating, anda pasti ingin semuanya berjalan dengan lancar. Banyak pasangan yang berdating akhirnya telah berkahwin. Tsion, a seorang saudari dari Etiopia, berkata, “Antara masa yang paling menggembirakan dalam hidup saya ialah masanya saya dan suami saya berdating. Kami bincang tentang hal yang serius, dan kami juga ketawa bersama-sama. Saya gembira bila jumpa seorang yang mencintai saya dan yang boleh saya cintai.”
2 Namun, Alessio, seorang saudara dari Belanda, berkata, “Saya memang menikmati masa berdating dengan isteri saya, tetapi kami juga menghadapi cabaran.” Rencana ini akan membincangkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang berdating dan prinsip Bible yang dapat membantu mereka. Kita juga akan membincangkan bagaimana saudara saudari di sidang dapat menyokong pasangan yang sedang berdating.
TUJUAN BERDATING
3. Apakah tujuan berdating? (Amsal 20:25)
3 Biarpun masa berdating amat menyeronokkan, itu juga masa yang serius kerana langkah itu menuju ke arah perkahwinan. Pada hari perkahwinan, pasangan pengantin berikrar di depan Yehuwa bahawa mereka akan mencintai dan menghormati satu sama lain sepanjang hidup. Sebelum membuat apa-apa ikrar, kita harus memikirkannya masak-masak, apatah lagi ikrar perkahwinan. (Baca Amsal 20:25.) Semasa berdating, pasangan yang bercinta berpeluang untuk saling mengenali dan membuat keputusan tentang masa depan mereka. Jika mereka berpisah, adakah hal itu bermaksud tujuan mereka berdating tidak tercapai? Tidak. Tujuan berdating adalah untuk membantu pasangan yang bercinta membuat keputusan sama ada untuk berkahwin atau berpisah.
4. Mengapakah kita harus mempunyai pandangan yang betul tentang berdating?
4 Mengapakah penting untuk mempunyai pandangan yang betul tentang berdating? Apabila orang Kristian yang bujang mempunyai pandangan yang betul tentang berdating, mereka tidak akan berdating tanpa niat untuk berkahwin. Namun, bukan sahaja orang Kristian bujang yang perlu mempunyai pandangan yang betul. Kita semua harus memiliki pandangan yang betul. Contohnya, sesetengah orang berfikir bahawa pasangan yang berdating mesti berkahwin. Bagaimanakah pandangan ini mempengaruhi orang Kristian yang bujang? Melissa, seorang saudari bujang di Amerika Syarikat, berkata, “Saksi-Saksi yang berdating menghadapi banyak tekanan. Akibatnya, ada pasangan yang tidak mahu berpisah biarpun mereka sedar mereka tidak serasi. Orang bujang lain pula langsung tidak mahu berdating. Hal ini boleh membuat mereka sangat tertekan.”
KENALI SATU SAMA LAIN DENGAN BAIK
5-6. Apakah yang perlu diketahui oleh pasangan yang sedang berdating? (1 Petrus 3:4)
5 Jika anda sedang berdating, berusahalah untuk saling mengenali dengan baik. Dengan itu, anda dapat memutuskan sama ada anda mahu berkahwin atau tidak. Barangkali, anda sudah mengetahui sesetengah perkara tentang bakal teman hidup anda sebelum mula berdating. Tetapi semasa berdating, anda berpeluang mengenali sifat-sifatnya yang terpendam dengan lebih mendalam, seperti kerohaniannya, keperibadiannya, dan pemikirannya. (Baca 1 Petrus 3:4.) Seraya masa berlalu, anda harus dapat menjawab soalan-soalan seperti, “Adakah orang ini akan menjadi teman hidup yang baik bagi saya?” (Ams. 31:26, 27, 30; Ef. 5:33; 1 Tim. 5:8) “Dapatkah kami memenuhi keperluan emosi satu sama lain? Dapatkah kami bersabar terhadap kelemahan satu sama lain?” b (Rm. 3:23) Dalam proses saling mengenali, ingatlah hal ini: Yang penting bukanlah berapa banyak persamaan yang anda berdua miliki, tetapi sejauh mana anda dapat menyesuaikan diri dengan perbezaan satu sama lain.
6 Apakah hal-hal lain yang harus anda ketahui semasa berdating? Sebelum perasaan cinta anda menjadi terlalu dalam, anda mungkin mahu membincangkan hal-hal yang penting, seperti matlamat hidup masing-masing, masalah kesihatan, keadaan kewangan, atau trauma masa lalu. Ingatlah, bukan semua topik sebegini harus dibincangkan semasa anda baru mula berdating. (Bandingkan Yohanes 16:12.) Jika anda berasa masih terlalu awal untuk membincangkan hal-hal peribadi sebegini, beritahulah bakal teman hidup anda. Namun lambat laun, anda harus jujur dengan dia tentang hal-hal ini agar dia dapat buat keputusan yang baik.
7. Bagaimanakah pasangan yang berdating dapat mengenali satu sama lain? (Lihat juga kotak “ Cinta Jarak Jauh.”) (Lihat juga gambar.)
7 Bagaimanakah pasangan yang berdating dapat mengenali satu sama lain dengan lebih mendalam? Salah satu cara terbaik adalah dengan menanyakan soalan, mendengar dengan teliti, dan bercakap secara terbuka dan jujur. (Ams. 20:5; Yak. 1:19) Untuk berbuat demikian, pilihlah aktiviti yang membolehkan anda berdua berbual, seperti makan bersama, bersiar-siar di tempat awam, dan menginjil bersama. Anda juga dapat mengenali satu sama lain semasa anda berdua meluangkan masa bersama sahabat dan keluarga. Selain itu, aturkanlah aktiviti yang membolehkan anda melihat reaksi satu sama lain terhadap situasi yang berbeza atau semasa berinteraksi dengan orang yang berbeza-beza. Perhatikan apa yang cuba dilakukan oleh Aschwin, seorang saudara dari Belanda, semasa berdating dengan Alicia. Dia berkata, “Kami merancang aktiviti yang membolehkan kami mengenali satu sama lain. Selalunya kami melakukan hal-hal yang biasa, seperti menyediakan makanan dan melakukan kerja rumah bersama-sama. Semasa melakukan aktiviti sebegini, kami dapat melihat kekuatan dan kelemahan satu sama lain.”
8. Apakah manfaatnya jika pasangan yang berdating belajar Bible bersama-sama?
8 Anda juga dapat mengenali satu sama lain dengan mempelajari topik-topik Bible. Jika anda berkahwin, anda perlu meluangkan masa untuk melakukan penyembahan keluarga agar Tuhan menjadi sebahagian daripada perkahwinan anda. (Pkh. 4:12) Maka, mulai sekarang, anda dapat menjadualkan masa untuk belajar Bible bersama-sama semasa berdating. Memang, semasa berdating, saudara itu belum lagi menjadi kepala saudari itu. Namun dengan mempelajari Bible bersama-sama, mereka dapat mengenali kerohanian satu sama lain. Max dan Laysa, sepasang suami isteri dari Amerika Syarikat, menikmati satu lagi manfaat belajar Bible bersama-sama semasa berdating. Max berkata, “Semasa kami mula berdating, kami menggunakan bahan bacaan Bible untuk belajar tentang topik dating, perkahwinan, dan kehidupan keluarga. Perbincangan yang berdasarkan bahan bacaan kita memberi kami peluang untuk berbual tentang banyak topik penting yang mungkin tidak akan timbul dalam perbualan seharian.”
FAKTOR LAIN YANG PERLU DIFIKIRKAN
9. Apakah yang perlu dipertimbangkan semasa pasangan yang berdating memutuskan siapa yang ingin mereka beritahu tentang hubungan mereka?
9 Anda harus beritahu siapa bahawa anda sedang berdating? Hal itu terpulang kepada anda berdua. Semasa mula berdating, anda mungkin tidak mahu orang menanyakan banyak soalan atau memberi anda tekanan. Jadi anda mungkin memutuskan untuk memberitahu beberapa orang sahaja. (Ams. 17:27) Namun, jika anda tidak memberitahu sesiapa pun tentang hubungan anda berdua, anda mungkin terpaksa berdating secara rahsia. Jika anda selalu berdua-duaan sahaja, hal ini sangat bahaya. Jadi adalah bijak untuk memberitahu sekurang-kurangnya beberapa orang yang dapat memberi anda nasihat dan bantuan yang praktikal. (Ams. 15:22) Contohnya, anda boleh memberitahu sesetengah ahli keluarga anda, sahabat yang matang, atau penatua.
10. Apakah yang dapat dilakukan oleh pasangan yang berdating agar kelakuan mereka sentiasa murni? (Amsal 22:3)
10 Bagaimanakah anda dapat memastikan kelakuan anda sentiasa murni? Apabila hubungan anda semakin rapat, anda akan semakin tertarik kepada satu sama lain. Apakah yang dapat membantu anda tetap berkelakuan murni? (1 Kor. 6:18) Elakkan perbualan yang lucah, jangan berdua-duaan, dan jangan minum berlebihan. (Ef. 5:3) Perbuatan sebegini dapat membangkitkan nafsu berahi dan melemahkan tekad anda untuk berpegang pada standard Yehuwa. Jadi dari masa ke masa, bincanglah langkah yang dapat anda berdua ambil supaya anda tetap berkelakuan murni semasa berdating. (Baca Amsal 22:3.) Dawit dan Almaz dari Etiopia berkata, “Semasa berdating, kami akan berada di tempat yang ada banyak orang atau ditemani kawan-kawan lain. Kami tidak akan berdua-duaan dalam kereta atau rumah. Dengan itu, kami dapat mengelakkan godaan.”
11. Apakah faktor-faktor yang harus dipertimbangkan dalam soal menunjukkan kasih sayang kepada satu sama lain semasa berdating?
11 Patutkah pasangan yang berdating menunjukkan kasih sayang terhadap satu sama lain? Apabila cinta anda semakin mendalam, hal itu memang wajar. Namun, jika cara anda menunjukkan kasih sayang akan membangkitkan nafsu, anda akan susah berfikir secara logik. (Kid. 1:2; 2:6) Jika pasangan yang berdating tidak berhati-hati, cara mereka menunjukkan kasih sayang mungkin membuat mereka melakukan perbuatan yang tidak bermoral. (Ams. 6:27) Maka apabila anda mula berdating, bincangkan prinsip Bible dan tentukan apa yang anda akan dan tidak akan lakukan semasa menunjukkan kasih sayang. c (1 Tes. 4:3-7) Tanyalah diri, “Apakah pandangan masyarakat tempatan terhadap cara kami menunjukkan kasih sayang terhadap satu sama lain? Adakah cara kami menunjukkan kasih sayang akan membangkitkan nafsu kami?”
12. Apakah sepatutnya pandangan pasangan yang sedang berdating tentang masalah dan perselisihan faham yang timbul?
12 Apakah reaksi anda terhadap masalah dan perselisihan faham? Jika perselisihan faham timbul dari masa ke masa, adakah ini bermaksud hubungan anda harus ditamatkan? Tidak semestinya. Semua pasangan juga pernah berselisih faham. Untuk membina perkahwinan yang bahagia, yang diperlukan bukanlah dua orang yang tidak pernah berselisih faham, tetapi dua orang yang dapat bekerjasama untuk mengatasi masalah. Jadi cara anda menyelesaikan masalah semasa berdating dapat menunjukkan sama ada perkahwinan anda akan berjaya atau tidak. Maka bincanglah soalan-soalan ini bersama bakal teman hidup anda: “Dapatkah kami membincangkan masalah kami dalam cara yang tenang dan hormat? Adakah kami sudi mengakui kesalahan kami dan cuba untuk memperbaikinya? Adakah kami sanggup mengalah, meminta maaf, dan sudi mengampuni?” (Ef. 4:31, 32) Namun, jika anda selalu bergaduh semasa berdating, kemungkinan besar masalah ini akan berlanjutan, bahkan selepas berkahwin. Jika anda sedar bahawa orang itu tidak sesuai menjadi teman hidup anda, anda mungkin perlu mengakhiri hubungan itu. Barangkali, itulah keputusan yang terbaik bagi anda berdua. d
13. Apakah yang perlu difikirkan oleh sebuah pasangan semasa menentukan berapa lama mereka akan berdating?
13 Berapa lamakah anda patut berdating? Keputusan yang dibuat dengan terburu-buru biasanya mengundang masalah. (Ams. 21:5) Jadi, tempoh masa anda berdating haruslah cukup panjang supaya anda dapat mengenali bakal teman hidup anda dengan baik. Namun, anda juga tidak patut memanjangkan tempoh itu tanpa sebab yang munasabah, kerana Bible kata, “Harapan yang tertunda memedihkan hati.” (Ams. 13:12) Tambahan lagi, semakin lama anda berdating, semakin susah untuk mengawal nafsu. (1 Kor. 7:9) Jadi, daripada membuat keputusan berdasarkan berapa lama anda sudah berdating, tanyalah diri, “Adakah apa-apa lagi tentang bakal teman hidup saya yang perlu saya tahu sebelum dapat membuat keputusan?”
CARA UNTUK MENYOKONG PASANGAN YANG BERDATING
14. Bagaimanakah orang lain dapat menyokong pasangan yang berdating? (Lihat juga gambar.)
14 Jika kita mendapat tahu bahawa kawan kita sedang berdating, bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Kita dapat menjemput mereka untuk makan bersama, menyertai penyembahan keluarga kita, atau melakukan aktiviti riadah bersama kita. (Rm. 12:13) Dengan demikian, mereka dapat mengenali satu sama lain dengan lebih baik. Untuk membantu mereka agar tidak berdua-duaan, anda dapat menemani mereka semasa mereka keluar berdating atau menaiki kereta, atau menjemput mereka ke rumah anda. (Gal. 6:10) Alicia, yang disebut tadi, mengingat kembali apa yang dia dan Aschwin hargai. Alicia berkata, “Kami berterima kasih kerana ada saudara saudari yang kata bahawa kami boleh berdating di rumah mereka. Dengan itu, kami dapat bersama-sama tetapi tidak bersendirian.” Jika anda diminta untuk menemani pasangan yang berdating, anggaplah hal itu sebagai suatu penghormatan. Namun berhati-hatilah agar anda tidak membiarkan pasangan itu untuk bersendirian. Pada masa yang sama, berilah mereka masa dan ruang yang secukupnya untuk membincangkan hal peribadi.—Flp. 2:4.
15. Apakah hal lain yang dapat kita lakukan untuk membantu sahabat yang sedang berdating? (Amsal 12:18)
15 Kita juga dapat membantu pasangan yang sedang berdating dengan mengawal pertuturan kita. (Baca Amsal 12:18.) Contohnya, kita mungkin tidak sabar-sabar untuk memberitahu orang bahawa mereka sedang berdating, padahal mereka mungkin sendiri ingin mengumumkan hal itu. Kita juga tidak patut bergosip tentang mereka atau mengkritik keputusan peribadi mereka. (Ams. 20:19; Rm. 14:10; 1 Tes. 4:11) Selain itu, kita tidak patut mengatakan sesuatu atau menanyakan soalan yang memberikan tekanan kepada mereka untuk berkahwin. Elise dan suaminya berkata, “Kami berasa kekok semasa orang lain menanya kami tentang rancangan perkahwinan kami, padahal kami sendiri pun belum membincangkan hal itu.”
16. Apakah sepatutnya reaksi kita jika pasangan yang berdating mengakhiri hubungan mereka?
16 Apakah sepatutnya reaksi kita jika pasangan yang berdating mengakhiri hubungan mereka? Janganlah kita jaga tepi kain mereka atau menyalahkan mana-mana pihak. (1 Ptr. 4:15) Seorang saudari yang bernama Lea berkata, “Saya mendapat tahu bahawa orang lain bercakap di belakang saya tentang mengapa saya dan seorang saudara berpisah. Saya sangat terluka.” Ingatlah, pasangan yang berpisah tidak semestinya membuat keputusan yang buruk. Tujuan mereka berdating masih tercapai kerana mereka telah membuat keputusan tentang masa depan mereka. Meskipun begitu, kemungkinan besar mereka rasa sedih dan sunyi selepas berpisah. Jadi, fikirkanlah cara untuk menyokong mereka.—Ams. 17:17.
17. Apakah yang patut dilakukan oleh pasangan yang berdating?
17 Seperti yang telah kita bincangkan, masa berdating mempunyai cabarannya, tetapi juga merupakan masa yang menyeronokkan. Jessica berkata, “Secara jujur, berdating memerlukan banyak masa dan usaha. Tetapi semuanya sangat berbaloi.” Jika anda sedang berdating, berusahalah untuk mengenali satu sama lain dengan baik. Dengan demikian, anda akan berjaya membuat keputusan yang bijak.
LAGU 49 Menggembirakan Hati Yehuwa
a Sesetengah nama telah diubah.
b Untuk soalan-soalan lain, lihat buku Pertanyaan Kaum Muda—Jawaban yang Praktis, Jilid 2, ms. 39-40 dalam bahasa Indonesia.
c Meraba-raba kemaluan orang lain merupakan perbuatan seks yang tidak bermoral dan akan dikenakan tindakan disiplin oleh para penatua. Bergantung pada situasi, meraba-raba buah dada dan mengadakan perbualan yang lucah melalui SMS atau fon juga boleh menyebabkan seseorang dikenakan tindakan disiplin.
d Untuk maklumat lanjut, lihat “Pertanyaan Pembaca” dalam majalah Menara Pengawal bahasa Indonesia, terbitan 15 Ogos 1999.