Tanggalkan dan Tetap Menjauhi Keperibadian Lama
“Tanggalkanlah keperibadian lama dengan amalan-amalannya.”—KOL. 3:9.
1, 2. Apakah yang diperhatikan orang lain tentang Saksi-Saksi Yehuwa?
SIFAT-SIFAT baik umat Yehuwa diperhatikan orang. Misalnya, mengenai saudara saudari kita di Nazi Jerman, Anton Gill menulis, “Saksi-Saksi Yehuwa merupakan sasaran utama kebencian Nazi. . . . Menjelang tahun 1939, terdapat 6,000 ahli mereka di [kem konsentrasi].” Dia juga menyatakan bahawa biarpun Saksi-Saksi dianiaya dengan kejam, mereka masih “dapat dipercayai dan bersikap tenang,” mereka juga “tetap setia dan bersatu padu.”
2 Belakangan ini, orang di Afrika Selatan juga memperhatikan sifat-sifat baik umat Tuhan. Untuk seketika, Saksi-Saksi yang berbeza warna kulit tidak dapat bergaul bersama secara bebas. Namun, pada 18 Disember 2011, hari Ahad, lebih daripada 78,000 orang Saksi yang berbilang kaum dari Afrika Selatan dan negara-negara berdekatan telah menghadiri program rohani di stadium yang terbesar di Johannesburg. Salah seorang pengurus stadium itu berkata, “Saya tidak pernah lihat hadirin yang kelakuannya begitu baik. Semua berpakaian kemas, dan kamu membuat stadium ini begitu bersih. Tapi yang paling penting, kamu benar-benar hadirin yang berbilang kaum.”
3. Mengapakah persaudaraan sedunia kita begitu istimewa?
1 Ptr. 5:9, nota kaki) Mengapakah kita berbeza daripada organisasi lain? Kerana kita berusaha untuk ‘menanggalkan keperibadian lama’ dan “mengenakan keperibadian baru” dengan bantuan Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya.—Kol. 3:9, 10.
3 Komen-komen sebegini menunjukkan bahawa persaudaraan antarabangsa kita memang istimewa. (4. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana ini, dan mengapa?
4 Sekadar menanggalkan keperibadian lama tidak memadai. Kita juga harus tetap menjauhinya. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan cara untuk menanggalkan keperibadian lama dan sebab untuk segera melakukannya. Kita juga akan belajar bahawa tidak mustahil untuk mengikis amalan buruk yang mungkin sudah berakar umbi. Kemudian, kita akan melihat bagaimana orang yang sudah lama dalam kebenaran dapat tetap menjauhi keperibadian lama. Mengapakah peringatan sedemikian penting? Kerana ada sesetengah penyembah Yehuwa tidak berhati-hati dan terjerumus semula ke dalam kancah perbuatan salah. Maka, ingatlah amaran ini: “Jika sesiapa berfikir bahawa dia sedang berdiri dengan teguh, hendaklah dia berwaspada supaya dia tidak jatuh.”—1 Kor. 10:12.
‘MATIKANLAH KEINGINAN SEKS YANG TIDAK BERMORAL’
5. (a) Berikan contoh tentang mengapa kita perlu segera menanggalkan keperibadian lama. (Lihat gambar pada permulaan rencana.) (b) Menurut Kolose 3:5-9, apakah amalan-amalan yang terangkum dalam keperibadian lama?
5 Bayangkan baju anda sudah kotor dan berbau. Sudah pasti anda akan menanggalkannya dengan secepat mungkin. Begitu juga, kita perlu segera bertindak untuk menanggalkan tabiat yang tidak disenangi Tuhan. Ya, seperti yang ditulis oleh Paulus, kita perlu ‘menyingkirkan hal-hal itu daripada diri kita.’ Sekarang, mari kita bincangkan dua amalan berdosa yang disebut oleh Paulus: Perbuatan seks yang tidak bermoral dan kenajisan.—Baca Kolose 3:5-9.
6, 7. (a) Bagaimanakah kata-kata Paulus menunjukkan bahawa usaha yang sungguh-sungguh diperlukan untuk menanggalkan keperibadian lama? (b) Apakah cara hidup Sakura dahulu? Apakah yang membantunya membuat perubahan?
6 Perbuatan seks yang tidak bermoral. Perkataan asal untuk ungkapan ini juga merujuk kepada hubungan seks antara dua individu yang bukan suami isteri yang sah dan homoseksual. Paulus memberitahu orang Kristian agar ‘mematikan keinginan dalam anggota tubuh mereka sehubungan dengan perbuatan seks yang tidak bermoral.’ Kata-katanya menunjukkan bahawa usaha yang sungguh-sungguh diperlukan untuk berbuat demikian. Namun, kita dapat memenangi perjuangan itu!
7 Fikirkan contoh Sakura * yang berasal dari Jepun. Semasa muda, dia selalu berasa sepi. Sejak berusia 15 tahun, dia mula mengadakan hubungan seks bersama orang yang berlainan untuk menghilangkan perasaan sunyi. Akibatnya, dia telah menggugurkan anak sebanyak tiga kali. Dia mengakui, “Pada mulanya, perbuatan ini membuat saya berasa selamat, dihargai, dan dikasihi. Tetapi semakin kerap saya melakukannya, semakin saya berasa tidak tenteram.” Cara hidup ini berterusan sehingga dia berusia 23 tahun. Kemudian, dia mula belajar Bible dengan para Saksi. Sakura suka apa yang dipelajarinya. Dengan bantuan Yehuwa, dia tidak lagi dibelenggu perasaan malu dan bersalah, serta berjaya menghentikan perbuatan yang salah itu. Kini, Sakura berkhidmat sebagai perintis biasa dan tidak lagi berasa sunyi. Sebaliknya, dia berkata, “Saya sangat gembira kerana dapat merasai kasih Yehuwa setiap hari.”
MENGATASI AMALAN YANG NAJIS
8. Apakah beberapa amalan yang dapat menyebabkan kita menjadi najis di mata Tuhan?
8 Kenajisan. Dalam bahasa asal, perkataan ini mempunyai maksud yang luas dan tidak terhad kepada dosa seks. (2 Kor. 7:1; Ef. 5:3, 4) Kenajisan merangkumi amalan buruk seperti merokok atau lawak jenaka yang lucah. Sesetengah orang juga membaca buku yang membangkitkan nafsu berahi atau melihat bahan lucah secara tersembunyi. Amalan yang najis itu mungkin menyebabkan seseorang terjebak dalam perbuatan melancap.—Kol. 3:5. *
9. Apakah akibatnya jika seseorang membiarkan nafsu seksnya menjadi tidak terkawal?
9 Apabila seseorang sering melihat pornografi, “hawa nafsu yang tidak terkawal” akan semakin kuat dan mungkin mengakibatkan ketagihan seks. Kajian menunjukkan bahawa tanda-tanda ketagihan pornografi adalah sama dengan gejala ketagihan dadah dan alkohol. Amalan sebegini membuat seseorang dibebani rasa malu, ingin bunuh diri, dan tidak dapat menumpukan perhatian semasa bekerja. Tabiat buruk ini juga merosakkan kehidupan keluarga dan menyebabkan perceraian. Setahun selepas berjaya mengatasi ketagihan menonton pornografi, seorang lelaki menulis, “Akhirnya, saya mendapat semula harga diri yang telah hilang.”
10. Bagaimanakah Ribeiro mengatasi ketagihan pornografi?
10 Banyak orang perlu terus berjuang untuk menjauhi pornografi. Namun, contoh Ribeiro dari Brazil menunjukkan bahawa seseorang memang dapat berjaya. Semasa remaja, Ribeiro meninggalkan keluarganya dan kemudian bekerja di kilang kitar semula kertas. Di situ, dia terdedah kepada bahan lucah. Dia berkata, “Lama-kelamaan, saya menjadi ketagih. Keadaan saya menjadi begitu buruk sehingga saya selalu menantikan masanya wanita yang tinggal bersama saya keluar dari rumah supaya saya dapat menonton video lucah.” Pada suatu hari semasa bekerja, Ribeiro menemui buku Rahsia Kebahagiaan Keluarga dalam timbunan buku yang akan dikitar semula. Setelah membacanya, dia terdorong untuk mempelajari Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa, tetapi dia memerlukan masa yang panjang untuk mengikis tabiat buruknya. Apakah yang membantunya berjaya? Dia menjelaskan, “Dengan berdoa, mengkaji Bible, dan membuat perenungan, penghargaan saya terhadap sifat-sifat Yehuwa semakin bertambah. Akhirnya kasih saya untuk Yehuwa telah mengalahkan keinginan saya untuk melihat bahan lucah.” Dengan bantuan Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya, Ribeiro telah menanggalkan keperibadian lama, dibaptis, dan kini berkhidmat sebagai seorang penatua.
11. Apakah yang perlu dilakukan untuk bebas daripada cengkaman bahan lucah?
11 Bagi Ribeiro, sekadar membaca Bible tidak cukup. Untuk berjaya, dia perlu meluangkan masa supaya mesej Bible mencapai hatinya. Melalui doa dan perenungan, kasihnya untuk Tuhan menjadi lebih kuat daripada keinginannya yang najis. Ya, cara yang terbaik untuk membebaskan diri daripada cengkaman bahan lucah adalah dengan memupuk kasih yang mendalam untuk Yehuwa dan membenci apa yang jahat.—Baca Mazmur 97:10.
SINGKIRKANLAH KEMARAHAN, KATA-KATA HINAAN, DAN DUSTA
12. Apakah yang membantu Stephen untuk menjauhi kemarahan dan kata-kata kesat?
12 Orang yang panas baran biasanya meluahkan kemarahan mereka melalui kata-kata kesat. Sudah tentu kelakuan sedemikian akan merosakkan kebahagiaan keluarga. Stephen, seorang bapa dari Australia, berkata, “Dahulu, saya selalu memaki orang dan naik berang kerana hal-hal kecil. Saya dan isteri pernah berpisah sebanyak tiga kali dan hampir bercerai.” Kemudian, pasangan itu mula belajar Bible dengan para Saksi. Apakah hasilnya apabila Stephen mengikut nasihat Bible? Dia berkata, “Hubungan keluarga kami bertambah baik. Dahulu, saya seperti bom yang akan segera meletup jika diganggu, tetapi dengan bantuan Yehuwa, kini saya menikmati ketenteraman dan ketenangan.” Sekarang, Stephen berkhidmat sebagai pembantu sidang, dan isterinya telah merintis untuk beberapa tahun. Para penatua dalam sidang Stephen berkata, “Stephen seorang saudara yang rajin, pendiam, dan rendah hati.” Mereka tidak pernah melihat dia naik marah. Adakah Stephen menganggap semua perubahan ini hasil usahanya sendiri? Dia berkata, “Tanpa bantuan Yehuwa, saya tidak mungkin membuat perubahan yang besar ini dan menikmati berkat-Nya.”
13. Mengapakah kemarahan begitu berbahaya, dan apakah amaran Bible tentang sikap itu?
13 Bible mengingatkan kita agar menjauhi kemarahan, kata-kata hinaan, dan jeritan, kerana kelakuan sedemikian sering menyebabkan keganasan. (Ef. 4:31) Banyak orang mungkin berasa bahawa kelakuan yang ganas ialah sesuatu yang biasa, tetapi kelakuan itu tidak menyenangkan Pencipta kita. Maka, ramai orang perlu menanggalkan kelakuan buruk itu sebelum dapat mengenakan keperibadian baharu.—Baca Mazmur 37:8-11.
14. Mungkinkah orang yang ganas berubah menjadi lemah lembut?
14 Fikirkan contoh Hans, seorang penatua dari Austria. Koordinator badan penatua dalam sidangnya berkata, “Dia salah seorang saudara yang paling lemah lembut.” Namun, Hans bukannya begitu pada masa dahulu. Semasa remaja, dia menyalahgunakan alkohol dan akibatnya dia menjadi sangat ganas. Pernah sekali, semasa dia mabuk, dia telah mengamuk lalu membunuh teman wanitanya. Dia dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun, tetapi hukuman itu tidak mengubah sikap Hans. Kemudian, ibunya mengatur agar seorang penatua berjumpa dengannya di penjara, dan Hans mula belajar Bible. Hans berkata, “Bukannya senang untuk menanggalkan keperibadian lama saya. Namun saya digalakkan menerusi ayat Bible di Yesaya 55:7 yang berbunyi, ‘Biarlah orang jahat meninggalkan cara hidup mereka,’ dan 1 Korintus 6:11 yang menyatakan bagaimana sesetengah orang telah menghentikan amalan berdosa. Selama bertahun-tahun, Yehuwa membantu saya melalui kuasa suci-Nya untuk mengenakan keperibadian baharu.” Hans telah dibaptis di penjara dan dia dibebaskan setelah dipenjarakan selama 17 setengah tahun. Dia berkata, “Saya bersyukur atas pengampunan dan belas kasihan Yehuwa yang besar.”
15. Apakah amalan yang dianggap biasa, tetapi apakah ajaran Bible tentang amalan itu?
15 Selain kata-kata hinaan, dusta juga merupakan sebahagian daripada keperibadian lama. Contohnya, ramai orang menipu untuk mengelakkan cukai atau melarikan diri daripada akibat dosa sendiri. Namun, Yehuwa “suka akan kebenaran.” (Mzm. 37:28) Dia ingin ‘kita masing-masing bercakap benar kepada orang lain’ dan tidak “saling berdusta.” (Ef. 4:25; Kol. 3:9) Oleh itu, kita harus bercakap benar meskipun hal itu akan membuat kita berasa malu atau menghadapi kesulitan.—Ams. 6:16-19.
CARA MENANGGALKAN KEPERIBADIAN LAMA
16. Bagaimanakah kita dapat berjaya menanggalkan keperibadian lama?
16 Kita tidak dapat menanggalkan keperibadian lama dengan keupayaan sendiri. Sakura, Ribeiro, Stephen, dan Hans, perlu berjuang keras untuk menanggalkan amalan buruk mereka. Mereka berjaya melakukannya kerana mereka membiarkan Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya membimbing minda dan hati mereka. (Luk. 11:13; Ibr. 4:12) Untuk meraih manfaat daripada bantuan itu, kita mesti membaca Bible setiap hari, merenungkannya, dan sentiasa berdoa agar kita diberi kebijaksanaan dan kekuatan untuk menerapkan nasihat Bible. (Yos. 1:8; Mzm. 119:97; 1 Tes. 5:17) Kita juga akan dibantu oleh Firman Tuhan dan kuasa suci-Nya apabila kita membuat persediaan dan menghadiri perjumpaan. (Ibr. 10:24, 25) Selain itu, kita juga harus menyantap pelbagai jenis makanan rohani yang tersedia bagi umat Tuhan di serata dunia.—Luk. 12:42.
17. Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?
17 Kita sudah membincangkan beberapa amalan buruk yang mesti ditanggalkan dan tetap dijauhi oleh orang Kristian. Namun, adakah itu sahaja yang harus dilakukan untuk mendapat perkenan Tuhan? Tidak. Kita juga mesti mengenakan keperibadian baharu. Dalam rencana seterusnya, kita akan mengkaji beberapa aspek keperibadian baharu yang harus disebatikan dalam diri kita.
^ per. 7 Sesetengah nama dalam rencana ini telah diubah.