RENCANA PEMBELAJARAN 35
“Teruslah Menggalakkan dan Menguatkan Satu Sama Lain”
“Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain.” —1 TES. 5:11.
LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain
PENGENALAN *
1. Menurut 1 Tesalonika 5:11, apakah kerja yang dapat kita semua lakukan?
PERNAHKAH sidang anda menyertai kerja membina atau mengubahsuai Dewan Perjumpaan? Jika ya, anda tentu ingat perjumpaan yang pertama selepas projek itu selesai. Anda mungkin begitu bersyukur kepada Yehuwa sehingga perlu menahan sebak di dada semasa menyanyikan lagu pembukaan. Dewan Perjumpaan kita yang indah memang membawa pujian kepada Yehuwa. Tetapi terdapat satu lagi kerja pembinaan yang membawa pujian yang lebih besar kepada Yehuwa, iaitu membina dan menguatkan orang yang datang untuk menyembah-Nya. Itulah yang difikirkan oleh Rasul Paulus semasa menulis kata-kata dalam ayat tema kita, iaitu 1 Tesalonika 5:11.—Baca.
2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
2 Rasul Paulus menyediakan teladan yang baik dalam hal menguatkan rakan seiman. Dia menyelami perasaan mereka. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana dia membantu saudara saudarinya untuk (1) tabah menghadapi cubaan, (2) berdamai dengan satu sama lain, dan (3) meneguhkan iman mereka terhadap Yehuwa. Mari kita lihat bagaimana kita dapat meniru teladan Paulus dan menguatkan saudara saudari kita hari ini.—1 Kor. 11:1.
PAULUS MEMBANTU RAKAN SEIMANNYA BERTABAH MENGHADAPI CUBAAN
3. Apakah pandangan Paulus terhadap pekerjaan dan hal-hal rohani?
3 Paulus sangat mengasihi saudara saudarinya. Dia pernah hidup susah, jadi dia dapat memahami perasaan saudara saudarinya yang menghadapi cabaran. Pernah sekali, Paulus kehabisan wang dan dia perlu bekerja untuk menyara dirinya dan rakan-rakannya. (Kis. 20:34) Jadi, semasa Paulus tiba di Korintus, dia bekerja bersama Akwila dan Priskila sebagai pembuat khemah. Tetapi pada “setiap hari Sabat,” dia akan menginjil kepada orang Yunani dan Yahudi. Kemudian, apabila Silas dan Timotius tiba, “Paulus menggunakan seluruh masanya untuk mengkhabarkan firman Tuhan.” (Kis. 18:2-5) Walaupun Paulus perlu bekerja keras untuk menjaga keperluannya sendiri, dia tetap mengutamakan hal-hal rohani. Oleh sebab Paulus mempunyai pandangan yang seimbang ini, dia dapat menggalakkan saudara saudarinya. Dia juga dapat mengingatkan mereka agar tidak membiarkan tekanan hidup dan tanggungjawab keluarga membuat mereka mengabaikan “perkara-perkara yang lebih penting,” iaitu semua kegiatan yang berkaitan dengan ibadat kepada Yehuwa.—Flp. 1:10.
4. Bagaimanakah Paulus dan Timotius membantu rakan seiman mereka tabah menghadapi penganiayaan?
4 Tidak lama selepas sidang di Tesalonika ditubuhkan, saudara saudari di situ ditentang dengan kuat. Apabila sekumpulan perusuh tidak dapat menjumpai Paulus dan Silas, mereka menyeret “beberapa orang saudara kepada para pemerintah kota” dan berteriak, “Semua orang ini menentang perintah Kaisar.” (Kis. 17:6, 7) Orang Kristian di situ baru menerima kebenaran. Jadi mereka pasti sangat takut semasa mendapat tahu bahawa orang di kota itu menentang mereka. Paulus tidak mahu mereka berhenti menyembah Yehuwa kerana ditentang. Jadi, walaupun dia dan Silas terpaksa meninggalkan kota itu, mereka memastikan sidang di Tesalonika dijaga dengan baik. Paulus mengingatkan orang Kristian di Tesalonika, “Kami mengutus [Timotius] untuk meneguhkan kamu dan melegakan hati kamu, supaya iman kamu menjadi kukuh. Dengan demikian tidak seorang pun daripada kamu digoyahkan oleh kesengsaraan sebegini.” (1 Tes. 3:2, 3) Timotius sendiri mungkin pernah dianiaya di kampung halamannya di Listra dan melihat bagaimana Paulus menguatkan saudara saudari di situ. Setelah melihat bagaimana Yehuwa menyokong mereka, Timotius dapat meyakinkan rakan seiman di Tesalonika bahawa mereka pun dapat tabah menghadapi penganiayaan.—Kis. 14:8, 19-22; Ibr. 12:2.
5. Bagaimanakah seorang penatua membantu Bryant?
5 Apakah satu lagi cara yang digunakan oleh Paulus untuk menguatkan rakan seimannya? Apabila Paulus dan Barnabas kembali ke Listra, Ikonium, dan Antiokhia, mereka “melantik para penatua bagi setiap sidang.” (Kis. 14:21-23) Perhatikan pengalaman seorang saudara yang bernama Bryant. Dia berkata, “Semasa saya berumur 15 tahun, bapa saya meninggalkan kami, dan ibu saya pula disingkirkan dari sidang. Saya rasa diabaikan dan tawar hati.” Apakah yang membantu Bryant untuk menghadapi kesusahan ini dengan tabah? Dia berkata, “Seorang penatua yang bernama Tony bercakap kepada saya semasa di perjumpaan dan pada masa lain. Dia menggalakkan saya dengan memberitahu saya bahawa orang yang menghadapi cubaan pun dapat menyembah Yehuwa dengan gembira. Dia mengongsi Mazmur 27:10 dengan saya dan sering bercakap tentang Hizkia, yang berkhidmat kepada Yehuwa dengan setia biarpun bapanya bukan teladan yang baik.” Bagaimanakah hal ini membantu Bryant? Dia berkata, “Dengan galakan Tony, akhirnya saya mula menceburi khidmat sepenuh masa.” Para penatua, adakah sesiapa di sidang anda seperti Bryant? Carilah mereka dan ucapkanlah “kata-kata yang membina” untuk menggalakkan mereka.—Ams. 12:25.
6. Bagaimanakah Paulus menggunakan kisah hidup orang lain untuk menggalakkan saudara saudarinya?
6 Paulus mengingatkan rakan seimannya bahawa Yehuwa pernah membantu “banyak saksi yang bagaikan awan” untuk menghadapi cubaan dengan tabah. (Ibr. 12:1) Dengan menggunakan kisah hidup mereka, Paulus telah membantu saudara saudarinya menjadi berani dan bertumpu kepada “kota Tuhan yang hidup.” (Ibr. 12:22) Begitu juga pada hari ini. Kita sangat digalakkan setelah membaca kisah tentang bagaimana Yehuwa membantu Gideon, Barak, Daud, Samuel, dan hamba-Nya yang lain. (Ibr. 11:32-35) Bagaimana pula dengan pengalaman zaman moden? Ibu pejabat sedunia sering menerima surat daripada saudara saudari yang menceritakan bagaimana iman mereka dikuatkan setelah membaca kisah hidup tentang Saksi-Saksi Yehuwa pada zaman moden.
PAULUS MENGAJAR RAKAN SEIMANNYA CARA MENJAGA KEDAMAIAN
7. Apakah yang anda pelajari daripada nasihat Paulus di Roma 14:19-21?
7 Kita menguatkan saudara saudari kita dengan berusaha mewujudkan kedamaian dalam sidang. Kita tidak membiarkan perbezaan pendapat menyebabkan perpecahan, dan kita tidak berkeras mengikut pandangan sendiri jika sesuatu perkara tidak melanggar prinsip Bible. Perhatikan contoh berikut. Sidang di Roma mempunyai orang Kristian berbangsa Yahudi dan bukan Yahudi. Semasa Hukum Musa dimansuhkan, sesetengah makanan yang dahulunya dianggap najis tidak lagi diharamkan. (Mrk. 7:19) Selepas itu, sesetengah orang Kristian yang berbangsa Yahudi berasa bahawa mereka boleh memakan pelbagai jenis makanan, tetapi ada yang tidak sanggup berbuat demikian. Akibat isu makanan, sidang berpecah belah. Oleh itu, Paulus mengingatkan mereka tentang pentingnya menjaga kedamaian. Dia berkata, “Lebih baik tidak makan daging, minum wain, atau melakukan apa sahaja yang akan menyebabkan saudara kamu tersandung.” (Baca Roma 14:19-21.) Dengan kata-kata itu, Paulus membantu rakan seimannya untuk sedar bahawa pertengkaran tentang hal sebegini akan membawa kesan buruk kepada diri mereka dan seluruh sidang. Dia juga sudi membuat perubahan supaya tidak membuat orang lain tersandung. (1 Kor. 9:19-22) Seperti Paulus, kita dapat menguatkan orang lain dan menjaga kedamaian dalam sidang jika kita tidak bertengkar tentang perkara yang merupakan pilihan peribadi.
8. Apakah reaksi Paulus semasa satu isu yang penting mengancam kedamaian sidang?
8 Paulus menetapkan teladan baik dalam soal memelihara kedamaian biarpun orang lain tidak sependapat dengannya dalam hal yang penting. Sebagai contoh, sesetengah orang dalam sidang Kristian abad pertama berkeras bahawa orang bukan Yahudi yang menjadi orang Kristian harus disunat. Mereka mungkin takut dikritik oleh orang Yahudi di luar sidang. (Gal. 6:12) Paulus tidak bersetuju dengan pendapat itu, tetapi dia tidak berkeras dengan pandangannya sendiri. Sebaliknya, dia membawa masalah itu kepada para rasul dan penatua di Yerusalem. (Kis. 15:1, 2) Cara Paulus menangani isu penting itu telah membantu saudara saudari di sidang untuk memelihara sukacita dan kedamaian.—Kis. 15:30, 31.
9. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus?
9 Apabila masalah yang serius timbul, kita ingin mewujudkan kedamaian dengan mencari bimbingan daripada orang yang dilantik oleh Yehuwa untuk menjaga sidang. Sering kali, kita dapat mencari arahan yang berdasarkan Bible dalam bahan bacaan kita atau panduan yang disediakan oleh organisasi kita. Apabila kita bertumpu kepada arahan-arahan ini dan bukannya kepada pendapat sendiri, kita akan menyumbang kepada kedamaian dalam sidang.
10. Apakah satu lagi cara Paulus mewujudkan kedamaian dalam sidang?
10 Paulus mewujudkan kedamaian dalam sidang dengan menonjolkan sifat-sifat baik saudara saudarinya. Contohnya, pada penghujung suratnya kepada sidang di Roma, Paulus menyebut nama banyak orang dan menyebut sesuatu yang positif tentang mereka. Kita dapat meniru teladan Paulus dengan sering menyebut sifat baik saudara saudari kita. Dengan berbuat demikian, kita membantu mereka menjadi lebih akrab dengan satu sama lain dan menguatkan ikatan kasih dalam sidang.
11. Bagaimanakah kita dapat mewujudkan kedamaian apabila timbulnya perselisihan faham?
11 Ada kalanya, orang Kristian yang matang pun akan bertengkar atau tidak bersependapat. Hal itu juga berlaku kepada Paulus dan kawan baiknya Barnabas. Untuk perjalanan menginjil mereka yang seterusnya, Paulus tidak mahu membawa Markus bersama mereka, tetapi Barnabas berkeras hendak membawa Markus. Akibatnya, “pertengkaran yang sengit” berlaku antara mereka, dan mereka berpisah. (Kis. 15:37-39) Tetapi pada kemudian hari, Paulus, Barnabas, dan Markus berbaik semula dan menunjukkan bahawa mereka mengutamakan kedamaian dan perpaduan sidang. Dalam suratnya, Paulus bahkan memuji Barnabas dan Markus. (1 Kor. 9:6; Kol. 4:10) Begitu juga, jika terdapat perselisihan faham yang timbul, kita mahu menyelesaikannya dan terus berfokus kepada sifat baik saudara saudari. Dengan demikian, kita akan menyumbang kepada perpaduan dan kedamaian sidang.—Ef. 4:3.
PAULUS MENEGUHKAN IMAN SAUDARA SAUDARINYA
12. Apakah sesetengah cabaran yang dihadapi oleh saudara saudari kita?
12 Kita menguatkan saudara saudari kita dengan meneguhkan iman mereka terhadap Yehuwa. Sesetengah antara mereka mungkin diejek oleh ahli keluarga yang tidak seiman, rakan sekerja, atau rakan sekolah. Yang lain pula bergelut dengan masalah kesihatan yang serius atau perasaan yang terluka. Ada juga yang sudah lama dibaptis, tetapi masih menunggu sistem dunia ini berakhir. Hal-hal sebegini dapat menguji iman orang Kristian hari ini. Sebenarnya, orang Kristian pada abad pertama pun menghadapi cabaran yang sama. Bagaimanakah Paulus menguatkan mereka?
13. Bagaimanakah Paulus membantu rakan seimannya yang diejek kerana kepercayaan mereka?
13 Paulus menggunakan Ayat-Ayat Suci untuk meneguhkan iman saudara saudarinya. Contohnya, orang Kristian berbangsa Yahudi pada zamannya mungkin tidak tahu cara untuk menjawab ahli keluarga mereka yang menuduh bahawa agama Yahudi lebih baik daripada agama Kristian. Jadi, kata-kata Paulus dalam buku Ibrani pasti telah menguatkan mereka kerana mereka dapat menggunakan penjelasannya untuk menjawab para penentang. (Ibr. 1:5, 6; 2:2, 3; 9:24, 25) Hari ini, kita dapat membantu rakan seiman yang diejek supaya mereka tahu cara menggunakan bahan bacaan kita untuk menjelaskan kepercayaan mereka. Jika anak-anak muda kita diejek kerana mempercayai penciptaan, kita dapat membantu mereka mencari maklumat dalam brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? dan Asal Usul Kehidupan—Lima Soalan yang Patut Difikirkan, supaya mereka dapat menjelaskan kepercayaan mereka.
14. Biarpun Paulus sibuk menginjil dan mengajar, dia juga melakukan apa?
14 Paulus menggalakkan saudara saudarinya untuk menunjukkan kasih melalui “perbuatan yang baik.” (Ibr. 10:24) Paulus membantu rakan seimannya bukan hanya melalui kata-kata, tetapi juga melalui perbuatan. Sebagai contoh, semasa rakan seiman di Yudea menghadapi kebuluran, Paulus membantu mengedarkan bantuan kepada mereka. (Kis. 11:27-30) Sebenarnya, biarpun Paulus sibuk menginjil dan mengajar, dia selalu memikirkan cara untuk menghulurkan bantuan secara praktikal. (Gal. 2:10) Dengan berbuat demikian, dia menguatkan keyakinan rakan seimannya bahawa Yehuwa akan menjaga mereka. Hari ini, apabila kita menggunakan masa, tenaga, dan kemahiran kita untuk membantu mangsa bencana atau menyumbangkan duit secara tetap untuk kerja sedunia, kita juga sedang membina iman saudara saudari kita. Perbuatan baik sebegini membantu saudara saudari kita untuk terus yakin bahawa Yehuwa tidak akan meninggalkan mereka.
15-16. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap orang yang mempunyai iman yang lemah?
15 Paulus tidak berputus asa terhadap mereka yang mempunyai iman yang lemah. Dia menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan bercakap kepada mereka dengan menggunakan kata-kata yang ramah dan positif. (Ibr. 6:9; 10:39) Misalnya dalam buku Ibrani, dia sering menggunakan perkataan “kita” untuk menunjukkan bahawa dia juga perlu menerapkan nasihat yang diberikannya. (Ibr. 2:1, 3) Seperti Paulus, kita tidak mahu berputus asa terhadap mereka yang mempunyai iman yang lemah. Sebaliknya, kita ingin menggalakkan mereka dengan mengambil berat terhadap mereka. Dengan berbuat demikian, mereka dapat merasai kasih kita. Selain itu, kita juga mahu bercakap dengan nada yang mesra dan lemah lembut supaya kata-kata kita dapat menguatkan mereka.
16 Paulus meyakinkan saudara saudarinya bahawa Yehuwa menghargai usaha baik mereka. (Ibr. 10:32-34) Kita juga dapat berbuat demikian semasa membantu seorang rakan seiman yang mempunyai iman yang lemah. Kita boleh menjemputnya untuk menceritakan bagaimana dia menerima kebenaran atau bagaimana dia pernah merasai sokongan Yehuwa. Selepas itu, kita boleh meyakinkannya bahawa Yehuwa tidak pernah melupakan kasih yang ditunjukkannya dan tidak akan meninggalkannya pada masa depan. (Ibr. 6:10; 13:5, 6) Perbualan sebegini dapat menggalakkan saudara saudari kita untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa.
TERUSLAH MENGGALAKKAN SATU SAMA LAIN
17. Apakah kemahiran yang perlu kita terus tingkatkan?
17 Sebagaimana seorang pekerja pembinaan perlu meningkatkan kemahirannya, kita juga perlu meningkatkan kemahiran dalam menggalakkan satu sama lain. Untuk membantu orang lain tabah menghadapi cubaan, kita boleh mengongsi pengalaman tentang orang pada zaman lampau yang tabah. Untuk mewujudkan kedamaian, kita mahu bertumpu kepada kebaikan orang lain. Apabila timbulnya perselisihan faham dan isu yang boleh menimbulkan perpecahan, kita mahu menjaga dan memulihkan kedamaian. Selain itu, untuk meneguhkan iman saudara saudari kita, kita mahu mengongsi kebenaran yang penting daripada Bible, menghulurkan bantuan praktikal, dan menyokong orang yang lemah secara rohani.
18. Apakah tekad anda?
18 Mereka yang menyertai projek pembinaan teokratik akan meraih sukacita dan kepuasan. Begitu juga, apabila kita membina dan menguatkan saudara saudari kita dalam sidang, kita akan berasa gembira dan puas. Namun, tidak seperti bangunan yang dibina dan akhirnya menjadi usang, usaha kita untuk menguatkan saudara saudari akan membawa manfaat yang berkekalan. Semoga kita bertekad untuk terus “menggalakkan dan menguatkan satu sama lain.”—1 Tes. 5:11.
LAGU 100 Sambutlah Mereka dengan Ramah
^ Hidup dalam dunia ini memang susah, dan rakan seiman kita mengalami banyak tekanan. Kita dapat membantu mereka dengan mencari jalan untuk menggalakkan mereka. Untuk membantu kita berbuat demikian, kita akan mengkaji contoh Rasul Paulus.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang ayah menunjukkan maklumat dalam bahan bacaan kita untuk membantu anak perempuannya melawan tekanan untuk menyambut Krismas.
^ KETERANGAN GAMBAR: Sepasang suami isteri pergi ke kawasan lain untuk membantu mangsa bencana.
^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua melawat seorang saudara yang sudah menjadi lemah secara rohani. Dia menunjukkan beberapa gambar daripada Sekolah Latihan Perintis yang mereka hadiri bertahun-tahun lalu. Setelah melihat kenangan manis itu, saudara tersebut ingin merasai semula sukacita yang dinikmatinya dahulu semasa berkhidmat kepada Yehuwa. Akhirnya, dia kembali ke sidang.