Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 34

“Tetap Berjalan Mengikut Kebenaran”

“Tetap Berjalan Mengikut Kebenaran”

“Tetap berjalan mengikut kebenaran.”​—3 YOH. 4.

LAGU 111 Sebab-Sebab Kita Bersukacita

PENGENALAN *

1. Apakah manfaatnya bercakap tentang bagaimana kita mendapat kebenaran?

 “BAGAIMANAKAH anda mendapat kebenaran?” Itulah soalan yang sering ditanya apabila kita bertemu dengan rakan seiman buat kali pertama. Kita suka mendengar bagaimana saudara saudari kita mengenali dan mengasihi Yehuwa, dan kita juga suka menceritakan mengapa kita mencintai kebenaran. (Rm. 1:11) Perbualan sebegini mengingatkan kita tentang betapa berharganya kebenaran bagi kita. Kita juga lebih bertekad untuk “tetap berjalan mengikut kebenaran.” Hal ini bermaksud kita bertekad untuk hidup dalam cara yang membawa berkat dan perkenan Yehuwa.​—3 Yoh. 4.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan beberapa sebab kita mencintai kebenaran. Selepas itu, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat terus menunjukkan bahawa kita mencintai kebenaran. Rencana ini akan membantu kita lebih menghargai apa yang telah dilakukan oleh Yehuwa untuk memimpin kita ke dalam kebenaran. (Yoh. 6:44) Kita juga akan memiliki keinginan yang lebih kuat untuk mengongsi kebenaran dengan orang lain.

MENGAPA KITA MENGASIHI KEBENARAN

3. Apakah sebab terpenting kita mengasihi kebenaran?

3 Ada banyak sebab kita mengasihi kebenaran, tetapi sebab terpenting kita mengasihi kebenaran ialah kita mengasihi Tuhan Yehuwa, Sumber kebenaran. Melalui Firman-Nya, iaitu Bible, kita dapat mengetahui banyak sifat Yehuwa. Contohnya, Dia bukan sahaja Pencipta Yang Maha Kuasa, tetapi juga Bapa yang pengasih yang mengambil berat terhadap kita. (1 Ptr. 5:7) Selain itu, Dia ‘penuh rahmat dan belas kasihan, tidak cepat murka, berpegang pada kebenaran, dan menunjukkan kasih setia yang melimpah.’ (Kel. 34:6) Yehuwa juga mencintai keadilan. (Yes. 61:8) Dia susah hati semasa melihat kita menderita, dan Dia tidak sabar untuk melenyapkan segala penderitaan kita pada masa yang ditetapkan-Nya. (Yer. 29:11) Kita juga menanti-nantikan masa itu! Ya, kita ada banyak sebab untuk mengasihi Yehuwa!

Kebenaran Bible adalah seperti . . .Sauh

Sepertimana sauh dapat menstabilkan kapal, harapan daripada Bible dapat membantu kita menghadapi cubaan dengan tenang. Kebenaran Bible juga menggerakkan kita untuk mengongsi harapan masa depan dengan orang lain (Lihat perenggan 4-7)

4-5. Mengapakah Rasul Paulus menyamakan harapan kita dengan sauh?

4 Apakah satu lagi sebab kita mencintai kebenaran? Kebenaran membawa manfaat yang besar. Sebagai contoh, kebenaran Bible merangkumi harapan untuk masa depan. Mengapakah harapan begitu penting? Rasul Paulus menulis, “Harapan kita yang teguh dan pasti bagaikan sauh bagi jiwa kita.” (Ibr. 6:19) Sepertimana sauh dapat menstabilkan kapal, harapan Bible dapat menstabilkan kita semasa kita menghadapi cubaan.

5 Walaupun harapan yang disebut oleh Paulus dalam buku Ibrani adalah harapan yang dimiliki oleh orang Kristian terurap, kata-katanya juga penting bagi orang Kristian yang akan hidup selama-lamanya di bumi firdaus. (Yoh. 3:16) Tidakkah anda setuju bahawa hidup kita menjadi lebih bermakna selepas kita belajar tentang harapan kehidupan kekal?

6-7. Bagaimanakah Yvonne meraih manfaat setelah mempelajari kebenaran tentang masa depan?

6 Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Yvonne. Dia tidak membesar dalam kebenaran dan sejak kecil lagi dia takut akan kematian. Dia pernah membaca suatu ungkapan yang melekat dalam mindanya: “Suatu hari nanti, semua orang akan mati.” Dia berkata, “Ungkapan itu membuat saya terjaga pada waktu malam dan asyik berfikir tentang masa depan. Saya tertanya-tanya, ‘Begini sahajakah kehidupan saya? Apa tujuan hidup saya?’ Saya tidak mahu mati!”

7 Kemudian, semasa Yvonne remaja, dia berjumpa dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Dia berkata, “Saya mula percaya bahawa saya ada harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi firdaus.” Bagaimanakah kebenaran ini mempengaruhi saudari kita? Dia berkata, “Kini saya tidak lagi terjaga pada waktu malam kerana risau tentang masa depan atau kematian.” Seperti yang dapat anda bayangkan, kebenaran sangat berharga bagi Yvonne, dan dia berpuas hati kerana dapat mengongsi harapan tentang masa depan dengan orang lain.​—1 Tim. 4:16.

Kebenaran Bible adalah seperti . . .Harta yang Bernilai

Peluang untuk menyembah Yehuwa sekarang dan untuk selama-lamanya di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya adalah seperti harta yang bernilai. Kita sanggup membuat apa-apa sahaja pengorbanan untuk mendapatkannya (Lihat perenggan 8-11)

8-9. (a) Bagaimanakah lelaki dalam perumpamaan Yesus menunjukkan bahawa dia sangat menghargai harta yang ditemuinya? (b) Seberapa bernilaikah kebenaran bagi anda?

8 Kebenaran Bible juga merangkumi berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Yesus menyamakan kebenaran tentang Kerajaan Tuhan dengan harta terpendam. Di Matius 13:44, Yesus berkata, “Kerajaan di syurga bagaikan harta yang terpendam di ladang. Seorang lelaki menemuinya dan menyembunyikannya. Dengan sukacita, dia menjual segala yang dimilikinya dan membeli ladang itu.” Walaupun lelaki itu bukannya sedang mencari harta tersebut, sebaik sahaja dia menemuinya, dia menjual segala miliknya untuk memperoleh harta itu. Mengapa? Dia tahu betapa bernilainya harta itu. Jadi, walaupun dia perlu membuat pengorbanan yang besar untuk memperolehnya, dia berasa hal itu berbaloi.

9 Adakah anda juga mempunyai perasaan yang sama terhadap kebenaran? Sudah tentu! Sekarang, kita bersukacita semasa menyembah Yehuwa, dan pada masa depan, kita mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bawah pemerintahan Kerajaan-Nya. Sememangnya, tiada apa-apa di dunia ini yang dapat menandingi semua berkat itu! Namun begitu, sukacita kita yang terbesar adalah untuk ‘menyenangkan hati Tuhan dengan sepenuhnya.’ Jadi kita sanggup membuat apa sahaja pengorbanan untuk menjalin hubungan yang akrab dengan Yehuwa.​—Kol. 1:10.

10-11. Apakah yang menggerakkan Michael untuk mengubah haluan hidupnya?

10 Ramai dalam kalangan kita telah membuat banyak pengorbanan untuk mendapat perkenan Yehuwa. Ada yang meninggalkan kerjaya yang diminati. Yang lain pula tidak lagi mengejar kekayaan, dan terdapat saudara saudari yang sanggup mengubah haluan hidup mereka semasa mereka belajar tentang Yehuwa. Itulah yang dilakukan oleh Michael. Dia tidak membesar dalam kebenaran. Semasa muda, dia belajar seni mempertahankan diri. Dia berkata, “Saya rasa bangga kerana saya ada badan yang kuat. Ada kalanya saya rasa saya ini kebal.” Tetapi semasa dia mempelajari Bible, dia sedar bahawa Yehuwa membenci keganasan. (Mzm. 11:5) Walaupun begitu, Michael berkata, “Pasangan Saksi yang belajar bersama saya tidak pernah suruh saya berhenti belajar karate. Mereka hanya terus mengajar saya kebenaran Bible.”

11 Apabila Michael semakin mengenali Yehuwa, dia semakin mengasihi-Nya. Michael sangat tersentuh semasa belajar tentang belas kasihan Yehuwa terhadap penyembah-Nya. Kemudian, Michael sedar bahawa dia perlu membuat satu keputusan yang penting. Dia berkata, “Keputusan untuk meninggalkan dunia karate ialah keputusan yang paling susah bagi saya. Tetapi saya tahu saya akan menggembirakan Yehuwa, dan saya yakin pengorbanan saya berbaloi.” Michael begitu menghargai kebenaran yang ditemuinya sehingga terdorong untuk membuat perubahan yang besar dalam hidupnya.​—Yak. 1:25.

Kebenaran Bible adalah seperti . . .Pelita

Kita menggunakan pelita untuk menerangi jalan di tempat yang gelap. Begitu juga, Firman Tuhan menerangi haluan hidup kita di dunia Syaitan yang gelap-gelita (Lihat perenggan 12-13)

12-13. Bagaimanakah kebenaran Bible telah membantu Mayli?

12 Untuk menunjukkan betapa bernilainya kebenaran, Bible menyamakan kebenaran dengan sebuah pelita yang bersinar di tempat yang gelap. (Mzm. 119:105; Ef. 5:8) Mayli, dari Azerbaijan, sangat menghargai cahaya kebenaran daripada Firman Tuhan. Bapanya seorang Muslim dan ibunya beragama Yahudi. Dia berkata, “Dari dulu, saya memang percaya Tuhan wujud. Tetapi terdapat sesetengah hal yang buat saya bingung. Contohnya, mengapa Tuhan menciptakan manusia? Buat apa manusia menderita seumur hidup dan kemudian diseksa di neraka buat selama-lamanya? Banyak orang kata bahawa segala-gala dalam hidup kita ditakdirkan oleh Tuhan. Jadi saya tertanya-tanya, ‘Adakah Tuhan mengawal hidup kita dan suka melihat kita menderita?’”

13 Mayli terus berusaha untuk mencari jawapan kepada soalan-soalannya. Kemudian dia mula belajar Bible dan menerima kebenaran. Dia berkata, “Kebenaran Bible yang logik telah membuat saya menjadi seorang yang lebih gembira. Penjelasan Bible yang masuk akal juga telah memberi saya kedamaian sejati.” Seperti Mayli, kita semua mahu memuji Yehuwa kerana Dia “telah memanggil [kita] keluar daripada kegelapan untuk masuk ke dalam cahaya-Nya yang menakjubkan.”​—1 Ptr. 2:9.

14. Bagaimanakah kita dapat memperdalam kasih kita terhadap kebenaran? (Lihat juga kotak “ Perbandingan Lain.”)

14 Kita baru sahaja membincangkan beberapa perumpamaan atau perbandingan yang menunjukkan betapa bernilainya kebenaran. Anda tentu dapat memikirkan perbandingan yang lain. Jadi, cubalah melakukan projek pembelajaran peribadi untuk mencari sebab-sebab lain mengapa kita mengasihi kebenaran. Apabila kita semakin mengasihi kebenaran, kita akan semakin berusaha untuk menunjukkan kasih itu.

BAGAIMANA KITA MENUNJUKKAN BAHAWA KITA MENCINTAI KEBENARAN

15. Apakah salah satu cara kita dapat menunjukkan bahawa kita mencintai kebenaran?

15 Kita dapat menunjukkan bahawa kita mencintai kebenaran dengan mengkaji Bible dan bahan bacaan Bible secara kerap. Ingatlah, tidak kira berapa lama kita sudah berada dalam kebenaran, masih ada banyak yang dapat kita belajar. Terbitan pertama Menara Pengawal menyatakan, “Kebenaran adalah seperti sekuntum bunga kecil di padang belantara, yang hampir dicekik oleh ajaran salah yang tumbuh subur di sekelilingnya seperti lalang. Jika anda ingin menemui bunga itu, anda perlu mencarinya dengan sungguh-sungguh. . . . Jika anda ingin memilikinya, anda harus tunduk untuk memetiknya. Setelah mendapat sekuntum kebenaran, janganlah berpuas hati. . . . Carilah dan kumpulkan lebih banyak lagi.” Sudah tentu, usaha yang gigih diperlukan untuk mempelajari kebenaran, tetapi usaha itu memang berbaloi.

16. Apakah kaedah pembelajaran yang berkesan bagi anda? (Amsal 2:4-6)

16 Bukan semua orang suka membaca dan belajar. Tetapi Yehuwa menjemput kita untuk “terus mencari” dan “berusaha mendapatkan” kebenaran yang mendalam. (Baca Amsal 2:4-6.) Jika kita berbuat demikian, kita pasti meraih manfaat. Seorang saudara yang bernama Corey berkata bahawa setiap kali dia membaca Bible, dia akan bertumpu kepada satu ayat Bible sahaja. Dia berkata, “Saya akan membaca semua nota kaki, semua rujukan silang, dan membuat penyelidikan tambahan. . . . Saya belajar banyak hal melalui kaedah ini.” Tidak kira kita menggunakan kaedah ini atau kaedah lain, jika kita meluangkan masa dan usaha untuk membuat pembelajaran, kita menunjukkan bahawa kita menghargai kebenaran.​—Mzm. 1:1-3.

17. Bagaimanakah kita dapat hidup selaras dengan kebenaran? (Yakobus 1:25)

17 Sudah tentu, sekadar mempelajari kebenaran tidak cukup untuk meraih manfaat yang sepenuhnya. Kita juga perlu hidup selaras dengan kebenaran yang dipelajari. Dengan berbuat demikian, barulah kebenaran dapat membawa kebahagiaan sejati. (Baca Yakobus 1:25.) Namun, bagaimanakah kita dapat memastikan bahawa kita hidup selaras dengan kebenaran? Seorang saudara memberikan cadangan berikut: “Periksalah diri sendiri dan kenal pasti kekuatan dan kelemahan anda. Kemudian, berusahalah untuk memperbaiki kelemahan anda.” Rasul Paulus menulis, “Tidak kira apa tahap kemajuan kita, marilah kita terus maju dengan cara yang sama.”​—Flp. 3:16.

18. Mengapakah kita berusaha sedaya upaya untuk “tetap berjalan mengikut kebenaran”?

18 Alangkah besarnya manfaat yang kita raih jika kita berusaha sedaya upaya untuk “tetap berjalan mengikut kebenaran”! Kita bukan sahaja meningkatkan mutu kehidupan kita, tetapi kita juga menggembirakan hati Yehuwa dan rakan seiman kita. (Ams. 27:11; 3 Yoh. 4) Ya, kita sememangnya mempunyai sebab yang baik untuk mencintai kebenaran dan hidup selaras dengannya!

LAGU 144 Tataplah Pahala!

^ Kita sering menggunakan perkataan “kebenaran” untuk merujuk kepada kepercayaan dan cara hidup kita. Tidak kira kita sudah lama atau masih baru dalam kebenaran, kita semua dapat meraih manfaat jika kita memikirkan sebabnya kita mencintai kebenaran. Dengan berbuat demikian, kita dapat menguatkan tekad kita untuk menyenangkan hati Yehuwa.