Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 36

Umat Yehuwa Mencintai Apa yang Benar

Umat Yehuwa Mencintai Apa yang Benar

“Yehuwa mengasihi orang yang berbuat benar.”​—MZM. 146:8.

LAGU 9 Yehuwa Raja Kita!

PENGENALAN *

1. Apakah cubaan yang dihadapi oleh Yusuf, dan apakah reaksinya?

 YUSUF anak Yakub menghadapi cubaan yang susah. Dia merupakan hamba di rumah tangga Potifar, dan isteri Potifar selalu berkata kepadanya, “Tidurlah dengan aku.” Namun, Yusuf menolak. Ada orang hari ini mungkin tertanya-tanya mengapa Yusuf menolak godaan itu. Potifar tiada di rumah, dan Yusuf pula seorang hamba. Jika dia tidak menuruti keinginan isteri Potifar, hidupnya pasti susah. Tetapi Yusuf tetap menolak godaannya. Mengapa? Dia berkata, “Bagaimana mungkin aku melakukan perbuatan sejahat ini dan berdosa terhadap Tuhan?”​—Kej. 39:7-12.

2. Bagaimanakah Yusuf tahu bahawa perbuatan zina adalah salah di mata Tuhan?

2 Hukum Musa mengandungi perintah “Jangan berzina,” tetapi hukum itu ditulis kira-kira 200 tahun selepas zaman Yusuf. (Kel. 20:14) Jadi, bagaimanakah Yusuf tahu bahawa perbuatan zina adalah salah di mata Tuhan? Yusuf begitu mengenali Yehuwa sehingga dia tahu pandangan Tuhan terhadap perbuatan yang tidak bermoral. Sebagai contoh, Yusuf tahu bahawa Yehuwa mengasaskan aturan perkahwinan untuk seorang lelaki dan seorang wanita. Dia juga tahu bagaimana Yehuwa pernah bertindak sebanyak dua kali untuk melindungi moyangnya Sara daripada diambil oleh lelaki lain. Dia juga pernah dengar bagaimana Tuhan melindungi isteri Ishak, iaitu Ribka, dalam cara yang sama. (Kej. 2:24; 12:14-20; 20:2-7; 26:6-11) Dengan merenungkan peristiwa-peristiwa ini, Yusuf mengetahui apa yang benar dan salah di mata Tuhan. Yusuf mengasihi Tuhannya. Jadi dia pun mencintai standard Yehuwa dan bertekad untuk menjunjungnya.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Adakah anda mencintai apa yang benar? Sudah tentu. Namun kita tidak sempurna, dan jika kita tidak berhati-hati, pandangan dunia ini dapat mempengaruhi kita dengan mudah. (Yes. 5:20; Rm. 12:2) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan maksud melakukan apa yang benar dan manfaat yang akan kita raih kerana mencintai apa yang benar. Kemudian kita akan membincangkan tiga langkah yang dapat membantu kita untuk lebih mencintai standard Yehuwa.

APAKAH MAKSUD MELAKUKAN APA YANG BENAR?

4. Melakukan apa yang benar tidak bermaksud apa?

4 Pemimpin agama pada zaman Yesus berfikir bahawa mereka melakukan apa yang benar. Tetapi Yesus mengutuk mereka kerana mereka selalu memandang rendah terhadap orang lain dan bertindak menurut standard sendiri. Sesetengah orang hari ini juga memiliki sikap yang sama. Mereka berasa mereka tidak pernah berbuat dosa, tetapi mereka menurut standard sendiri. Selalunya mereka sombong dan berfikir bahawa mereka lebih baik daripada orang lain. (Pkh. 7:16; Luk. 16:15) Sifat-sifat sedemikian tidak menyenangkan hati Yehuwa dan tidak dianggap sebagai apa yang benar di mata-Nya.

5. Menurut Bible, apakah maksud melakukan apa yang benar? Berikan contoh.

5 Menurut Bible, “melakukan apa yang benar” bermaksud hidup menurut standard yang tertinggi, iaitu standard Yehuwa. Sebagai contoh, Yehuwa memerintahkan para peniaga untuk menggunakan ‘alat penimbang yang tepat.’ (Ul. 25:15) Perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai “tepat” juga boleh diterjemahkan sebagai “jujur” atau “apa yang benar.” Jadi, orang Kristian yang ingin melakukan apa yang benar di mata Tuhan mesti sentiasa berlaku jujur semasa berniaga. Orang yang melakukan apa yang benar juga mencintai keadilan dan tidak suka melihat orang ditindas. Selain itu, seseorang yang melakukan apa yang benar akan memikirkan pandangan Yehuwa sebelum membuat keputusan, supaya dia dapat “menyenangkan hati [Yehuwa] dengan sepenuhnya.”​—Kol. 1:10.

6. Mengapakah Yehuwa berhak untuk menentukan apa yang betul dan apa yang salah? (Yesaya 55:8, 9)

6 Bible menggambarkan Yehuwa sebagai Sumber segala sesuatu yang adil dan benar. (Yer. 50:7) Yehuwa sahajalah yang berhak menentukan apa yang betul dan apa yang salah kerana Dia ialah Pencipta kita. Selain itu, Yehuwa sempurna. Jadi pandangan-Nya terhadap apa yang betul dan apa yang salah jauh lebih unggul daripada pandangan kita yang dipengaruhi oleh ketidaksempurnaan dan dosa. (Ams. 14:12; baca Yesaya 55:8, 9.) Walaupun kita tidak sempurna, kita diciptakan menurut gambaran Tuhan. Jadi kita mampu melakukan apa yang benar di mata Tuhan. (Kej. 1:27) Oleh sebab kita mengasihi Yehuwa, kita mahu berusaha sedaya upaya untuk meniru teladan-Nya dan hidup selaras dengan standard-Nya.​—Ef. 5:1.

7. Mengapakah kita memerlukan standard yang tidak berubah-ubah? Jelaskan.

7 Fikirkan hal ini: Jika setiap bank mempunyai standard sendiri untuk menentukan nilai mata wang, atau jika setiap syarikat pembinaan mempunyai unit ukuran tersendiri, dunia akan huru-hara. Selain itu, jika pakar perubatan tidak mempunyai standard penjagaan pesakit yang konsisten, sesetengah pesakit mungkin mati. Jadi standard yang tidak berubah-ubah dapat melindungi kita. Begitu juga, jika kita mengikut standard Tuhan tentang apa yang betul dan apa yang salah, kita meraih manfaat dan dilindungi.

8. Apakah berkat yang menantikan orang yang suka melakukan apa yang benar?

8 Yehuwa memberkati orang yang berusaha untuk hidup mengikut standard-Nya. Dia berjanji, “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.” (Mzm. 37:29) Dapatkah anda bayangkan keadaannya semasa semua orang hidup menurut standard Yehuwa? Semua orang akan hidup bersatu, damai, dan bahagia. Yehuwa ingin anda menikmati kehidupan sebegini. Jadi kita semua ada sebab yang baik untuk mencintai apa yang benar. Namun, bagaimanakah kita dapat semakin mencintai apa yang benar? Mari kita perhatikan tiga langkah berikut.

CARA MEMPERDALAM KASIH ANDA TERHADAP STANDARD YEHUWA

9. Apakah yang dapat membantu kita mencintai apa yang benar?

9 Langkah 1: Kasihi Tuhan yang menetapkan standard untuk kita. Untuk mencintai apa yang benar, kita perlu memperdalam kasih kita terhadap Tuhan yang menetapkan standard bagi apa yang betul dan salah. Apabila kita semakin mengasihi Yehuwa, keinginan kita untuk melakukan apa yang benar akan semakin kuat. Fikirkan: Jika Adam dan Hawa mengasihi Yehuwa, mereka pasti tidak akan mengingkari perintah-Nya.​—Kej. 3:1-6, 16-19.

10. Apakah yang dilakukan oleh Abraham agar dia lebih memahami pemikiran Yehuwa?

10 Sudah tentu, kita tidak mahu mengulangi kesilapan Adam dan Hawa. Jadi kita perlu terus belajar tentang Yehuwa, menghargai sifat-sifat-Nya, dan memahami cara pemikiran-Nya. Jika kita berbuat demikian, kasih kita kepada Yehuwa akan bertambah. Mari kita lihat contoh Abraham. Dia sangat mengasihi Yehuwa. Apabila dia tidak memahami keputusan yang dibuat oleh Yehuwa, Abraham tidak memberontak. Sebaliknya dia cuba mengenali Yehuwa dengan lebih baik lagi. Misalnya, apabila Abraham mengetahui bahawa Yehuwa akan memusnahkan Sodom dan Gomora, pada mulanya dia takut bahawa “Hakim bagi seluruh bumi” akan melenyapkan orang baik bersama orang jahat. Bagi Abraham, hal itu tidak masuk akal. Jadi dia menanya Yehuwa beberapa soalan untuk memahami pemikiran-Nya, dan Yehuwa menjawab semua soalan Abraham dengan sabar. Akhirnya Abraham sedar bahawa Yehuwa memeriksa hati setiap manusia dan tidak akan memusnahkan orang baik bersama orang jahat.​—Kej. 18:20-32.

11. Bagaimanakah Abraham menunjukkan bahawa dia mengasihi Yehuwa dan percaya kepada-Nya?

11 Perbualan Abraham dengan Yehuwa tentang Sodom dan Gomora telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadapnya. Perbualan itu membuatnya lebih mengasihi dan menghormati Bapanya yang di syurga. Bertahun-tahun kemudian, Abraham menghadapi cabaran besar yang menguji keyakinannya terhadap Yehuwa. Dia disuruh mengorbankan anak kesayangannya Ishak. Tetapi kali ini, Abraham sudah lebih mengenali Tuhan. Jadi dia menurut perintah Tuhan tanpa menanya apa-apa. Meskipun begitu, bayangkan betapa sedihnya Abraham semasa dia bersedia untuk mengorbankan Ishak. Dia pasti telah memikirkan apa yang dipelajarinya tentang Yehuwa selama ini. Dia tahu bahawa Yehuwa tidak akan melakukan apa-apa yang jahat atau kejam. Menurut Rasul Paulus, Abraham juga tahu bahawa Yehuwa mampu membangkitkan anaknya Ishak. (Ibr. 11:17-19) Lagipun, Yehuwa sudah berjanji bahawa Ishak akan jadi bapa kepada bangsa yang besar, dan pada masa itu Ishak belum lagi mempunyai anak. Abraham mengasihi Yehuwa. Jadi dia yakin bahawa Bapanya pasti melakukan apa yang benar. Jadi, walaupun perintah Yehuwa susah dilakukan, Abraham telah mematuhi-Nya kerana dia beriman.​—Kej. 22:1-12.

12. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Abraham? (Mazmur 73:28)

12 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Abraham? Seperti Abraham, kita perlu terus belajar tentang Yehuwa. Apabila kita berbuat demikian, kita akan lebih akrab dengan-Nya dan akan semakin mengasihi-Nya. (Baca Mazmur 73:28.) Hati nurani kita juga akan dilatih untuk bertindak selaras dengan fikiran Yehuwa. (Ibr. 5:14) Hasilnya, apabila seseorang menggoda kita untuk melakukan apa yang salah, kita tidak akan tergoda. Kita juga tidak akan terfikir untuk melakukan apa-apa yang dapat menyakiti hati Yehuwa dan menjejaskan hubungan kita dengan-Nya. Apakah satu cara lagi kita dapat menunjukkan bahawa kita mencintai apa yang benar?

13. Bagaimanakah kita dapat belajar untuk melakukan apa yang benar? (Amsal 15:9)

13 Langkah 2: Berusaha setiap hari untuk lebih mencintai apa yang benar. Untuk mempunyai otot yang kuat, kita harus bersenam setiap hari. Begitu juga, untuk lebih mencintai apa yang benar, kita harus mencurahkan usaha yang berterusan setiap hari. Yehuwa munasabah, dan Dia tidak mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan kita. (Mzm. 103:14) Dia meyakinkan kita bahawa “Dia mengasihi orang yang berusaha melakukan apa yang benar.” (Baca Amsal 15:9.) Untuk mencapai matlamat rohani tertentu, kita harus mencurahkan usaha yang berterusan. Begitu juga, kita memerlukan usaha yang berterusan untuk mencintai apa yang benar. Namun kita yakin bahawa Tuhan kita yang sabar akan membantu kita membuat kemajuan langkah demi langkah.​—Mzm. 84:5, 7.

14. Apakah itu “perisai dada,” dan mengapakah kita memerlukannya?

14 Yehuwa mengingatkan kita bahawa mencintai apa yang benar bukanlah sesuatu yang membebankan. (1 Yoh. 5:3) Sebaliknya, kita perlu mencintai apa yang benar setiap hari kerana sikap itu dapat melindungi kita. Adakah anda masih ingat perlengkapan perang rohani yang disebut oleh Rasul Paulus? (Ef. 6:14-18) Bahagian manakah yang melindungi jantung seorang askar? “Perisai dada,” iaitu standard Yehuwa yang benar. Sebagaimana perisai dada dapat melindungi jantung askar, standard Yehuwa yang benar dapat melindungi hati anda. Oleh itu, pastikanlah perlengkapan perang rohani anda sentiasa mempunyai bahagian perisai dada, iaitu standard Yehuwa yang benar!​—Ams. 4:23.

15. Bagaimanakah anda dapat mengenakan perisai dada rohani?

15 Bagaimanakah anda dapat mengenakan perisai dada, iaitu standard Yehuwa yang benar? Anda dapat berbuat demikian dengan memikirkan pandangan Yehuwa semasa membuat keputusan setiap hari. Sebelum memilih topik perbualan, muzik, hiburan, atau buku, tanyalah diri, “Apakah yang saya akan masukkan ke dalam hati saya? Adakah kandungannya diterima oleh Yehuwa? Adakah kandungannya mempunyai perkara yang salah di mata Yehuwa, seperti perbuatan yang tidak bermoral, keganasan, ketamakan, atau perbuatan yang mementingkan diri sendiri?” (Flp. 4:8) Jika anda membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa, anda sedang membiarkan standard Yehuwa yang benar untuk melindungi hati anda.

Perbuatan baik anda dapat “menjadi seperti ombak laut” (Lihat perenggan 16-17)

16-17. Bagaimanakah Yesaya 48:18 meyakinkan kita bahawa kita dapat hidup selaras dengan standard Yehuwa buat selama-lamanya?

16 Adakah anda risau anda tidak dapat hidup selaras dengan standard Yehuwa buat selama-lamanya? Perhatikan perumpamaan yang digunakan oleh Yehuwa di Yesaya 48:18. (Baca.) Yehuwa berjanji bahawa perbuatan baik kita “akan menjadi seperti ombak laut.” Bayangkan anda berdiri di tepi laut sambil melihat ombak yang tidak berhenti-henti memukul pantai. Pernahkah anda risau bahawa ombak akan berhenti suatu hari nanti? Tidak. Ombak tidak pernah jemu memukul pantai sejak ribuan tahun dahulu dan pasti akan berterusan buat selama-lamanya.

17 Bagaimanakah perbuatan baik anda dapat menjadi seperti ombak laut? Sebelum membuat keputusan, fikirkan terlebih dahulu apa yang dikehendaki oleh Yehuwa. Kemudian, bertindaklah selaras dengan kehendak Yehuwa. Biarpun keputusan itu sangat susah, yakinlah bahawa Bapa anda yang pengasih pasti menyertai anda, memberi anda kekuatan, dan membantu anda untuk hidup selaras dengan standard-Nya yang benar setiap hari.​—Yes. 40:29-31.

18. Mengapakah kita tidak harus menghakimi orang berdasarkan standard kita jika kita ingin berusaha hidup selaras dengan standard Yehuwa yang benar?

18 Langkah 3: Biar Yehuwa yang menjadi Hakim. Kita berusaha untuk hidup selaras dengan standard Yehuwa yang benar. Pada masa yang sama, kita tidak patut menghakimi orang lain dan menganggap diri kita lebih baik daripada mereka. Ingatlah, Yehuwa ialah “Hakim bagi seluruh bumi,” dan Dia tidak memberi kita tugas untuk menghakimi orang lain. (Kej. 18:25) Jadi, kita tidak berhak untuk menentukan sama ada orang lain mematuhi standard Yehuwa atau tidak. Yesus menyuruh kita, “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi.”​—Mat. 7:1. *

19. Bagaimanakah Yusuf menunjukkan keyakinannya bahawa Yehuwa sahajalah yang berhak untuk menghakimi?

19 Fikirkan lagi contoh Yusuf. Dia tidak menghakimi orang lain, bahkan orang yang melayannya dengan buruk. Abang-abangnya telah memperlakukannya dengan teruk, menjualnya sebagai hamba, dan membuat bapa mereka percaya bahawa Yusuf sudah mati. Bertahun-tahun kemudian, Yusuf berjumpa lagi dengan abang-abangnya. Pada masa itu, dia sudah menjadi pemerintah yang berkuasa. Jadi, walaupun abang-abang Yusuf menyesali perbuatan mereka, mereka masih takut Yusuf akan melayan mereka dengan kejam dan membalas dendam terhadap mereka. Tetapi Yusuf meyakinkan mereka, “Janganlah takut. Adakah aku ini Tuhan yang dapat menghakimi kamu?” (Kej. 37:18-20, 27, 28, 31-35; 50:15-21) Ya, dengan rendah hati, Yusuf sedar bahawa hanya Yehuwa yang berhak untuk menghakimi.

20-21. Jika kita tidak mahu menganggap diri lebih baik daripada orang lain, kita harus mengelakkan perbuatan apa?

20 Seperti Yusuf, kita membiarkan Yehuwa yang menjadi Hakim. Sebagai contoh, kita tidak akan membuat andaian tentang niat hati saudara saudari kita. Kita tidak dapat membaca isi hati orang; hanya ‘Yehuwalah yang akan memeriksa niat hati mereka.’ (Ams. 16:2) Yehuwa mengasihi orang daripada pelbagai budaya dan latar belakang, dan Dia menggalakkan kita untuk ‘membuka hati kita lebar-lebar.’ (2 Kor. 6:13) Jadi kita mahu mengasihi semua orang dalam keluarga rohani kita dan bukannya menghakimi mereka.

21 Kita juga tidak patut menghakimi orang yang di luar sidang. (1 Tim. 2:3, 4) Jadi, jika anda mempunyai saudara-mara yang tidak seiman, adakah anda akan berkata, “Mereka tidak mungkin menerima kebenaran”? Jika anda berkata demikian, anda sudah bersikap sombong dan menganggap diri lebih baik daripada orang lain. Yehuwa masih memberi “semua orang di merata tempat” peluang untuk bertaubat. (Kis. 17:30) Ingatlah, jika kita menganggap diri lebih baik daripada orang lain, hal itu salah di mata Tuhan.

22. Mengapakah anda bertekad untuk mencintai apa yang benar?

22 Semoga kasih kita terhadap standard Yehuwa membawa sukacita dan membantu kita untuk menjadi teladan yang baik bagi orang lain. Dengan itu, mereka akan lebih mengasihi kita dan Tuhan. Semoga kita terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. Yakinlah bahawa Yehuwa melihat dan menghargai usaha anda. Biarpun orang di dunia ini makin hari makin jahat, janganlah putus asa. Ingatlah, “Yehuwa mengasihi orang yang berbuat benar.”​—Mzm. 146:8.

LAGU 139 Bayangkan Dirimu di Dunia Baharu

^ Dalam dunia jahat ini, adalah susah untuk mencari orang yang melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. Namun hari ini terdapat jutaan orang yang berusaha untuk melakukan apa yang benar. Anda tentu salah seorang daripada mereka. Yehuwa mengasihi apa yang benar dan anda mengasihi-Nya. Jadi anda berusaha untuk melakukan apa yang benar. Bagaimanakah anda dapat semakin mencintai apa yang benar di mata Tuhan? Rencana ini akan membincangkan maksudnya melakukan apa yang benar dan manfaat yang kita raih kerana mencintai apa yang benar. Kita juga akan membincangkan tiga langkah yang dapat membantu kita untuk lebih mencintai apa yang benar.

^ Ada kalanya para penatua perlu menjadi hakim semasa seseorang di sidang melakukan dosa yang serius atau bertaubat. (1 Kor. 5:11; 6:5; Yak. 5:14, 15) Dengan rendah hati, mereka ingat bahawa mereka tidak dapat membaca isi hati dan bahawa mereka ialah hakim bagi pihak Yehuwa. (Bandingkan 2 Tawarikh 19:6.) Semasa membuat keputusan, mereka akan meniru teladan Yehuwa dengan bersikap munasabah, adil, dan berbelas kasihan.