Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 33

Belajarlah daripada Teladan Daniel

Belajarlah daripada Teladan Daniel

“Engkau sangat berharga di mata Tuhan.”​—DAN. 9:23.

LAGU 73 Berilah Kami Keberanian

PENGENALAN a

1. Mengapakah orang Babilon berasa kagum terhadap Nabi Daniel?

 SEMASA muda, Nabi Daniel ditawan oleh orang Babilon dan dibawa jauh dari rumahnya. Namun, orang Babilon sangat kagum dengan Daniel. Mereka “melihat rupa luaran” Daniel dan mendapati bahawa dia ‘tidak bercacat cela, kacak,’ dan berasal daripada keturunan bangsawan. (1 Sam. 16:7) Itulah sebabnya orang Babilon melatihnya supaya dapat berkhidmat di istana.​—Dan. 1:3, 4, 6.

2. Apakah pandangan Yehuwa terhadap Daniel? (Yehezkiel 14:14)

2 Yehuwa mengasihi Daniel, bukan kerana rupanya atau kedudukannya, tetapi kerana Daniel memilih untuk menyembah-Nya dengan setia. Pernah sekali, Yehuwa memujinya dan menyebutnya bersama-sama Nuh dan Ayub, orang yang telah menyembah Tuhan dengan setia selama puluhan tahun. Pada masa itu, Daniel mungkin hanya berumur lewat belasan tahun atau awal 20-an. (Kej. 5:32; 6:9, 10; Ayb. 42:16, 17; baca Yehezkiel 14:14.) Daniel telah hidup lebih daripada 90 tahun. Sepanjang masa itu, dia menghadapi banyak cabaran, tetapi dia tetap berharga di mata Tuhan.​—Dan. 10:11, 19.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Dalam rencana ini, kita akan mengkaji dua sifat Daniel yang membuatnya berharga di mata Tuhan, iaitu keberaniannya dan kesetiaannya. Mula-mula, kita akan belajar maksud sifat-sifat itu dan bila Daniel menunjukkannya. Kemudian, kita akan lihat apa yang membantu Daniel untuk memupuk sifat-sifat itu. Akhir sekali, kita akan bincang bagaimana kita dapat meniru teladannya. Walaupun rencana ini ditujukan kepada kaum muda, kita semua dapat belajar daripada teladan Daniel.

TIRULAH KEBERANIAN DANIEL

4. Bagaimanakah Daniel menunjukkan keberanian? Berikan contoh.

4 Orang yang berani pun mungkin berasa takut, namun mereka tidak membiarkan rasa takut itu menghalang mereka daripada melakukan apa yang benar. Perhatikan dua peristiwa di mana Daniel menunjukkan keberanian. Peristiwa yang pertama mungkin berlaku kira-kira dua tahun selepas tentera Babilon membinasakan Yerusalem. Nebukadnezar, iaitu raja Babilon, nampak sebuah patung besar dalam mimpinya. Mimpi itu membuatnya sangat runsing, maka dia mengugut hendak membunuh semua orang bijak, termasuk Daniel, jika mereka tidak dapat memberitahunya apa yang dilihatnya dalam mimpi dan maksud mimpi itu. (Dan. 2:3-5) Daniel perlu segera bertindak. Jika tidak, ramai orang akan mati. Jadi Daniel “menghadap raja untuk memohon agar dia diberi masa untuk menjelaskan erti mimpi itu kepada raja.” (Dan. 2:16) Untuk berbuat demikian, dia perlu berani dan beriman, kerana menurut catatan Bible, Daniel tidak pernah menjelaskan erti mimpi sebelum itu. Daniel meminta rakan-rakannya, iaitu Sadrakh, Mesakh, dan Abednego, untuk “berdoa agar Tuhan di syurga menunjukkan belas kasihan kepada mereka dan menyingkapkan rahsia itu kepada mereka.” b (Dan. 2:18) Yehuwa telah menjawab doa mereka dan membantu Daniel menjelaskan maksud mimpi Nebukadnezar. Hasilnya, Daniel dan rakan-rakannya tidak dibunuh.

5. Apakah satu lagi peristiwa yang menguji keberanian Daniel?

5 Beberapa waktu selepas Daniel menjelaskan maksud mimpi tentang patung besar itu, keberaniannya diuji sekali lagi. Nebukadnezar mendapat satu lagi mimpi yang mengerikan tentang pokok yang besar. Daniel perlu berani untuk menjelaskan maksud mimpi itu, kerana dia harus menyampaikan berita bahawa Raja Nebukadnezar akan menjadi gila dan tidak dapat memerintah untuk suatu ketika. (Dan. 4:25) Jika raja mendengar hal itu, dia mungkin naik marah dan membunuh Daniel. Namun Daniel menyampaikan perkhabaran itu dengan berani.

6. Apakah yang mungkin membantu Daniel untuk bersikap berani?

6 Apakah yang mungkin membantu Daniel untuk bersikap berani sepanjang hidupnya? Semasa Daniel muda, dia pasti telah belajar daripada teladan ibu bapanya. Mereka tentu mematuhi arahan Yehuwa untuk mengajar anak-anak tentang Hukum Tuhan. (Ul. 6:6-9) Daniel bukan sahaja tahu hal-hal yang asas, seperti Sepuluh Hukum, tetapi dia juga tahu binatang apa yang boleh dimakan dan binatang apa yang dianggap haram. c (Im. 11:4-8; Dan. 1:8, 11-13) Selain itu, Daniel belajar tentang sejarah umat Tuhan dan tahu apa yang berlaku semasa mereka tidak hidup selaras dengan standard Yehuwa. (Dan. 9:10, 11) Pengalaman Daniel sepanjang hidupnya juga meyakinkannya bahawa Yehuwa dan malaikat-malaikat-Nya yang perkasa sedang menyokongnya.​—Dan. 2:19-24; 10:12, 18, 19.

Daniel dapat menjadi berani kerana dia mengkaji Firman Tuhan, berdoa, dan percaya kepada Yehuwa (Lihat perenggan 7)

7. Apa lagi yang membantu Daniel menjadi berani? (Lihat juga gambar.)

7 Daniel juga mengkaji apa yang ditulis oleh para nabi Tuhan, termasuk nubuat-nubuat Nabi Yeremia. Hasilnya, dia mendapat tahu bahawa orang Yahudi di Babilon bakal dibebaskan. (Dan. 9:2) Semasa melihat nubuat Bible menjadi kenyataan, keyakinan Daniel kepada Yehuwa pasti bertambah kuat, dan hal itu membantunya menjadi sangat berani. (Bandingkan Roma 8:31, 32, 37-39.) Yang terpenting, Daniel dapat menjadi berani kerana dia sering berdoa kepada Bapanya yang di syurga. (Dan. 6:10) Dalam doanya, dia mengakui dosanya, mencurahkan isi hatinya, dan meminta bantuan Yehuwa. (Dan. 9:4, 5, 19) Ingatlah, Daniel pun manusia biasa seperti kita. Dia tidak memiliki keberanian sejak lahir lagi. Sebaliknya dia perlu memupuk sifat itu dengan mengkaji Firman Tuhan, berdoa, dan percaya kepada Yehuwa.

8. Bagaimanakah kita dapat memupuk keberanian?

8 Bagaimanakah kita dapat memupuk keberanian? Ibu bapa kita mungkin menggalakkan kita untuk menjadi berani, namun mereka tidak dapat mewariskan sifat itu kepada kita. Memupuk keberanian adalah seperti mempelajari kemahiran yang baharu. Satu cara kita dapat menguasai kemahiran baharu adalah dengan memerhatikan seseorang yang mahir dan meniru apa yang dilakukannya. Begitu juga, kita dapat memupuk keberanian dengan memerhatikan bagaimana orang lain menunjukkan sifat ini dan kemudian meniru teladan mereka. Daripada teladan Daniel, kita belajar bahawa kita perlu mengenali Firman Tuhan dengan baik. Kita juga harus memiliki hubungan yang rapat dengan Yehuwa dengan berdoa secara kerap dan meluahkan isi hati kita kepada-Nya. Selain itu, kita perlu yakin bahawa Yehuwa sentiasa bersedia membantu kita. Dengan melakukan hal-hal ini, kita dapat menghadapi cubaan dengan berani.

9. Apakah manfaatnya jika kita bersikap berani?

9 Sikap berani membawa banyak manfaat. Fikirkan pengalaman Ben. Di sekolahnya di Jerman, semua orang mempercayai teori evolusi dan berpendapat bahawa kisah Bible tentang penciptaan ialah cerita dongeng. Suatu hari, Ben diberi peluang untuk berdiri di depan kelas dan menjelaskan mengapa dia percaya bahawa kehidupan diciptakan. Apakah hasilnya selepas Ben menjelaskan kepercayaannya dengan berani? Dia berkata, “Guru saya mendengar dengan teliti. Dia juga mengambil maklumat yang saya gunakan untuk membuat pembentangan dan membuat salinan bagi setiap pelajar dalam kelas.” Bagaimana pula dengan reaksi rakan sekelas Ben? Ben menjelaskan, “Ramai daripada mereka berfikiran terbuka, dan mereka kata mereka kagum dengan saya.” Pengalaman Ben menunjukkan bahawa jika kita berani, orang lain biasanya akan menghormati kita. Sikap kita juga mungkin mendorong orang yang berhati jujur untuk belajar tentang Yehuwa. Ya, kita ada sebab yang baik untuk memupuk keberanian.

TIRULAH KESETIAAN DANIEL

10. Apakah itu kesetiaan?

10 Dalam Bible, perkataan Ibrani bagi “kesetiaan” atau “kasih setia” menggambarkan ikatan atau hubungan yang kukuh antara dua pihak yang sangat mengasihi satu sama lain. Perkataan Ibrani ini sering digunakan untuk menggambarkan perasaan Tuhan terhadap sahabat-sahabat-Nya dan kasih yang ditunjukkan dalam kalangan umat Tuhan. (2 Sam. 9:6, 7) Yehuwa juga mahu kita tetap setia kepada-Nya, dan kita semua dapat terus menguatkan kesetiaan kita. Perhatikan bagaimana Daniel memupuk dan menguatkan kesetiaannya.

Yehuwa memberkati kesetiaan Daniel dengan menghantar satu malaikat untuk menutup mulut singa (Lihat perenggan 11)

11. Bagaimanakah kesetiaan Daniel diuji semasa dia sudah tua? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

11 Kesetiaan Daniel kepada Yehuwa diuji sepanjang hidupnya. Tetapi dia menghadapi ujian yang terbesar semasa dia berumur lebih daripada 90 tahun. Pada masa itu, Babilon ditawan oleh Media dan Persia, dan rajanya ialah Raja Darius. Pegawai-pegawai istana tidak suka Daniel dan Tuhan yang disembahnya. Maka mereka berkomplot untuk membunuh Daniel. Mereka memujuk raja untuk mengeluarkan satu perintah yang akan menunjukkan sama ada Daniel setia kepada Tuhan atau kepada raja. Jika Daniel mahu membuktikan bahawa dia setia kepada raja seperti semua orang di sekelilingnya, dia hanya perlu berhenti berdoa kepada Yehuwa selama 30 hari. Tetapi Daniel enggan berkompromi. Akibatnya, dia dibuang ke dalam gua singa. Namun Yehuwa memberkati kesetiaan Daniel dengan menyelamatkannya. (Dan. 6:12-15, 20-22) Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Daniel dan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa?

12. Bagaimanakah Daniel memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bahagi?

12 Seperti yang dibincangkan tadi, kesetiaan berkait rapat dengan kasih. Daniel memiliki kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa kerana dia amat mengasihi Bapanya yang di syurga. Sudah tentu, Daniel memiliki kasih yang begitu mendalam kerana dia merenungkan bagaimana Yehuwa menunjukkan sifat-sifat-Nya yang mulia. (Dan. 9:4) Daniel juga merenungkan segala perkara baik yang dilakukan oleh Yehuwa baginya dan umat Tuhan, dan hal ini membuat hatinya dipenuhi rasa syukur.​—Dan. 2:20-23; 9:15, 16.

Seperti Daniel, anda dapat memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa jika anda mengasihi-Nya dengan mendalam (Lihat perenggan 13)

13. (a) Bagaimanakah kesetiaan kaum muda kita diuji? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.) (b) Seperti yang ditunjukkan dalam video, bagaimanakah anda akan menjawab orang yang bertanya sama ada Saksi-Saksi Yehuwa menyokong orang yang memilih gaya hidup homoseksual atau tidak?

13 Seperti Daniel, kaum muda kita dikelilingi oleh orang yang tidak menghormati Yehuwa dan piawaian-Nya. Mereka mungkin membenci orang yang mencintai Tuhan. Ada yang bahkan membuli kaum muda kita agar mereka tidak tetap setia kepada Yehuwa. Perhatikan apa yang berlaku kepada seorang saudara muda di Australia yang bernama Gabriel. d Semasa di sekolah menengah, cikgunya bertanya kepada seluruh kelas apa reaksi mereka jika salah seorang rakan sekelas memberitahu mereka bahawa dia ialah seorang homoseksual. Kemudian cikgu itu menyuruh semua orang yang akan menyokong rakan itu untuk berdiri di satu sisi bilik darjah, dan orang yang tidak menyokongnya untuk berdiri di sisi yang lain. Gabriel berkata, “Semua orang di dalam kelas saya menyokong gaya hidup homoseksual kecuali saya dan seorang lagi Saksi.” Apa yang berlaku selepas itu betul-betul menguji kesetiaan Gabriel kepada Yehuwa. Dia berkata, “Selama satu jam, murid-murid lain dan bahkan cikgu pun mencemuh dan menghina kami. Saya berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan kepercayaan saya dalam cara yang tenang dan munasabah, tetapi mereka enggan mendengar sepatah kata pun.” Apakah kesan peristiwa itu kepada Gabriel? Dia berkata, “Saya memang tidak suka menjadi sasaran serangan sebegitu, tetapi saya berasa sangat gembira kerana dapat mempertahankan kepercayaan saya tanpa berkompromi.” e

14. Apakah yang dapat membantu kita memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa?

14 Seperti Daniel, kita dapat memupuk kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada Yehuwa jika kita mempunyai kasih yang mendalam kepada-Nya. Untuk memperdalam kasih kita kepada Tuhan, kita boleh belajar tentang sifat-sifat-Nya. Sebagai contoh, kita boleh mengkaji ciptaan Yehuwa. (Rm. 1:20) Untuk membantu anda lebih mengasihi dan menghormati Yehuwa, cubalah menonton video atau membaca rencana singkat dalam siri “Siapakah Perekanya?” Anda juga boleh mengkaji maklumat dalam brosur Adakah Kehidupan Diciptakan? dan Asal Usul Kehidupan​—Lima Soalan yang Patut Difikirkan. Perhatikan apa yang dikatakan Esther, seorang saudari muda dari Denmark, tentang bahan-bahan terbitan ini, “Penjelasannya sangat bagus. Brosur-brosur ini tidak memaksa kamu mempercayai sesuatu, tetapi hanya mengemukakan fakta supaya kamu boleh membuat kesimpulan sendiri.” Ben, yang disebut tadi, berkata, “Maklumatnya menguatkan iman saya dan meyakinkan saya bahawa Tuhanlah yang menciptakan kehidupan.” Selepas mengkaji bahan-bahan ini, anda mungkin akan setuju dengan ayat Bible yang menyatakan, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa, kerana Engkau menciptakan segala sesuatu.”​—Why. 4:11. f

15. Apakah satu lagi cara kita dapat memupuk hubungan yang rapat dengan Yehuwa?

15 Satu lagi cara kita dapat menguatkan kasih kita terhadap Yehuwa adalah dengan mengkaji kehidupan Anak-Nya, Yesus. Samira, seorang saudari muda di Jerman, berkata, “Saya lebih mengenali Yehuwa melalui Yesus.” Semasa kecil, Samira tidak dapat faham bahawa Yehuwa mengasihinya dan ingin menjadi sahabatnya. Tetapi dia dapat memahami perasaan Yesus. Dia berkata, “Saya suka Yesus kerana dia ramah dan sayang kanak-kanak.” Semakin banyak dia belajar tentang Yesus, semakin rapat hubungannya dengan Yehuwa. Mengapa? Dia kata, “Secara beransur-ansur, saya faham bahawa Yesus mencerminkan sifat-sifat Yehuwa dengan sempurna. Sifat mereka sangat mirip. Saya sedar bahawa salah satu sebab Yehuwa mengutus Yesus ke bumi adalah supaya manusia dapat mengenali Yehuwa dengan lebih baik.” (Yoh. 14:9) Jika anda ingin menguatkan hubungan anda dengan Yehuwa, luangkanlah masa untuk belajar lebih banyak tentang Yesus. Dengan itu, anda akan semakin mengasihi Yehuwa dan bertekad untuk tetap setia kepada-Nya.

16. Apakah manfaatnya jika kita memupuk kesetiaan? (Mazmur 18:25; Mikha 6:8)

16 Kesetiaan ialah kunci kepada persahabatan yang erat dan berkekalan. (Rut 1:14-17) Tambahan lagi, orang yang setia kepada Yehuwa dapat berasa puas dan tenang. Mengapa? Kerana Yehuwa berjanji bahawa Dia akan setia kepada orang yang setia kepada-Nya. (Baca Mazmur 18:25; Mikha 6:8.) Fikirkan hal ini: Pencipta Yang Maha Kuasa berjanji untuk sentiasa mengasihi kita, dan tiada apa-apa pun, termasuk cubaan, tentangan, atau bahkan kematian, yang dapat memisahkan kita daripada kasih-Nya! (Dan. 12:13; Luk. 20:37, 38; Rm. 8:38, 39) Maka marilah kita meniru teladan Daniel dan tetap setia kepada Yehuwa!

TERUSLAH BELAJAR DARIPADA DANIEL

17-18. Apa lagi yang dapat kita belajar daripada Daniel?

17 Dalam rencana ini, kita telah membincangkan dua sifat Daniel. Sebenarnya, terdapat banyak lagi hal yang dapat kita belajar daripadanya. Sebagai contoh, Yehuwa telah memberi Daniel beberapa penglihatan dan mimpi, dan membolehkan Daniel untuk menjelaskan nubuat di sebalik penglihatan dan mimpi itu. Banyak nubuat itu sudah pun berlaku, manakala yang lain menyebut tentang perkara yang berkaitan dengan masa depan setiap orang di bumi.

18 Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan dua nubuat yang dicatatkan oleh Daniel. Dengan memahami nubuat itu, kita semua, baik yang tua mahupun yang muda, dapat membuat keputusan yang bijak sekarang. Dua nubuat itu juga akan membantu kita menjadi lebih berani dan setia, supaya kita bersedia menghadapi cubaan yang bakal berlaku.

LAGU 119 Kita Mesti Memiliki Iman

a Hari ini, para penyembah Yehuwa yang muda menghadapi banyak cabaran. Keberanian dan kesetiaan mereka sering diuji. Contohnya, kawan-kawan mereka mungkin mencemuh mereka kerana percaya bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu. Atau mereka mungkin diejek kerana menyembah Tuhan dan hidup mengikut standard-Nya. Rencana ini akan membantu kita untuk melihat bahawa orang yang meniru teladan Nabi Daniel dan menyembah Yehuwa dengan berani dan setia ialah orang yang bijak.

b Mereka bertiga diberi nama-nama ini oleh orang Babilon.

c Mengapakah Daniel enggan makan makanan orang Babilon? Terdapat tiga kemungkinan ini: (1) Daging yang dihidangkan mungkin berasal daripada binatang yang diharamkan dalam Hukum Musa. (Ul. 14:7, 8) (2) Orang Babilon mungkin tidak menyembelih binatang dan mencurahkan darahnya dengan betul. (Im. 17:10-12) (3) Memakan makanan orang Babilon mungkin dianggap sebagai sebahagian daripada penyembahan dewa palsu.​—Bandingkan Imamat 7:15 dengan 1 Korintus 10:18, 21, 22.

d Sesetengah nama telah diubah.

f Untuk memperdalam kasih anda kepada Yehuwa, anda juga boleh mengkaji buku Hampirilah Yehuwa. Buku ini mengandungi maklumat yang terperinci tentang sifat-sifat dan keperibadian Yehuwa.