Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 42

Berbahagialah Orang yang Mengekalkan Integriti kepada Yehuwa

Berbahagialah Orang yang Mengekalkan Integriti kepada Yehuwa

“Berbahagialah orang yang hidup berintegriti, dan yang hidup menurut hukum Yehuwa.”​—MZM. 119:1, nota kaki.

LAGU 124 Selalu Setia

PENGENALAN *

Sesetengah saudara saudari yang pernah atau yang sedang dipenjarakan kerana kesetiaan mereka kepada Yehuwa (Lihat perenggan 1-2)

1-2. (a) Apakah yang dilakukan oleh sesetengah kerajaan terhadap umat Yehuwa? Namun apakah reaksi umat Yehuwa? (b) Mengapakah kita berbahagia meskipun dianiaya? (Beri komen tentang gambar pada muka depan majalah.)

 KINI kerja kita disekat atau diharamkan di lebih daripada 30 negara atau kawasan. Di sesetengah tempat itu, pihak berkuasa telah memenjarakan saudara saudari kita. Apakah kesalahan mereka? Dalam pandangan Yehuwa, mereka tidak bersalah. Mereka cuma membaca dan mengkaji Bible, mengongsi kepercayaan mereka dengan orang lain, dan menghadiri perjumpaan bersama rakan seiman. Mereka juga tetap neutral dari segi politik. Meskipun ditentang dengan kuat, hamba-hamba Tuhan yang setia ini telah mengekalkan integriti * mereka kepada Yehuwa. Mereka berbahagia kerana berbuat demikian!

2 Anda mungkin pernah melihat gambar sesetengah saudara saudari kita yang dianiaya dan memperhatikan senyuman lebar mereka. Mereka bersukacita kerana mereka tahu kesetiaan mereka menyenangkan hati Yehuwa. (1 Taw. 29:17a) Yesus berkata, “Berbahagialah orang yang dianiaya kerana melakukan apa yang benar . . . Hendaklah kamu bergembira dan melimpah dengan sukacita, kerana ganjaran kamu besar di syurga.”​—Mat. 5:10-12.

TELADAN BAGI KITA

Petrus dan Yohanes merupakan teladan baik bagi orang Kristian zaman moden yang perlu mempertahankan kepercayaan mereka di mahkamah (Lihat perenggan 3-4)

3. Seperti yang dinyatakan di Kisah 4:19, 20, apakah reaksi para rasul terhadap penganiayaan, dan mengapa?

3 Saudara saudari kita mengalami situasi yang serupa dengan para rasul pada abad pertama. Mereka dianiaya kerana menginjil tentang Yesus. Para hakim mahkamah tinggi orang Yahudi berkali-kali “melarang mereka bercakap atas nama Yesus.” (Kis. 4:18; 5:27, 28, 40) Apakah reaksi para rasul? (Baca Kisah 4:19, 20.) Mereka tahu bahawa Yesus telah ‘mengarahkan mereka untuk memberikan kesaksian yang menyeluruh’ tentangnya. (Kis. 10:42) Maka jurucakap mereka, iaitu Petrus dan Yohanes, berkata dengan berani bahawa mereka mahu mematuhi Tuhan dan bukannya para hakim yang menyuruh mereka berhenti menginjil tentang Yesus. Secara tidak langsung, mereka sedang bertanya kepada para hakim itu, “Adakah tuan rasa perintah tuan lebih penting daripada perintah Tuhan?”

4. Menurut Kisah 5:27-29, apakah yang dilakukan oleh para rasul? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan mereka?

4 Para rasul “patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.” (Baca Kisah 5:27-29.) Sampai hari ini, semua orang Kristian sejati mengikut teladan mereka. Selepas dipukul kerana tetap setia kepada Tuhan, para rasul meninggalkan mahkamah tinggi orang Yahudi. “Mereka bersukacita kerana Tuhan menganggap mereka layak dihina demi nama Yesus,” dan mereka terus menginjil!​—Kis. 5:40-42.

5. Apakah sesetengah soalan yang mungkin timbul?

5 Teladan para rasul mungkin menimbulkan beberapa soalan. Sebagai contoh, adakah keputusan mereka untuk mematuhi Tuhan dan bukannya manusia bercanggah dengan perintah Bible untuk “taat kepada pihak berkuasa”? (Rm. 13:1) Bagaimanakah kita dapat mengikut nasihat Rasul Paulus untuk “taat dan patuh kepada kerajaan dan pihak berkuasa,” dan pada masa yang sama mengekalkan integriti kepada Tuhan sebagai Pemerintah yang tertinggi?​—Tit. 3:1.

“PIHAK BERKUASA”

6. (a) Siapakah “pihak berkuasa” yang disebut di Roma 13:1? Sebagai rakyat, apakah kewajipan kita? (b) Apakah yang harus kita ingat tentang kuasa semua pemerintah manusia?

6 Baca Roma 13:1. Dalam ayat ini, perkataan “pihak berkuasa” merujuk kepada para pemerintah manusia. Orang Kristian harus mematuhi pihak berkuasa. Pihak berkuasa menjaga ketenteraman, menguatkuasakan undang-undang, dan ada kalanya bahkan mempertahankan umat Yehuwa. (Why. 12:16) Jadi sebagai rakyat, kita wajib ‘membayar cukai, memberikan ufti, takut akan mereka, dan menghormati mereka.’ (Rm. 13:7) Namun kuasa kerajaan manusia terhad. Fikirkan apa yang dikatakan oleh Yesus semasa dia disoal oleh Pontius Pilatus, iaitu Gabenor Roma. Semasa Pilatus berkata bahawa dia mempunyai kuasa untuk membebaskan Yesus atau menjatuhkan hukuman mati ke atasnya, Yesus menjawab, “Kamu sama sekali tidak berkuasa atas diriku kecuali Tuhan memberikan kuasa itu kepadamu.” (Yoh. 19:11) Seperti Pilatus, kuasa semua pemerintah manusia dan ahli politik adalah terhad. Mereka hanya boleh berkuasa jika Tuhan mengizinkannya.

7. Bilakah kita tidak akan mematuhi pihak berkuasa, dan apakah yang harus diingat oleh pihak berkuasa?

7 Orang Kristian mematuhi pihak kerajaan asalkan perintah mereka tidak bercanggah dengan hukum Tuhan. Namun, kita tidak akan mematuhi pihak berkuasa jika mereka menyuruh kita melakukan apa yang dilarang oleh Tuhan atau melarang kita melakukan apa yang diperintahkan oleh Tuhan. Sebagai contoh, pihak berkuasa mungkin menghendaki para pemuda untuk berkhidmat sebagai askar. * Atau mereka mungkin mengharamkan Bible atau bahan bacaan kita dan melarang kita menginjil atau beribadat bersama-sama. Dalam situasi sebegini, kita tidak akan mematuhi mereka. Semasa pemerintah manusia menyalahgunakan kuasa mereka, contohnya dengan menganiaya pengikut Kristus, mereka harus ingat bahawa Yehuwa sedang memerhatikan mereka dan mereka harus menjawab kepada-Nya!​—Pkh. 5:8.

8. Apakah perbezaan antara kerajaan manusia dengan Yehuwa?

8 Walaupun kerajaan manusia memiliki kuasa, mereka tidak memiliki kuasa yang tertinggi. Kuasa yang tertinggi hanya dimiliki oleh Tuhan Yang Maha Agung. Sebanyak empat kali dalam Bible, Tuhan Yehuwa diberi gelaran “Yang Maha Agung.” Maka, kuasa Tuhan Yehuwa jauh lebih besar daripada kuasa kerajaan manusia.​—Dan. 7:18, 22, 25, 27.

“TUHAN YANG MAHA AGUNG”

9. Apakah yang dilihat oleh Nabi Daniel dalam beberapa penglihatan?

9 Dalam beberapa penglihatan, Nabi Daniel nampak bagaimana Yehuwa mempunyai kuasa yang lebih tinggi daripada semua pihak berkuasa. Mula-mula, Daniel nampak empat binatang besar yang melambangkan kuasa dunia Babilon, Media dan Persia, Yunani, Roma, serta kuasa dunia zaman sekarang, iaitu kuasa dunia Inggeris dan Amerika. (Dan. 7:1-3, 17) Kemudian, Daniel nampak Tuhan Yehuwa duduk di atas takhta di mahkamah di syurga. (Dan. 7:9, 10) Apa yang dilihat oleh Daniel seterusnya merupakan amaran kepada pihak berkuasa hari ini.

10. Menurut Daniel 7:13, 14, 27, Yehuwa memberi siapa kuasa untuk memerintah seluruh bumi? Daripada hal ini, apakah yang kita pelajari tentang Yehuwa?

10 Baca Daniel 7:13, 14, 27. Tuhan mengambil kuasa pemerintahan daripada semua kerajaan manusia dan memberikannya kepada orang yang lebih layak dan lebih berkuasa. Kepada siapa? Kepada “seseorang yang kelihatan seperti anak manusia,” iaitu Yesus Kristus, dan kepada “umat suci milik Tuhan Yang Maha Agung,” iaitu 144,000 kaum terurap yang akan memerintah “untuk selama-lamanya.” (Dan. 7:18) Jelaslah, hanya Yehuwa yang berkuasa untuk berbuat demikian kerana Dia ialah “Tuhan Yang Maha Agung.”

11. Apakah hal lain yang ditulis oleh Daniel yang menunjukkan bahawa Yehuwa lebih berkuasa daripada kerajaan manusia?

11 Sebelum mendapat penglihatan ini, Daniel menulis, “Tuhan di syurga . . . melantik dan memecat raja.” Dia juga menulis bahawa “Tuhan Yang Maha Tinggi ialah Pemerintah kerajaan manusia, dan Dia memberikan kuasa pemerintahan itu kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.” (Dan. 2:19-21; 4:17) Pernahkah Yehuwa melantik dan memecat raja? Sudah tentu!

Yehuwa merampas kerajaan Belsyazar daripadanya lalu memberikannya kepada orang Media dan Persia (Lihat perenggan 12)

12. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa memecat raja pada masa dahulu. (Lihat gambar.)

12 Yehuwa telah menunjukkan dengan jelas bahawa Dia jauh lebih berkuasa daripada kerajaan manusia. Perhatikan tiga contoh berikut. Firaun dari Mesir telah memperhamba umat Yehuwa dan enggan membebaskan mereka biarpun diberi amaran berulang kali. Akhirnya, Tuhan menyelamatkan umat-Nya dan melemaskan Firaun di dalam Laut Merah. (Kel. 14:26-28; Mzm. 136:15) Raja Belsyazar dari Babilon telah mengadakan jamuan dan “meninggikan diri di hadapan Tuan di syurga.” Dia juga “memuji dewa dewi yang diperbuat daripada perak [dan] emas.” (Dan. 5:22, 23) Namun, Tuhan telah memecat raja yang angkuh itu. Pada “malam itu juga,” Belsyazar dibunuh dan kerajaannya jatuh ke dalam tangan orang Media dan Persia. (Dan. 5:28, 30, 31) Raja Herodes Agripa I dari Palestin telah membunuh Rasul Yakobus dan kemudiannya memenjarakan Rasul Petrus. Dia berniat untuk membunuh Petrus, tetapi Yehuwa menggagalkan rancangannya. Akhirnya, “malaikat Yehuwa menyebabkan Herodes diserang penyakit” dan mati.​—Kis. 12:1-5, 21-23.

13. Berikan contoh yang menunjukkan bagaimana Yehuwa mengalahkan raja-raja yang bersekutu untuk menentang umat-Nya.

13 Yehuwa juga telah menunjukkan bahawa Dia lebih berkuasa daripada raja-raja yang bergabung kuasa untuk menentang umat-Nya. Dia mengalahkan 31 orang raja Kanaan dan membantu umat Israel untuk menakluki sebahagian besar daripada Tanah yang Dijanjikan. (Yos. 11:4-6, 20; 12:1, 7, 24) Yehuwa juga mengalahkan Raja Ben-hadad dan 32 orang raja Syria yang berperang melawan orang Israel.​—1 Raj. 20:1, 26-29.

14-15. (a) Apakah yang dikatakan Raja Nebukadnezar dan Raja Darius tentang kuasa pemerintahan Yehuwa? (b) Apakah yang ditulis seorang pemazmur tentang Yehuwa dan umat-Nya?

14 Yehuwa sudah berulang kali membuktikan bahawa Dia ialah Tuhan Yang Maha Agung! Semasa Raja Nebukadnezar dari Babilon bercakap besar tentang ‘kekuatan, kuasa, kemuliaan dan keagungan’ dirinya, Tuhan menyebabkannya menjadi tidak siuman. Selepas Nebukadnezar menjadi waras semula, dia “memuji Tuhan Yang Maha Tinggi” dan mengaku bahawa “[Yehuwa] memerintah buat selama-lamanya.” Dia menambah, “Tiada sesiapa yang dapat menghalang-Nya.” (Dan. 4:30, 33-35) Selepas kesetiaan Daniel diuji, Yehuwa menyelamatkannya daripada gua singa. Kemudian, Raja Darius mengeluarkan perintah berikut: “Kamu haruslah hormat dan takut kepada Tuhan yang disembah oleh Daniel, kerana Dialah Tuhan yang hidup dan Tuhan yang kekal buat selama-lamanya. Kerajaan-Nya tidak akan dimusnahkan, dan pemerintahan-Nya akan kekal abadi.”​—Dan. 6:7-10, 19-22, 26, 27.

15 Seorang penulis mazmur menyatakan, “Yehuwa telah menggagalkan rancangan bangsa-bangsa; Dia telah membatalkan niat mereka.” Dia juga menambah, “Berbahagialah bangsa yang mengakui Yehuwa sebagai Tuhan mereka! Berbahagialah bangsa yang dipilih sebagai milik-Nya!” (Mzm. 33:10, 12) Sememangnya, kita mempunyai sebab yang baik untuk tetap setia kepada Yehuwa.

PERANG TERAKHIR

Bangsa-bangsa yang bersekutu pasti dikalahkan oleh angkatan tentera Yehuwa yang di syurga! (Lihat perenggan 16-17)

16. Apakah yang akan berlaku semasa “kesengsaraan besar,” dan mengapakah kita yakin hal itu akan berlaku? (Lihat gambar.)

16 Setelah membaca apa yang telah dilakukan Yehuwa pada masa lalu, kita dapat yakin bahawa Yehuwa akan menyelamatkan umat-Nya yang setia semasa “kesengsaraan besar.” (Mat. 24:21; Dan. 12:1) Dia akan bertindak semasa bangsa-bangsa yang bersekutu, iaitu Gog dari Magog, menyerang umat-Nya di seluas dunia. Biarpun kesemua 193 ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bergabung kuasa, mereka pasti dikalahkan oleh Yehuwa dan angkatan tentera-Nya di syurga! Yehuwa berjanji, “Aku pasti akan memuliakan diri-Ku, menyucikan diri-Ku, dan memasyhurkan diri-Ku di hadapan banyak bangsa. Demikianlah mereka pasti akan tahu bahawa Akulah Yehuwa.”​—Yeh. 38:14-16, 23; Mzm. 46:10.

17. Menurut Bible, apakah yang akan berlaku kepada raja-raja di seluruh bumi dan kepada orang yang tetap setia kepada Yehuwa?

17 Serangan Gog akan menyebabkan Yehuwa bertindak untuk melindungi umat-Nya. Semasa perang terakhir, iaitu Armagedon, Dia akan membinasakan “raja-raja di seluruh bumi.” (Why. 16:14, 16; 19:19-21) Akhirnya, “hanya orang baik yang akan menduduki bumi, dan hanya orang yang berintegriti akan tetap tinggal di situ.”​—Ams. 2:21, nota kaki.

KITA MESTI MENGEKALKAN INTEGRITI

18. Apakah yang sanggup dilakukan oleh banyak orang Kristian sejati, dan mengapa? (Daniel 3:28)

18 Selama berabad-abad, banyak orang Kristian sejati rela menggadaikan kebebasan dan bahkan nyawa sendiri kerana mereka mengasihi Yehuwa sebagai Pemerintah Yang Berdaulat. Mereka mempunyai tekad yang sama seperti tiga orang pemuda Ibrani yang sanggup dibuang ke dalam relau api kerana ingin tetap setia kepada Tuhan Yang Maha Agung.​—Baca Daniel 3:28.

19. Yehuwa akan menghakimi umat-Nya berdasarkan apa? Apakah yang perlu kita lakukan sekarang?

19 Dalam sebuah mazmur, Daud menulis tentang pentingnya tetap setia kepada Tuhan. Dia berkata, “Ya Yehuwa, semoga Engkau mengadili bangsa-bangsa. Ya Yehuwa, hakimilah aku berdasarkan integritiku, dan berdasarkan perbuatan baik yang aku lakukan.” (Mzm. 7:8, nota kaki) Daud juga berkata, “Semoga kesetiaan dan ketulusan hatiku melindungi aku.” (Mzm. 25:21) Maka mulai sekarang, marilah kita mengekalkan integriti kita kepada Yehuwa dan memberi-Nya kesetiaan yang tidak berbelah bahagi, tidak kira apa yang berlaku. Dengan itu, kita akan mempunyai perasaan yang sama seperti pemazmur yang menulis, “Berbahagialah orang yang hidup berintegriti, dan yang hidup menurut hukum Yehuwa.”​—Mzm. 119:1, nota kaki.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

^ Bible menasihati orang Kristian untuk mematuhi pihak berkuasa, iaitu kerajaan-kerajaan dunia ini. Tetapi sesetengah kerajaan menentang Yehuwa dan umat-Nya. Bagaimanakah kita dapat mematuhi pihak berkuasa dan pada masa yang sama mengekalkan integriti kepada Yehuwa?

^ MAKSUD UNGKAPAN: Mengekalkan integriti kepada Yehuwa bermaksud kita memiliki kesetiaan yang tidak tergoyah kepada Yehuwa dan tetap menjunjung kedaulatan-Nya biarpun semasa menghadapi cubaan.

^ Lihat rencana “Orang Israel Kuno Pergi Berperang​—Mengapa Kita Tidak?” dalam majalah ini.