Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 43

Kebijaksanaan Sejati Sedang Berseru

Kebijaksanaan Sejati Sedang Berseru

Kebijaksanaan yang sejati sedang berseru di jalan dan terus melantangkan suaranya di tempat awam.”​—AMS. 1:20, nota kaki.

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

PENGENALAN *

1. Apakah pandangan banyak orang terhadap nasihat yang bijak dalam Bible? (Amsal 1:20, 21)

 DI BANYAK negara, kita sering melihat saudara saudari kita menawarkan bahan bacaan di jalan yang sibuk dengan orang yang lalu-lalang. Pernahkah anda memberikan kesaksian dalam cara sebegini? Jika ya, anda tentu pernah memikirkan gambaran yang terdapat dalam buku Amsal, iaitu kebijaksanaan sedang berseru di tempat awam supaya orang ramai mendengarnya. (Baca Amsal 1:20, 21, nota kaki.) Bible dan bahan bacaan kita mengandungi “kebijaksanaan yang sejati,” iaitu kebijaksanaan daripada Yehuwa. Orang ramai memerlukan kebijaksanaan ini supaya mereka dapat mengambil langkah pertama yang menuju kehidupan kekal. Kita sangat gembira semasa orang menerima bahan bacaan kita. Sedihnya, bukan semua orang yang berbuat demikian. Ada yang tidak mahu mempelajari Bible. Yang lain pula mentertawakan kita kerana berfikir bahawa Bible ialah buku yang ketinggalan zaman. Ada juga yang mengkritik Bible dan berkata bahawa orang yang mengikut piawaian moral Bible ialah orang yang berlagak alim dan berfikiran sempit. Meskipun begitu, Yehuwa terus menawarkan kebijaksanaan sejati kepada semua orang. Bagaimanakah Dia melakukannya?

2. Dari manakah kita dapat memperoleh kebijaksanaan yang sejati? Namun, kebanyakan orang memilih untuk melakukan apa?

2 Salah satu cara Yehuwa memberikan kebijaksanaan yang sejati adalah melalui Firman-Nya, iaitu Bible. Hampir semua orang dapat membaca buku ini. Selain itu, dengan adanya berkat Yehuwa, bahan bacaan kita disediakan dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Jika orang mendengar dan bertindak selaras dengan kebijaksanaan Yehuwa, mereka akan meraih manfaat. Namun, kebanyakan orang memilih untuk tidak mempedulikan kebijaksanaan yang sejati. Semasa membuat keputusan, mereka bergantung pada pengertian sendiri atau meminta nasihat daripada orang lain. Mereka bahkan memandang rendah terhadap kita kerana kita memilih untuk mengikut nasihat Bible. Rencana ini akan membincangkan mengapa sesetengah orang bersikap sedemikian. Sekarang, mari kita mengkaji bagaimana kita dapat memperoleh kebijaksanaan daripada Yehuwa.

PENGETAHUAN TENTANG YEHUWA MEMBERIKAN KEBIJAKSANAAN

3. Apakah yang perlu kita lakukan untuk memperoleh kebijaksanaan yang sejati?

3 Kebijaksanaan bermaksud mampu menggunakan pengetahuan untuk membuat keputusan yang baik. Namun, untuk memperoleh kebijaksanaan sejati, kita perlu melakukan lebih daripada itu. Bible menyatakan, “Untuk memperoleh kebijaksanaan, pertama-tama kamu mesti takut dan hormat kepada Yehuwa. Pengetahuan tentang Tuhan Yang Maha Suci memberimu pemahaman.” (Ams. 9:10) Jadi semasa kita perlu membuat keputusan yang penting, kita harus mengkaji Bible dan bahan bacaan Bible terlebih dahulu. Dengan itu, kita dapat membuat keputusan berdasarkan “pengetahuan tentang Tuhan Yang Maha Suci,” iaitu fikiran Yehuwa. Inilah caranya kita memperoleh kebijaksanaan yang sejati.​—Ams. 2:5-7.

4. Mengapakah hanya Yehuwa yang dapat memberikan kebijaksanaan sejati?

4 Hanya Yehuwa yang dapat memberikan kebijaksanaan sejati. (Rm. 16:27) Mengapa? Pertama, sebagai Pencipta, Yehuwa tahu segala-galanya tentang ciptaan-Nya. (Mzm. 104:24) Kedua, semua tindakan-Nya menunjukkan bahawa Dia bijaksana. (Rm. 11:33) Ketiga, orang yang mengikut nasihat-Nya selalunya meraih manfaat. (Ams. 2:10-12) Jika kita mahu memperoleh kebijaksanaan yang sejati, kita harus menerima tiga kebenaran ini dan membiarkannya membimbing keputusan dan tindakan kita.

5. Apakah yang berlaku semasa orang enggan mengakui bahawa Yehuwa ialah Sumber kebijaksanaan sejati?

5 Ramai orang di dunia mengaku bahawa alam semula jadi memiliki rekaan yang menakjubkan. Namun, mereka tidak percaya bahawa Pencipta wujud dan berkata bahawa semua itu terhasil daripada evolusi. Yang lain pula berkata bahawa mereka percaya kepada Tuhan, tetapi mereka menganggap piawaian Bible sudah ketinggalan zaman dan ingin hidup menurut fikiran sendiri. Apakah akibatnya? Adakah keadaan dunia bertambah baik kerana orang bergantung pada kebijaksanaan diri sendiri? Adakah mereka lebih bahagia atau mendapat harapan yang kukuh untuk masa depan? Setelah melihat keadaan di sekeliling kita, kita diyakinkan akan kebenaran ini: “Tidak ada kebijaksanaan, pengertian, ataupun nasihat, yang dapat digunakan untuk menentang Yehuwa.” (Ams. 21:30) Bukankah itu sebab yang baik untuk memohon kebijaksanaan sejati daripada Yehuwa? Sedihnya, kebanyakan orang tidak berbuat demikian. Mengapa?

SEBABNYA ORANG MENOLAK KEBIJAKSANAAN SEJATI

6. Menurut Amsal 1:22-25, siapakah yang tidak mahu mendengarkan kebijaksanaan sejati?

6 Biarpun kebijaksanaan yang sejati “sedang berseru di jalan,” banyak orang tidak mahu mendengarkannya. Bible kata terdapat tiga kumpulan orang yang menolak kebijaksanaan sejati, iaitu orang yang “tidak berpengalaman,” orang yang “suka mengejek,” dan “orang yang bodoh.” (Baca Amsal 1:22-25.) Sekarang, mari kita mengkaji mengapa mereka menolak kebijaksanaan daripada Tuhan dan bagaimana kita dapat mengelak daripada menjadi seperti mereka.

7. Mengapakah sesetengah orang memilih untuk terus menjadi orang yang “tidak berpengalaman”?

7 Orang yang “tidak berpengalaman” ialah orang yang naif, mempercayai sesuatu tanpa usul periksa, atau mudah ditipu. (Ams. 14:15) Kita sering berjumpa dengan orang sebegini semasa menginjil. Sebagai contoh, fikirkan jutaan orang yang disesatkan oleh pemimpin agama atau politik. Ada antara mereka yang sangat terkejut semasa mendapat tahu bahawa mereka telah ditipu. Namun orang yang disebut di Amsal 1:22 memilih untuk terus menjadi orang yang tidak berpengalaman kerana mereka menyukainya. (Yer. 5:31) Mereka suka bertindak mengikut keinginan hati dan tidak mahu mempelajari atau mematuhi ajaran Bible. Ramai daripada mereka mempunyai sikap seperti seorang wanita di Quebec, Kanada, yang berpegang kuat pada agamanya. Dia berkata kepada seorang Saksi, “Jika kami disesatkan oleh paderi, itu salah dia, bukan salah kami!” Sudah tentu kita tidak mahu meniru sikap sebegini.​—Ams. 1:32; 27:12.

8. Apakah yang dapat membantu kita untuk menjadi orang yang berpengalaman?

8 Bible menggalakkan kita untuk menjadi orang yang berpengalaman dan “berfikir seperti orang yang matang.” (1 Kor. 14:20) Untuk menjadi orang yang berpengalaman, kita harus menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan kita. Dengan itu, kita dapat melihat sedikit demi sedikit bagaimana prinsip Bible membantu kita mengelakkan masalah dan membuat keputusan yang bijak. Selain itu, kita boleh memeriksa diri dengan menanya soalan-soalan berikut: “Jika saya sudah lama mempelajari Bible dan menghadiri perjumpaan, tetapi belum membaktikan diri dan dibaptis, apakah sebabnya? Jika saya sudah dibaptis, adakah saya terus berusaha untuk menjadi seorang penginjil dan pengajar yang lebih mahir? Adakah keputusan saya menunjukkan bahawa saya dibimbing oleh prinsip Bible? Adakah saya menunjukkan sifat-sifat Kristian semasa melayan orang lain?” Jika kita mendapati ada sesuatu yang perlu diperbaiki, semoga kita memperhatikan peringatan daripada Yehuwa, kerana peringatan-Nya dapat “membantu orang yang tidak berpengalaman menjadi bijak.”​—Mzm. 19:7, nota kaki.

9. Bagaimanakah orang yang “suka mengejek” menunjukkan bahawa mereka menolak kebijaksanaan daripada Tuhan?

9 Kumpulan kedua yang menolak kebijaksanaan daripada Tuhan ialah orang yang “suka mengejek.” Kadangkala, kita jumpa orang sebegini semasa menginjil. Mereka suka mengolok-olok orang lain. (Mzm. 123:4) Bible memberitahu kita bahawa pada hari-hari terakhir, akan ada banyak orang yang suka mengejek. (2 Ptr. 3:3, 4) Seperti menantu Lot, sesetengah orang tidak mengendahkan amaran Tuhan. (Kej. 19:14) Mereka juga mentertawakan orang yang hidup selaras dengan prinsip Bible. Mereka sebenarnya didorong oleh “nafsu jahat sendiri.” (Yud. 7, 17, 18) Penjelasan Bible tentang orang yang suka mengejek tepat menggambarkan golongan murtad dan orang yang menolak Yehuwa!

10. Menurut Mazmur 1:1, apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak menjadi orang yang suka mengejek?

10 Apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak menjadi orang yang suka mengejek? Salah satu cara adalah dengan tidak bergaul dengan orang yang suka mengkritik. (Baca Mazmur 1:1.) Maksudnya kita tidak akan mendengar atau membaca apa-apa maklumat daripada golongan murtad. Kita perlu ingat bahawa jika kita tidak berhati-hati, dengan mudah kita mungkin memupuk tabiat suka bersungut-sungut dan mula meragui Yehuwa dan arahan daripada organisasi-Nya. Untuk mengelakkan bahaya ini, kita boleh menanya diri: “Setiap kali saya menerima arahan atau penjelasan baharu, adakah saya selalu merungut? Adakah saya suka mencari kesalahan orang yang mengambil pimpinan?” Jika jawapannya ialah “Ya,” bertindaklah dengan segera untuk membetulkan sikap buruk ini, supaya Yehuwa senang hati dengan kita.​—Ams. 3:34, 35.

11. Apakah pandangan “orang yang bodoh” terhadap piawaian moral Yehuwa?

11 Kumpulan ketiga yang menolak kebijaksanaan daripada Tuhan ialah “orang yang bodoh.” Mereka tidak bijak kerana enggan hidup selaras dengan piawaian moral Tuhan dan hanya melakukan apa yang betul di mata sendiri. (Ams. 12:15) Mereka menolak Yehuwa, Sumber kebijaksanaan sejati. (Mzm. 53:1) Semasa kita menginjil kepada mereka, mereka mengkritik kita kerana kita menghormati standard Bible. Tetapi mereka tidak dapat mengajar kita cara menikmati kehidupan yang lebih bahagia. Bible menyatakan, “Orang bodoh tidak dapat memperoleh kebijaksanaan sejati; tiada apa-apa pun yang dapat dikatakannya di gerbang kota.” (Ams. 24:7) Ya, orang yang bodoh tidak mempunyai kebijaksanaan sejati. Itulah sebabnya Yehuwa mahu kita ‘menjauhkan diri daripada orang bodoh’!​—Ams. 14:7.

12. Apakah yang perlu kita lakukan supaya tidak menjadi orang yang bodoh?

12 Agar tidak menjadi seperti orang bodoh yang menolak kebijaksanaan Tuhan, kita harus mengasihi haluan hidup yang ditetapkan oleh Tuhan, termasuk piawaian moral-Nya. Untuk memperdalam kasih kita terhadap piawaian moral Tuhan, kita boleh membandingkan kesudahan orang yang mematuhi hukum Tuhan dengan kesudahan orang yang melanggar hukum Tuhan. Fikirkan masalah yang timbul apabila orang menolak nasihat Yehuwa yang bijak. Kemudian fikirkan betapa bahagianya kehidupan anda kerana anda mematuhi Tuhan.​—Mzm. 32:8, 10.

13. Adakah Yehuwa memaksa kita untuk mengikut nasihat-Nya yang bijak?

13 Yehuwa sudi memberikan kebijaksanaan kepada semua orang yang menginginkannya, tetapi Dia tidak memaksa sesiapa pun untuk menerimanya. Meskipun begitu, Dia menjelaskan apa yang akan berlaku kepada orang yang enggan mendengarkan kebijaksanaan-Nya. Yehuwa berfirman bahawa mereka ‘akan mendapat balasan yang setimpal dengan perbuatan mereka.’ (Ams. 1:29-32) Orang yang enggan mentaati Yehuwa akan menghadapi banyak masalah dan kesusahan, dan akhirnya mereka akan dibinasakan. Orang yang mendengarkan kebijaksanaan Yehuwa dan bertindak menurutnya pula “akan hidup sejahtera. Mereka tidak perlu takut akan malapetaka.”​—Ams. 1:33.

KEBIJAKSANAAN SEJATI MEMBAWA MANFAAT

Kita dikuatkan secara rohani dengan memberikan komen di perjumpaan (Lihat perenggan 15)

14-15. Apakah yang kita pelajari daripada Amsal 4:23?

14 Apabila kita bertindak mengikut kebijaksanaan Tuhan, kita pasti meraih manfaat. Seperti yang telah kita bincangkan, kebijaksanaan daripada Yehuwa mudah dijumpai. Sebagai contoh, seluruh buku Amsal kaya dengan nasihat praktikal yang berguna untuk kehidupan kita. Perhatikan empat contoh berikut.

15 Jagalah hatimu. Bible menyatakan, “Lebih daripada segala-galanya, jagalah hatimu, kerana hatimu menentukan hidup matimu.” (Ams. 4:23) Untuk menjaga kesihatan fizikal, kita perlu makan makanan yang berkhasiat, bersenam dengan secukupnya, dan menjauhi tabiat yang buruk. Begitu juga, untuk menjaga hati kita, kita perlu membaca Firman Tuhan setiap hari. Selain itu, kita perlu membuat persiapan bagi perjumpaan, menghadiri perjumpaan, dan rajin memberikan komen. Tambahan lagi, kita perlu bergiat dalam kerja penyebaran secara tetap. Kita juga perlu menjauhi tabiat buruk yang dapat merosakkan fikiran kita, seperti hiburan yang tidak bermoral dan pergaulan buruk.

Kita dapat berpuas hati dengan apa yang kita miliki jika kita mempunyai pandangan yang seimbang terhadap wang (Lihat perenggan 16)

16. Mengapakah nasihat di Amsal 23:4, 5 sesuai untuk kehidupan hari ini?

16 Berpuas hati dengan apa yang anda miliki. Bible menasihati kita, “Jangan berjerih lelah untuk mendapatkan kekayaan. . . . Kekayaan itu boleh hilang dalam sekelip mata, seolah-olah kekayaan itu bersayap dan terbang ke langit seperti burung helang.” (Ams. 23:4, 5) Kekayaan dan wang mudah hilang. Namun orang kaya dan orang miskin hari ini sibuk mengejar wang. Akibatnya, mereka mungkin melakukan hal yang merosakkan nama baik mereka, hubungan mereka dengan orang lain, dan bahkan kesihatan mereka. (Ams. 28:20; 1 Tim. 6:9, 10) Sebaliknya, kebijaksanaan daripada Tuhan membantu kita memiliki pandangan yang seimbang terhadap wang. Pandangan sebegini melindungi kita daripada bersikap tamak. Hasilnya, kita hidup puas dan bahagia.​—Pkh. 7:12.

Jika kita berfikir sebelum bercakap, kita dapat mengelak daripada mengatakan sesuatu yang menyakiti orang lain (Lihat perenggan 17)

17. Bagaimanakah kita dapat bercakap seperti “orang yang bijak” yang digambarkan di Amsal 12:18?

17 Berfikir sebelum bercakap. Jika kita tidak berhati-hati, kata-kata kita dapat membawa masalah besar. Bible menyatakan, “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang, tetapi kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.” (Ams. 12:18) Apabila kita tidak mengumpat tentang orang lain, kita dapat menjaga hubungan yang baik dengan mereka. (Ams. 20:19) Selain itu, jika kita ingin mengucapkan kata-kata yang dapat menyembuhkan orang, kita mesti mengisi hati kita terlebih dahulu dengan pengetahuan daripada Firman Tuhan. (Luk. 6:45) Apabila kita merenungkan apa yang dikatakan dalam Bible, kata-kata kita dapat menjadi seperti “anak sungai yang mengalir,” yang menyegarkan orang lain.​—Ams. 18:4.

Kita dapat menjadi penginjil yang lebih mahir dengan mengikut arahan daripada organisasi Tuhan (Lihat perenggan 18)

18. Bagaimanakah prinsip di Amsal 24:6 dapat membantu kita dalam kerja penyebaran?

18 Mengikut arahan daripada organisasi Tuhan. Prinsip Bible ini mengajar kita cara untuk berjaya: “Dengan bimbingan yang baik, kamu dapat melancarkan seranganmu, dan kemenangan diperoleh dengan adanya banyak penasihat.” (Ams. 24:6) Bagaimanakah prinsip ini dapat membantu kita dalam kerja menginjil dan mengajar? Daripada menginjil mengikut cara sendiri, kita mahu ikut cadangan yang diberikan oleh organisasi Tuhan. Semasa di perjumpaan, kita juga belajar daripada ceramah dan penyampaian saudara saudari yang berpengalaman. Selain itu, organisasi Yehuwa menyediakan alat yang efektif, iaitu bahan bacaan dan video, yang dapat membantu orang untuk memahami Bible. Sudahkah anda belajar untuk menggunakan alat-alat ini dengan baik?

19. Apakah perasaan anda terhadap kebijaksanaan daripada Yehuwa? (Amsal 3:13-18)

19 Baca Amsal 3:13-18. Kita sangat bersyukur kerana Firman Tuhan penuh dengan nasihat yang bijak! Tanpanya, kita tidak mungkin dapat hidup bahagia. Dalam rencana ini, kita telah membincangkan beberapa contoh nasihat yang bijak dalam buku Amsal. Sebenarnya nasihat Yehuwa yang bijak terkandung dalam seluruh Bible. Marilah kita bertekad untuk sentiasa bertindak mengikut kebijaksanaan daripada Yehuwa. Dunia ini mungkin meremehkan kebijaksanaan Yehuwa, tetapi kita yakin sepenuhnya bahawa “sesiapa yang berpegang erat pada [kebijaksanaan] akan hidup dan mendapat kebahagiaan.”

LAGU 36 Jagalah Hatimu

^ Tiada apa-apa dalam dunia ini yang dapat menandingi kebijaksanaan yang diberikan oleh Tuhan. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji satu gambaran yang menarik dalam buku Amsal, iaitu kebijaksanaan sedang berseru di tempat awam. Kita juga akan mengkaji bagaimana kita dapat memperoleh kebijaksanaan yang sejati, mengapa sesetengah orang menolak kebijaksanaan itu, dan manfaat yang akan kita raih jika kita sudi mendengarkan nasihat yang bijak daripada Tuhan.