Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Berbahagialah Kamu jika Kamu Melakukannya”

“Berbahagialah Kamu jika Kamu Melakukannya”

“Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.”​—YOH. 4:34.

LAGU: 80, 35

1. Bagaimanakah sikap mementingkan diri dalam dunia ini dapat mempengaruhi kita?

MENGAPAKAH kita berasa susah untuk mengamalkan ajaran Firman Tuhan? Salah satu sebabnya ialah: Kita memerlukan kerendahan hati untuk melakukan apa yang benar, dan sifat itu susah dipelihara. “Pada hari-hari terakhir” ini, kita dikelilingi orang yang “mencintai diri sendiri, mencintai wang, bercakap besar, bersikap angkuh,” dan “tidak tahu mengawal diri.” (2 Tim. 3:1-3) Hamba-hamba Tuhan tahu bahawa sikap sebegitu salah, tetapi mereka mungkin berasa cemburu apabila orang yang mementingkan diri kelihatan berjaya dan bahagia. (Mzm. 37:1; 73:3) Kita mungkin tertanya-tanya, “Adakah berbaloi untuk mendahulukan kepentingan orang lain? Jika saya ‘berkelakuan seperti orang yang berkedudukan rendah,’ adakah saya masih akan dihormati?” (Luk. 9:48) Jika kita dijangkiti sikap dunia, hal itu dapat merosakkan hubungan kita dengan rakan seiman dan menghakis identiti Kristian kita. Namun, jika kita mengkaji dan meniru teladan baik yang tercatat dalam Bible, kita akan mendapat hasil yang baik.

2. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hamba-hamba Tuhan yang setia?

2 Untuk meniru hamba-hamba Tuhan yang setia, fikirkanlah soalan seperti, “Mengapakah mereka dapat menjadi sahabat Tuhan, mendapat perkenan-Nya, dan dikuatkan untuk melaksanakan kehendak-Nya?” Dengan mengkaji dan merenungkan teladan mereka, kerohanian kita akan bertambah kuat.

MAKANAN ROHANI​—BUKAN SEKADAR MAKLUMAT

3, 4. (a) Bagaimanakah Yehuwa mengajar kita? (b) Untuk memelihara kerohanian kita, mengapakah sekadar menimba pengetahuan tidak cukup?

3 Kita menerima banyak latihan dan nasihat yang berguna melalui Bible, bahan bacaan Kristian, laman web kita, Siaran JW, perhimpunan, dan perjumpaan. Namun, kata-kata Yesus di Yohanes 4:34 menunjukkan bahawa sekadar menimba pengetahuan tidak cukup. Dia berkata, “Makananku ialah melakukan kehendak Dia yang mengutus aku dan menyelesaikan pekerjaan yang diberikan-Nya kepadaku.”

4 Bagi Yesus, melakukan kehendak Tuhan adalah seperti makanan. Makanan yang berkhasiat dapat memuaskan kita dan menyihatkan badan kita. Begitu juga, apabila kita melakukan kehendak Tuhan, iman kita akan bertambah kuat. Pernahkah anda berasa kurang bersemangat semasa menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran, tetapi berasa segar dan gembira selepas menginjil?

5. Apakah ganjarannya jika kita menjadi bijaksana?

5 Jika kita mengamalkan ajaran Tuhan, kita sedang menunjukkan kebijaksanaan, dan hal itu akan membawa ganjaran yang besar. (Yak. 3:13) “Segala yang kamu idamkan tidak dapat menandinginya. . . . Kebijaksanaan bagaikan pokok kehidupan; sesiapa yang berpegang erat padanya akan hidup dan mendapat kebahagiaan.” (Ams. 3:13-18) Yesus berkata, “Berbahagialah kamu jika kamu melakukannya.” (Yoh. 13:17) Murid-muridnya akan sentiasa bahagia jika mereka terus mengikut ajaran dan teladan Yesus, serta menjadikan hal itu amalan hidup mereka.

6. Mengapakah kita perlu terus mengamalkan apa yang dipelajari?

6 Hari ini, kita perlu terus mengamalkan apa yang dipelajari. Bayangkan seorang mekanik yang memiliki peralatan, bahan, dan pengetahuan. Semua itu sia-sia sahaja jika dia tidak menggunakannya. Biarpun dia sudah sangat berpengalaman, dia perlu terus menggunakan pengetahuannya supaya kemahirannya terpelihara. Begitu juga, kita mungkin telah mengecap kebahagiaan apabila kita menerapkan apa yang dipelajari dalam Bible. Namun, untuk menikmati kebahagiaan yang kekal, kita perlu terus hidup berpandukan nasihat Yehuwa setiap hari.

7. Apakah yang perlu kita lakukan semasa meneliti contoh-contoh dalam Bible?

7 Mari kita melihat beberapa situasi yang dapat menguji kerendahan hati kita, dan mengkaji bagaimana hamba Tuhan dahulu berjaya mengatasi cabaran sedemikian. Ingatlah, sekadar memperoleh maklumat tidak cukup. Maka, fikirkan bagaimana anda dapat menerapkan pengajarannya secara peribadi, dan bertindaklah tanpa berlengah-lengah.

PANDANGLAH ORANG DENGAN SAMA RATA

8, 9. Bagaimanakah catatan di Kisah 14:8-15 menunjukkan bahawa Paulus bersikap rendah hati? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

8 Tuhan menghendaki “segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Tim. 2:4) Apakah pandangan anda terhadap orang yang belum belajar tentang kebenaran? Rasul Paulus menginjil di rumah ibadat kepada orang Yahudi yang sudah mengenali Yehuwa, tetapi dia juga mencuba membantu bangsa lain yang menyembah dewa dewi palsu. Reaksi mereka telah menguji kerendahan hati Paulus. Bagaimana?

9 Dalam perjalanan Paulus yang pertama sebagai mubaligh, dia dan Barnabas dianggap sebagai Dewa Zeus dan Hermes oleh orang di Listra. Adakah mereka berdua dibuai-buai sanjungan itu? Setelah dianiaya di dua buah kota sebelumnya, adakah mereka berasa gembira kerana disambut seperti wira? Adakah mereka berfikir bahawa status sebegini dapat membantu menyebarkan berita baik? Langsung tidak! Mereka segera mengoyakkan pakaian kerana sedih lalu berseru kepada orang ramai, “Mengapakah kamu melakukan semua ini? Kami pun manusia biasa seperti kamu semua!”​—Kis. 14:8-15.

10. Mengapakah Paulus dan Barnabas berkata bahawa mereka sama seperti orang Listra?

10 Semasa Paulus dan Barnabas mengatakan bahawa mereka ialah manusia biasa seperti orang Listra, mereka tidak bermaksud bahawa cara mereka beribadat adalah sama dengan orang kafir. Paulus dan Barnabas ialah mubaligh yang diutus Tuhan. (Kis. 13:2) Mereka diurapi dengan kuasa suci dan diberi harapan yang cerah. Namun, mereka tidak membanggakan diri kerana mereka tahu bahawa orang Listra yang menyambut berita baik juga dapat dikurniai penghormatan yang sama.

11. Semasa menginjil, bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Paulus?

11 Bagaimanakah kita dapat meniru kerendahan hati Paulus? Pertama, lawanlah godaan untuk menerima atau mengharapkan sanjungan bagi hal-hal yang telah kita lakukan dengan bantuan Yehuwa. Kita masing-masing harus menanya diri, “Apakah pandangan saya terhadap orang di kawasan penyebaran? Adakah saya berprasangka terhadap golongan tertentu?” Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia berusaha mencari orang yang rela mendengar berita baik. Ada yang mempelajari bahasa dan budaya sesetengah bangsa yang dipandang rendah. Saksi-Saksi yang mencurahkan usaha sebegini patut dipuji, tetapi mereka harus berhati-hati agar tidak memandang rendah kepada orang yang dibantu. Sebaliknya mereka akan berusaha memahami setiap individu dan membantunya menerima berita Kerajaan Tuhan.

SEBUTKAN NAMA ORANG SEMASA BERDOA

12. Bagaimanakah Epafras menunjukkan bahawa dia mengambil berat tentang orang lain?

12 Satu lagi cara untuk menunjukkan kerendahan hati adalah dengan berdoa bagi mereka yang sudah “mempercayai kebenaran yang bernilai.” (2 Ptr. 1:1) Itulah yang dilakukan Epafras, seorang lelaki yang disebut dalam Bible sebanyak tiga kali sahaja. Semasa Paulus ditahan di Roma, dia menulis kepada orang Kristian di Kolose bahawa Epafras “selalu berdoa dengan bersungguh-sungguh bagi pihak [mereka].” (Kol. 4:12) Epafras mengenali mereka dengan baik dan sangat mengambil berat tentang mereka. Biarpun dia juga “seorang tahanan,” dia masih peka terhadap keperluan rohani orang lain dan melakukan sesuatu untuk membantu mereka. (Flm. 23) Apabila kita berdoa bagi rakan seiman dan bahkan menyebut nama mereka semasa berdoa, permohonan sebegini sangat berkesan.​—2 Kor. 1:11; Yak. 5:16.

13. Semasa berdoa, bagaimanakah anda dapat meniru teladan Epafras?

13 Fikirkanlah nama orang yang dapat anda sebutkan semasa berdoa. Seperti Epafras, ramai saudara saudari berdoa bagi ahli sidang dan keluarga yang memikul tanggungjawab berat, yang perlu membuat keputusan penting, atau yang menghadapi godaan. Mereka juga berdoa bagi rakan seiman yang disenaraikan dalam rencana “Saksi-Saksi Yehuwa yang Dipenjarakan Karena Iman Mereka” di jw.org. (Terdapat dalam bahasa Indonesia. Lihat RUANG BERITA > BERITA HUKUM.) Jangan lupa juga untuk berdoa bagi mereka yang kehilangan orang tersayang, mereka yang menghadapi bencana dan peperangan, dan mereka yang dilanda krisis ekonomi. Ya, ramai saudara saudari memerlukan doa kita. Apabila kita berdoa bagi mereka, kita membuktikan bahawa kita bukan sahaja menjaga kepentingan diri, tetapi juga memikirkan kepentingan orang lain. (Flp. 2:4) Yehuwa mendengar doa sebegini.

“CEPAT MENDENGAR”

14. Mengapakah Yehuwa ialah pendengar yang terbaik?

14 Satu lagi cara untuk menyukat kerendahan hati kita adalah dengan meneliti kesudian kita untuk mendengar. Yakobus 1:19 menyatakan bahawa kita harus “cepat mendengar.” Yehuwa memberikan teladan yang terbaik dalam hal ini. (Kej. 18:32; Yos. 10:14) Perhatikan perbualan di Keluaran 32:11-14. (Baca.) Yehuwa tidak perlu mendengar pendapat Musa, tetapi Dia memberi Musa peluang untuk meluahkan perasaannya. Adakah anda sudi mendengar dan menggunakan cadangan seseorang yang pernah tersilap? Barangkali tidak. Namun, Yehuwa sudi mendengar dengan sabar apabila sesiapa sahaja yang beriman berdoa kepada-Nya.

15. Bagaimanakah kita dapat meniru Yehuwa dan menghormati orang lain?

15 Kita masing-masing harus berfikir, “Jika Yehuwa sanggup merendahkan diri dan mendengar kata-kata manusia seperti Abraham, Rahel, Musa, Yosua, Manoah, Elia, dan Hizkia, tidakkah saya patut berusaha lebih keras untuk menghormati semua rakan seiman saya, mendengar cadangan mereka, dan bahkan menggunakan cadangan mereka yang baik? Dapatkah saya memberikan lebih banyak perhatian kepada seseorang dalam sidang atau keluarga saya? Bagaimanakah saya dapat berbuat demikian?”​—Kej. 30:6; Hak. 13:9; 1 Raj. 17:22; 2 Taw. 30:20.

“MUNGKIN YEHUWA AKAN MELIHAT PENDERITAAN BETA”

Daud berkata, “Biarkan saja dia!” Apakah pula yang akan anda lakukan? (Lihat perenggan 16, 17)

16. Apakah reaksi Raja Daud semasa Simei melayannya dengan buruk?

16 Kerendahan hati juga membantu kita untuk mengawal diri semasa tersinggung. (Ef. 4:2) Terdapat sebuah kisah yang menonjolkan hal ini di 2 Samuel 16:5-13. (Baca.) Daud dan hamba-hambanya telah dihina dan diserang oleh Simei, seorang saudara-mara Raja Saul. Daud mampu menghalang perbuatan Simei, tetapi dia bersabar sahaja. Bagaimanakah Daud dapat mengawal reaksinya? Mari kita mengkaji Mazmur 3 untuk mengetahui jawapannya.

17. Apakah yang membantu Daud mengawal diri? Bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?

17 Bahagian penerangan untuk Mazmur 3 menunjukkan bahawa mazmur itu digubah semasa Daud “melarikan diri daripada anaknya Absalom.” Kata-kata di ayat 1 dan 2 menggambarkan situasi yang dinyatakan tadi di 2 Samuel bab 16. Kemudian di ayat 4, Daud berkata, “Aku akan berseru kepada Yehuwa, dan Dia akan menjawab seruanku dari gunung suci-Nya.” Semasa kita diserang, berdoalah seperti yang dilakukan Daud, dan Yehuwa akan memberi kita kuasa suci supaya kita tetap tabah. Dapatkah anda menunjukkan kawalan diri dengan lebih baik atau lebih sudi memaafkan semasa dilayan dengan buruk atau dibenci tanpa sebab? Adakah anda yakin bahawa Yehuwa melihat penderitaan anda dan akan memberkati anda?

“KEBIJAKSANAAN IALAH PERKARA YANG TERPENTING”

18. Apakah faedahnya jika kita terus mengikut nasihat Yehuwa?

18 Jika kita mengetahui apa yang benar lalu melakukannya, kita akan dicucuri berkat yang melimpah. Maka tidak hairanlah Amsal 4:7 menyatakan, “Kebijaksanaan ialah perkara yang terpenting.” Kebijaksanaan bukan sahaja melibatkan pengetahuan, malah merangkumi keputusan yang kita buat. Semut menunjukkan kebijaksanaan semula jadi dengan menyediakan makanan pada musim panas. (Ams. 30:24, 25) Selaku “kebijaksanaan Tuhan,” Kristus sentiasa melakukan apa yang disenangi Bapanya. (1 Kor. 1:24; Yoh. 8:29) Dalam mata Tuhan, mengetahui keputusan yang betul berbeza daripada bertindak mengikut keputusan yang betul. Jika kita terus bersikap rendah hati dan bertindak mengikut keputusan yang betul, Dia pasti memberkati kita. (Baca Matius 7:21-23.) Maka berusahalah untuk memelihara suasana yang baik dalam sidang agar semua orang dapat memupuk kerendahan hati. Kita memerlukan masa dan kesabaran untuk melakukan apa yang betul, tetapi itulah bukti bahawa kita benar-benar rendah hati, dan sifat itu akan membawa kebahagiaan, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.