Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Teruslah Menunjukkan Kasih untuk Menguatkan Orang

Teruslah Menunjukkan Kasih untuk Menguatkan Orang

“Kasih menguatkan seseorang.”​—1 KOR. 8:1.

LAGU: 109, 121

1. Apakah topik penting yang dibincangkan oleh Yesus pada malamnya yang terakhir bersama murid-muridnya?

PADA malam terakhir Yesus bersama murid-muridnya, dia menyebut tentang kasih hampir 30 kali dan berkata bahawa mereka harus “saling mengasihi.” (Yoh. 15:12, 17) Kasih itu akan begitu istimewa sehingga menjadi tanda pengenal orang Kristian sejati. (Yoh. 13:34, 35) Yesus menjelaskan bahawa kasih itu bukan sekadar perasaan, tetapi akan mendorong seseorang untuk rela berkorban. Dia berkata, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada ini, iaitu kasih yang diperlihatkan oleh seseorang yang rela menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya. Kamu ialah sahabat-sahabatku jika kamu melakukan apa yang aku perintahkan.”​—Yoh. 15:13, 14.

2. (a) Mengapakah umat Yehuwa dikenali? (b) Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab dalam rencana ini?

2 Umat Yehuwa hari ini dikenali kerana mereka saling mengasihi, rela berkorban demi satu sama lain, dan bersatu padu. (1 Yoh. 3:10, 11) Kita amat bersyukur kerana hamba-hamba Yehuwa saling mengasihi tanpa mengira bangsa, suku, bahasa, atau latar belakang! Namun, kita mungkin berfikir, “Mengapakah kasih begitu penting pada zaman sekarang? Bagaimanakah Yehuwa dan Yesus menguatkan kita melalui kasih? Bagaimanakah kita masing-masing dapat menunjukkan kasih yang menguatkan orang?”​—1 Kor. 8:1.

SEBABNYA KASIH BEGITU PENTING DEWASA INI

3. Bagaimanakah “masa genting” ini mempengaruhi ramai orang?

3 Kehidupan pada “masa genting” ini “sarat dengan kesusahan dan kesedihan.” (2 Tim. 3:1-5; Mzm. 90:10) Akibatnya, ramai orang berasa putus asa. Menurut anggaran, lebih daripada 800,000 orang membunuh diri setiap tahun, iaitu seorang setiap 40 saat. Sedihnya, sesetengah rakan seiman kita juga begitu tertekan sehingga mengambil nyawa sendiri.

4. Siapakah hamba-hamba Tuhan yang pernah berasa ingin mati?

4 Pada zaman Bible, sesetengah hamba Tuhan yang setia juga sangat tertekan sehingga berasa ingin mati. Contohnya, Ayub begitu menderita sehingga berkata, “Aku membenci hidupku; aku tidak mahu hidup lagi.” (Ayb. 7:16; 14:13) Yunus pula amat kecewa lalu berkata, “Sekarang, ya Yehuwa, ambillah nyawaku kerana lebih baik aku mati daripada hidup.” (Yun. 4:3) Pernah sekali, Nabi Elia juga patah semangat dan memohon, “Cukuplah, ya Yehuwa. Ambillah nyawaku.” (1 Raj. 19:4) Namun, Yehuwa mengasihi mereka dan tidak mahu mereka mati. Dia tidak memarahi mereka atas keluhan mereka. Sebaliknya, Dia menguatkan mereka melalui kasih supaya mereka ingin terus hidup dan menyembah-Nya dengan setia.

5. Mengapakah saudara saudari kita amat memerlukan kasih kita sekarang?

5 Dewasa ini, ramai saudara saudari kita menghadapi tekanan yang besar dan perlu dikuatkan melalui kasih kita. Ada yang dianiaya dan diejek, dan ada yang dikritik atau diumpat di tempat kerja. Ada juga yang perlu bekerja lebih masa atau selalu mengejar masa, dan ada yang perlu berdepan dengan masalah keluarga, seperti asyik dikritik oleh pasangan yang tidak seiman. Akibat tekanan sebegini, ramai di sidang berasa letih lesu secara fizikal dan emosi. Siapakah yang dapat membantu mereka agar tidak putus asa?

KASIH YEHUWA MENGUATKAN KITA

6. Bagaimanakah kasih Yehuwa menguatkan hamba-hamba-Nya?

6 Yehuwa menjamin bahawa Dia akan sentiasa mengasihi penyembah-Nya. Bayangkan perasaan orang Israel yang setia semasa Yehuwa memberitahu mereka, “Kamu berharga dan terhormat di mata-Ku, dan Aku mengasihi kamu. . . . Janganlah takut, kerana Aku menyertai kamu”! (Yes. 43:4, 5) Percayalah bahawa Yehuwa menghargai dan menyayangi setiap hamba-Nya. * Dia berjanji, “Aku perkasa dan Aku akan menyelamatkanmu. Aku akan bergembira keranamu.”​—Zef. 3:16, 17.

7. Bagaimanakah kasih Yehuwa disamakan dengan kasih seorang ibu? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

7 Tidak kira apa cubaan yang menimpa umat-Nya, Yehuwa berjanji untuk menyokong dan melegakan mereka. Tuhan berfirman, “Kamu akan menjadi seperti anak yang disusui, didukung, dan yang dibelai-belai di pangkuannya. Sebagaimana seorang ibu melegakan anaknya, Aku juga akan sentiasa melegakan kamu.” (Yes. 66:12, 13) Bayangkan seorang ibu yang penyayang, yang menimang si manjanya di atas pangkuan. Demikianlah caranya Yehuwa menggambarkan betapa dalamnya kasih sayang-Nya terhadap para penyembah-Nya. Maka, janganlah meragui nilai anda di mata Yehuwa.​—Yer. 31:3.

8, 9. Bagaimanakah kasih Yesus dapat menguatkan kita?

8 Terdapat satu lagi sebab yang meyakinkan orang Kristian sejati akan kasih Tuhan: Dia “begitu mengasihi dunia ini sehingga Dia memberikan Anak tunggal-Nya, supaya setiap orang yang beriman kepadanya tidak dibinasakan tetapi mendapat kehidupan kekal.” (Yoh. 3:16) Pengorbanan Yesus juga menunjukkan betapa dalamnya kasihnya terhadap kita, dan kasih itu juga menguatkan kita. Firman Tuhan berjanji bahawa bahkan “kesengsaraan atau penderitaan” pun tidak dapat “memisahkan kita daripada kasih Kristus.”​—Rm. 8:35, 38, 39.

9 Semasa kita dilanda cubaan yang melemahkan kita secara fizikal atau emosi, atau yang meragut sukacita kita dalam ibadat Yehuwa, kasih Kristus dapat menguatkan dan menabahkan kita. (Baca 2 Korintus 5:14, 15.) Biarpun kita menderita akibat bencana, penganiayaan, kekecewaan, atau kekhuatiran, kasih Yesus dapat menampung kita dan membantu kita agar tidak menyerah.

SAUDARA SAUDARI MEMERLUKAN KASIH KITA

Anda akan didorong untuk menggalakkan orang lain setelah mengkaji teladan Yesus (Lihat perenggan 10, 11)

10, 11. Siapakah yang bertanggungjawab untuk menguatkan rakan seiman yang tawar hati? Jelaskan.

10 Aturan sidang merupakan satu cara Yehuwa menguatkan kita melalui kasih-Nya. Kita masing-masing dapat membalas kasih Tuhan dengan mengasihi dan menguatkan saudara saudari kita, bukan sahaja secara rohani, tetapi juga secara emosi. (1 Yoh. 4:19-21) Rasul Paulus menggesa orang Kristian, “Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain, sebagaimana yang sedang kamu lakukan.” (1 Tes. 5:11) Semua ahli sidang, bukan sahaja penatua, dapat meniru Yehuwa dan Yesus dengan melegakan dan menguatkan saudara saudari.​—Baca Roma 15:1, 2.

11 Sesetengah ahli sidang mungkin memerlukan bantuan pakar dan ubat-ubatan untuk menangani masalah emosi. (Luk. 5:31) Para penatua dan ahli sidang lain sedar bahawa mereka bukan pakar kesihatan mental, tetapi mereka dapat “mengucapkan kata-kata yang melegakan hati kepada orang yang murung, memberikan sokongan kepada orang yang lemah, dan bersabar terhadap semua orang.” (1 Tes. 5:14) Semua orang Kristian perlu berbelas kasihan, bersabar, dan melegakan orang yang tawar hati. Adakah anda berusaha melegakan dan menggalakkan orang lain? Bagaimanakah anda dapat berbuat demikian dengan lebih cekap lagi?

12. Bagaimanakah kasih sidang dapat menguatkan orang? Berikan contoh.

12 Bagaimanakah kasih kita dapat menguatkan mereka yang terseksa secara emosi? Seorang saudari di Eropah berkata, “Ada masanya saya terfikir untuk bunuh diri, tetapi saya ada sokongan yang kuat. Sidang saya telah menyelamatkan nyawa saya. Saudara saudari selalu menggalakkan dan mengasihi saya. Walaupun hanya segelintir daripada mereka yang tahu saya ada masalah kemurungan, seluruh sidang sentiasa berada di sisi saya. Terdapat sepasang suami isteri yang seperti ibu bapa rohani saya. Mereka jaga saya dengan baik dan bersedia membantu 24 jam sehari.” Memang benar, bukan semua orang dapat memberikan bantuan yang sama. Tetapi apabila kita memberikan sokongan dengan ikhlas, hal itu sangat melegakan bagi mereka yang menderita secara emosi. *

CARA MENGUATKAN ORANG MELALUI KASIH

13. Apakah yang perlu kita lakukan untuk menguatkan orang lain?

13 Jadilah pendengar yang baik. (Yak. 1:19) Apabila anda mendengar luahan seorang rakan seiman dengan penuh empati, itulah bukti bahawa anda mengasihinya. Tanyalah soalan-soalan yang sesuai supaya anda dapat mendalami perasaannya dan memberinya galakan. Biarlah wajah anda mencerminkan kasih dan keprihatinan anda yang ikhlas. Sekiranya dia ingin bercakap panjang, janganlah mencelah. Jika anda mendengar dengan sabar, anda dapat lebih memahami perasaannya, dan rakan seiman itu akan lebih mempercayai anda dan lebih rela mendengar kata-kata galakan anda. Apabila anda menunjukkan bahawa anda benar-benar mengambil berat terhadapnya, anda dapat membawa kelegaan yang besar.

14. Mengapakah kita tidak ingin mengkritik orang lain?

14 Jangan mengkritik. Jika seseorang yang murung berasa bahawa kita mengkritiknya, kepedihannya akan bertambah parah, dan usaha kita untuk menguatkannya akan bertambah susah. “Kata-kata yang melulu ibarat tikaman pedang, tetapi kata-kata orang yang bijak dapat menyembuhkan orang lain.” (Ams. 12:18) Kita memang tidak akan sengaja ‘menikam’ orang yang murung dengan kata-kata yang tajam, tetapi kita akan melukainya dengan mendalam jika kita bercakap dengan melulu. Untuk menguatkan dan menggalakkan orang lain, kita perlu bersikap empati, iaitu berusaha membayangkan diri kita dalam situasi mereka.​—Mat. 7:12.

15. Apakah alat yang dapat kita gunakan untuk menguatkan orang melalui kasih?

15 Gunakan Firman Tuhan untuk melegakan hati orang lain. (Baca Roma 15:4, 5.) Ayat-Ayat Suci merupakan gedung kelegaan yang dikurniakan oleh ‘Tuhan yang memberikan ketabahan dan kelegaan hati.’ Selain itu, kita mempunyai pelbagai alat seperti PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower dan Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa, yang dapat membantu kita mencari ayat Bible yang bersesuaian untuk bermacam-macam masalah. Bantuan sebegini akan meningkatkan kebolehan kita untuk melegakan dan menguatkan rakan seiman kita.

16. Apakah sifat-sifat yang dapat membantu kita menggalakkan orang Kristian yang tertekan?

16 Kasih sayang dan kelemahlembutan sangat penting untuk menggalakkan dan menguatkan orang. Yehuwa ialah “Bapa yang berbelas kasihan dan Tuhan yang melegakan hati kita dalam apa jua situasi.” (Baca 2 Korintus 1:3-6; Luk. 1:78; Rm. 15:13) Paulus memberi kita teladan yang baik dalam hal ini. Dia menulis, “Kami bersikap lemah lembut dalam kalangan kamu, sebagaimana seorang ibu menyusui dan menjaga anak-anaknya dengan penuh kasih sayang. Oleh sebab kami begitu mengasihi kamu, kami bukan sahaja bertekad untuk menyampaikan berita baik tentang Tuhan kepada kamu, malah kami juga bertekad untuk menyerahkan jiwa kami kerana kami sangat menyayangi kamu.” (1 Tes. 2:7, 8) Apabila kita meniru kasih sayang dan kelemahlembutan Yehuwa, rakan seiman kita yang tertekan mungkin berasa bahawa doanya sudah dijawab.

17. Untuk menguatkan rakan seiman melalui kasih, pandangan apakah yang harus kita pupuk?

17 Jangan mengharapkan kesempurnaan daripada rakan seiman. Harapan sebegini tidak realistik, tidak seimbang, dan akan mengecewakan anda. (Pkh. 7:21, 22) Ingatlah, Yehuwa mengharapkan hal yang realistik daripada hamba-hamba-Nya, dan jika kita ingin meniru-Nya, kita juga patut bersabar terhadap ketidaksempurnaan orang lain. (Ef. 4:2, 32) Daripada membuat orang berasa bahawa usaha mereka tidak cukup atau membandingkan mereka dengan orang lain, galakkanlah mereka dan pujilah mereka atas usaha yang sedang dicurahkan. Pujian yang ikhlas dapat menguatkan mereka dan membantu mereka “berasa gembira” dalam khidmat Yehuwa.​—Gal. 6:4.

18. Mengapakah kita ingin menguatkan orang melalui kasih?

18 Yehuwa amat menghargai setiap biri-biri-Nya, begitu juga dengan Yesus, yang telah mengorbankan nyawanya sebagai tebusan untuk mereka. (Gal. 2:20) Kita mengasihi saudara saudari kita dengan mendalam, dan kita ingin menjaga mereka dengan lemah lembut dan dengan penuh kasih sayang. Untuk menyegarkan mereka, marilah kita “berusaha untuk menguatkan satu sama lain dan melakukan perkara yang membawa perdamaian.” (Rm. 14:19) Sesungguhnya, kita menanti-nantikan kehidupan di bumi Firdaus. Ketika itu, kita tidak akan berasa tawar hati atau kecewa, kerana kita tidak lagi perlu berdepan dengan penyakit, peperangan, kematian akibat dosa, penganiayaan, atau masalah rumah tangga. Selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, manusia akan menjadi sempurna. Mereka yang tetap setia dalam ujian terakhir akan diterima sebagai anak-anak angkat Tuhan Yehuwa di bumi dan diberi “kemuliaan sebagai anak-anak Tuhan.” (Rm. 8:21) Semoga kita terus menunjukkan kasih yang menguatkan orang dan membantu satu sama lain untuk memasuki dunia baharu Tuhan.

^ per. 6 Lihat bab 24 dalam buku “Mendekatlah kepada Yehuwa” dalam bahasa Indonesia.

^ per. 12 Cadangan yang praktikal untuk menangani perasaan ingin bunuh diri terdapat dalam majalah Sedarlah! berikut dalam bahasa Indonesia: “Buat Apa Hidup? Tiga Alasan untuk Terus Hidup” (April 2014); “Bila Anda Merasa Seperti Tidak Mau Hidup Lagi” (Januari 2012); dan “Kehidupan Memang Berharga” (22 Oktober 2001).