Adakah Anda Tahu Waktunya?
UNTUK mengetahui waktu, anda mungkin akan melihat jam. Jika kawan anda tanya, “Pukul berapa sekarang?” bagaimanakah anda akan menjawab? Terdapat beberapa cara untuk menyebut masa:
Katakan sekarang ialah satu jam dan 30 minit selepas waktu tengah hari. Anda mungkin menjawab, “Sekarang jam satu setengah.” Pengguna sistem 24 jam menyebut waktu itu sebagai jam 13:30. Di sesetengah tempat, ada yang akan menjawab, “Tiga puluh minit sebelum jam dua.”
Bagaimana pula dengan orang pada zaman Bible? Mereka juga menggunakan pelbagai cara untuk menyebut masa. Dalam Kitab Ibrani, istilah “pagi,” “tengah hari,” “siang,” dan “petang” digunakan. (Kej. 8:11; 19:27; 43:16; Ul. 28:29; 1 Raj. 18:26) Namun, ada kalanya, ungkapan yang lebih tepat digunakan.
Pada zaman Bible, penjaga malam sering digunakan. Ratusan tahun sebelum kelahiran Yesus, orang Israel membahagikan waktu malam kepada tiga giliran jaga. Hakim-Hakim 7:19 menyebut tentang “giliran jaga tengah malam.” Pada zaman Yesus pula, orang Yahudi membahagikan waktu malam kepada empat giliran jaga, seperti yang dilakukan orang Yunani dan Roma.
Buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes, menyebut tentang waktu sedemikian. Contohnya, pada “waktu ke-4,” Yesus berjalan di atas air ke arah murid-muridnya. (Mat. 14:25, nota kaki) Dalam sebuah perumpamaan, Yesus berkata, “Alangkah bahagianya [hamba-hamba itu] jika [tuan mereka] datang pada waktu ke-2, bahkan selepas waktu ke-3, dan mendapati bahawa mereka sedang berjaga-jaga!”—Luk. 12:38, nota kaki.
Yesus menyebut tentang keempat-empat giliran jaga itu semasa dia memberitahu murid-muridnya, “Kamu tidak tahu bila tuan rumah akan datang, sama ada pada lewat petang, atau pada tengah malam, atau sebelum waktu subuh, atau pada awal pagi.” (Mrk. 13:35, nota kaki) Giliran jaga yang pertama, iaitu “lewat petang,” adalah dari masa matahari terbenam hingga kira-kira jam sembilan malam. Giliran jaga yang kedua, iaitu “tengah malam,” adalah dari kira-kira jam sembilan malam hingga tengah malam. Giliran jaga yang ketiga, iaitu “sebelum waktu subuh” atau “semasa ayam jantan berkokok,” adalah dari tengah malam hingga kira-kira jam tiga pagi. Barangkali, pada malam Yesus ditangkap, itulah waktunya seekor ayam jantan berkokok. (Mrk. 14:72) Giliran jaga yang keempat, iaitu “awal pagi,” adalah dari sekitar jam tiga pagi hingga masa matahari terbit.
Meskipun orang pada zaman Bible tidak mempunyai alat pengukur masa yang kita miliki hari ini, mereka masih memiliki sistem pengiraan waktu untuk siang dan malam.