Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 17

“Aku Memanggil Kamu Sahabat-Sahabatku”

“Aku Memanggil Kamu Sahabat-Sahabatku”

“Aku memanggil kamu sahabat-sahabatku kerana aku sudah memberitahu kamu segala yang telah aku dengar daripada Bapaku.”​—YOH. 15:15.

LAGU 13 Kristus, Suri Teladan Kita

PENGENALAN *

1. Bagaimanakah anda dapat menjadi kawan baik seseorang?

BIASANYA, untuk menjadi kawan baik seseorang, anda perlu meluangkan masa bersamanya. Apabila anda berdua berbual, mengongsi fikiran, dan menceritakan pengalaman masing-masing, hubungan anda berdua menjadi lebih erat. Namun, untuk menjadi sahabat akrab Yesus, kita menghadapi beberapa cabaran. Apakah cabarannya?

2. Apakah cabaran pertama yang kita hadapi?

2 Cabaran yang pertama ialah kita tidak pernah berjumpa dengan Yesus. Ramai orang Kristian pada abad pertama pun menghadapi cabaran itu. Namun, Rasul Petrus berkata, “Meskipun kamu tidak pernah melihat Kristus, kamu mengasihinya. Meskipun kamu tidak melihatnya sekarang, kamu beriman kepadanya.” (1 Ptr. 1:8) Jadi, walaupun kita tidak pernah berjumpa dengan Yesus, kita masih dapat menjadi sahabat akrabnya.

3. Apakah cabaran kedua yang kita hadapi?

3 Cabaran kedua ialah kita tidak dapat bercakap kepada Yesus. Semasa berdoa, kita bercakap kepada Yehuwa. Walaupun kita mengucapkan doa melalui nama Yesus, kita tidak bercakap kepadanya. Yesus juga tidak mahu kita berdoa kepadanya. Mengapa? Doa merupakan suatu bentuk penyembahan, dan kita hanya boleh menyembah Yehuwa. (Mat. 4:10) Meskipun begitu, kita dapat menunjukkan bahawa kita mengasihi Yesus.

4. Apakah cabaran ketiga? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Cabaran ketiga ialah Yesus tinggal di syurga. Jadi, kita tidak dapat meluangkan masa bersamanya. Meskipun begitu, kita masih dapat mengenalinya dengan baik. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan empat perkara yang dapat kita lakukan untuk menjalin persahabatan yang erat dengannya. Sebelum itu, marilah kita lihat sebabnya kita perlu menjadi sahabat rapat Kristus.

MENGAPAKAH KITA PERLU MENJADI SAHABAT YESUS?

5. Mengapakah kita perlu menjadi sahabat Yesus? (Lihat juga kotak “ Persahabatan dengan Yesus Membolehkan Kita Menjadi Sahabat Yehuwa” dan “ Pandangan yang Seimbang tentang Peranan Yesus.”)

5 Kita mesti menjadi sahabat Yesus, barulah kita dapat menjalin hubungan yang baik dengan Yehuwa. Mengapa? Fikirkan dua sebab ini: Pertama, Yesus memberitahu murid-muridnya, “Bapa sendiri mengasihi kamu, kerana kamu mengasihi aku.” (Yoh. 16:27) Yesus juga berkata, “Tiada seorang pun yang dapat datang kepada Bapa kecuali melalui aku.” (Yoh. 14:6) Jika kita ingin menjadi sahabat Yehuwa tanpa menjalin hubungan yang rapat dengan Yesus, kita seperti ingin memasuki bangunan tanpa menggunakan pintu. Yesus juga pernah menggambarkan dirinya seperti “pintu bagi kawanan biri-biri.” (Yoh. 10:7) Kedua, Yesus mencerminkan sifat Bapanya dengan sempurna. Dia berkata kepada murid-muridnya, “Sesiapa yang sudah melihat aku sudah melihat Bapa juga.” (Yoh. 14:9) Satu cara penting untuk mengenali Yehuwa adalah dengan mengkaji kehidupan Yesus. Semakin kita mengenali Yesus, semakin dalam kasih kita terhadapnya. Semakin erat hubungan kita dengan Yesus, semakin kuat kasih kita kepada Bapanya.

6. Apakah satu lagi sebab kita perlu menjadi sahabat Yesus? Jelaskan.

6 Kita perlu menjadi sahabat Yesus, barulah doa kita akan dijawab. Maksudnya, sekadar berkata, “Kami ucapkan doa ini melalui nama Yesus” tidak mencukupi. Kita mesti faham bagaimana Yehuwa menggunakan Yesus untuk mengabulkan doa kita. Yesus memberitahu para rasul, “Aku akan melakukan apa sahaja yang kamu minta atas namaku.” (Yoh. 14:13) Memang benar, Yehuwalah yang mendengar dan menjawab doa kita, tetapi Dia telah memberi Yesus kuasa untuk melakukan apa yang diputuskan-Nya. (Mat. 28:18) Oleh itu, sebelum Yehuwa mengabulkan doa kita, Dia akan melihat jika kita sudah menerapkan nasihat Yesus. Misalnya, Yesus mengajar kita, “Jika kamu mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampuni kamu; tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang lain, Bapa kamu juga tidak akan mengampunkan kesalahan kamu.” (Mat. 6:14, 15) Maka, kita perlu melayan orang dengan baik, sebagaimana Yehuwa dan Yesus melayan kita dengan baik!

7. Siapakah yang akan meraih manfaat daripada korban tebusan Yesus?

7 Hanya sahabat karib Yesus akan meraih manfaat daripada korban tebusannya. Bagaimanakah kita tahu? Yesus berkata bahawa dia “menyerahkan nyawanya demi sahabat-sahabatnya.” (Yoh. 15:13) Fikirkan Abraham, Sara, Musa, dan Rahab. Mereka semua penyembah Yehuwa yang setia, yang hidup sebelum Yesus datang ke bumi. Meskipun mereka akan dibangkitkan, mereka masih perlu belajar tentang Yesus, mengasihinya, dan menjadi sahabatnya, supaya mereka dapat hidup selama-lamanya.​—Yoh. 17:3; Kis. 24:15; Ibr. 11:8-12, 24-26, 31.

8-9. Menurut Yohanes 15:4, 5, persahabatan dengan Yesus membolehkan kita melakukan apa, dan mengapakah kita mesti tetap bersatu dengan Yesus?

8 Semasa Yesus berada di bumi, dia mengajar orang ramai tentang kebenaran. Setelah kembali ke syurga, Yesus menjadi ketua sidang dan terus membimbing kerja menginjil dan mengajar. Apabila kita ikut serta dalam kerja menginjil dan mengajar, kita dapat bersukacita kerana kita sedang bekerja bersama Yesus. Yesus sangat menghargai segala usaha yang anda curahkan untuk membantu orang mengenalinya dan Bapanya. Ingatlah, tanpa bantuan Yehuwa dan Yesus, kita tidak mungkin dapat melaksanakan tugas itu.​—Baca Yohanes 15:4, 5.

9 Firman Tuhan menyatakan dengan jelas bahawa jika kita ingin menggembirakan Yehuwa, kita mesti memupuk dan memelihara kasih kita terhadap Yesus. Mari kita lihat empat cara untuk menjadi sahabat Yesus.

CARA UNTUK MENJADI SAHABAT YESUS

Anda dapat menjadi sahabat Yesus dengan (1) belajar tentangnya, (2) meniru cara dia berfikir dan bertindak, (3) menyokong saudara-saudara Kristus, dan (4) menyokong aturan organisasi Yehuwa (Lihat perenggan 10-14) *

10. Apakah langkah pertama untuk menjadi sahabat Yesus?

10 (1Belajar tentang Yesus. Kita dapat berbuat demikian dengan membaca dan merenungkan kisah hidup Yesus dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Setelah melihat bagaimana Yesus melayan orang dengan baik, kita akan terdorong untuk menghormati dan mengasihinya. Misalnya, walaupun Yesus ialah Tuan, dia tidak melayan murid-muridnya seperti hamba. Sebaliknya dia sudi mengongsi fikiran dan perasaannya dengan mereka. (Yoh. 15:15) Semasa mereka berduka, Yesus merasai keperitan mereka dan menangis bersama mereka. (Yoh. 11:32-36) Musuh-musuhnya pun mengaku bahawa dia bersahabat dengan orang yang menerima ajarannya. (Mat. 11:19) Jika kita meniru teladan Yesus, hubungan kita dengan orang lain akan bertambah erat, kita akan lebih puas dan bahagia, dan kita akan semakin mengasihi dan menghormati Kristus.

11. Apakah langkah kedua untuk menjadi sahabat Yesus? Mengapakah langkah itu penting?

11 (2Meniru cara Yesus berfikir dan bertindak. Apabila kita semakin mengetahui cara Yesus berfikir dan berusaha menirunya, kita akan semakin rapat dengan Yesus. (1 Kor. 2:16) Bagaimanakah kita dapat meniru Yesus? Perhatikan satu contoh: Bagi Yesus, membantu orang lain lebih penting daripada menyenangkan diri sendiri. (Mat. 20:28; Rm. 15:1-3) Oleh sebab Yesus memiliki pemikiran sebegitu, dia rela membuat pengorbanan dan sedia memaafkan orang lain. Dia juga tidak cepat tersinggung semasa orang lain bercakap buruk tentangnya. (Yoh. 1:46, 47) Selain itu, Yesus tidak bersangka buruk terhadap orang lain kerana kesilapan mereka pada masa lampau. (1 Tim. 1:12-14) Kita perlu meniru sikap Yesus terhadap orang lain. Hal ini penting kerana Yesus berkata, “Jika kamu saling mengasihi, semua orang akan tahu bahawa kamulah murid-muridku.” (Yoh. 13:35) Maka, tanyalah diri, “Adakah saya meniru teladan Yesus? Adakah saya berusaha sedaya upaya untuk menjaga hubungan yang damai dengan saudara saudari saya?”

12. Apakah langkah ketiga untuk menjadi sahabat Yesus? Bagaimanakah kita dapat mengambil langkah itu?

12 (3Menyokong saudara-saudara Kristus. Apabila kita membantu saudara-saudara Yesus yang terurap, Yesus sangat menghargainya kerana kita seolah-olah sedang membantunya. (Mat. 25:34-40) Cara utama untuk menyokong kaum terurap adalah dengan bergiat sepenuhnya dalam kerja menginjil dan menjadikan orang murid Yesus. (Mat. 28:19, 20; Kis. 10:42) Dengan adanya bantuan “biri-biri lain,” barulah saudara-saudara Kristus dapat melaksanakan kerja penyebaran di serata dunia. (Yoh. 10:16) Jika anda salah seorang daripada biri-biri lain, ingatlah bahawa setiap kali anda menyertai kerja itu, anda menunjukkan kasih anda, bukan sahaja kepada kaum terurap, tetapi juga kepada Yesus.

13. Bagaimanakah kita dapat menerapkan nasihat Yesus di Lukas 16:9?

13 Kita juga dapat menjadi sahabat Yesus dan Yehuwa dengan memberikan sumbangan untuk menyokong kerja yang diamanahkan oleh mereka. (Baca Lukas 16:9.) Contohnya, kita dapat menyumbangkan wang untuk kerja sedunia. Sumbangan kita akan digunakan untuk melakukan kerja penyebaran di kawasan terpencil, membina dan menjaga bangunan yang digunakan untuk ibadat sejati, dan untuk membantu mangsa bencana. Kita juga dapat menyumbangkan wang untuk perbelanjaan sidang kita, dan menghulurkan bantuan kewangan kepada orang yang memerlukannya. (Ams. 19:17) Melalui cara-cara ini, kita sedang menyokong saudara-saudara Kristus.

14. Menurut Efesus 4:15, 16, apakah langkah keempat untuk menjadi sahabat Yesus?

14 (4Menyokong aturan organisasi Yehuwa. Persahabatan kita dengan Yesus akan bertambah erat apabila kita bekerjasama dengan mereka yang dilantik untuk menjaga kita. (Baca Efesus 4:15, 16.) Kini, organisasi Yehuwa ingin menggunakan Dewan Perjumpaan dengan sebaik-baiknya. Oleh itu, sesetengah sidang telah digabungkan, dan sempadan kawasan penyebaran juga telah diubah. Aturan itu menjimatkan banyak wang sumbangan. Tetapi di bawah aturan itu, sesetengah penyiar perlu membiasakan diri dengan keadaan baharu. Mereka mungkin sudah lama berkhidmat di sebuah sidang dan sangat rapat dengan saudara saudari di situ, dan kini mereka diminta berpindah ke sidang yang lain. Yesus, ketua sidang Kristian, pasti amat gembira semasa melihat mereka rela menyokong aturan itu.

MENJADI SAHABAT YESUS BUAT SELAMA-LAMANYA

15. Pada masa depan, bagaimanakah hubungan kita dengan Yesus akan bertambah erat?

15 Orang yang diurapi kuasa suci Tuhan akan memerintah bersama Yesus dalam Kerajaan Tuhan. Mereka berpeluang melihat Yesus, bercakap dengannya, dan meluangkan masa bersamanya buat selama-lamanya. (Yoh. 14:2, 3) Yesus juga akan mengasihi dan memperhatikan orang yang berpeluang untuk hidup kekal di bumi. Biarpun mereka tidak dapat melihatnya, hubungan mereka dengannya akan semakin erat apabila mereka menikmati kehidupan abadi yang dikurniakan Yehuwa dan Yesus.​—Yes. 9:6, 7.

16. Apakah berkat yang kita raih kerana menjadi sahabat Yesus?

16 Apabila kita menyambut jemputan Yesus untuk menjadi sahabatnya, kita meraih berkat yang melimpah. Misalnya, kita merasai kasih dan sokongannya sekarang, dan kita diberi harapan untuk hidup kekal. Yang terpenting, dengan menjadi sahabat Yesus, kita dapat meraih harta yang paling bernilai, iaitu hubungan yang rapat dengan Yehuwa, Bapa kepada Yesus. Tidakkah kita berbesar hati untuk dipanggil sahabat Yesus?

LAGU 17 “Aku Rela”

^ per. 5 Para rasul dapat menjadi sahabat baik Yesus kerana mereka pernah berbual dengannya dan bekerja bersamanya selama bertahun-tahun. Yesus juga mahu kita menjadi sahabatnya, tetapi kita menghadapi cabaran yang tidak dihadapi rasul-rasul. Rencana ini akan membincangkan beberapa cabaran itu dan menunjukkan cara-cara untuk menjalin dan memelihara persahabatan yang erat dengan Yesus.

^ per. 55 KETERANGAN GAMBAR: (1) Semasa penyembahan keluarga, kita dapat belajar tentang kehidupan dan kegiatan Yesus. (2) Di sidang, kita dapat berusaha untuk berdamai dengan rakan seiman. (3) Apabila kita bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja penyebaran, kita menyokong saudara-saudara Kristus. (4) Semasa sidang-sidang digabungkan, kita dapat bekerjasama dengan para penatua.