Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Cara Menangani Kekhuatiran

Cara Menangani Kekhuatiran

KEKHUATIRAN boleh menjadi seperti beban yang berat dalam hati kita. (Ams. 12:25) Pernahkah anda begitu khuatir sehingga berasa sangat tertekan? Pernahkah anda berasa bahawa anda tidak dapat bertahan lagi? Jika ya, anda tidak keseorangan. Ramai antara kita pernah berasa penat secara fizikal, mental, dan emosi, kerana perlu menjaga ahli keluarga yang sakit, kehilangan orang tersayang, dilanda bencana alam, atau kerana situasi lain. Namun, apakah yang dapat membantu kita menangani kekhuatiran? a

Kita dapat belajar cara untuk menangani kekhuatiran daripada contoh Raja Daud. Dia menghadapi bermacam-macam cabaran dalam hidupnya, dan dia bahkan pernah diancam maut. (1 Sam. 17:34, 35; 18:10, 11) Bagaimanakah Daud menangani kekhuatirannya? Bagaimanakah kita dapat meniru teladannya?

BAGAIMANA DAUD MENANGANI KEKHUATIRAN

Daud pernah dilanda masalah secara bertubi-tubi. Contohnya, fikirkan situasinya semasa Daud melarikan diri daripada Raja Saul. Pernah sekali, setelah Daud dan anak buahnya pergi berperang, mereka kembali ke Ziklag dan mendapati bahawa musuh telah merampas harta mereka, membakar rumah mereka, dan menculik keluarga mereka. Apakah reaksi Daud? Dia dan anak buahnya “mula menangis dengan kuat sehingga mereka kehabisan tenaga dan tidak dapat menangis lagi.” Bukan itu sahaja, anak buah Daud ‘hendak merejamnya dengan batu.’ (1 Sam. 30:1-6) Jadi, Daud perlu berdepan dengan tiga masalah yang besar dalam masa yang sama: Keluarganya dalam bahaya, dia takut dia mungkin dibunuh oleh anak buahnya, dan Raja Saul sedang memburunya. Dapatkah anda membayangkan kekhuatiran Daud pada masa itu?

Apakah yang dilakukan Daud selepas itu? Dia segera “mendapat kekuatan daripada Tuhannya, Yehuwa.” Bagaimanakah Daud mendapat kekuatan daripada Tuhan? Kita tahu bahawa Daud sering berdoa kepada Yehuwa dan merenungkan bagaimana Yehuwa pernah membantunya pada masa lalu. (1 Sam. 17:37; Mzm. 18:2, 6) Daud sedar bahawa dia memerlukan bimbingan Yehuwa, maka dia menanya Yehuwa apa yang harus dilakukannya. Sebaik sahaja dia menerima arahan daripada Yehuwa, dia segera bertindak. Hasilnya, dia dan anak buahnya diberkati, dan mereka berjaya menyelamatkan keluarga mereka dan mendapat semula harta mereka. (1 Sam. 30:7-9, 18, 19) Adakah anda perhatikan tiga langkah yang diambil oleh Daud? Dia berdoa meminta bantuan Yehuwa, merenungkan bagaimana Yehuwa pernah membantunya, dan bertindak mengikut arahan Yehuwa. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Daud? Perhatikan tiga cara.

TIRULAH TELADAN DAUD SEMASA BERASA KHUATIR

1. Berdoa. Sebaik sahaja kita mula berasa khuatir, kita boleh berdoa kepada Yehuwa untuk meminta bantuan dan kebijaksanaan-Nya. Dengan mencurahkan segala isi hati kita kepada-Nya, kita dapat meringankan beban di hati kita. Atau, ada kalanya, dalam keadaan tertentu, kita mungkin hanya mampu mengucapkan doa yang singkat. Setiap kali kita meminta bantuan Yehuwa, kita sebenarnya sedang menunjukkan keyakinan seperti Daud yang berkata, “Ya Yehuwa, Engkaulah penyelamatku; Engkaulah batu perlindunganku dan kubuku. Ya Tuhanku, Engkaulah gunung batuku. Aku berlindung kepada-Mu.” (Mzm. 18:2) Adakah doa benar-benar dapat membantu kita? Saudari Kahlia, yang merupakan seorang perintis, berkata, “Selepas berdoa, saya berasa lebih tenang. Doa telah membantu saya untuk menyelaraskan fikiran saya dengan fikiran Yehuwa dan keyakinan saya kepada-Nya juga dikuatkan.” Sememangnya, doa ialah pemberian yang istimewa daripada Yehuwa yang dapat membantu kita mengatasi kekhuatiran.

2. Membuat perenungan. Dalam kehidupan anda, dapatkah anda ingat apa-apa masalah yang dapat anda harungi hanya dengan bantuan Yehuwa? Apabila kita memikirkan bagaimana Yehuwa telah membantu kita dan penyembah-Nya pada masa lalu, kita akan berasa tenang dan keyakinan kita terhadap-Nya pun semakin bertambah. (Mzm. 18:17-19) Seorang penatua yang bernama Joshua berkata, “Saya ada satu senarai untuk mencatatkan bagaimana doa saya dijawab. Dengan ini, saya dapat ingat bila saya pernah meminta bantuan Yehuwa dan cara Dia membantu saya.” Ya, apabila kita merenungkan bagaimana Yehuwa telah membantu kita, kita akan dikuatkan untuk mengatasi kekhuatiran kita.

3. Bertindak. Sebelum mengambil apa-apa tindakan, kita mahu mengkaji Firman Tuhan, sumber bimbingan yang terbaik. (Mzm. 19:7, 11) Ramai yang mendapati bahawa apabila mereka membuat penyelidikan tentang ayat Bible yang tertentu, mereka lebih memahami bagaimana untuk menerapkan ayat itu. Seorang penatua yang bernama Jarrod berkata, “Penyelidikan membolehkan saya memahami ayat Bible dengan lebih menyeluruh dan memahami apa yang Yehuwa ingin beritahu saya. Dengan itu, kebenaran dapat ditanamkan dalam hati saya dan membantu saya bertindak mengikut bimbingan Yehuwa.” Apabila kita mencari dan mengikut bimbingan Yehuwa dalam Bible, kita dapat menangani kekhuatiran dengan lebih baik.

YEHUWA PASTI AKAN MEMBANTU ANDA

Daud sedar bahawa dia memerlukan bantuan Yehuwa untuk menangani kekhuatiran. Setelah merasai bantuan Yehuwa, dia begitu bersyukur sehingga berkata, “Dengan kuasa-Mu, aku berjaya melompat merentasi tembok. Tuhan yang benar menguatkan aku.” (Mzm. 18:29, 32) Kita mungkin berasa bahawa masalah kita bagaikan tembok yang terlampau tinggi. Tetapi dengan adanya bantuan Yehuwa, kita mampu merentasinya! Ya, jika kita berdoa meminta pertolongan Yehuwa, merenungkan bagaimana Dia pernah membantu kita, dan bertindak mengikut bimbingan-Nya, Dia pasti memberi kita kekuatan dan kebijaksanaan yang kita perlukan untuk menangani kekhuatiran kita!

a Seseorang yang mengalami kekhuatiran atau kebimbangan yang melampau mungkin perlu mendapatkan rawatan doktor.