Pertanyaan Pembaca
Adakah penggunaan alat dalam rahim (IUD) untuk mencegah kehamilan bercanggah dengan prinsip Bible?
Setiap pasangan Kristian perlu mempertimbangkan prinsip Bible dan fakta yang terlibat. Dengan itu, keputusan mereka akan membolehkan mereka memelihara hati nurani yang bersih di hadapan Tuhan.
Semasa bumi hanya didiami dua orang (dan lapan orang selepas Banjir) Yehuwa berfirman, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak.” (Kej. 1:28; 9:1) Bible tidak menyatakan bahawa perintah itu ditujukan kepada orang Kristian juga. Maka, setiap pasangan harus membuat keputusan sendiri dalam soal perancangan keluarga atau menentukan bila mereka ingin mendapat anak. Apakah faktor yang harus dipertimbangkan semasa memilih kaedah pencegahan kehamilan?
Apa-apa kaedah pencegahan kehamilan perlu dinilai mengikut prinsip Bible. Maka orang Kristian menolak pengguguran anak, kerana perbuatan itu tidak menghormati nyawa. Orang Kristian tidak akan sengaja menamatkan nyawa yang bakal dilahirkan sebagai manusia. (Kel. 20:13; 21:22, 23; Mzm. 139:16; Yer. 1:5) Bagaimana pula dengan penggunaan IUD?
Hal itu pernah dibincangkan dalam The Watchtower terbitan 15 Mei 1979, muka surat 30-31. Kebanyakan IUD pada masa itu dibuat daripada plastik dan dimasukkan ke dalam rahim untuk mencegah kehamilan. Rencana itu menyebut bahawa cara IUD berfungsi tidak difahami dengan sepenuhnya. Ramai pakar mengatakan bahawa IUD plastik menghasilkan tindak balas dalam rahim sehingga sperma tidak dapat sampai ke
sel telur dan bersenyawa dengan sel telur. Jika persenyawaan tidak berlaku, nyawa baharu tidak terhasil.Namun, ada kalanya persenyawaan masih berlaku. Sel telur yang disenyawakan mungkin bertumbuh di dalam tiub Fallopio (kehamilan ektopik). Sel telur itu juga mungkin bergerak ke dalam rahim, tetapi tidak dapat menempel lalu bertumbuh di rahim disebabkan kehadiran alat IUD. Situasi ini sama seperti pengguguran. Rencana itu membuat kesimpulan berikut: “Orang Kristian yang menghormati nyawa perlu mengambil kira maklumat ini semasa berfikir tentang kewajaran penggunaan IUD.”—Mzm. 36:10.
Sejak rencana itu diterbitkan pada tahun 1979, adakah terdapat perkembangan saintifik atau perubatan dalam hal ini?
Sejak tahun 1988, sejenis IUD yang mengandungi tembaga telah dipasarkan di Amerika Syarikat. Pada tahun 2001, terdapat pula IUD yang membebaskan hormon. Bagaimanakah dua jenis IUD ini berfungsi?
Tembaga: Seperti yang dinyatakan sebelum ini, fungsi IUD adalah untuk menghalang sperma daripada melalui rahim dan sampai ke sel telur. Dengan adanya IUD yang mempunyai tembaga, tembaga itu nampaknya menjadi bahan toksik yang membunuh sperma * dan dapat mengubah lapisan dalaman rahim.
Hormon: Terdapat beberapa jenis IUD yang mengandungi hormon yang juga ditemui dalam pil pencegah kehamilan. Hormon itu dibebaskan di dalam rahim dan nampaknya menghalang ovari daripada membebaskan sel telur. Jika tiada sel telur dibebaskan, persenyawaan tidak mungkin berlaku. Selain itu, hormon di dalam IUD sebegini dikatakan menipiskan lapisan dalaman rahim * dan membuat lendir di serviks bertambah pekat sehingga sperma dihalang daripada memasuki rahim. Itulah fungsi tambahan IUD yang mengandungi hormon.
Seperti yang dinyatakan, kedua-dua jenis IUD itu nampaknya mengubah lapisan dalaman rahim. Jika demikian, seandainya sel telur dibebaskan dan persenyawaan berlaku, sel telur itu mungkin memasuki rahim tetapi tidak dapat menempel di permukaannya. Namun situasi sebegini dikatakan jarang berlaku, sama seperti dalam kes pil pencegah kehamilan.
Maka tiada orang dapat menjamin bahawa IUD yang mengandungi tembaga atau hormon akan mencegah persenyawaan dengan sepenuhnya. Namun bukti saintifik menunjukkan bahawa dengan adanya ciri-ciri IUD yang disebut tadi, kehamilan jarang sekali berlaku.
Pasangan Kristian yang mempertimbangkan penggunaan IUD dapat berbincang dengan pakar perubatan tentang IUD yang ada di pasaran dan manfaat atau risiko yang mungkin dihadapi isteri. Mereka tidak patut mengharapkan atau mengizinkan orang lain, bahkan doktor, untuk membuat keputusan bagi mereka. (Rm. 14:12; Gal. 6:4, 5) Hal itu merupakan keputusan peribadi. Semasa membuat keputusan, pasangan Kristian harus berusaha menyenangkan hati Tuhan dan memelihara hati nurani yang murni di hadapan-Nya.—Bandingkan 1 Timotius 1:18, 19; 2 Timotius 1:3.
^ per. 4 Sebuah panduan daripada Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England menyatakan, “IUD yang ada lebih banyak tembaga adalah lebih daripada 99% berkesan. Maksudnya, antara 100 orang wanita yang menggunakan IUD, kurang daripada 1 orang akan hamil dalam setahun. IUD yang kurang tembaganya kurang berkesan.”
^ per. 5 Memandangkan IUD yang mengandungi hormon dapat menipiskan lapisan dalaman rahim, doktor ada kalanya menasihati wanita yang mengalami haid yang banyak untuk menggunakan IUD sebegini.