Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Aku Memiliki Harapan”

“Aku Memiliki Harapan”

“Adam yang terakhir pula menjadi roh yang memberikan hidup.”​—1 KOR. 15:45.

LAGU: 151, 147

1-3. (a) Apakah yang terangkum dalam ajaran utama kepercayaan kita? (b) Mengapakah ajaran pembangkitan begitu penting? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

APAKAH jawapan anda jika ditanya, “Apakah ajaran utama agama kamu?” Anda pasti akan menegaskan bahawa Yehuwa ialah Pencipta dan Sumber Kehidupan kita. Anda mungkin akan menyebut tentang iman anda kepada Yesus Kristus yang telah mati untuk menebus kita. Anda juga mungkin bercakap tentang bumi firdaus dan harapan untuk hidup kekal. Namun, adakah pembangkitan termasuk dalam kepercayaan yang paling anda hargai?

2 Biarpun kita berharap untuk terselamat semasa kesengsaraan besar dan hidup selama-lamanya di bumi, pembangkitan masih merupakan salah satu ajaran utama kepercayaan kita. Rasul Paulus menjelaskan sebabnya: “Jika orang mati memang tidak akan dibangkitkan, hal ini bererti Kristus pun tidak dibangkitkan.” Sekiranya Kristus tidak dibangkitkan, dia tidak akan menjadi Raja kita, dan ajaran kita tentang kerajaannya pun sia-sia sahaja. (Baca 1 Korintus 15:12-19.) Namun, kita tahu Yesus telah dibangkitkan, dan keyakinan itu membezakan kita daripada golongan Saduki yang enggan percaya akan pembangkitan. Biarpun dicemuh, kita tetap percaya akan pembangkitan.​—Mrk. 12:18; Kis. 4:2, 3; 17:32; 23:6-8.

3 Semasa Paulus menulis mengenai “ajaran asas tentang Kristus,” dia juga menyebut tentang “pembangkitan orang mati.” (Ibr. 6:1, 2) Paulus juga menyatakan bahawa dia percaya akan pembangkitan. (Kis. 24:10, 15, 24, 25) Memandangkan pembangkitan adalah antara “hal-hal asas tentang perkhabaran suci Tuhan,” mengapakah kita perlu menelitinya secara mendalam?​—Ibr. 5:12.

4. Apakah soalan-soalan yang mungkin timbul mengenai pembangkitan?

4 Semasa belajar Bible, ramai orang membaca tentang pembangkitan pada masa lampau, seperti kisah Lazarus. Mereka juga belajar bahawa Abraham, Ayub, dan Daniel, yakin bahawa orang mati akan hidup semula pada masa depan. Namun, jika anda ditanya mengapa janji pembangkitan yang dibuat ribuan tahun dahulu masih dapat dipercayai, apakah bukti yang akan anda kemukakan? Adakah Bible menyatakan bila pembangkitan akan berlaku? Soalan-soalan itu berkait rapat dengan iman kita, maka mari kita mencari jawapannya dalam Bible.

PEMBANGKITAN YANG BERLAKU RATUSAN TAHUN KEMUDIAN

5. Apakah yang akan kita bincangkan tentang pembangkitan?

5 Memang tidak susah untuk membayangkan seseorang yang baru meninggal dibangkitkan. (Yoh. 11:11; Kis. 20:9, 10) Bagaimana pula dengan janji bahawa pembangkitan akan terjadi ratusan tahun kemudian? Dapatkah kita percaya bahawa janji yang dibuat lama dahulu itu akan terjadi, sama ada bagi orang yang baru meninggal atau yang sudah lama mati? Sebenarnya terdapat satu janji pembangkitan yang ditunaikan beratus-ratus tahun kemudian, yang sudah anda percayai. Pembangkitan siapa? Bagaimanakah hal itu berkaitan dengan pembangkitan pada masa depan?

6. Bagaimanakah Mazmur 118 berkaitan dengan Yesus?

6 Mazmur 118, yang mungkin digubah oleh Daud, mengandungi nubuat tentang pembangkitan yang terjadi bertahun-tahun kemudian. Mazmur itu mempunyai kata-kata ini: ‘Kami memohon supaya Engkau menyelamatkan kami, ya Yehuwa! Semoga Tuhan memberkati dia yang datang demi nama Yehuwa!’ Orang ramai telah memetik nubuat itu semasa Yesus menunggang seekor keldai ke Yerusalem pada 9 Nisan, iaitu beberapa hari sebelum kematiannya. (Mzm. 118:25, 26; Mat. 21:7-9) Namun, bagaimanakah Mazmur 118 menyebut tentang pembangkitan yang akan berlaku ratusan tahun kemudian? Mazmur tersebut mengandungi pernyataan ini: “Batu yang dibuang pembina-pembina itu telah menjadi batu [penjuru] yang paling utama.”​—Mzm. 118:22.

“Pembina-pembina” menolak Mesias (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah orang Yahudi menolak Yesus?

7 “Pembina-pembina itu” ialah para pemimpin Yahudi yang menolak Mesias. Mereka tidak mempedulikannya dan enggan menerimanya sebagai Kristus. Lebih teruk lagi, ramai orang Yahudi menuntut agar Yesus dibunuh. (Luk. 23:18-23) Mereka bertanggungjawab atas kematian Yesus.

Yesus dibangkitkan lalu menjadi “batu penjuru yang utama” (Lihat perenggan 8, 9)

8. Bagaimanakah Yesus dapat menjadi “batu penjuru yang utama”?

8 Jika Yesus dibunuh, bagaimanakah dia dapat menjadi “batu [penjuru] yang paling utama”? Dia harus dibangkitkan. Yesus menjelaskan hal itu melalui perumpamaannya tentang pemilik ladang yang menghantar utusan kepada peladang. Para peladang yang menindas utusan itu menggambarkan orang Israel yang menindas para nabi Tuhan. Akhirnya, pemilik itu mengutus anak kesayangannya. Adakah anak itu diterima? Tidak. Para peladang bahkan membunuhnya. Selepas menceritakan perumpamaan itu, Yesus telah memetik nubuat di Mazmur 118:22. (Luk. 20:9-17) Rasul Petrus juga memetik ayat itu. Dia berkata kepada para pemimpin orang Yahudi dan jurutulis hukum di Yerusalem, “Tuan-tuan sudah menghukum bunuh [Yesus Kristus] pada tiang, tetapi Tuhan sudah membangkitkannya daripada kematian.” Kemudian Petrus menyatakan dengan jelas, “Yesuslah yang dimaksudkan oleh ayat ini: ‘Batu yang kamu, para pembina bangunan buang, telah menjadi batu penjuru yang utama.’”​—Kis. 3:15; 4:5-11; 1 Ptr. 2:5-7.

9. Apakah peristiwa penting yang dinubuatkan di Mazmur 118:22?

9 Jelaslah, nubuat pembangkitan di Mazmur 118:22 telah berlaku ratusan tahun kemudian. Mesias akan ditolak dan dibunuh, tetapi dia akan dibangkitkan lalu menjadi batu penjuru yang utama. Setelah dibangkitkan, Yesus menjadi satu-satunya individu yang “dipilih oleh Tuhan untuk menyelamatkan kita.”​—Kis. 4:12; Ef. 1:20.

10. (a) Apakah yang dinubuatkan di Mazmur 16:10? (b) Mengapakah kita tahu bahawa Mazmur 16:10 tidak merujuk kepada Daud?

10 Mari kita lihat satu lagi nubuat pembangkitan, yang berlaku lebih daripada seribu tahun kemudian. Nubuat itu patut menguatkan keyakinan kita bahawa pembangkitan yang dijanjikan lama dahulu pasti akan berlaku. Dalam Mazmur 16, Daud menulis, “Engkau tidak akan meninggalkan aku di Kuburan. Engkau tidak akan membiarkan hamba-Mu yang setia mereput di lubang kubur.” (Mzm. 16:10, NW) Ayat itu tidak bermaksud bahawa Daud tidak akan mati atau ditinggalkan di dalam kubur. Firman Tuhan menyatakan bahawa Daud memang menjadi tua, lalu “mangkat dan dimakamkan di Kota Daud.” (1 Raj. 2:1, 10) Jadi, apakah maksud Mazmur 16:10?

11. Bilakah Petrus mengulas Mazmur 16:10?

11 Lebih daripada seribu tahun selepas Mazmur 16:10 digubah, Petrus telah menjelaskan maksudnya. Beberapa minggu selepas Yesus mati dan dibangkitkan, Petrus berucap kepada ribuan orang Yahudi dan pemeluk agama Yahudi. (Baca Kisah 2:29-32.) Setelah menyatakan hakikat bahawa Daud telah mati dan dikuburkan, Petrus mengatakan bahawa “awal-awal lagi, Daud sudah mengetahui dan bercakap tentang pembangkitan” Mesias. Tiada catatan Bible yang menunjukkan bahawa ada orang membantah kata-kata Petrus.

12. Bilakah nubuat di Mazmur 16:10 berlaku? Apakah yang kita pelajari daripada ayat itu tentang janji pembangkitan?

12 Petrus menyokong pernyataannya itu dengan memetik kata-kata Daud di Mazmur 110:1. (Baca Kisah 2:33-36.) Penjelasan Petrus yang berdasarkan Bible telah meyakinkan pendengarnya bahawa Yesus ialah “Tuan dan Kristus.” Lebih penting lagi, mereka sedar bahawa nubuat di Mazmur 16:10 telah berlaku semasa Yesus dibangkitkan. Beberapa lama kemudian, Rasul Paulus telah mengemukakan bukti yang sama semasa bercakap kepada orang Yahudi di Kota Antiokhia di Pisidia. Hujah-hujahnya begitu meyakinkan sehingga mereka ingin mendengar penjelasan selanjutnya. (Baca Kisah 13:32-37, 42.) Bukti itu patut meyakinkan kita bahawa meskipun nubuat Bible tentang pembangkitan pada masa depan ditulis ribuan tahun dahulu, nubuat itu masih dapat dipercayai.

PEMBANGKITAN​—BILA?

13. Apakah soalan yang mungkin kita tanya tentang pembangkitan?

13 Jaminan bahawa pembangkitan yang dijanjikan lama dahulu pasti terjadi amat memberangsangkan. Namun, kita mungkin masih tertanya-tanya, “Perlukah saya tunggu lama sebelum dapat bertemu lagi dengan orang tersayang? Bilakah pembangkitan yang saya nantikan akan berlaku?” Yesus memang pernah memberitahu para rasulnya bahawa terdapat sesetengah perkara yang tidak dapat diketahui mereka, seperti butiran tentang ‘masa dan waktu yang ditentukan Bapa.’ (Kis. 1:6, 7; Yoh. 16:12) Namun, hal itu tidak bermaksud kita langsung tiada maklumat tentang waktu pembangkitan berlaku.

14. Bagaimanakah pembangkitan Yesus berbeza daripada pembangkitan sebelumnya?

14 Pembangkitan terpenting yang tercatat dalam Bible ialah pembangkitan Yesus. Jika dia tidak dibangkitkan, kita tidak mungkin berjumpa lagi dengan orang tersayang yang sudah meninggal. Orang yang dibangkitkan sebelum zaman Yesus, seperti mereka yang dibangkitkan oleh Elia dan Elisa, akhirnya mati lagi dan reput di kuburan. Tetapi selepas Yesus dibangkitkan, dia “hidup buat selama-lamanya” di syurga dan “tidak akan mati lagi. Kematian tidak lagi menjadi tuan yang berkuasa ke atas dirinya.”​—Why. 1:5, 18; Rm. 6:9; Kol. 1:18; 1 Ptr. 3:18.

15. Mengapakah Yesus dipanggil “orang pertama yang dibangkitkan”?

15 Yesus telah dibangkitkan sebagai makhluk roh di syurga. Dialah individu pertama dan individu terpenting yang menerima pembangkitan sedemikian. (Kis. 26:23) Selepas Yesus, terdapat orang lain yang akan dibangkitkan dalam cara sedemikian. Dia berjanji kepada para rasulnya bahawa mereka akan memerintah bersamanya di syurga. (Luk. 22:28-30) Untuk menerima ganjaran itu, mereka harus mati dan kemudiannya dibangkitkan dalam tubuh roh seperti Kristus. Paulus menjelaskan hal itu semasa dia menulis, “Dalam kalangan mereka yang sudah tidur dalam kematian, [Kristus]lah orang pertama yang dibangkitkan.” Dia menambah, “Setiap orang dihidupkan menurut giliran masing-masing: Kristus ialah orang yang pertama, kemudian mereka yang menjadi milik Kristus akan dibangkitkan semasa kehadirannya.” Jelaslah, ada orang lain juga yang akan dibangkitkan ke syurga.​—1 Kor. 15:20, 23.

16. Bagaimanakah kita tahu bila pembangkitan ke syurga berlaku?

16 Melalui ayat tadi, kita tahu bahawa pembangkitan ke syurga akan berlaku ‘semasa kehadiran Kristus.’ Selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah membuktikan daripada Bible bahawa kehadiran Yesus telah bermula sejak tahun 1914. Kita masih hidup pada masa ‘kehadiran’ itu, dan akhir dunia yang jahat ini sudah sangat dekat.

17, 18. Apakah yang akan berlaku kepada sesetengah orang Kristian terurap semasa kehadiran Kristus?

17 Bible memberikan butiran selanjutnya tentang pembangkitan ke syurga: ‘Kami ingin kamu mengetahui apa yang menantikan orang yang sudah tidur dalam kematian. Jika kita percaya bahawa Yesus telah mati dan dibangkitkan, kita juga patut percaya bahawa pengikut Yesus yang setia, yang sudah tidur dalam kematian, akan dikumpulkan oleh Tuhan. Semasa kehadiran Tuan, kita yang masih hidup sama sekali tidak akan mendahului mereka yang sudah tidur dalam kematian, kerana Tuan kita akan turun dari syurga. Dia akan berseru, dan pengikut Kristus yang sudah meninggal akan bangkit terlebih dahulu. Selepas itu, kita yang masih hidup akan dibawa bersama mereka dalam awan untuk berjumpa dengan Tuan kita di langit. Dengan demikian, kita akan sentiasa bersama Tuan kita.’​—1 Tes. 4:13-17.

18 Pembangkitan pertama, iaitu pembangkitan ke syurga, akan berlaku selepas “kehadiran” Yesus bermula. Kaum terurap yang masih hidup di bumi semasa kesengsaraan besar akan ‘dibawa dalam awan.’ (Mat. 24:31) Mereka tidak akan “tidur dalam kematian” untuk masa yang panjang. Sebaliknya mereka akan “diubah dalam masa yang singkat, iaitu dalam sekelip mata . . . semasa trompet yang terakhir dibunyikan.”​—1 Kor. 15:51, 52.

19. Apakah “pembangkitan yang lebih baik” yang akan berlaku pada masa depan?

19 Kebanyakan orang Kristian hari ini tidak terurap dan tidak dipilih untuk memerintah bersama Kristus di syurga. Mereka menantikan “hari Yehuwa” dan akhir sistem yang jahat ini. Tiada orang tahu secara tepat bila hari itu akan tiba, tetapi ada bukti yang menunjukkan bahawa “hari” itu sudah dekat. (1 Tes. 5:1-3) Selepas itu, pembangkitan yang berbeza akan berlaku. Orang yang dibangkitkan akan hidup di bumi firdaus, dan mereka berpeluang menjadi sempurna dan tidak akan mati lagi. Berbanding dengan orang masa dahulu yang dibangkitkan lalu meninggal lagi, pembangkitan pada masa depan memang “pembangkitan yang lebih baik.”​—Ibr. 11:35.

20. Mengapakah kita yakin bahawa pembangkitan pada masa depan akan berlaku secara teratur?

20 Bible menyatakan bahawa setiap orang yang dibangkitkan ke syurga akan “dihidupkan menurut giliran masing-masing.” (1 Kor. 15:23) Begitu juga, pembangkitan di bumi pasti berlaku secara teratur. Kita mungkin terfikir soalan seperti: Adakah orang yang baru meninggal akan dibangkitkan pada awal Pemerintahan Seribu Tahun Kristus dan disambut oleh orang yang mengenali mereka? Adakah hamba-hamba Tuhan zaman kuno yang mahir memimpin akan dibangkitkan dahulu untuk mengaturkan umat Tuhan di dunia baharu? Bilakah dan di manakah orang yang tidak pernah menyembah Yehuwa akan dibangkitkan? Soalan-soalan itu sangat menarik, tetapi perlukah kita risau tentang hal itu sekarang? Bukankah lebih baik untuk tunggu dan lihat? Kita tentu akan teruja semasa melihat Yehuwa menguruskan semua itu menurut cara-Nya!

21. Apakah harapan anda?

21 Sebelum masa itu tiba, kukuhkanlah iman kita kepada Yehuwa. Melalui Yesus, Dia menjamin bahawa semua orang mati yang diingat-Nya akan hidup semula. (Yoh. 5:28, 29; 11:23) Yesus pernah mengatakan bahawa Abraham, Ishak, dan Yakub, “masih hidup dalam pandangan-Nya.” Itulah satu bukti bahawa Yehuwa mampu membangkitkan orang mati. (Luk. 20:37, 38) Ya, seperti Paulus, kita mempunyai sebab yang kukuh untuk berkata, “Aku memiliki harapan bahawa Tuhan akan membangkitkan orang [mati].”​—Kis. 24:15.