Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 51

Adakah Anda Benar-Benar Mengenali Yehuwa?

Adakah Anda Benar-Benar Mengenali Yehuwa?

“Orang yang mengenal nama-Mu akan yakin kepada-Mu. Ya Yehuwa, Engkau tidak akan meninggalkan orang yang mencari-Mu.”​—MZM. 9:10.

LAGU 56 Sebatikan Kebenaran dengan Hidupmu

PENGENALAN *

1-2. Seperti yang ditunjukkan melalui pengalaman Angelito, apakah yang mesti kita masing-masing lakukan?

ADAKAH anda dibesarkan oleh ibu bapa yang merupakan Saksi? Jika ya, ingatlah bahawa hubungan anda dengan Yehuwa tidak dapat diwarisi daripada mereka. Tidak kira ibu bapa kita menyembah Tuhan atau tidak, kita masing-masing mesti menjalin persahabatan sendiri dengan Yehuwa.

2 Fikirkan pengalaman seorang saudara yang bernama Angelito. Dia dibesarkan dalam keluarga Saksi, tetapi semasa muda, dia tidak begitu akrab dengan Tuhan. Angelito mengaku, “Saya menyembah Yehuwa kerana saya mahu ikut keluarga saya sahaja.” Namun, dia kemudiannya meluangkan lebih banyak masa untuk membaca dan merenungkan Bible, serta berdoa dengan lebih kerap. Apakah hasilnya? Angelito berkata, “Saya mendapati bahawa untuk menghampiri Bapa Yehuwa, saya sendiri mesti berusaha untuk mengenali-Nya.” Pengalaman Angelito membuat kita tertanya-tanya soalan seperti: Apakah perbezaan antara mengetahui sesuatu tentang Yehuwa dengan benar-benar mengenali-Nya? Bagaimanakah kita dapat mengenali Yehuwa?

3. Apakah perbezaan antara mengetahui sesuatu tentang Yehuwa dengan benar-benar mengenali-Nya?

3 Jika kita hanya mengetahui nama Yehuwa dan sesetengah perkara yang pernah dikatakan atau dilakukan-Nya, kita belum lagi mengenali Yehuwa. Untuk benar-benar mengenali Yehuwa, kita perlu meluangkan masa untuk belajar tentang Yehuwa dan sifat-sifat-Nya. Dengan itu, barulah kita dapat memahami sebabnya Dia mengatakan atau melakukan sesuatu. Pemahaman itu akan membantu kita mengenal pasti sama ada Dia menyetujui pandangan, keputusan, dan tindakan kita atau tidak. Setelah mengenal pasti kehendak Yehuwa bagi kita, kita perlu bertindak selaras dengannya.

4. Setelah mengkaji contoh watak-watak Bible, kita akan yakin tentang hal apa?

4 Apabila kita ingin menyembah Yehuwa, sesetengah orang mungkin mengejek kita, dan mereka bahkan mungkin menentang kita semasa kita mula bergaul dengan umat Tuhan. Namun, jika kita yakin kepada Yehuwa, Dia tidak akan meninggalkan kita, dan kita dapat membina persahabatan dengan Tuhan yang akan kekal seumur hidup kita. Dapatkah kita mengenali Yehuwa dengan begitu baik? Sudah tentu! Contoh manusia yang tidak sempurna, seperti Musa dan Raja Daud, membuktikan bahawa hal itu tidak mustahil. Semasa meneliti perbuatan mereka, kita akan menjawab dua soalan ini: Bagaimanakah mereka mengenali Yehuwa? Apakah yang dapat kita pelajari daripada mereka?

MUSA MELIHAT “TUHAN YANG TIDAK KELIHATAN”

5. Musa memilih untuk melakukan apa?

5 Musa memilih untuk menyembah Tuhan. Semasa berumur sekitar 40 tahun, Musa memilih untuk bergaul dengan umat Tuhan, iaitu orang Ibrani yang diperhamba di Mesir. Dia tidak ingin dikenali sebagai “anak kepada puteri Firaun.” (Ibr. 11:24) Dengan berbuat demikian, Musa bukan sahaja melepaskan kedudukannya yang tinggi, tetapi juga perlu berdepan dengan kemurkaan Firaun, raja yang dianggap sebagai dewa. Tindakan Musa menunjukkan bahawa dia sangat beriman dan yakin kepada Yehuwa. Keyakinan inilah yang menjadi dasar kepada hubungannya yang berkekalan dengan Yehuwa.​—Ams. 3:5.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Musa?

6 Apakah pengajarannya bagi kita? Seperti Musa, kita semua perlu memilih sama ada kita akan menyembah Tuhan dan bergaul dengan umat-Nya atau tidak. Untuk menyembah Tuhan, kita mungkin perlu membuat pengorbanan, dan kita mungkin ditentang oleh orang yang tidak mengenali Yehuwa. Tetapi jika kita yakin kepada Bapa kita yang di syurga, Dia pasti menyokong kita!

7-8. Apakah yang terus dipelajari oleh Musa?

7 Musa terus belajar tentang sifat-sifat Yehuwa dan melakukan kehendak-Nya. Contohnya, semasa Musa disuruh memimpin orang Israel keluar dari Mesir, dia berasa kurang yakin dan berulang kali memberitahu Yehuwa bahawa dia tidak layak. Jawapan Tuhan menunjukkan bahawa Dia berbelas kasihan. Tuhan memahami perasaan Musa dan ingin membantunya. (Kel. 4:10-16) Hasilnya, Musa dapat menyampaikan berita penghakiman Tuhan kepada Firaun. Dia juga telah menyaksikan kuasa Yehuwa semasa Yehuwa menyelamatkan orang Israel, dan membinasakan Firaun dan angkatan tenteranya di Laut Merah.​—Kel. 14:26-31; Mzm. 136:15.

8 Selepas orang Israel dibebaskan dari Mesir, mereka asyik bersungut-sungut. Meskipun begitu, Musa dapat melihat kesabaran Yehuwa yang besar terhadap umat-Nya. (Mzm. 78:40-43) Musa juga dapat melihat kerendahan hati Yehuwa semasa Yehuwa mendengar permintaan Musa dan mengubah fikiran-Nya.​—Kel. 32:9-14.

9. Menurut Ibrani 11:27, seberapa akrabkah hubungan Musa dengan Yehuwa?

9 Selepas keluar dari Mesir, hubungan Musa dengan Yehuwa menjadi begitu erat sehingga Musa seolah-olah dapat melihat Bapanya yang di syurga. (Baca Ibrani 11:27.) Bible menyatakan, “Yehuwa berfirman kepada Musa secara bersemuka, sebagaimana seseorang bercakap dengan sahabatnya.”​—Kel. 33:11.

10. Untuk benar-benar mengenali Yehuwa, apakah yang perlu kita lakukan?

10 Apakah pengajarannya bagi kita? Untuk benar-benar mengenali Yehuwa, kita bukan sahaja perlu belajar tentang sifat-sifat-Nya, tetapi juga melakukan kehendak-Nya. Kini, Yehuwa menghendaki agar “segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Tim. 2:3, 4) Salah satu cara kita dapat melakukan kehendak Yehuwa adalah dengan mengajar orang lain tentang-Nya.

11. Semasa mengajar orang tentang Yehuwa, bagaimanakah kita pun mengenali-Nya dengan lebih baik?

11 Biasanya, apabila kita mengajar orang lain tentang Yehuwa, kita sendiri pun dapat mengenali-Nya dengan lebih baik. Misalnya, kita melihat belas kasihan Yehuwa apabila Dia membimbing kita untuk mencari orang yang berhati jujur. (Yoh. 6:44; Kis. 13:48) Kita melihat kuasa Firman Tuhan membantu pelajar Bible kita mengikis tabiat buruk dan mengenakan keperibadian baharu. (Kol. 3:9, 10) Kita juga melihat kesabaran Tuhan apabila Dia memberikan banyak peluang kepada orang di kawasan penyebaran untuk belajar tentang-Nya dan diselamatkan.​—Rm. 10:13-15.

12. Menurut Keluaran 33:13, apakah yang dimohon oleh Musa, dan mengapa?

12 Musa menghargai persahabatannya dengan Yehuwa. Biarpun Tuhan telah menggunakan Musa untuk melakukan banyak mukjizat demi nama-Nya, Musa masih memohon agar dia dapat mengenali Yehuwa dengan lebih baik. (Baca Keluaran 33:13.) Musa sudah berumur lebih daripada 80 tahun semasa membuat permohonan itu, tetapi dia tahu bahawa masih terdapat banyak perkara yang perlu dipelajarinya tentang Yehuwa.

13. Apakah salah satu cara untuk menunjukkan bahawa kita menghargai persahabatan kita dengan Tuhan?

13 Apakah pengajarannya bagi kita? Tidak kira berapa lama kita sudah menyembah Yehuwa, kita perlu terus menghargai persahabatan kita dengan-Nya. Salah satu cara yang terbaik untuk menunjukkan penghargaan kita adalah dengan bercakap kepada Tuhan melalui doa.

14. Mengapakah doa dapat membantu kita mengenali Tuhan dengan lebih baik?

14 Komunikasi yang baik merupakan kunci kepada hubungan yang akrab. Maka, untuk menghampiri Tuhan, berdoalah sentiasa, dan janganlah takut untuk meluahkan fikiran dan perasaan anda yang terpendam. (Ef. 6:18) Krista, yang tinggal di Turki, berkata, “Setiap kali saya mencurahkan isi hati kepada Yehuwa dan melihat bagaimana Dia membantu saya, kasih dan keyakinan saya terhadap-Nya bertambah kuat. Setelah melihat bagaimana Yehuwa menjawab doa saya, saya dapat menganggap Yehuwa sebagai Bapa dan Sahabat saya.”

SEORANG LELAKI YANG MENYENANGKAN HATI YEHUWA

15. Apakah pandangan Yehuwa terhadap Daud?

15 Raja Daud lahir dalam sebuah bangsa yang menyembah Yehuwa. Tetapi dia tidak menyembah Tuhan hanya kerana itu merupakan agama keluarganya. Daud membina hubungan sendiri dengan Yehuwa, dan Yehuwa amat mengasihinya. Yehuwa berkata bahawa Daud ialah ‘seorang lelaki yang menyenangkan hati-Nya.’ (Kis. 13:22) Mengapakah Daud begitu akrab dengan Yehuwa?

16. Apakah yang dipelajari Daud tentang Yehuwa menerusi ciptaan-Nya?

16 Daud belajar tentang Yehuwa menerusi ciptaan-Nya. Semasa Daud masih muda, dia menghabiskan banyak masa di luar rumah untuk menjaga biri-biri bapanya. Barangkali, itulah masanya dia mula merenungkan ciptaan Yehuwa. Contohnya, ketika melihat langit malam, Daud bukan sahaja nampak beribu-ribu bintang, tetapi juga sifat-sifat Pencipta. Hal itu mendorongnya untuk menulis, “Langit mengisytiharkan kemuliaan Tuhan! Cakerawala menyatakan perbuatan tangan-Nya.” (Mzm. 19:1, 2) Semasa Daud memikirkan bagaimana manusia diciptakan, dia dapat melihat kebijaksanaan Yehuwa yang luar biasa. (Mzm. 139:14) Apabila Daud merenungkan perbuatan Yehuwa, dia sedar betapa kecilnya dirinya berbanding Yehuwa.

17. Apakah yang dapat kita pelajari jika kita merenungkan ciptaan Tuhan?

17 Apakah pengajarannya bagi kita? Kita harus berminat tentang ciptaan Tuhan. Bumi ini penuh dengan ciptaan Yehuwa yang indah, maka luangkanlah masa untuk menghayatinya! Dalam kehidupan seharian, fikirkanlah bagaimana ciptaan di sekeliling anda​—tumbuhan, binatang, dan manusia​—mengajar anda tentang Yehuwa. Dengan itu, anda akan belajar sesuatu tentang Yehuwa setiap hari. (Rm. 1:20) Hasilnya, kasih anda kepada-Nya pun akan bertambah setiap hari.

18. Seperti yang dinyatakan di Mazmur 18, apakah yang disedari Daud?

18 Daud sedar bahawa Yehuwa membantunya. Misalnya, semasa Daud membunuh singa dan beruang yang menyerang biri-biri bapanya, dia sedar bahawa Yehuwalah yang sedang menolongnya. Apabila Daud mengalahkan Goliat, dia dapat melihat dengan jelas bahawa Yehuwalah yang membimbingnya. (1 Sam. 17:37) Ketika Daud berjaya melarikan diri daripada Raja Saul, dia mengaku bahawa Yehuwalah yang menyelamatkannya. (Mzm. 18, penerangan) Jika Daud bersikap sombong, dia mungkin berfikir bahawa semua itu merupakan pencapaiannya sendiri. Tetapi Daud rendah hati, oleh itu dia sedar bagaimana Yehuwa sentiasa membantunya.​—Mzm. 138:6.

19. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Daud?

19 Apakah pengajarannya bagi kita? Sekadar meminta bantuan Yehuwa tidak cukup. Kita juga mesti berusaha untuk melihat bila dan bagaimana Yehuwa membantu kita. Jika kita bersikap rendah hati dan mengakui keterbatasan sendiri, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana Yehuwa menolong kita melakukan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Setiap kali kita merasai bantuan Yehuwa, hubungan kita dengan-Nya akan bertambah erat. Isaac, seorang saudara dari Fiji yang sudah lama menyembah Yehuwa, berkata, “Mengenang kembali kehidupan saya, saya dapat melihat bagaimana Yehuwa membantu saya dari masa saya mula belajar Bible sampai sekarang. Hal ini membuat Yehuwa sangat nyata bagi saya.”

20. Bagaimanakah Daud dapat menjalin hubungan yang akrab dengan Yehuwa? Apakah yang dapat kita pelajari daripadanya?

20 Daud meniru sifat-sifat Yehuwa. Yehuwa memberi kita kebolehan untuk meniru sifat-sifat-Nya. (Kej. 1:26) Apabila kita semakin mengenali sifat Yehuwa, kita dapat meniru-Nya dengan lebih baik. Daud benar-benar mengenali Bapanya yang di syurga, maka dia dapat meniru sifat-Nya semasa melayan orang lain. Perhatikan contoh ini: Daud telah berzina dengan Bat-syeba dan merancang agar suaminya dibunuh. (2 Sam. 11:1-4, 15) Meskipun Daud berdosa terhadap Yehuwa, Yehuwa menunjukkan belas kasihan kepada Daud, kerana Daud juga berbelas kasihan terhadap orang lain. Oleh sebab Daud begitu akrab dengan Yehuwa, dia menjadi salah seorang raja Israel yang paling dikasihi, dan Yehuwa telah menyebutnya sebagai teladan bagi raja-raja Israel yang lain.​—1 Raj. 15:11; 2 Raj. 14:1-3.

21. Menurut Efesus 4:24 dan 5:1, apakah hasilnya jika kita ‘mengikut teladan Tuhan’?

21 Apakah pengajarannya bagi kita? Kita perlu ‘mengikut teladan Tuhan.’ Hal ini bukan sahaja bermanfaat bagi kita, tetapi juga membantu kita mengenali Tuhan. Apabila kita mengikut teladan Yehuwa, kita membuktikan bahawa kita ialah anak-anak-Nya.​—Baca Efesus 4:24; 5:1.

BERUSAHA UNTUK MENGENALI YEHUWA

22-23. Apakah hasilnya jika kita menerapkan apa yang kita pelajari tentang Yehuwa?

22 Seperti yang kita pelajari tadi, Yehuwa mengajar kita tentang diri-Nya melalui ciptaan dan Firman-Nya, iaitu Bible. Buku itu penuh dengan contoh baik yang dapat kita tiru, seperti Musa dan Daud. Yehuwa sudah mengambil langkah yang pertama. Sekarang, kitalah yang harus membuka mata, telinga, dan hati untuk belajar tentang-Nya.

23 Kita akan terus belajar tentang Yehuwa buat selama-lamanya. (Pkh. 3:11) Yang penting bukanlah berapa banyak pengetahuan yang kita miliki, tetapi bagaimana kita menggunakan pengetahuan itu. Jika kita menerapkan apa yang kita pelajari dan berusaha meniru Bapa kita yang pengasih, Dia akan terus menghampiri kita. (Yak. 4:8) Melalui Bible, Dia menjamin bahawa Dia tidak akan meninggalkan orang yang mencari-Nya.

LAGU 80 ‘Rasakanlah Betapa Baiknya Yehuwa’

^ per. 5 Ramai orang percaya bahawa Tuhan wujud, tetapi mereka tidak benar-benar mengenali-Nya. Apakah maksud mengenali Yehuwa? Bagaimanakah teladan Musa dan Raja Daud mengajar kita cara untuk menjalin hubungan yang akrab dengan Tuhan? Rencana ini akan menjawab soalan-soalan tersebut.