Adakah Anda Rakan Sekerja yang Baik?
SEBELUM Yesus datang ke bumi, dia menghabiskan masa berbilion-bilion tahun untuk bekerja bersama Bapanya. Perhatikan bagaimana Bible menggambarkan kehidupan Yesus: “Aku berada di samping-Nya sebagai jurubina yang mahir. . . . Aku sentiasa bergembira di hadirat-Nya.” (Ams. 8:30) Ayat itu juga memberitahu kita bahawa semasa Yesus bekerja bersama Tuhan, dia “sentiasa bergembira.”
Sifat-sifat yang dipelajari Yesus semasa di syurga telah menjadikannya seorang rakan sekerja yang baik semasa di bumi. Bagaimanakah teladan Yesus dapat membantu kita? Mari kita membincangkan tiga prinsip yang dapat membantu kita menjadi rakan sekerja yang baik, supaya kita menyumbang kepada semangat perpaduan dan kerjasama.
PRINSIP 1: ‘SALING MEMBERIKAN HORMAT’
Seorang rakan sekerja yang baik akan bersikap rendah hati. Dia akan menghargai orang yang bekerja bersamanya dan tidak menunjuk-nunjuk. Yesus telah mempelajari sifat kerendahan hati daripada Bapanya. Fikirkan apa yang berlaku semasa Tuhan menciptakan manusia. Walaupun hanya Yehuwa yang layak digelar Pencipta, Dia memberitahu orang tentang peranan penting Anak-Nya dengan berfirman, “Marilah kita membuat manusia seperti kita.” (Kej. 1:26) Yesus tentu menghargai kerendahan hati Yehuwa yang ditunjukkan melalui kata-kata itu.—Mzm. 18:35.
Semasa Yesus berada di bumi, dia juga bersikap rendah hati. Contohnya, semasa dia dipuji, dia menghalakan pujian itu kepada Tuhan. (Mrk. 10:17, 18; Yoh. 7:15, 16) Yesus juga berusaha untuk menjaga hubungan yang damai dengan murid-muridnya. Dia menganggap mereka sebagai sahabat dan bukannya hamba. (Yoh. 15:15) Pernah sekali, dia bahkan membasuh kaki mereka untuk mengajar mereka pentingnya bersikap rendah hati. (Yoh. 13:5, 12-14) Seperti Yesus, kita juga ingin menghormati rakan sekerja kita dan bukannya mendahulukan kepentingan diri. Apabila kita ‘saling memberikan hormat’ dan tidak asyik berfikir tentang siapa yang akan dipuji nanti, kita dapat bekerjasama dengan erat dan meraih hasil yang lebih baik.—Rm. 12:10.
Seorang yang rendah hati juga sedar bahawa “rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.” (Ams. 15:22) Tidak kira berapa banyak pengalaman atau kebolehan kita, kita mesti ingat bahawa tiada sesiapa pun yang tahu segala-galanya. Yesus pun mengaku bahawa terdapat hal-hal yang tidak diketahuinya. (Mat. 24:36) Walaupun murid-muridnya tidak sempurna, dia masih berminat untuk mengetahui apa yang difikirkan atau diketahui mereka. (Mat. 16:13-16) Maka tidak hairanlah rakan sekerjanya berasa selesa bersamanya! Begitu juga, jika kita bersikap rendah hati, menyedari keterbatasan diri, dan sudi mendengar cadangan orang lain, kita dapat menikmati hubungan yang baik dengan mereka dan bersama-sama meraih kejayaan.
Para penatua khususnya perlu meniru kerendahan hati Yesus semasa mereka bekerja bersama-sama. Mereka harus ingat bahawa kuasa suci Tuhan dapat membimbing mana-mana penatua semasa mereka bermesyuarat. Maka, mereka akan berusaha untuk memastikan agar setiap penatua berasa selesa untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Dengan itu, mereka dapat membuat keputusan yang mendatangkan manfaat kepada seluruh sidang.
PRINSIP 2: “HENDAKLAH SIKAP MUNASABAH KAMU DIKETAHUI SEMUA ORANG”
Seorang rakan sekerja yang baik akan bersikap munasabah atau masuk akal semasa berurusan dengan orang lain. Dia juga sudi membuat penyesuaian dan mengalah apabila perlu. Yesus mempunyai banyak peluang untuk melihat bagaimana Bapanya menunjukkan sikap munasabah. Contohnya, walaupun manusia telah berdosa dan patut dihukum mati, Yehuwa masih mengutus Yesus untuk menebus mereka.—Yoh. 3:16.
Perhatikan bagaimana Yesus menunjukkan sikap munasabah. Dia sudi mengubah fikirannya apabila perlu. Misalnya, walaupun dia diutus untuk membantu orang Israel, dia masih sudi membantu seorang wanita Fenisia. (Mat. 15:22-28) Selain itu, Yesus tidak mengharapkan sesuatu yang terlalu tinggi daripada murid-muridnya. Selepas sahabatnya Petrus menyangkalnya di depan umum, Yesus sudi mengampuninya dan bahkan mengamanahkan tanggungjawab yang penting kepadanya pada kemudian hari. (Luk. 22:32; Yoh. 21:17; Kis. 2:14; 8:14-17; 10:44, 45) Teladan Yesus menunjukkan bahawa sikap munasabah kita harus dapat dilihat oleh orang lain, dan salah satu cara kita dapat berbuat demikian adalah dengan sudi mengalah atau mengubah fikiran kita.—Flp. 4:5.
Sikap munasabah juga membantu kita membuat penyesuaian agar dapat bekerjasama dengan segala macam orang. Yesus melayan orang di sekelilingnya dengan begitu baik sehingga para penentangnya iri hati terhadapnya dan menuduhnya “bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa” yang mendengar mesejnya. (Mat. 11:19) Dapatkah kita meniru teladan Yesus dan bekerjasama dengan segala macam orang? Saudara Louis pernah bekerja dengan orang daripada pelbagai latar belakang semasa membuat kerja lawatan dan kerja Bethel. Dia berkata, “Bekerja bersama orang yang tidak sempurna adalah seperti membina dinding dengan menggunakan batu-batu yang bentuknya tidak sekata. Kita memang perlu mencurahkan lebih banyak usaha, tetapi kita masih dapat membina dinding yang lurus. Jadi, saya cuba membuat penyesuaian supaya dapat bekerjasama dengan orang lain dan menjayakan tugasan kami.” Sikap yang sangat baik, bukan?
Rakan sekerja yang baik tidak akan cuba mengawal segala-galanya dengan merahsiakan maklumat yang penting
Bilakah kita dapat menunjukkan sikap munasabah dalam sidang? Kita berpeluang berbuat demikian semasa menginjil bersama kumpulan aktiviti penyebaran kita. Kita mungkin ditugaskan untuk menginjil bersama penyiar yang lebih tua atau muda, atau yang memikul tanggungjawab keluarga yang berbeza. Jadi, dapatkah kita membuat penyesuaian menurut keadaan dan keterbatasan mereka, supaya mereka lebih menikmati kerja penyebaran?
PRINSIP 3: “BERSEDIA MENGONGSI APA YANG DIMILIKI”
Seorang rakan sekerja yang baik “bersedia mengongsi apa yang dimiliki.” (1 Tim. 6:18) Semasa Yesus bekerja bersama Bapanya, dia pasti dapat melihat bahawa Yehuwa sudi mengongsi maklumat. Contohnya, ketika Yehuwa “membentangkan langit,” Yesus “berada di sisi-Nya” dan dapat belajar daripada-Nya. (Ams. 8:27) Semasa Yesus di bumi, dia sudi mengongsi dengan murid-muridnya “segala yang telah [dia] dengar” daripada Bapanya. (Yoh. 15:15) Seperti Yesus, kita juga patut bersedia mengongsi pengetahuan dan pengalaman kita dengan rakan sekerja kita. Seorang rakan sekerja yang baik tidak akan cuba mengawal segala-galanya dengan merahsiakan maklumat yang penting daripada orang lain. Sebaliknya, dia akan gembira untuk mengongsi hal-hal baik yang telah dipelajarinya.
Kita juga boleh memberikan kata-kata galakan kepada rakan sekerja kita. Yesus telah memuji rakan sekerjanya atas sifat baik mereka. (Bandingkan Matius 25:19-23; Lukas 10:17-20.) Dia bahkan memberitahu mereka bahawa mereka akan “melakukan hal-hal yang lebih besar lagi.” (Yoh. 14:12) Pada malam sebelum kematiannya, dia memuji para rasul yang setia dan berkata, “Semasa aku menghadapi cubaan, kamu sentiasa bersama-samaku.” (Luk. 22:28) Kata-katanya tentu menyentuh hati mereka dan mendorong mereka untuk berkhidmat kepada Tuhan. Jika orang lain memperhatikan usaha kita dan meluahkan penghargaan, kita berasa digalakkan, bukan? Jadi, jika kita memuji rakan sekerja kita, mereka pun akan lebih gembira dan bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.
ANDA DAPAT MENJADI RAKAN SEKERJA YANG BAIK
Seorang saudara yang bernama Kayode berkata, “Seorang rakan sekerja yang baik tidak perlu sempurna, tetapi dia harus membuat orang yang bekerja bersamanya berasa gembira dan meringankan beban mereka.” Adakah anda seorang rakan sekerja yang baik? Tanyalah rakan sekerja Kristian anda dan dengarlah pandangan mereka. Jika mereka suka bekerja bersama anda, sepertimana murid-murid Yesus suka bekerja bersamanya, anda dapat berkata seperti Rasul Paulus, “Kami ialah rakan sekerja yang membawa sukacita bagi kamu.”—2 Kor. 1:24.