Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Adakah Anda Mengenali Yehuwa sebagaimana Nuh, Daniel, dan Ayub Mengenali-Nya?

Adakah Anda Mengenali Yehuwa sebagaimana Nuh, Daniel, dan Ayub Mengenali-Nya?

“Orang jahat tidak dapat memahami keadilan, tetapi orang yang mencari Yehuwa dapat memahami segala sesuatu.”​—AMS. 28:5.

LAGU: 126, 150

1-3. (a) Apakah yang dapat bantu kita tetap setia kepada Tuhan pada hari-hari terakhir? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

APABILA akhir semakin dekat, orang jahat akan “tumbuh subur seperti lalang.” (Mzm. 92:7) Maka tidak hairanlah keruntuhan moral dunia ini makin berleluasa. Dalam keadaan sebegini, bagaimanakah kita dapat “berfikir seperti orang yang matang” dan menjadi “seperti kanak-kanak dalam soal kejahatan”?​—1 Kor. 14:20.

2 Jawapannya terdapat dalam ayat tema kita: “Orang yang mencari Yehuwa dapat memahami segala sesuatu,” iaitu semua hal yang menyenangkan hati-Nya. (Ams. 28:5) Selain itu, Amsal 2:7, 9 menyatakan bahawa Yehuwa “memberikan kebijaksanaan kepada orang yang baik” supaya mereka “memahami apa yang benar, adil, dan saksama,” dan ‘haluan yang harus ditempuh.’

3 Nuh, Daniel, dan Ayub memiliki kebijaksanaan itu. (Yeh. 14:14) Begitu juga dengan umat Tuhan hari ini. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda “memahami segala sesuatu” yang diperlukan untuk menyenangkan hati Yehuwa? Untuk berbuat demikian, kita mesti ada pengetahuan yang tepat tentang Tuhan. Sekarang, mari kita bincangkan (1) cara Nuh, Daniel, dan Ayub mengenal Tuhan, (2) bagaimana pengetahuan itu membantu mereka, dan (3) cara untuk meniru iman mereka.

NUH HIDUP AKRAB DENGAN TUHAN DALAM DUNIA YANG JAHAT

4. Bagaimanakah Nuh belajar tentang Tuhan? Bagaimanakah pengetahuan yang tepat telah membantunya?

4 Cara Nuh mengenal Yehuwa. Sejak dahulu lagi, manusia dapat belajar tentang Tuhan melalui tiga cara: Dengan memerhatikan ciptaan-Nya, dengan bergaul bersama penyembah Tuhan yang lain, dan melalui berkat yang diperoleh kerana hidup selaras dengan piawaian dan prinsip Tuhan. (Yes. 48:18) Semasa melihat ciptaan Tuhan, Nuh pasti telah nampak banyak bukti tentang kewujudan Tuhan dan sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan, seperti “kuasa-Nya yang kekal dan kedudukan-Nya sebagai Tuhan.” (Rm. 1:20) Hasilnya, Nuh bukan sahaja percaya akan kewujudan Tuhan; dia telah membina iman yang kukuh.

5. Bagaimanakah Nuh belajar tentang tujuan Tuhan bagi manusia?

5 Nuh juga beriman “selepas mendengar perkhabaran” tentang Yehuwa. (Rm. 10:17) Dari manakah dia mendengar perkhabaran itu? Daripada saudara-maranya, seperti datuknya Metuselah dan bapanya Lamekh, seorang lelaki beriman yang hidup sezaman dengan Adam. (Lihat gambar pada permulaan rencana.) Selain itu, Yared, iaitu datuk Metuselah, telah hidup sezaman dengan Nuh selama 366 tahun. * (Luk. 3:36, 37) Mereka dan isteri mereka mungkin telah memberitahu Nuh tentang sejarah manusia dan tujuan Tuhan agar bumi dipenuhi manusia yang taat. Barangkali Nuh juga mendengar tentang pemberontakan di Eden, dan dia sendiri dapat merasai kesan buruk daripada pemberontakan itu. (Kej. 1:28; 3:16-19, 24) Apa yang dipelajari Nuh menyentuh hatinya dan mendorongnya untuk menyembah Tuhan.​—Kej. 6:9.

6, 7. Harapan apakah yang meneguhkan iman Nuh?

6 Harapan dapat meneguhkan iman. Jadi iman Nuh pasti dikuatkan semasa tahu bahawa namanya, yang mungkin bermaksud “Rehat; Kelegaan,” bertujuan membawa harapan. (Kej. 5:29, nota kaki) Yehuwa mengilhami Lamekh untuk berkata, “Tangan kita sudah sakit kerana mengusahakan tanah yang dikutuk oleh Yehuwa. Anak inilah [Nuh] yang akan membawa kelegaan kepada kita.” Nuh memiliki harapan seperti Habel dan Henokh. Dia percaya bahawa ‘keturunan’ yang dijanjikan oleh Tuhan akan meremukkan kepala ular.​—Kej. 3:15.

7 Nuh mungkin tidak memahami semua butiran tentang nubuat di Kejadian 3:15, tetapi dia pasti memahami kaitannya dengan harapan penyelamatan. Janji itu juga selaras dengan perkhabaran Henokh bahawa Tuhan akan menghukum orang jahat. (Yud. 14, 15) Perkhabaran Henokh, yang akan terjadi sepenuhnya semasa Armagedon, pasti telah menguatkan iman dan harapan Nuh!

8. Bagaimanakah pengetahuan yang tepat tentang Tuhan melindungi Nuh?

8 Bagaimana pengetahuan yang tepat tentang Tuhan membantu Nuh. Pengetahuan yang tepat membolehkan Nuh memupuk iman dan kebijaksanaan. Kerana itu, Nuh dilindungi terutamanya secara rohani. Bagaimana? Oleh sebab Nuh “hidup akrab dengan Tuhan,” dia tidak bergaul dengan orang jahat. Semasa malaikat-malaikat jahat menjelma sebagai manusia, orang yang tidak beriman pasti terpukau dengan keperkasaan mereka dan bahkan mungkin memuja mereka. Tetapi Nuh tidak tertipu. (Kej. 6:1-4, 9) Dia juga tahu bahawa Yehuwa menghendaki manusia untuk beranak cucu dan memenuhi bumi. (Kej. 1:27, 28) Oleh itu, dia tahu bahawa hubungan seks antara wanita dengan malaikat ialah perbuatan salah yang melanggar tabii. Pendirian Nuh disahkan lagi apabila anak-anak yang luar biasa dilahirkan. Apabila Tuhan memberitahu Nuh bahawa Dia akan mendatangkan banjir, iman Nuh telah menggerakkannya untuk membina bahtera agar keluarganya terselamat.​—Ibr. 11:7.

9, 10. Bagaimanakah kita dapat meniru iman Nuh?

9 Cara meniru iman Nuh. Kita perlu rajin mengkaji Firman Tuhan, mencintai apa yang kita pelajari, dan membiarkan pengetahuan itu mengubah dan membimbing kita. (1 Ptr. 1:13-15) Dengan itu, iman dan kebijaksanaan akan melindungi kita daripada tipu muslihat Syaitan atau semangat dunia ini, yang membuat orang mengutamakan nafsu sendiri dan mencintai keganasan dan perbuatan yang tidak bermoral. (2 Kor. 2:11; 1 Yoh. 2:15, 16) Jika kerohanian kita lemah, pengaruh dunia ini mungkin membuat kita mengetepikan bukti bahawa hari besar Tuhan sudah dekat. Ingatlah bahawa semasa Yesus membandingkan zaman kita dengan zaman Nuh, dia bertumpu kepada sikap tidak ambil peduli, bukannya keganasan atau perbuatan tidak bermoral.​—Baca Matius 24:36-39.

10 Tanyalah diri, “Adakah cara hidup saya menunjukkan bahawa saya benar-benar mengenali Yehuwa? Adakah iman saya mendorong saya, bukan sahaja untuk hidup selaras dengan piawaian Tuhan, tetapi juga untuk mengisytiharkannya?” Semoga jawapan anda membuktikan bahawa anda “hidup akrab dengan Tuhan yang benar.”

DANIEL MENUNJUKKAN KEBIJAKSANAAN DALAM KALANGAN BANGSA KAFIR

11. (a) Kasih Daniel terhadap Tuhan menunjukkan apa tentang ibu bapanya? (b) Apakah sifat Daniel yang ingin anda tiru?

11 Cara Daniel mengenal Yehuwa. Ibu bapa Daniel pasti telah mengajarnya untuk mencintai Yehuwa dan Firman-Nya. Cinta itu kekal membara di hati Daniel seumur hidupnya. Bahkan semasa dia tua, dia masih suka mengkaji ayat-ayat suci. (Dan. 9:1, 2) Pengetahuan Daniel yang mendalam tentang Yehuwa dan apa yang dilakukan-Nya untuk orang Israel, dicerminkan menerusi doanya yang ikhlas di Daniel 9:3-19. Bacalah dan renungkan doa itu. Kemudian fikirkan: “Apakah yang saya pelajari tentang Daniel melalui doa ini?”

12-14. (a) Bagaimanakah Daniel menunjukkan kebijaksanaan? (b) Bagaimanakah kesetiaan dan keberanian Daniel diberkati?

12 Bagaimana pengetahuan yang tepat tentang Tuhan membantu Daniel. Bagi orang Yahudi yang setia, kehidupan di Babilon sangat mencabar. Contohnya, Yehuwa memberitahu mereka, “Berusahalah untuk hidup dengan aman di kota itu.” (Yer. 29:7) Tetapi pada masa yang sama, mereka hanya boleh menyembah-Nya. (Kel. 34:14) Bagaimanakah Daniel dapat mematuhi kedua-dua perintah itu? Kebijaksanaan daripada Tuhan membantunya memahami prinsip bahawa Tuhan harus didahulukan berbanding pemerintah manusia. Yesus juga mengajarkan prinsip itu ratusan tahun kemudian.​—Luk. 20:25.

13 Semasa rakyat dilarang berdoa kepada dewa atau manusia kecuali kepada raja, apakah reaksi Daniel? (Baca Daniel 6:7-10.) Dia boleh berfikir, “Tiada masalah, 30 hari saja.” Tetapi dia tidak membiarkan hukum manusia menyekat ibadatnya kepada Tuhan. Daniel memang dapat berdoa secara tersembunyi supaya tidak dilihat orang, tetapi dia tahu bahawa kebiasaannya untuk berdoa setiap hari diketahui ramai. Jadi, meskipun nyawanya terancam, Daniel enggan membiarkan orang lain fikir bahawa dia sudah berhenti menyembah Yehuwa.

14 Yehuwa memberkati kesetiaan dan keberanian Daniel dengan menyelamatkannya secara mukjizat. Hasilnya, orang di seluruh Empayar Media dan Persia mengenali Yehuwa!​—Dan. 6:25-27.

15. Bagaimanakah kita dapat memupuk iman seperti Daniel?

15 Cara meniru iman Daniel. Untuk memupuk iman yang kuat, sekadar membaca Bible tidak cukup. Kita perlu “memahaminya.” (Mat. 13:23) Kita juga mesti membuat perenungan supaya kita mengerti prinsip Bible dan mengetahui fikiran Yehuwa. Selain itu, kita perlu berdoa dengan tetap dan ikhlas, terutamanya semasa menghadapi cubaan atau cabaran. Apabila kita memohon kebijaksanaan dan kekuatan daripada Yehuwa, Dia pasti akan mengabulkan doa kita.​—Yak. 1:5.

AYUB IKUT PRINSIP BIBLE PADA MASA SENANG DAN SUSAH

16, 17. Bagaimanakah Ayub memperoleh pengetahuan yang tepat tentang Tuhan?

16 Cara Ayub mengenal Yehuwa. Ayub bukan orang Israel. Tetapi dia ada pertalian darah dengan Abraham, Ishak, dan Yakub. Yehuwa telah mengajar mereka tentang diri-Nya dan tujuan-Nya bagi manusia. Ayub telah belajar kebenaran itu dan “mendengar tentang” Yehuwa dengan cara yang tidak kita ketahui. (Ayb. 23:12; 42:5) Selain itu, Yehuwa sendiri mengatakan bahawa apa yang dikatakan Ayub tentang-Nya memang benar.​—Ayb. 42:7, 8.

Iman kita dikukuhkan semasa kita melihat sifat-sifat Tuhan melalui ciptaan-Nya (Lihat perenggan 17)

17 Ayub juga mengenali banyak sifat Tuhan melalui ciptaan-Nya. (Ayb. 12:7-9, 13) Elihu dan Yehuwa menyebut tentang ciptaan untuk mengingatkan Ayub tentang betapa kecilnya manusia jika dibandingkan dengan keagungan Tuhan. (Ayb. 37:14; 38:1-4) Kata-kata Yehuwa itu menyentuh hati Ayub sehingga dia berkata dengan rendah hati, ‘Sekarang aku tahu bahawa Engkau dapat melakukan segala sesuatu. Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Engkau. Dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.’​—Ayb. 42:2, 6.

18, 19. Bagaimanakah Ayub menunjukkan bahawa dia benar-benar mengenali Yehuwa?

18 Bagaimana pengetahuan yang tepat tentang Tuhan membantu Ayub. Ayub kenal benar prinsip Yehuwa. Pengetahuannya yang mendalam tentang Tuhan juga membimbing kelakuannya. Contohnya, Ayub tahu bahawa jika dia menindas orang lain, dia tidak layak berkata bahawa dia mengasihi Tuhan. (Ayb. 6:14) Dia tidak meninggikan diri. Sebaliknya dia prihatin terhadap semua orang, tidak kira yang kaya mahupun yang miskin. Dia berkata, “Bukankah Tuhan yang menjadikan aku, juga menjadikan hamba-hambaku?” (Ayb. 31:13-22) Jelaslah, kedudukan dan kekayaan Ayub tidak membuatnya menjadi sombong atau memandang rendah terhadap orang lain. Sikapnya memang berbeza daripada banyak orang yang berkuasa dan kaya hari ini!

19 Ayub menolak semua bentuk penyembahan berhala. Dia tahu bahawa jika dia mengikut ibadat palsu atau mencintai kekayaan, dia telah “menolak Tuhan yang benar.” (Baca Ayub 31:24-28.) Dia juga memandang perkahwinan sebagai ikatan yang suci. Dia bahkan membuat perjanjian dengan matanya agar tidak memandang gadis muda dengan berahi. (Ayb. 31:1) Pada zaman Ayub, Tuhan mengizinkan orang memiliki beberapa orang isteri, tetapi Ayub tidak berbuat demikian. * Nampaknya dia tahu bahawa perkahwinan pertama yang diasaskan Tuhan adalah antara satu lelaki dan satu perempuan, dan Ayub memilih untuk mengikut aturan tersebut. (Kej. 2:18, 24) Kira-kira 1,600 tahun kemudian, Yesus Kristus mengajarkan prinsip yang sama tentang perkahwinan dan hubungan seks.​—Mat. 5:28; 19:4, 5.

20. Bagaimanakah pengetahuan yang tepat tentang Yehuwa dan piawaian-Nya membantu kita memilih sahabat dan hiburan dengan bijak?

20 Cara meniru iman Ayub. Sekali lagi, kuncinya ialah memiliki pengetahuan yang tepat tentang Yehuwa dan membiarkan pengetahuan itu membimbing kita dalam setiap aspek kehidupan. Contohnya, Daud mengatakan bahawa Yehuwa “membenci orang yang suka akan keganasan,” dan mengingatkan kita agar “tidak bergaul dengan orang yang licik.” (Baca Mazmur 11:5; 26:4.) Bagaimanakah ayat-ayat itu menyingkapkan fikiran Tuhan? Setelah mengetahui fikiran Tuhan, bagaimanakah anda akan menentukan keutamaan hidup, menggunakan Internet, dan memilih sahabat atau hiburan? Jawapannya akan menunjukkan seberapa baik anda mengenal Yehuwa. Agar dapat tetap tidak bercela dalam dunia jahat ini, kita mesti melatih “daya penilaian” sendiri supaya kita bukan sahaja dapat membezakan antara betul dan salah, tetapi antara bodoh dan bijak juga.​—Ibr. 5:14; Ef. 5:15.

21. Bagaimanakah kita dapat “memahami segala sesuatu” yang diperlukan untuk menyenangkan hati Tuhan?

21 Nuh, Daniel, dan Ayub, telah mencari Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. Oleh itu, Yehuwa membantu mereka “memahami segala sesuatu” yang diperlukan untuk menyenangkan hati-Nya. Mereka bertiga sesungguhnya teladan yang baik, yang berjaya dalam hidup. (Mzm. 1:1-3) Maka tanyalah diri, “Adakah saya mengenali Yehuwa sebagaimana Nuh, Daniel, dan Ayub mengenali-Nya?” Sebenarnya kita dapat mengenali Tuhan dengan lebih baik lagi kerana cahaya rohani sekarang yang jauh lebih terang. (Ams. 4:18) Jadi, dalamilah Firman Tuhan, renungkannya, dan mintalah kuasa suci Tuhan. Dengan itu, anda dapat menghampiri Bapa kita di syurga dan bertindak dengan bijak dalam dunia jahat ini.​—Ams. 2:4-7.

^ per. 5 Henokh, moyang Nuh, juga “hidup akrab dengan Tuhan yang benar.” Namun, “Tuhan mengambilnya” 69 tahun sebelum Nuh dilahirkan.​—Kej. 5:23, 24.

^ per. 19 Nuh juga hanya mempunyai seorang isteri, meskipun amalan poligami mula meluas selepas pemberontakan di Eden.​—Kej. 4:19.