RENCANA PEMBELAJARAN 7
Memahami Aturan Kekepalaan dalam Sidang
“Kristus ialah kepala sidang. Sidang ialah tubuh Kristus, dan Kristus ialah penyelamat tubuh ini.”—EF. 5:23.
LAGU 137 Saudari Kristian, Wanita Setia
PENGENALAN *
1. Apakah salah satu sebabnya keluarga Yehuwa begitu bersatu?
KITA amat bersyukur kerana dapat menganggotai keluarga Yehuwa. Mengapakah keluarga kita begitu damai dan bersatu? Salah satu sebabnya ialah kita semua berusaha sedaya upaya untuk menghormati aturan kekepalaan yang ditetapkan oleh Yehuwa. Jadi, jika kita semakin memahami aturan ini, kita akan semakin bersatu.
2. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab dalam rencana ini?
2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan aturan kekepalaan dalam sidang. Kita juga akan menjawab soalan-soalan berikut: Apakah peranan para saudari? Adakah semua saudara merupakan kepala kepada semua saudari? Adakah kuasa seorang penatua atas saudara saudari sama dengan kuasa seorang kepala keluarga atas isteri dan anaknya? Sekarang, mari kita membincangkan bagaimana kita patut memandang para saudari.
BAGAIMANAKAH KITA PATUT MEMANDANG PARA SAUDARI?
3. Bagaimanakah kita dapat memperdalam penghargaan kita terhadap usaha para saudari kita?
3 Kita menghargai para saudari kita yang bekerja keras untuk menjaga keluarga mereka, menginjil, dan membantu rakan
seiman dalam sidang. Kita dapat memperdalam penghargaan kita terhadap mereka dengan memikirkan bagaimana Yehuwa dan Yesus memandang mereka. Selain itu, kita akan lebih menghargai para saudari jika kita memikirkan bagaimana Rasul Paulus melayan para wanita.4. Bagaimanakah Bible menunjukkan bahawa Yehuwa menghargai wanita dan lelaki?
4 Bible menyatakan bahawa Yehuwa menghargai wanita dan lelaki. Sebagai contoh, Bible menyatakan bahawa pada abad pertama, Yehuwa memberikan kuasa suci-Nya kepada wanita dan lelaki supaya mereka dapat melakukan mukjizat, seperti bercakap dalam pelbagai bahasa. (Kis. 2:1-4, 15-18) Dia juga mengurapi wanita dan lelaki supaya mereka dapat memerintah bersama Kristus. (Gal. 3:26-29) Selain itu, Dia memberikan ganjaran berupa kehidupan kekal di bumi kepada wanita dan lelaki. (Why. 7:9, 10, 13-15) Wanita dan lelaki juga ditugaskan untuk menginjil dan mengajar orang. (Mat. 28:19, 20) Sebagai contoh, dalam buku Kisah, terdapat seorang wanita yang bernama Priskila. Dia dan suaminya Akwila telah menjelaskan kebenaran dengan lebih tepat lagi kepada Apolos, seorang lelaki yang berpendidikan tinggi.—Kis. 18:24-26.
5. Bagaimanakah Lukas 10:38, 39, 42 menunjukkan bahawa Yesus menghormati wanita?
5 Yesus menghormati kaum wanita. Dia tidak terikut-ikut dengan orang Farisi yang memandang rendah terhadap wanita. Orang Farisi tidak akan bercakap kepada wanita di tempat awam dan pasti tidak akan membincangkan Ayat-Ayat Suci dengan mereka. Namun, Yesus pula sudi mengongsi kebenaran yang penting dengan kaum wanita. * (Baca Lukas 10:38, 39, 42.) Dia juga membenarkan wanita mengikutnya semasa dia menginjil di merata tempat. (Luk. 8:1-3) Selain itu, Yesus memberi mereka penghormatan untuk memberitahu para rasul bahawa dia sudah dibangkitkan.—Yoh. 20:16-18.
6. Bagaimanakah Rasul Paulus menunjukkan bahawa dia menghormati kaum wanita?
6 Rasul Paulus menunjukkan bahawa dia menghormati kaum wanita. Sebagai contoh, dia mengingatkan Timotius untuk menghormati wanita. Dia menasihati Timotius untuk melayan ‘wanita yang tua seolah-olah dia ibunya’ dan ‘wanita yang muda seolah-olah dia kakak atau adiknya.’ (1 Tim. 5:1, 2) Selain itu, walaupun Paulus telah memainkan peranan yang penting untuk membantu Timotius menjadi orang Kristian yang matang, dia berkata bahawa ibu dan nenek Timotiuslah orang pertama yang mengajar Timotius tentang tulisan-tulisan suci. (2 Tim. 1:5; 3:14, 15) Dalam suratnya kepada sidang di Roma, Paulus juga menyebut nama beberapa orang saudari dan menyampaikan salam kepada mereka. Dia bukan sahaja mengetahui usaha para saudari, tetapi juga meluahkan penghargaannya terhadap mereka.—Rm. 16:1-4, 6, 12; Flp. 4:3.
7. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan sekarang?
7 Seperti yang dinyatakan dalam perenggan-perenggan sebelumnya, Bible tidak pernah menyatakan bahawa saudari bertaraf lebih rendah daripada saudara. Sebaliknya, para saudari kita yang murah hati dan pengasih sangat berharga bagi sidang, dan para penatua memerlukan bantuan mereka untuk memelihara kedamaian dan perpaduan dalam sidang. Namun, terdapat soalan lain yang masih perlu dijawab: Mengapakah Yehuwa menghendaki saudari untuk menudung kepala dalam situasi tertentu? Memandangkan hanya saudara yang dilantik sebagai penatua dan pembantu sidang,
adakah hal ini bermaksud bahawa semua saudara ialah kepala kepada setiap saudari dalam sidang?ADAKAH SEMUA SAUDARA KEPALA KEPADA SETIAP SAUDARI?
8. Berdasarkan Efesus 5:23, adakah semua saudara merupakan kepala kepada setiap saudari? Jelaskan.
8 Para saudara bukan kepala kepada semua saudari dalam sidang kerana Kristus ialah kepala sidang. (Baca Efesus 5:23.) Dalam keluarga, suami berkuasa atas isteri. Jadi, walaupun seorang anak lelaki sudah dibaptis, dia tidak berkuasa atas ibunya. (Ef. 6:1, 2) Dalam sidang pula, para penatua diberi kuasa atas saudara saudari dalam hal tertentu sahaja. (1 Tes. 5:12; Ibr. 13:17) Bagaimana pula dengan seorang saudari bujang yang tidak lagi tinggal bersama ibu bapanya? Dia akan terus menghormati ibu bapanya, tetapi dia tidak lagi berada di bawah kuasa bapanya. Dia juga akan menghormati para penatua, tetapi seperti para saudara dalam sidang, dia hanya mempunyai satu kepala, iaitu Yesus.
9. Mengapakah saudari ada kalanya perlu menudung kepala?
9 Yehuwa ingin menjaga ketertiban dalam sidang. Maka Dia telah melantik Yesus sebagai kepala kepada lelaki dan melantik sebilangan saudara untuk mengambil pimpinan dalam hal mengajar dan beribadat di sidang. Tetapi Dia tidak memberikan kuasa yang sama kepada para saudari. (1 Tim. 2:12) Jadi, sekiranya seorang saudari perlu melakukan tugas yang biasanya dilakukan oleh saudara, Yehuwa menghendakinya menudung kepala. * (1 Kor. 11:4-7) Yehuwa meminta saudari berbuat demikian bukan untuk merendahkan mereka. Sebaliknya, Yehuwa meminta saudari berbuat demikian supaya mereka dapat menunjukkan hormat kepada orang yang diberi-Nya kuasa. Sekarang, mari kita menjawab soalan berikut: Apakah kuasa yang dimiliki kepala keluarga dan para penatua?
PERANAN KEPALA KELUARGA DAN PENATUA
10. Mengapakah seorang penatua mungkin ingin membuat peraturan bagi sidang?
10 Para penatua mengasihi Kristus dan mereka amat mengasihi ‘bebiri’ di bawah jagaan mereka. (Yoh. 21:15-17) Jadi, seorang penatua yang berniat baik mungkin menganggap dirinya sebagai bapa dalam sidang. Dia mungkin berfikir bahawa jika seorang kepala keluarga berhak membuat peraturan untuk melindungi keluarganya, penatua pun boleh membuat peraturan untuk melindungi kawanan Tuhan. Selain itu, sesetengah saudara saudari mungkin menggalakkan penatua untuk bertindak sedemikian dengan meminta penatua untuk membuat keputusan bagi mereka. Namun, adakah penatua dan kepala keluarga mempunyai kuasa yang sama?
11. Apakah persamaan antara peranan kepala keluarga dengan peranan penatua?
11 Rasul Paulus menunjukkan bahawa terdapat persamaan antara peranan kepala keluarga dengan peranan penatua. (1 Tim. 3:4, 5) Contohnya, Yehuwa ingin ahli keluarga mematuhi kepala keluarga, dan ahli sidang untuk mematuhi penatua. (Kol. 3:20) Yehuwa juga ingin kepala keluarga dan penatua untuk menjaga keperluan rohani dan keperluan emosi orang di bawah jagaan mereka. Selain itu, seperti kepala keluarga yang baik, para penatua menghulurkan bantuan kepada ahli sidang yang dilanda masalah. (Yak. 2:15-17) Yehuwa juga menghendaki penatua dan kepala keluarga untuk menjunjung prinsip-Nya dan tidak ‘melakukan sesuatu yang melebihi apa yang tertulis’ dalam Bible.—1 Kor. 4:6.
12-13. Menurut Roma 7:2, apakah perbezaan antara peranan kepala keluarga dengan peranan penatua?
12 Namun, terdapat juga perbezaan yang besar antara peranan penatua dengan peranan kepala keluarga. Sebagai contoh, Yehuwa telah melantik para penatua untuk bertindak sebagai hakim dalam sidang. Mereka bertanggungjawab menyingkirkan pendosa yang enggan bertaubat daripada sidang.—1 Kor. 5:11-13.
13 Namun, Yehuwa telah memberi kepala keluarga kuasa yang tidak diberikan-Nya kepada penatua. Misalnya, Dia memberi kepala keluarga kuasa untuk menetapkan dan menguatkuasakan peraturan bagi keluarganya. (Baca Roma 7:2.) Sebagai contoh, seorang kepala keluarga berhak menentukan masanya anak-anaknya harus pulang pada waktu malam. Dia juga berhak mendisiplinkan anak-anaknya jika mereka melanggar peraturan itu. (Ef. 6:1) Namun, sudah tentu seorang kepala keluarga yang pengasih akan berbincang dengan isterinya sebelum membuat peraturan di rumah, kerana mereka bukan lagi dua tetapi “satu.” *—Mat. 19:6.
MENGHORMATI KRISTUS SEBAGAI KEPALA SIDANG
14. (a) Menurut Markus 10:45, mengapakah amat sesuai Yesus dilantik sebagai kepala sidang? (b) Apakah tanggungjawab Badan Pimpinan? (Lihat kotak “ Peranan Badan Pimpinan.”)
14 Dengan mengorbankan nyawa Anak-Nya, Yehuwa menebus nyawa setiap orang dalam sidang dan nyawa orang yang beriman kepada Yesus. (Baca Markus 10:45; Kis. 20:28; 1 Kor. 15:21, 22) Oleh sebab Yesus telah mengorbankan nyawanya demi kita, memang amat sesuai dia dilantik sebagai kepala sidang. Sebagai kepala kita, Yesus berhak untuk menetapkan dan menguatkuasakan peraturan bagi setiap individu, keluarga, dan sidang. (Gal. 6:2) Namun, Yesus bukan sekadar menetapkan peraturan. Dia juga menjaga dan mengasihi kita semua.—Ef. 5:29.
15-16. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Marley dan Benjamin?
15 Para saudari menunjukkan bahawa mereka menghormati Kristus dengan mengikut arahan yang diberikan oleh lelaki yang dilantiknya untuk menjaga mereka. Ramai saudari setuju dengan kata-kata Marley dari Amerika Syarikat. Dia berkata, “Saya sangat menghargai peranan saya sebagai isteri dan saudari dalam sidang. Saya perlu sentiasa berusaha keras untuk menghormati aturan kekepalaan yang ditetapkan oleh Yehuwa. Tetapi, suami saya dan saudara-saudara dalam sidang menghormati saya dan menghargai usaha saya. Jadi, saya berasa lebih senang untuk mematuhi mereka.”
16 Para saudara pula menunjukkan bahawa mereka memahami aturan kekepalaan dengan menghormati para saudari. Benjamin, seorang saudara dari England berkata, “Saya mempelajari banyak hal daripada komen para saudari semasa perjumpaan. Mereka juga memberikan banyak cadangan tentang cara membuat pembelajaran dan cara menginjil dengan lebih baik. Sumbangan mereka memang sangat bernilai.”
17. Mengapakah kita harus menghormati aturan kekepalaan?
17 Apabila semua orang dalam sidang, tidak kira lelaki, wanita, kepala keluarga, atau penatua, memahami dan menghormati aturan kekepalaan, sidang akan menikmati kedamaian. Yang terpenting, kita akan membawa pujian kepada Yehuwa, Bapa kita yang pengasih di syurga.—Mzm. 150:6.
LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia
^ per. 5 Apakah peranan para saudari dalam sidang? Adakah semua saudara merupakan kepala kepada semua saudari? Adakah penatua dan kepala keluarga mempunyai bidang kuasa yang sama? Dalam rencana ini, kita akan membincangkan jawapan Bible kepada soalan-soalan tersebut.
^ per. 5 Lihat perenggan 6 bagi rencana “Berikanlah Sokongan kepada Para Saudari!” dalam Menara Pengawal, terbitan September 2020.
^ per. 9 Lihat kotak “ Bilakah Seorang Saudari Harus Menudung Kepala?”
^ per. 13 Mengenai siapa yang harus menentukan sidang yang patut disertai oleh sesebuah keluarga, lihat perenggan 17-19 bagi rencana “Menghormati Setiap Orang dalam Sidang Yehuwa,” dalam Menara Pengawal, terbitan Ogos 2020.
^ per. 59 Untuk maklumat lanjut mengenai topik ini, lihat buku Terus Hidup di Bawah Naungan Kasih Tuhan, ms. 239-242.
^ per. 64 Untuk maklumat lanjut tentang peranan Badan Pimpinan, lihat Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2013, ms. 20-25.