Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 7

“Dengarlah Kata-Kata Orang Bijak”

“Dengarlah Kata-Kata Orang Bijak”

“Dengarlah kata-kata orang bijak dengan teliti.”​—AMS. 22:17.

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

PENGENALAN *

1. Bilakah kita mungkin diberi nasihat? Mengapakah kita semua memerlukannya?

KITA semua memerlukan nasihat dari masa ke masa. Ada kalanya, kita mungkin meminta nasihat daripada seseorang yang kita hormati. Pada masa yang lain, seorang rakan seiman yang mengambil berat tentang kita mungkin memberitahu kita bahawa kita hampir mengambil “langkah yang salah.” (Gal. 6:1) Selain itu, kita mungkin diberi nasihat atau teguran setelah kita melakukan kesalahan yang serius. Tidak kira apa sebabnya kita dinasihati, kita patut mendengar nasihat, kerana hal ini bermanfaat untuk kita dan dapat menyelamatkan nyawa kita.​—Ams. 6:23.

2. Menurut Amsal 12:15, mengapakah kita harus menerima nasihat?

2 Ayat tema rencana ini menggalakkan kita untuk ‘mendengar kata-kata orang bijak.’ (Ams. 22:17) Ingatlah, tiada manusia yang mengetahui segala-galanya, pasti ada seseorang yang lebih berpengetahuan atau berpengalaman daripada kita. (Baca Amsal 12:15.) Jadi, dengan menerima nasihat, kita menunjukkan bahawa kita rendah hati, tahu akan keterbatasan diri, dan sedar bahawa kita memerlukan bantuan untuk mencapai matlamat kita. Yehuwa telah mengilhami Raja Salomo untuk menulis, “Rancangan berjaya jika disertai banyak penasihat.”​—Ams. 15:22.

Antara dua jenis nasihat ini, nasihat manakah yang anda rasa lebih susah untuk terima? (Lihat perenggan 3-4)

3. Apakah cara-cara kita mungkin menerima nasihat?

3 Kita mungkin diberi nasihat daripada seseorang. Contohnya, seorang penatua atau rakan seiman yang matang mungkin menyebut tentang sesuatu yang perlu kita usahakan. Apabila seseorang sudi mengongsi nasihat daripada Bible dengan kita, hal itu menunjukkan bahawa dia sangat mengasihi kita. Oleh itu, kita patut menunjukkan penghargaan dengan menerima dan mengikut nasihatnya. Kita juga mungkin diberi nasihat melalui cara lain. Misalnya, semasa membaca Bible atau bahan bacaan Bible, kita mungkin menemui sesuatu yang membuat kita berhenti sejenak dan memikirkan cara hidup kita, lalu terdorong untuk membuat perubahan yang diperlukan.​—Ibr. 4:12.

4. Menurut Pengkhutbah 7:9, apakah yang harus kita elakkan semasa diberi nasihat?

4 Hakikatnya, apabila seseorang menasihati kita, kita mungkin berasa susah untuk menerima nasihatnya dan bahkan berasa tersinggung. Mengapa? Kita memang mengaku bahawa kita tidak sempurna. Namun, semasa seseorang menyatakan kesalahan kita secara spesifik, kita masih akan berasa tidak senang hati. (Baca Pengkhutbah 7:9.) Kita mungkin cuba membela diri, menganggap orang itu tidak berniat baik, atau tidak menyukai cara dia memberikan nasihat. Kita bahkan mungkin mencari kesalahannya dan berfikir, “Dia tidak berhak menasihati saya! Dia sendiri pun ada kelemahan!” Selain itu, jika kita tidak suka dengan nasihat yang diberikan, kita mungkin tidak mempedulikannya atau mencari orang lain yang akan memberi kita nasihat yang ingin kita dengar.

5. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

5 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan contoh dalam Bible tentang orang yang menolak nasihat dan orang yang menerima nasihat. Kita juga akan membincangkan apa yang dapat membantu kita menerima nasihat dan meraih manfaat daripadanya.

MEREKA MENOLAK NASIHAT

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada reaksi Raja Rehabeam semasa dia diberi nasihat?

6 Perhatikan contoh Rehabeam. Selepas dia menjadi raja Israel, rakyatnya memintanya mengurangkan beban yang dikenakan oleh bapanya Salomo. Ketika itu, Rehabeam bertindak dengan bijak kerana dia meminta nasihat daripada para orang tua di Israel. Mereka menasihatinya bahawa jika dia memenuhi permintaan rakyat, rakyat akan sentiasa mengabdi kepadanya. (1 Raj. 12:3-7) Tetapi, dia tidak suka dengan nasihat mereka, jadi dia meminta nasihat daripada beberapa orang yang membesar bersamanya. Pada masa itu, mereka mungkin berumur 40-an, jadi mereka pasti mempunyai pengalaman hidup. (2 Taw. 12:13) Namun, mereka telah memberi Rehabeam nasihat yang buruk dengan menggalakkannya untuk menambahkan beban rakyat. (1 Raj. 12:8-11) Semasa Rehabeam diberikan dua nasihat yang berbeza, dia sepatutnya berdoa kepada Yehuwa dan meminta bimbingan-Nya. Sedihnya, dia tidak berbuat demikian. Sebaliknya, dia memilih nasihat yang disukainya, iaitu nasihat daripada orang yang lebih muda. Akibatnya, Rehabeam dan rakyatnya menghadapi banyak masalah. Apakah pengajarannya? Ada kalanya, kita mungkin diberi nasihat yang kita tidak suka dengar. Walaupun begitu, jika nasihat itu adalah berdasarkan Firman Tuhan, kita patut menerimanya.

7. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Raja Uzia?

7Raja Uzia juga telah menolak nasihat. Dia telah memasuki bahagian Rumah Tuhan yang hanya boleh dimasuki oleh para imam, dan dia cuba membakar kemenyan di situ. Semasa para imam berkata kepadanya, “Tuanku Uzia! Tuanku tidak berhak membakar kemenyan kepada Yehuwa! Hanya para imam yang boleh berbuat demikian,” apakah reaksi Uzia? Jika dia bersikap rendah hati, menerima nasihat itu, dan segera meninggalkan Rumah Tuhan, Yehuwa mungkin akan mengampuninya. Namun, “Uzia . . . menjadi marah” dan menolak nasihat yang diberikan. Mengapa? Dia mungkin berasa bahawa dia berhak bertindak sesuka hati kerana dia seorang raja. Namun, dalam pandangan Yehuwa, Uzia telah bertindak melampaui batasnya. Akibatnya, Yehuwa menyebabkan Uzia “menderita penyakit kusta sehingga akhir hayatnya.” (2 Taw. 26:16-21) Apakah pengajarannya? Tidak kira siapa kita, jika kita menolak nasihat yang berdasarkan Bible, kita akan kehilangan perkenan Yehuwa.

MEREKA MENERIMA NASIHAT

8. Apakah reaksi Ayub semasa diberi nasihat?

8 Selain daripada contoh orang yang menolak nasihat, Bible juga mengandungi contoh orang yang diberkati kerana menerima nasihat. Perhatikan contoh Ayub. Walaupun dia mengasihi Tuhan dan ingin menyenangkan hati Tuhan, dia masih tidak sempurna. Jadi semasa dia sangat tertekan, dia pernah mengatakan hal-hal yang salah. Oleh itu, dia diberi nasihat yang terus terang daripada Elihu dan Yehuwa. Apakah reaksinya? Dia dengan rendah hati menerima nasihat itu. Dia mengaku, “Aku telah berkata-kata . . . padahal aku tidak tahu dan tidak mengerti apa-apa. . . . Aku menarik kembali segala kata-kataku, dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.” Yehuwa telah memberkati Ayub kerana kerendahan hatinya.​—Ayb. 42:3-6, 12-17.

9. Apakah reaksi Musa semasa dia diberi nasihat? Mengapakah dia merupakan contoh yang baik?

9Musa ialah contoh yang baik kerana dia sudi menerima teguran setelah melakukan kesalahan yang serius. Pernah sekali, dia menjadi marah dan tidak memuliakan Yehuwa. Akibatnya, Yehuwa tidak membenarkan Musa memasuki Tanah yang Dijanjikan. (Bil. 20:1-13) Semasa Musa merayu kepada Yehuwa untuk mengubah keputusan-Nya, Yehuwa memberitahunya, “Jangan sebut tentang perkara ini lagi.” (Ul. 3:23-27) Namun, Musa tidak berasa marah. Sebaliknya, dia menerima keputusan Yehuwa, dan Yehuwa terus menggunakannya untuk memimpin orang Israel. (Ul. 4:1) Ayub dan Musa ialah teladan yang baik bagi kita kerana mereka sudi menerima nasihat. Ayub mengubah pandangannya dan tidak cuba membela diri. Musa pula menunjukkan bahawa dia menerima nasihat dengan tetap setia kepada Yehuwa biarpun dia kehilangan peluang untuk memasuki Tanah yang Dijanjikan.

10. (a) Menurut Amsal 4:10-13, apakah manfaatnya jika kita menerima nasihat? (b) Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh saudara saudari kita apabila mereka diberi nasihat?

10 Kita akan meraih manfaat jika kita meniru teladan orang yang setia seperti Ayub dan Musa. (Baca Amsal 4:10-13.) Ramai saudara saudari kita menunjukkan sikap yang baik semasa mereka diberi nasihat. Perhatikan contoh Emmanuel, seorang saudara di Congo. Mengenang kembali nasihat yang diterimanya, dia berkata, “Saudara-saudara yang matang di sidang saya mendapati bahawa hubungan saya dengan Yehuwa sudah terancam, dan mereka cuba membantu saya. Saya telah mengikut nasihat mereka dan saya dapat mengelakkan banyak masalah.” * Megan, seorang perintis di Kanada, berkata, “Nasihat yang diberikan tidak selalunya apa yang saya suka dengar, tapi itulah yang saya perlu dengar.” Marko, seorang saudara dari Croatia, berkata, “Saya telah kehilangan peluang untuk berkhidmat dalam sidang. Tetapi mengenang kembali apa yang berlaku, saya sedar bahawa nasihat yang diberikan telah membantu memulihkan hubungan saya dengan Yehuwa.”

11. Apakah yang dikatakan Saudara Karl Klein tentang menerima nasihat?

11 Satu lagi contoh orang yang meraih manfaat kerana menerima nasihat ialah Saudara Karl Klein, seorang ahli Badan Pimpinan. Dalam kisah hidupnya, Saudara Klein menceritakan bahawa pernah sekali, dia diberi teguran yang tegas daripada sahabat rapatnya, Joseph F. Rutherford. Saudara Klein mengaku bahawa pada mulanya dia berasa sakit hati. Dia berkata, “Semasa [Saudara Rutherford] nampak saya lagi, dia berkata dengan gembira, ‘Helo Karl!’ Namun, saya tidak membalasnya dengan ikhlas kerana saya masih sakit hati. Dia berkata, ‘Karl, berhati-hatilah! Si Iblis ingin menjerat kamu!’ Saya rasa malu lalu menjawab, ‘Saudara Rutherford, saya tidak marah dengan kamu.’ Tapi dia tahu saya memang marah. Jadi dia berkata lagi, ‘Tidak apa. Berhati-hati saja. Si Iblis ingin menjerat kamu.’ Kata-katanya memang betul! Jika kita berdendam terhadap rakan seiman kita padahal mereka memang patut menasihati kita . . . , Iblis dapat menjerat kita dengan mudah.” * (Ef. 4:25-27) Saudara Klein telah menerima nasihat Saudara Rutherford, dan mereka masih menjadi sahabat rapat selepas itu.

APAKAH YANG DAPAT MEMBANTU KITA MENERIMA NASIHAT?

12. Bagaimanakah kerendahan hati dapat membantu kita untuk menerima nasihat? (Mazmur 141:5)

12 Apakah yang dapat membantu kita untuk menerima nasihat? Kita perlu bersikap rendah hati. Kita harus ingat bahawa kita tidak sempurna dan ada kalanya akan bertindak bodoh. Seperti yang dibincangkan tadi, Ayub mempunyai pandangan yang salah. Tetapi dia sudi mengubah pandangannya, dan Yehuwa telah memberkatinya. Mengapa? Hal ini kerana Ayub bersikap rendah hati. Dia menerima nasihat Elihu walaupun Elihu jauh lebih muda daripadanya. (Ayb. 32:6, 7) Jika kita rendah hati, kita akan berasa lebih mudah untuk menerima nasihat walaupun kita berasa nasihat itu tidak sesuai atau jika orang yang memberikan nasihat itu lebih muda daripada kita. Seorang penatua di Kanada berkata, “Memandangkan kita tidak dapat melihat diri kita sebagaimana orang lain melihat diri kita, bagaimana kita dapat membuat kemajuan jika tiada orang yang memberi kita nasihat?” Ingatlah, semua orang memerlukan nasihat supaya dapat menunjukkan sifat-sifat Kristian dengan lebih baik dan menjalankan kerja penyebaran dengan lebih mahir.​—Baca Mazmur 141:5.

13. Apakah sepatutnya pandangan kita terhadap nasihat?

13Pandanglah nasihat sebagai bukti akan kasih Tuhan. Yehuwa menginginkan yang terbaik untuk kita. (Ams. 4:20-22) Jadi semasa Dia memberikan nasihat melalui Bible, bahan bacaan Bible, ataupun saudara saudari yang matang, Dia sebenarnya sedang menunjukkan kasih-Nya kepada kita. Ibrani 12:9, 10 menyatakan, “Tuhan berbuat demikian untuk kebaikan kita.”

14. Semasa diberi nasihat, kita harus bertumpu kepada apa?

14Bertumpu kepada isi nasihat, bukannya cara nasihat itu disampaikan. Ada kalanya, kita mungkin berasa bahawa cara nasihat itu disampaikan tidak betul. Sudah tentu, orang yang memberikan nasihat harus cuba menyampaikannya dalam cara yang mudah diterima. * (Gal. 6:1) Namun, jika kita diberi nasihat, bertumpulah kepada isi nasihat itu, walaupun kita berasa bahawa nasihat itu patut disampaikan dengan cara yang lebih baik lagi. Kita boleh menanya diri, “Biarpun saya tidak menyukai cara nasihat itu disampaikan, dapatkah saya belajar sesuatu daripada nasihat itu? Dapatkah saya bertumpu kepada isi nasihat itu dan bukannya ketidaksempurnaan orang yang memberikan nasihat?” Jika kita berusaha untuk mencari sesuatu yang bermanfaat setiap kali kita diberi nasihat, kita sememangnya orang yang bijak.​—Ams. 15:31.

MINTALAH NASIHAT DAN RAIHLAH MANFAATNYA

15. Mengapakah kita patut meminta nasihat?

15 Bible menggesa kita untuk meminta nasihat. Amsal 13:10 berkata, “Kebijaksanaan milik orang yang meminta nasihat.” Betapa benarnya kata-kata itu! Orang yang mengambil inisiatif untuk meminta nasihat biasanya lebih cepat membuat kemajuan rohani berbanding mereka yang hanya menunggu orang lain untuk menasihati mereka. Jadi, janganlah malu untuk meminta nasihat.

Mengapakah saudari yang lebih muda itu meminta nasihat daripada seorang saudari yang lebih matang? (Lihat perenggan 16)

16. Bilakah kita boleh meminta nasihat orang lain?

16 Bilakah kita boleh meminta nasihat daripada saudara saudari kita? Fikirkan beberapa situasi berikut: (1) Seorang saudari menjemput seorang penyiar yang berpengalaman untuk menyertai pembelajaran Biblenya. Selepas itu, dia menanya penyiar itu bagaimana dia dapat meningkatkan kemahiran mengajarnya. (2) Seorang saudari bujang ingin membeli pakaian. Jadi dia meminta pendapat seorang saudari yang matang tentang pilihannya. (3) Seorang saudara ditugaskan untuk memberikan ceramah umum buat kali pertama. Jadi dia meminta seorang penceramah yang berpengalaman untuk mendengar semasa dia menyampaikan ceramahnya dan memberitahunya apa yang perlu dibaiki. Biarpun seorang saudara sudah lama memberikan ceramah, dia masih patut meminta nasihat daripada penceramah yang berpengalaman dan menerapkan nasihat yang diberikan.

17. Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat semasa diberi nasihat?

17 Pada hari-hari yang akan datang, kita semua pasti akan menerima nasihat dalam pelbagai cara. Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat semasa diberi nasihat? Ingatlah isi-isi dalam rencana ini: Tunjukkanlah sikap rendah hati, bertumpulah kepada isi nasihat dan bukannya kepada cara nasihat itu disampaikan, dan terapkanlah nasihat yang diberikan. Ingatlah, tiada seorang pun antara kita yang bijak sejak lahir. Namun, Firman Tuhan berjanji bahawa jika kita ‘mendengarkan nasihat dan menerima disiplin,’ kita akan “menjadi bijaksana.”​—Ams. 19:20.

LAGU 124 Selalu Setia

^ per. 5 Umat Yehuwa tahu pentingnya mendengarkan nasihat daripada Bible dan menerapkannya. Namun, ada kalanya kita mungkin berasa susah untuk menerima nasihat. Mengapa? Apakah yang dapat membantu kita meraih manfaat daripada nasihat yang kita terima?

^ per. 10 Sesetengah nama telah diubah.

^ per. 11 Lihat Menara Pengawal dalam bahasa Indonesia, terbitan tahun 1984 (Seri 4), ms. 23-30.

^ per. 14 Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan bagaimana orang yang memberikan nasihat dapat melakukannya dalam cara yang lebih mudah diterima.