RENCANA PEMBELAJARAN 8
LAGU 130 Bermaaf-maafan
Pengampunan Yehuwa—Cara Anda Dapat Menirunya
“Sepertimana Yehuwa mengampuni kamu dengan rela hati, kamu juga mesti berbuat demikian.”—KOL. 3:13.
FOKUS
Rencana ini akan membincangkan langkah-langkah praktikal untuk mengampuni seseorang yang menyakiti kita.
1-2. (a) Bilakah kita mungkin berasa susah untuk mengampuni orang? (b) Bagaimanakah Denise menunjukkan pengampunan?
ADAKAH anda rasa susah untuk mengampuni orang? Ramai antara kita berasa begitu, terutamanya apabila kita dilukai secara mendalam. Namun, kita dapat melakukan sesuatu agar lebih rela mengampuni dan tidak lagi berasa marah. Perhatikan pengalaman Saudari Denise, a yang telah mengampuni seseorang yang melukainya dengan sangat mendalam. Pada tahun 2017, Denise dan keluarganya melawat Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa yang baru dibuka. Dalam perjalanan pulang, seorang pemandu hilang kawalan dan merempuh kenderaan mereka. Denise tidak sedarkan diri, dan semasa dia sedar, dia mendapati anak-anaknya cedera parah dan suaminya Brian telah terbunuh. Mengenang kembali perasaannya pada masa itu, Denise berkata, “Saya sangat sedih dan keliru.” Kemudian, Denise diberitahu bahawa pemandu itu tidak memandu di bawah pengaruh dadah atau alkohol, dan perhatiannya juga tidak diganggu oleh telefon atau hal-hal lain. Maka dia berdoa meminta ketenangan hati daripada Yehuwa.
2 Pemandu yang melanggar mereka telah ditangkap dan didakwa. Jika didapati bersalah, dia mungkin dipenjarakan. Namun, pihak mahkamah berkata bahawa kesudahan lelaki itu bergantung pada keterangan Denise. Denise berkata, “Saya perlu ingat kembali semua yang berlaku pada hari kemalangan itu dan menceritakannya di mahkamah. Rasanya seperti jahitan pada luka saya dibuka dan sebakul garam dituang ke atasnya.” Beberapa minggu kemudian, Denise hadir ke mahkamah dan bersedia memberikan keterangan di hadapan pemandu itu. Apakah yang dikatakannya? Walaupun lelaki itu telah menyebabkan penderitaan yang begitu besar kepada keluarga Denise, Denise meminta hakim agar berbelas kasihan terhadapnya. b Selepas Denise selesai bercakap, hakim itu mula menangis dan berkata, “Selama 25 tahun saya bekerja sebagai hakim, saya tidak pernah dengar keluarga mangsa merayu saya untuk berbelas kasihan terhadap yang dituduh. Saya tidak pernah lihat kasih dan pengampunan seperti ini.”
3. Apakah yang membantu Denise untuk mengampuni lelaki itu?
3 Apakah yang membantu Denise untuk mengampuni lelaki itu? Dia merenungkan pengampunan Yehuwa. (Mi. 7:18) Apabila kita benar-benar menghargai pengampunan yang Yehuwa tunjukkan terhadap kita, kita akan terdorong untuk mengampuni orang lain.
4. Apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan? (Efesus 4:32)
4 Yehuwa mahu kita mengampuni orang lain dengan rela hati sebagaimana Dia rela mengampuni kita. (Baca Efesus 4:32.) Dia mahu kita sedia memaafkan orang yang menyakiti kita. (Mzm. 86:5; Luk. 17:4) Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga perkara yang dapat membantu kita menjadi orang yang suka mengampuni.
JANGAN PENDAMKAN PERASAAN ANDA
5. Menurut Amsal 12:18, apakah perasaan kita semasa seseorang menyinggung perasaan kita?
5 Semasa seseorang menyinggung perasaan kita, kita mungkin sangat sakit hati terutamanya jika orang itu rapat dengan kita seperti sahabat atau ahli keluarga kita. (Mzm. 55:12-14) Ada kalanya, kita mungkin berasa seperti ditikam pedang. (Baca Amsal 12:18.) Kita mungkin cuba untuk memendamkan atau tidak mempedulikan perasaan itu. Namun jika kita berbuat demikian, kita seolah-olah memilih untuk tidak mengeluarkan pedang daripada luka. Begitu juga, jika kita hanya memendamkan perasaan sakit hati, luka itu tidak akan sembuh.
6. Apakah mungkin reaksi kita semasa tersinggung?
6 Semasa kita tersinggung, reaksi pertama kita mungkin adalah untuk naik marah. Bible kata reaksi itu memang biasa. Namun, Bible juga mengingatkan kita bahawa jika kita terus marah, hal itu amat berbahaya. (Mzm. 4:4; Ef. 4:26) Mengapa? Kerana emosi sering mempengaruhi tindakan kita. Bible juga kata bahawa orang yang dikuasai kemarahan susah melakukan apa yang betul. (Yak. 1:20) Ingatlah, reaksi pertama kita mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita mampu memilih sama ada kita mahu terus marah atau tidak.
Reaksi pertama kita mungkin tidak dapat dikawal. Namun kita mampu memilih sama ada mahu terus marah atau tidak
7. Apakah perasaan lain yang mungkin timbul semasa kita disakiti?
7 Semasa kita disakiti, perasaan negatif yang lain juga mungkin timbul. Contohnya, seorang saudari yang bernama Ann berkata, “Semasa saya kecil, bapa saya tinggalkan ibu saya dan berkahwin dengan pengasuh saya. Masa itu, saya rasa diabaikan. Kemudian, semasa mereka mendapat anak, saya rasa saya sudah digantikan dan tiada orang mahu saya.” Saudari Georgette menggambarkan perasaannya semasa suaminya berlaku curang. Dia berkata, “Kami sudah bersahabat sejak kecil. Kami bahkan merintis bersama-sama! Hati saya hancur berkecai.” Saudari Naomi pula berkata, “Saya tidak pernah bayangkan suami saya akan melukai saya. Jadi, bila dia mengaku bahawa dia curi-curi melihat pornografi, saya rasa dia telah menipu dan mengkhianati saya.”
8. (a) Apakah beberapa sebab kita patut mengampuni orang lain? (b) Apakah manfaatnya jika kita mengampuni orang lain? (Lihat kotak “ Bagaimana Pula Jika Seseorang Membuat Kita Trauma?”)
8 Kita tidak dapat mengawal kata-kata atau perbuatan orang lain, tetapi kita dapat mengawal reaksi kita. Biasanya, reaksi yang terbaik ialah mengampuni orang yang menyakiti kita. Mengapa? Kerana kita mengasihi Yehuwa dan Dia mahu kita saling mengampuni. Selain itu, jika kita terus marah dan tidak mahu mengampuni orang lain, kita mungkin akan bertindak bodoh dan menjejaskan kesihatan sendiri. (Ams. 14:17, 29, 30) Saudari Christine berkata, “Semasa saya sakit hati dan marah, saya jarang senyum dan saya makan makanan yang kurang sihat. Saya juga tidak cukup tidur dan susah mengawal emosi saya. Akibatnya, hal itu menjejaskan hubungan saya dengan suami saya dan orang lain.”
9. Mengapakah kita patut membuang rasa dendam?
9 Biarpun orang yang menyakiti kita tidak meminta maaf, kita dapat mengurangkan rasa sakit hati yang disebabkan olehnya. Bagaimana? Georgette, yang disebut tadi, berkata, “Setelah berusaha untuk suatu ketika, saya akhirnya berjaya membuang rasa dendam dan marah terhadap bekas suami saya. Selepas itu, hati saya tenang sekali.” Apabila kita membuang rasa dendam, hati kita tidak lagi dibebani perasaan marah dan kecewa. Selain itu, kita dapat memulakan lembaran hidup yang baharu dan bersukacita semula. (Ams. 11:17) Namun, setelah berdepan dengan emosi anda, apakah yang dapat anda lakukan jika anda belum sedia mengampuni?
MENGATASI PERASAAN SAKIT HATI
10. Mengapakah kita perlu memberi diri sendiri masa untuk sembuh secara emosi? (Lihat juga gambar.)
10 Bagaimanakah anda dapat mengatasi perasaan sakit hati? Satu cara adalah dengan memberi diri anda masa untuk sembuh secara emosi. Selepas dirawat, seseorang yang cedera parah perlukan masa untuk sembuh. Begitu juga, hati kita yang terluka mungkin perlukan masa untuk sembuh sebelum kita dapat benar-benar memaafkan orang.—Pkh. 3:3; 1 Ptr. 1:22.
11. Bagaimanakah doa dapat membantu anda sudi mengampuni? Berikan contoh.
11 Berdoalah dan mintalah Yehuwa untuk membantu anda sudi mengampuni. c Ann, yang disebut tadi, menjelaskan bagaimana doa telah membantunya. Dia berkata, “Saya minta Yehuwa memaafkan kesalahan setiap seorang daripada kami dalam keluarga. Kemudian, saya menulis surat kepada bapa saya dan isteri barunya untuk beritahu mereka bahawa saya sudah memaafkan mereka.” Ann mengaku bahawa hal itu memang susah dilakukan. Tetapi dia berkata, “Saya harap jika saya meniru pengampunan Yehuwa, bapa saya dan isterinya akan terdorong untuk mengenali-Nya.”
12. Mengapakah kita harus mempercayai Yehuwa dan bukannya perasaan sendiri? (Amsal 3:5, 6)
12 Percayalah kepada Yehuwa dan bukannya perasaan sendiri. (Baca Amsal 3:5, 6.) Yehuwa sentiasa tahu apa yang terbaik bagi kita dan Dia tidak pernah menyuruh kita melakukan sesuatu yang memudaratkan kita. (Yes. 55:8, 9) Jadi, apabila Dia menggalakkan kita untuk saling mengampuni, kita boleh yakin bahawa amalan ini memang bermanfaat. (Mzm. 40:4; Yes. 48:17, 18) Namun, jika kita ikut perasaan sendiri, kita mungkin tidak akan dapat memaafkan orang lain. (Ams. 14:12; Yer. 17:9) Naomi, yang disebut tadi, berkata, “Pada mulanya, saya tidak mahu mengampuni suami saya yang melihat bahan lucah. Saya takut dia akan menyakiti hati saya lagi atau lupa betapa teruknya perbuatannya. Saya cuba beri alasan bahawa Yehuwa akan faham perasaan saya. Tetapi kemudian saya sedar, biarpun Yehuwa faham perasaan saya, hal itu tidak bermaksud Dia setuju bahawa suami saya tidak patut diampuni. Dia faham perasaan saya dan Dia tahu saya perlukan masa untuk sembuh. Namun, Dia tetap mahu saya mengampuni suami saya.” d
PUPUK PERASAAN YANG POSITIF
13. Menurut Roma 12:18-21, apakah yang perlu kita lakukan?
13 Semasa mengampuni seseorang yang melukai kita secara mendalam, kita bukan sekadar mengelak daripada mengungkit apa yang berlaku. Jika orang yang melukai kita itu ialah rakan seiman kita, kita juga mahu berdamai dengannya. (Mat. 5:23, 24) Kita tidak lagi berasa marah atau berdendam terhadapnya, tetapi memilih untuk menunjukkan belas kasihan dan pengampunan. (Baca Roma 12:18-21; 1 Ptr. 3:9) Apakah yang dapat membantu kita berbuat demikian?
14. Kita mahu berusaha melakukan apa, dan mengapa?
14 Jika ada orang menyinggung perasaan kita, cubalah memandangnya sepertimana Yehuwa memandangnya. Yehuwa memilih untuk mencari sifat baik orang. (2 Taw. 16:9; Mzm. 130:3) Jika kita berpandangan negatif terhadap seseorang, kita akan mencari dan menjumpai banyak sifat buruknya. Sebaliknya, jika kita berpandangan positif terhadap seseorang, kita akan mencari dan menjumpai banyak sifat baiknya. Apabila kita bertumpu kepada sifat-sifat baik seseorang, kita akan berasa lebih mudah untuk mengampuninya. Saudara Jarrod berkata, “Saya rasa lebih senang untuk memaafkan saudara saya jika saya ingat bahawa ada banyak hal yang saya suka tentangnya dan bukannya bertumpu kepada kesilapannya.”
15. Mengapakah baik untuk memberitahu seseorang bahawa anda sudah memaafkannya?
15 Satu lagi hal penting yang dapat anda lakukan ialah memberitahu orang yang melukai anda bahawa anda sudah memaafkannya. Mengapa? Naomi, yang disebut tadi, berkata, “Pernah sekali, suami saya tanya, ‘Kamu sudah maafkan saya?’ Saya mahu jawab, ‘Saya maafkan kamu,’ tetapi saya tidak dapat mengucapkannya. Masa itu saya sedar saya belum mengampuninya dari hati. Beberapa lama kemudian, saya dapat memberitahunya tiga perkataan ini: ‘Saya maafkan kamu.’ Air mata suami saya mula bergenang. Saya tidak sangka kata-kata saya membuatnya begitu lega dan memberi saya ketenangan yang begitu besar. Sejak hari itu, saya membina semula kepercayaan saya terhadapnya. Sekarang, kami berdua kawan rapat semula.”
16. Apakah yang anda belajar tentang pengampunan?
16 Yehuwa mahu kita saling mengampuni. (Kol. 3:13) Hal itu tidak selalunya mudah. Namun kita dapat melakukannya jika kita tidak memendamkan perasaan kita, berusaha mengatasi perasaan sakit hati, dan memupuk perasaan yang positif.—Lihat kotak “ Tiga Langkah untuk Mengampuni.”
BERTUMPU KEPADA MANFAATNYA
17. Apakah manfaatnya jika kita sudi mengampuni?
17 Jika kita sudi mengampuni, kita akan meraih banyak manfaat. Perhatikan beberapa contoh. Pertama, kita meniru dan menyenangkan hati Yehuwa, Tuhan yang berbelas kasihan. (Luk. 6:36) Kedua, kita menunjukkan bahawa kita menghargai pengampunan yang Yehuwa tunjukkan kepada kita. (Mat. 6:12) Ketiga, kita menikmati kesihatan yang baik dan hubungan yang rapat dengan orang lain.
18-19. Apakah hasilnya jika kita sudi mengampuni?
18 Apabila kita mengampuni orang lain, kita mungkin mendapat berkat yang tidak dijangkakan. Perhatikan pengalaman Denise, yang disebut di awal rencana ini. Semasa memberikan keterangan, dia tidak tahu bahawa pemandu itu merancang untuk membunuh diri selepas perbicaraan. Namun, perbuatan Denise membuatnya begitu tersentuh sehingga dia mula belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa.
19 Kita mungkin rasa bahawa mengampuni seseorang merupakan hal yang paling susah dilakukan. Namun jika kita melakukannya, kita dapat meraih berkat yang luar biasa. (Mat. 5:7) Maka, semoga kita semua berusaha sedaya upaya untuk meniru pengampunan Yehuwa.
LAGU 125 “Berbahagialah Orang yang Berbelas Kasihan!”
a Sesetengah nama telah diubah.
b Dalam situasi sebegini, setiap orang Kristian perlu membuat keputusan sendiri tentang apa yang akan dilakukannya.
c Lihat video bagi lagu asal “Saling Bermaafan,” “Rela Mengampuni,” dan “Kawan Semula,” di jw.org.
d Melihat bahan lucah merupakan dosa dan dapat menyakiti pasangan. Namun, perbuatan ini bukanlah sebab yang diterima dalam Bible untuk bercerai.