“Dia Menguatkan Orang yang Lelah”
Ayat tahunan 2018: “Orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula.”—YES. 40:31.
1. Apakah tekanan yang perlu kita hadapi, tetapi mengapakah Yehuwa senang hati dengan hamba-hamba-Nya yang setia? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
HIDUP kita sarat dengan masalah. Ramai antara anda perlu bergelut dengan penyakit yang serius. Ada yang sudah berumur, tetapi perlu menjaga ahli keluarga yang lanjut usia. Ada pula yang perlu memerah keringat, bukan untuk hidup mewah, tetapi untuk mencari sesuap nasi bagi keluarga sendiri. Lebih teruk lagi, ada yang perlu menangani beberapa masalah sebegini pada waktu yang sama. Banyak masa, tenaga emosi, dan wang diperlukan untuk menangani semua itu. Namun, anda percaya sepenuhnya kepada janji Tuhan. Anda tetap yakin bahawa masa depan yang cerah akan tiba. Iman anda pasti menyenangkan hati Yehuwa!
2. Bagaimanakah Yesaya 40:29 menggalakkan kita? Apakah kesilapan besar yang mungkin kita lakukan?
2 Namun, dari masa ke masa, pernahkah anda berasa bahawa anda hampir ditewaskan oleh tekanan hidup? Jika ya, anda tidak bersendirian. Hamba-hamba Tuhan pada masa lampau sering berasa begitu juga. (1 Raj. 19:4; Ayb. 7:7) Tetapi, oleh sebab mereka bergantung pada kekuatan Yehuwa, mereka tidak dikecewakan kerana Tuhan kita “menguatkan orang yang lelah.” (Yes. 40:29) Sedihnya, sesetengah penyembah Tuhan hari ini berasa bahawa cara terbaik untuk menangani tekanan hidup adalah dengan “mengambil cuti” daripada rutin rohani. Bagi mereka, kegiatan Kristian ialah beban, bukan berkat. Jadi mereka berhenti membaca Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil. Itulah yang diinginkan oleh Syaitan.
3. (a) Apakah yang dapat kita lakukan supaya Syaitan gagal melemahkan kita? (b) Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Si Iblis tahu bahawa kita akan bertambah kuat setelah bergiat dengan sepenuhnya dalam aktiviti Kristian, dan dia tidak ingin hal itu berlaku. Maka, semasa anda lesu secara fizikal dan emosi, janganlah menjauhi Yehuwa. Sebaliknya, hampirilah Dia kerana “Dia akan menguatkan kamu, dan Dia akan mengukuhkan kamu.” (1 Ptr. 5:10; Yak. 4:8) Rencana ini akan menyebut dua situasi yang mungkin menjejaskan khidmat kita kepada Tuhan dan prinsip-prinsip Bible yang dapat membantu kita. Namun, sebelum itu, mari kita lihat bagaimana Yesaya 40:26-31 menonjolkan kebolehan Yehuwa untuk menguatkan kita.
DIKUATKAN KERANA BERHARAP KEPADA YEHUWA
4. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Yesaya 40:26?
4 Baca Yesaya 40:26. Tiada orang dapat menghitung semua bintang di alam semesta. Menurut ahli sains, jumlah bintang di galaksi Bima Sakti sahaja sudah mencecah 400 bilion. Namun, Yehuwa menamakan setiap bintang itu. Apakah pengajarannya? Jika Yehuwa mengambil berat tentang setiap ciptaan-Nya yang tidak bernyawa, bayangkan perasaan-Nya terhadap anda, yang menyembah-Nya bukan secara terpaksa tetapi kerana mengasihi-Nya! (Mzm. 19:1, 3, 14) Bapa kita yang pengasih mengetahui segala sesuatu tentang anda. ‘Bahkan rambut di kepala kita sudah dihitung’ oleh-Nya. (Mat. 10:30) Pemazmur menulis, “Yehuwa sedar akan apa yang dialami oleh orang yang tidak bercela.” (Mzm. 37:18) Ya, Yehuwa memperhatikan cubaan yang anda alami, dan Dia dapat memberi anda kekuatan untuk bertabah.
5. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa dapat menguatkan kita?
5 Baca Yesaya 40:28. Yehuwa ialah Sumber segala tenaga. Contohnya, fikirkan tenaga yang diberikan-Nya kepada matahari. David Bodanis, seorang pengarang sains, menulis, “Setiap saat, jirim yang ditukar menjadi tenaga di Matahari bersamaan dengan [beberapa bilion bom atom].” Menurut pengiraan seorang penyelidik, matahari “memancarkan . . . cukup tenaga dalam sesaat untuk digunakan oleh manusia selama 200,000 tahun”! Jika Tuhan dapat menyediakan begitu banyak tenaga untuk matahari, Dia pasti dapat memberi kita kekuatan untuk mengatasi apa-apa masalah!
6. Mengapakah kuk Yesus dikatakan senang dipikul? Bagaimanakah hal ini patut mempengaruhi kita?
6 Baca Yesaya 40:29. Menyembah Yehuwa mendatangkan sukacita. Yesus memberitahu murid-muridnya, “Pikullah kuk aku . . . Maka jiwamu akan pulih segar. Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.” (Mat. 11:28-30) Kata-kata Yesus memang benar. Ada kalanya, kita mungkin berasa penat semasa pergi ke perjumpaan atau menginjil. Tetapi semasa kita pulang, tidakkah kita disegarkan dan lebih bersedia untuk menangani pelbagai cabaran hidup? Ya, kuk Yesus memang senang dipikul!
7. Ceritakan pengalaman yang menunjukkan betapa benarnya kata-kata di Matius 11:28-30.
7 Seorang saudari yang bernama Kayla
perlu bergelut dengan sindrom kelelahan kronik, kemurungan, dan migrain. Maka, ada kalanya dia susah menghadiri perjumpaan. Namun, setelah berusaha keras untuk menghadiri satu perjumpaan umum, dia menulis, “Ceramah itu tentang perasaan tawar hati. Saya menitiskan air mata kerana maklumat itu disampaikan dengan penuh empati dan keprihatinan. Saya diingatkan bahawa saya perlu berada di perjumpaan.” Dia amat bersyukur kerana berusaha menghadiri perjumpaan itu!8, 9. Apakah maksud Paulus semasa dia berkata, “Apabila aku lemah, aku menjadi kuat”?
8 Baca Yesaya 40:30. Tidak kira betapa mahirnya kita, jika kita bergantung pada kekuatan sendiri, kita hanya akan meraih hasil yang terhad. Kita perlu ingat akan hakikat itu. Rasul Paulus mempunyai banyak kebolehan, tetapi dia juga tidak dapat melakukan segala yang diingininya. Semasa Paulus meluahkan perasaannya kepada Tuhan, dia diberitahu, “Kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Paulus memahami maksud Yehuwa, oleh itu dia berkata, “Apabila aku lemah, aku menjadi kuat.” (2 Kor. 12:7-10) Apakah maksud Paulus?
9 Paulus sedar bahawa tanpa bantuan Tuhan, kemampuannya sangat terhad. Kuasa suci Tuhan bukan sahaja membantu Paulus mengatasi kelemahannya, malah memberinya kekuatan untuk melaksanakan tugas yang melampaui kebolehannya. Begitu juga, dengan adanya kuasa Yehuwa, kita akan menjadi sangat kuat!
10. Bagaimanakah Yehuwa membantu Daud untuk menghadapi cabaran?
10 Daud sering merasai bantuan kuasa suci Tuhan. Dia bernyanyi, “Dengan bantuan-Mu, aku dapat menyerang kumpulan perompak; dengan kuasa-Mu, aku berjaya melompat merentasi tembok.” (Mzm. 18:29) Sesetengah masalah kita bagaikan tembok tinggi yang mustahil direntasi dengan kekuatan sendiri. Maka, kita memerlukan bantuan Yehuwa.
11. Jelaskan bagaimana kuasa suci Tuhan membantu kita menangani masalah.
11 Baca Yesaya 40:31. Burung helang tidak bergantung sepenuhnya pada kekuatan sendiri untuk terbang jauh. Helang juga menggunakan daya angkat daripada angin panas untuk menjimatkan tenaga. Maka semasa anda perlu memikul tugas yang berat, ingatlah contoh helang. Rayulah Yehuwa untuk memberi anda “daya angkat” melalui “penolong itu, iaitu kuasa suci Tuhan.” (Yoh. 14:26) Bantuan itu tersedia 24 jam sehari untuk kita. Barangkali semasa berlakunya perselisihan faham dengan rakan seiman, itulah masanya kita amat memerlukan bantuan Tuhan. Namun, mengapakah perselisihan faham begini berlaku?
12, 13. (a) Mengapakah perselisihan faham berlaku antara orang Kristian? (b) Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa daripada kisah Yusuf?
12 Perselisihan faham berlaku kerana semua orang tidak sempurna. Ada kalanya, kata-kata atau perbuatan rakan seiman akan membuat kita geram, dan perangai kita juga akan membuat mereka geram. Hal seperti itu mungkin menjadi ujian yang berat, tetapi seperti dugaan yang lain, itulah peluang untuk membuktikan kesetiaan kita kepada Yehuwa. Bagaimana? Dengan belajar untuk bekerja bersama saudara saudari kita. Meskipun mereka tidak sempurna, Yehuwa mengasihi mereka, dan kita patut berbuat demikian juga.
13 Kisah Yusuf menunjukkan bahawa Yehuwa tidak menjauhkan segala cubaan daripada hamba-Nya. Semasa muda, Yusuf dijual sebagai hamba oleh abang-abangnya lalu dibawa ke Mesir. (Kej. 37:28) Yehuwa nampak apa yang berlaku, dan Dia pasti sedih semasa melihat sahabat-Nya Yusuf ditindas. Namun, Dia tidak campur tangan, bahkan semasa Yusuf dituduh cuba merogol isteri Potifar lalu dipenjarakan. Walaupun begitu, pernahkah Tuhan meninggalkan Yusuf? Tidak. Sebaliknya, “Yehuwa membuat Yusuf berjaya dalam segala pekerjaannya.”—Kej. 39:21-23.
14. Apakah manfaat rohani dan jasmani yang diperoleh jika kita menyingkirkan kemarahan?
14 Fikirkan contoh Daud, sahabat Tuhan. Meskipun dia pernah dilayan dengan buruk sekali, Daud tidak membiarkan dirinya ditelan rasa dendam. Sebaliknya dia menulis, “Singkirkanlah kemarahan dan keberangan daripada dirimu; janganlah menjadi panas hati dan janganlah berbuat jahat.” (Mzm. 37:8) Sebab terpenting untuk ‘menyingkirkan’ kemarahan adalah kerana kita ingin meniru Yehuwa, Tuhan yang “tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita.” (Mzm. 103:10) Terdapat kebaikan lain jika kita tidak berdendam. Kemarahan dapat menyebabkan tekanan darah tinggi, mengganggu pernafasan, menjejaskan hati dan pankreas, dan mempengaruhi pencernaan. Semasa marah, kita susah membuat keputusan yang bijak, dan selepas menempiaskan kemarahan kita, kita mungkin berasa murung untuk masa yang panjang. Sebaliknya, “hati yang tenang menyihatkan badan.” (Ams. 14:30) Jadi, bagaimanakah kita dapat mengatasi perasaan yang terluka dan berdamai dengan rakan seiman? Dengan menerapkan nasihat Bible.
SEMASA RAKAN SEIMAN MENGECEWAKAN KITA
15, 16. Bagaimanakah kita dapat berdamai dengan seseorang yang menyinggung perasaan kita?
15 Baca Efesus 4:26. Semasa orang di dunia melayan kita dengan buruk, kita tidak hairan. Tetapi semasa rakan seiman atau ahli keluarga mengatakan atau melakukan sesuatu yang menusuk hati kita, kita mungkin berasa sangat kecewa. Seandainya kita tidak dapat melupakan peristiwa itu, adakah kita akan berdendam selama bertahun-tahun? Atau adakah kita akan mengikut nasihat Bible dan segera menyelesaikan perselisihan itu? Ingatlah, semakin lama kita menunggu, semakin susah untuk berdamai.
16 Katakan seorang rakan seiman menyinggung perasaan anda, dan hal itu terus mengganggu anda. Apakah langkah yang dapat anda ambil untuk berdamai dengannya? Pertama, berdoalah dengan sungguh-sungguh kepada Yehuwa dan mintalah bantuan-Nya untuk mengadakan perbualan yang positif dengan rakan seiman itu. Ingatlah bahawa dia juga seorang sahabat Yehuwa. (Mzm. 25:14) Tuhan mengasihi sahabat-Nya. Dia melayan mereka dengan baik, dan Dia mahu kita melakukan hal yang sama. (Ams. 15:23; Mat. 7:12; Kol. 4:6) Selepas itu, fikirlah tentang apa yang hendak anda katakan. Janganlah anggap bahawa dia sengaja menyakiti hati anda; apa yang terjadi mungkin hanya salah faham. Selain itu, bersedialah untuk menerima hakikat bahawa anda juga mungkin bertanggungjawab atas perselisihan itu. Untuk memulakan perbualan dengannya, anda dapat berkata, “Mungkin saya terlalu sensitif, tetapi kata-katamu semalam membuat saya rasa . . .” Jika cubaan anda tidak berjaya, carilah peluang lain. Sementara itu, berdoalah untuk rakan seiman anda dan mintalah Yehuwa untuk memberkatinya. Mohonlah agar Tuhan membantu anda berfokus kepada sifat-sifat positifnya. Tidak kira apa kesudahannya, Yehuwa pasti gembira kerana anda telah berusaha untuk berdamai dengan rakan seiman anda, yang juga merupakan sahabat-Nya.
SEMASA DIHANTUI MASA SILAM
17. Bagaimanakah Yehuwa membantu orang yang melakukan dosa serius? Mengapakah kita harus menerima bantuan sebegini?
17 Sesetengah orang yang pernah melakukan dosa serius berasa bahawa mereka tidak lagi layak menyembah Yehuwa. Perasaan bersalah merupakan beban yang berat. Raja Daud menulis, “Semasa aku tidak mengakui dosaku, aku menjadi letih lesu kerana merintih sepanjang hari. Ya Tuhan, Engkau murka terhadapku siang dan malam.” Namun, Daud menangani situasi itu dengan cara yang dikehendaki Yehuwa. Dia menulis, “Aku mengakui dosaku kepada-Mu. Maka Engkau mengampunkan kesalahan dan dosaku.” (Mzm. 32:3-5) Jika anda pernah melakukan dosa serius, ingatlah bahawa Yehuwa ingin membantu anda pulih, tetapi anda mesti menerima bantuan-Nya yang diberikan melalui sidang. (Ams. 24:16; Yak. 5:13-15) Janganlah berlengah-lengah, kerana masa depan anda terlibat! Namun, bagaimana pula jika anda masih berasa bersalah atas dosa yang sudah lama diampunkan?
18. Bagaimanakah kisah Paulus dapat membantu mereka yang berasa diri mereka tidak layak menyembah Yehuwa?
18 Rasul Paulus juga pernah dihantui dosanya yang lampau. Dia berkata, “Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul, kerana aku pernah menganiaya sidang Tuhan.” Namun dia menambah, “Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul.” (1 Kor. 15:9, 10) Yehuwa tahu bahawa Paulus tidak sempurna. Tetapi Dia menerima Paulus seadanya, dan Dia mahu Paulus yakin akan hal itu. Jika anda sudah bertaubat dengan ikhlas dan mengambil langkah yang diperlukan untuk mengakui dosa anda, percayalah bahawa Yehuwa sudah mengampuni anda. Yakinlah pada janji Yehuwa, dan terimalah pengampunan-Nya!—Yes. 55:6, 7.
19. Apakah ayat tahunan 2018? Mengapakah ayat ini sesuai?
19 Apabila akhir sistem ini semakin dekat, tekanan hidup akan semakin meningkat. Namun, yakinlah bahawa Tuhan akan membantu anda terus bertahan kerana Dia “menguatkan orang yang lelah dan memberikan tenaga yang secukupnya kepada orang yang lemah.” (Yes. 40:29; Mzm. 55:22; 68:19) Sepanjang tahun 2018, kita akan diingatkan akan kebenaran itu setiap kali kita pergi ke Dewan Perjumpaan dan melihat ayat tahunan yang berbunyi, “Orang yang berharap kepada Yehuwa akan dikuatkan semula.”—Yes. 40:31.