RENCANA PEMBELAJARAN 2
LAGU 132 Kini Kita Sudah Bersatu
Para Suami, Hormatilah Isteri Anda
“Hai para suami, . . . hormatilah mereka.”—1 PTR. 3:7.
FOKUS
Bagaimana suami dapat menghormati isteri melalui kata-kata dan perbuatan.
1. Mengapakah Yehuwa mengasaskan aturan perkahwinan?
YEHUWA ialah “Tuhan yang gembira,” dan Dia juga mahu kita hidup gembira. (1 Tim. 1:11) Yehuwa telah memberi kita banyak kurniaan supaya kita dapat menikmati hidup. (Yak. 1:17) Salah satu kurniaan itu ialah perkahwinan. Semasa seorang lelaki dan seorang wanita berkahwin, mereka berikrar untuk saling mengasihi dan menghormati. Jika mereka terus mengasihi satu sama lain, mereka akan sangat bahagia.—Ams. 5:18.
2. Hari ini, bagaimanakah banyak suami melayan isteri?
2 Sedihnya, banyak suami isteri lupa akan ikrar perkahwinan mereka. Akibatnya, mereka tidak bahagia. Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia baru-baru ini, banyak suami mendera isteri dari segi fizikal, menghina mereka dengan kata-kata yang pedas, atau menyakiti mereka dalam cara yang lain. Ada suami yang melayan isteri dengan baik di depan orang lain, tetapi melayan isteri dengan buruk semasa di rumah. Banyak suami juga melukai isteri kerana melihat bahan lucah.
3. Mengapakah sesetengah suami melayan isteri dengan buruk?
3 Mengapakah sesetengah suami melayan isteri dengan buruk? Mereka mungkin dibesarkan oleh bapa yang ganas, maka latar belakang mereka membuat mereka berfikir bahawa kelakuan sebegini adalah biasa. Yang lain pula dipengaruhi oleh budaya mereka. Dalam budaya mereka, “lelaki sejati” mesti melayan isteri dengan kasar untuk menunjukkan kuasanya. Sesetengah lelaki pula tidak diajar untuk mengawal emosi mereka, jadi semasa mereka marah, mereka melayan isteri dengan buruk. Ada juga lelaki yang sering melihat bahan lucah. Akibatnya, mereka memandang wanita hanya sebagai objek untuk memuaskan nafsu seks. Menurut sesetengah laporan, gejala-gejala ini menjadi semakin parah ekoran pandemik COVID-19. Sudah tentu, hal-hal ini bukanlah alasan untuk melayan isteri dengan buruk.
4. Suami Kristian harus berwaspada terhadap apa, dan mengapa?
4 Suami Kristian harus berwaspada agar tidak terikut-ikut dengan pandangan dunia terhadap wanita. a Mengapa? Kerana fikiran sering mempengaruhi tindakan. Rasul Paulus mengingatkan orang Kristian terurap di Roma, “Jangan lagi dibentuk mengikut sistem dunia ini.” (Rm. 12:1, 2) Semasa Paulus menulis kata-kata itu, sidang di Roma sudah lama ditubuhkan. Namun, kata-kata Paulus menunjukkan bahawa sesetengah orang di sidang itu masih dipengaruhi budaya dan pandangan duniawi. Itulah sebabnya dia menggesa mereka untuk mengubah kelakuan dan pemikiran mereka. Nasihat Paulus juga sesuai bagi suami Kristian hari ini. Sedihnya, sesetengah saudara dipengaruhi pemikiran dunia dan melayan isteri dengan buruk. b Bagaimanakah Yehuwa mahu suami melayan isteri? Jawapannya terdapat dalam ayat tema untuk rencana ini.
5. Menurut 1 Petrus 3:7, bagaimanakah seorang suami patut melayan isterinya?
5 Baca 1 Petrus 3:7. Yehuwa memerintahkan suami untuk menghormati isteri. Seorang suami menghormati isterinya semasa dia melayannya dengan baik dan penuh kasih. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana suami dapat menghormati isteri. Mula-mula kita akan bincangkan kelakuan yang patut dijauhi suami.
KELAKUAN YANG PATUT DIJAUHI SUAMI
6. Apakah perasaan Yehuwa terhadap suami yang mendera isteri? (Kolose 3:19)
6 Mendera isteri. Yehuwa membenci orang yang ganas. (Mzm. 11:5) Dia mengutuk suami yang mendera isteri. (Mal. 2:16; baca Kolose 3:19.) Menurut ayat tema kita, iaitu 1 Petrus 3:7, jika suami tidak melayan isteri dengan baik, hubungannya dengan Tuhan akan terjejas. Yehuwa bahkan tidak mahu mendengar doanya.
7. Menurut Efesus 4:31, 32, apakah yang harus dielakkan oleh para suami? (Lihat juga “Maksud Ungkapan.”)
7 Memaki dan menghina isteri. Yehuwa membenci ‘kemarahan, perasaan berang, jeritan, dan kata-kata hinaan.’ c (Baca Efesus 4:31, 32.) Yehuwa mendengar segala sesuatu yang dikatakan suami kepada isteri, bahkan semasa mereka bersendirian di rumah. Seorang suami yang bercakap kasar kepada isterinya bukan sahaja merosakkan perkahwinannya, tetapi juga hubungannya dengan Yehuwa.—Yak. 1:26.
8. Apakah pandangan Yehuwa terhadap pornografi, dan mengapa?
8 Melihat pornografi, atau bahan lucah. Apakah pandangan Yehuwa terhadap pornografi? Yehuwa membencinya. Maka, semasa seorang suami melihat gambar-gambar lucah, dia sedang merosakkan hubungannya dengan Yehuwa dan merendah-rendahkan isterinya. d Yehuwa mahu suami setia kepada isteri. Seorang suami yang setia tidak sekadar menghindari perbuatan seks yang tidak bermoral, tetapi juga menghindari pemikiran yang kotor. Yesus berkata bahawa lelaki yang memandang wanita yang bukan pasangannya dengan perasaan berahi sudah berzina “dengannya dalam hati.” e—Mat. 5:28, 29.
9. Apakah perasaan Yehuwa semasa suami memaksa isteri melakukan perbuatan seks yang mengganggu hati nurani isteri? Mengapa?
9 Memaksa isteri melakukan perbuatan seks yang mengganggu hati nuraninya. Sesetengah suami yang mementingkan diri dan tidak bertimbang rasa memaksa isteri untuk melakukan perbuatan seks yang membuat isteri berasa jijik, hina, dan tidak dikasihi. Yehuwa membenci perbuatan sebegini kerana Dia mahu suami mengasihi dan menyayangi isteri, serta menghormati hati nurani isteri. (Ef. 5:28, 29) Namun bagaimana pula jika seorang suami Kristian sudah mempunyai tabiat melihat bahan lucah atau melayan isterinya dengan buruk? Bagaimanakah dia dapat mengubah fikiran dan kelakuannya?
CARA MENGATASI KELAKUAN BURUK
10. Bagaimanakah para suami dapat meniru teladan Yesus?
10 Jika seorang suami melayan isterinya dengan buruk, apakah yang dapat membantunya berubah? Dia dapat meniru teladan Yesus. Walaupun Yesus tidak pernah berkahwin, cara dia melayan murid-muridnya merupakan contoh yang baik untuk para suami. (Ef. 5:25) Perhatikan bagaimana Yesus melayan para rasulnya dan bercakap kepada mereka.
11. Bagaimanakah Yesus melayan para rasul?
11 Yesus melayan para rasulnya dengan baik hati dan hormat. Dia tidak pernah bersikap kejam atau kasar. Biarpun dia Tuan mereka, dia tidak menggunakan kuasanya untuk membuat mereka rasa lemah atau takut kepadanya. Sebaliknya, dia melayani mereka dengan rendah hati. (Yoh. 13:12-17) Dia memberitahu murid-muridnya, “Belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar.” (Mat. 11:28-30) Perhatikan bahawa ayat itu kata Yesus bersikap lemah lembut. Seseorang yang lemah lembut bukanlah orang yang lemah, sebaliknya dia orang yang kuat kerana dia dapat tetap tenang dan mengawal emosinya bahkan semasa orang membuatnya marah.
12. Bagaimanakah Yesus bercakap dengan orang lain?
12 Cara Yesus bercakap sentiasa melegakan dan menyegarkan orang. Dia tidak pernah bercakap kasar kepada murid-muridnya. (Luk. 8:47, 48) Semasa para penentang menghinanya dan cuba membuatnya marah, “dia tidak membalas dengan hinaan.” (1 Ptr. 2:21-23) Ada kalanya, dia hanya berdiam diri semasa dituduh. (Mat. 27:12-14) Yesus sememangnya teladan yang baik untuk suami Kristian!
13. Apakah maksud suami harus “tinggal bersama isterinya”? (Matius 19:4-6) (Lihat juga gambar.)
13 Yesus mengarahkan suami untuk tetap setia kepada isteri. Dia memetik kata-kata Yehuwa bahawa seorang suami harus “tinggal bersama isterinya.” (Baca Matius 19:4-6.) Dalam bahasa Yunani, ungkapan ini bermaksud “berpaut erat, seolah-olah melekat pada sesuatu.” Oleh itu, ikatan antara suami dengan isteri harus sangat kuat, seperti dua permukaan yang dilekatkan dengan gam. Jika mereka dipisahkan, kedua-duanya akan dilukai. Seorang suami yang memiliki hubungan yang erat dengan isterinya akan menolak segala bentuk pornografi. Dia akan segera berpaling daripada melihat “perkara yang sia-sia.” (Mzm. 119:37) Seperti Ayub, dia bertekad untuk tidak melihat wanita lain dengan perasaan berahi.—Ayb. 31:1.
14. Apakah langkah-langkah yang patut diambil oleh seorang suami untuk membaiki hubungannya dengan isteri dan Yehuwa?
14 Seorang suami yang mendera atau menghina isterinya harus mengambil beberapa langkah untuk berbaik semula dengan isterinya dan Yehuwa. Pertama, dia perlu sedar bahawa perbuatannya itu merupakan masalah yang serius dan Yehuwa nampak segala yang dilakukannya. (Mzm. 44:21; Pkh. 12:14; Ibr. 4:13) Kedua, dia perlu mengubah kelakuannya dan berhenti melayan isterinya dengan buruk. (Ams. 28:13) Ketiga, dia perlu meminta maaf daripada isterinya dan Yehuwa. (Kis. 3:19) Dia juga harus merayu agar Yehuwa memberinya keinginan untuk berubah dan kekuatan untuk mengawal pemikiran, kata-kata, dan kelakuannya. (Mzm. 51:10-12; 2 Kor. 10:5; Flp. 2:13) Keempat, dia harus bertindak selaras dengan doanya. Dia perlu belajar untuk membenci segala bentuk keganasan dan kata-kata hinaan. (Mzm. 97:10) Kelima, dia perlu segera meminta bantuan daripada para penatua. (Yak. 5:14-16) Keenam, dia perlu membuat rancangan yang dapat mencegahnya daripada melayan isterinya dengan buruk pada masa depan. Seorang suami yang melihat pornografi juga patut mengambil langkah-langkah ini. Apabila seorang suami berusaha untuk berubah, Yehuwa pasti memberkatinya. (Mzm. 37:5) Namun, sekadar menjauhi kelakuan yang menyakiti isteri tidak cukup. Suami juga harus belajar cara untuk menghormati isteri. Apakah caranya?
CARA MENGHORMATI DAN MENGASIHI ISTERI
15. Bagaimanakah suami dapat menunjukkan kasih sayang kepada isteri?
15 Tunjukkan kasih sayang. Sesetengah saudara yang mempunyai perkahwinan yang bahagia melakukan sesuatu setiap hari untuk menunjukkan kasih sayang kepada isteri. (1 Yoh. 3:18) Contohnya mereka memegang tangan isteri, memeluknya, atau menghantar mesej untuk memberitahunya, “Saya sayang kamu,” atau “Apa khabar hari ini?” Dari masa ke masa, suami juga boleh menulis kad untuk memberitahu isteri bahawa dia sangat mencintainya. Jika seorang suami melakukan hal-hal ini, dia sedang menghormati dan mengasihi isterinya, dan hal itu akan menguatkan perkahwinan mereka.
16. Mengapakah suami harus memuji isteri?
16 Luahkan penghargaan. Suami yang menghormati isteri akan sering memujinya. Dia akan mengucapkan terima kasih kepada isteri atas segala sokongannya. (Kol. 3:15) Pujian yang ikhlas daripada suami akan membuat isteri berasa selamat, dikasihi, dan dihormati.—Ams. 31:28.
17. Bagaimanakah suami menghormati isteri?
17 Bersikap baik hati dan hormat. Seorang suami yang mengasihi isterinya akan menghargai isterinya dan menganggapnya sebagai pemberian yang tidak ternilai daripada Yehuwa. (Ams. 18:22; 31:10) Oleh itu, dia akan melayan isterinya dengan baik hati dan penuh hormat, bahkan semasa mereka melakukan hubungan intim. Dia tidak akan memaksa isteri untuk melakukan perbuatan seks yang membuat isteri berasa tidak selesa, jijik, atau yang menganggu hati nurani isteri. f Semasa melakukan hubungan intim, suami juga memastikan hati nuraninya sendiri murni di hadapan Yehuwa.—Kis. 24:16.
18. Apakah tekad para suami? (Lihat juga kotak “ Empat Cara Suami Dapat Menghormati Isteri.”)
18 Para suami, yakinlah bahawa Yehuwa gembira semasa anda berusaha untuk melayan isteri anda dengan baik dalam segala aspek kehidupan anda. Bertekadlah untuk mengelakkan kelakuan buruk yang akan melukai hati isteri anda. Tunjukkanlah kebaikan hati, kasih sayang, dan hormat kepadanya. Dengan berbuat demikian, anda menunjukkan bahawa anda menghargai dan mencintai isteri anda. Yang terpenting, anda akan melindungi persahabatan anda dengan Yehuwa!—Mzm. 25:14.
LAGU 131 ‘Mereka Telah Disatukan oleh Tuhan’
a Para suami digalakkan untuk membaca rencana “Adakah Anda Melayan Wanita seperti Yehuwa?” dalam Menara Pengawal terbitan Januari 2024.
b Mangsa keganasan rumah tangga dapat meraih manfaat daripada rencana “Bantuan untuk Mangsa Penderaan dan Keganasan Rumah Tangga.” Di jw.org, taip “keganasan rumah tangga” dalam kotak carian. Dalam aplikasi JW Library®, klik “Perpustakaan,” kemudian “Siri Rencana,” dan akhirnya “Topik-Topik Lain.”
c MAKSUD UNGKAPAN: Mengucapkan “kata-kata hinaan” boleh bermaksud memberikan gelaran buruk kepada seseorang dan asyik mengkritiknya. Ungkapan ini juga merangkumi kata-kata sindiran yang kejam, menusuk, atau menyakitkan.
d Lihat rencana “Pornografi Dapat Menghancurkan Perkahwinan Anda” di jw.org dan di JW Library.
e Jika suami anda melihat bahan lucah, bacalah rencana “Semasa Pasangan Hidup Melihat Bahan Lucah” dalam Menara Pengawal terbitan Ogos 2023.
f Bible tidak memberitahu kita secara terperinci tentang jenis perbuatan seks antara suami isteri yang boleh diterima atau tidak. Setiap pasangan Kristian harus membuat keputusan peribadi yang menunjukkan bahawa mereka mahu memuliakan Yehuwa, menyenangkan hati satu sama lain, dan memelihara hati nurani yang murni. Biasanya, mereka tidak akan membincangkan hal ini dengan orang lain.
g KETERANGAN GAMBAR: Rakan sekerja seorang saudara mengajaknya untuk melihat majalah lucah.