“Menangislah Bersama Orang yang Menangis”
“Teruslah menggalakkan dan menguatkan satu sama lain.”—1 TES. 5:11.
1, 2. Mengapakah kita perlu berfikir tentang cara melegakan hati orang yang berkabung? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
“SELAMA hampir setahun selepas kematian anak kami, kami merasai keperitan yang amat menusuk,” kata Susi. Seorang saudara pula mengatakan bahawa dia “mengalami kesakitan fizikal yang tidak dapat diungkapkan” semasa isterinya tiba-tiba meninggal. Ramai ahli sidang mungkin tidak menjangkakan bahawa orang tersayang mereka akan meninggal sebelum Armagedon. Jika anda sedang bersedih atau mengenali seseorang yang bersedih kerana kehilangan orang tersayang, anda mungkin tertanya-tanya, “Bagaimanakah orang yang berkabung dapat dilegakan?”
2 Ramai orang mengatakan bahawa masa dapat menyembuhkan hati yang remuk. Namun, adakah pernyataan itu selalu benar? Seorang balu berkata, “Saya rasa pernyataan yang lebih tepat lagi ialah: ‘Cara kita menggunakan masa akan menyembuhkan luka di hati.’” Seperti luka di tubuh, hati yang hancur dapat beransur-ansur pulih jika dijaga dengan rapi. Apakah
langkah spesifik yang dapat mengubati hati yang terluka?YEHUWA—“TUHAN YANG MELEGAKAN HATI KITA”
3, 4. Mengapakah Yehuwa pasti memahami bahawa orang yang bersedih perlu dilegakan?
3 Sudah pasti, Yehuwa, Bapa kita yang berbelas kasihan, ialah sumber kelegaan yang terutama. (Baca 2 Korintus 1:3, 4.) Yehuwa menunjukkan sifat empati yang paling menonjol, dan Dia memberitahu umat-Nya, “Akulah yang menghibur kamu.”—Yes. 51:12; Mzm. 119:50, 52, 76.
4 Bapa kita yang pengasih juga pernah kehilangan orang tersayang, seperti Abraham, Ishak, Yakub, Musa, dan Raja Daud. (Bil. 12:6-8; Mat. 22:31, 32; Kis. 13:22) Firman Tuhan menyatakan bahawa Yehuwa menantikan masanya untuk membangkitkan mereka. (Ayb. 14:14, 15) Pada masa itu, mereka akan hidup bahagia dan sihat. Fikirkan juga perasaan Yehuwa semasa Anak yang merupakan “sumber kebahagiaan-Nya” itu diseksa sehingga mati. (Ams. 8:22, 30) Yehuwa tentu telah merasai kesedihan yang tidak terkatakan.—Yoh. 5:20; 10:17.
5, 6. Bagaimanakah kita mendapat kelegaan daripada Yehuwa?
5 Kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yehuwa pasti membantu kita. Maka, janganlah teragak-agak untuk mencurahkan isi hati kita dan meluahkan segala keperitan kita melalui doa. Tidakkah kita bersyukur kerana Yehuwa memahami perasaan kita dan akan memberi kita kelegaan yang diperlukan? Namun, bagaimanakah Dia membantu kita?
6 Salah satu cara Tuhan menyediakan kelegaan adalah menerusi kuasa suci-Nya. (Kis. 9:31) Yesus menyatakan bahawa Bapa kita yang di syurga sudi “memberikan daya aktif-Nya kepada mereka yang meminta daripada-Nya.” (Luk. 11:13) Susi yang disebut tadi berkata, “Banyak kali kami berlutut dan merayu kepada Yehuwa untuk melegakan hati kami. Setiap kali kami berbuat demikian, kesejahteraan daripada Tuhan pasti menjaga hati dan fikiran kami.” (Baca Filipi 4:6, 7.) Jelaslah, kuasa suci Yehuwa dapat membawa kelegaan yang besar.
YESUS—IMAM AGUNG YANG BERBELAS KASIHAN
7, 8. Mengapakah kita yakin bahawa Yesus ingin melegakan hati orang?
7 Semasa Yesus di bumi, dia mencerminkan belas kasihan Yehuwa dengan sempurna melalui kata-kata dan tindakannya. (Yoh. 5:19) Yesus diutus untuk “memulihkan orang yang hancur hati” dan “orang yang berduka.” (Yes. 61:1, 2; Luk. 4:17-21) Yesus amat berbelas kasihan. Dia menyedari kesengsaraan orang dan benar-benar ingin meringankan penderitaan mereka.—Ibr. 2:17.
8 Semasa Yesus muda, dia juga merasai kehilangan ahli keluarga dan sahabat handai. Yusuf, ayah angkatnya, meninggal semasa Yesus mungkin berusia belasan tahun atau awal 20-an. * Jadi Yesus perlu berdepan dengan kehilangan itu, dan dia pasti merasai kesedihan ibu dan adik-adiknya.
9. Semasa Lazarus meninggal, bagaimanakah Yesus menunjukkan sifat empati?
9 Semasa Yesus menginjil, dia menunjukkan bahawa dia benar-benar memahami dan menjiwai perasaan orang lain. Yoh. 11:33-36.
Contohnya, semasa sahabatnya Lazarus meninggal, meskipun Yesus tahu dia akan membangkitkan Lazarus, dia dapat merasai kesedihan yang menyelubungi Maria dan Marta. Perasaan itu menusuk jauh ke lubuk hati Yesus sehingga dia menitiskan air mata.—10. Mengapakah kita yakin bahawa Yesus memahami perasaan kita sekarang?
10 Oleh sebab “Pemimpin Utama” kita pernah mengalami rasa dukacita, “dia dapat membantu orang yang diuji.” (Kis. 3:15; Ibr 2:10, 18) Namun, adakah dia juga memahami perasaan kita sekarang? Bible menyatakan, “Yesus Kristus tetap sama, baik semalam, hari ini, mahupun selama-lamanya.” (Ibr. 13:8) Maka, kita dapat yakin bahawa Kristus masih dapat menyelami perasaan orang yang berkabung hari ini. Dia dapat merasai keperitan kita, dan dia pasti melegakan hati kita “semasa kita memerlukan bantuan.”—Baca Ibrani 4:15, 16.
“AYAT-AYAT SUCI MELEGAKAN HATI KITA”
11. Ayat-ayat manakah yang khasnya melegakan hati anda?
11 Selain catatan mengenai kesedihan Yesus ketika Lazarus mati, terdapat banyak ayat lagi dalam Firman Tuhan yang dapat melegakan hati kita. Hal itu tidak menghairankan, kerana “segala yang tertulis sejak dahulu lagi ditulis untuk mengajar kita, supaya kita memiliki harapan kerana Ayat-Ayat Suci melegakan hati kita dan membantu kita bertabah hati.” (Rm. 15:4) Jika anda sedang berkabung, ayat-ayat berikut dapat membantu anda bertabah:
-
‘Yehuwa dekat kepada orang yang tawar hati; Dia menyelamatkan mereka yang putus asa.’—Mzm. 34:19, 20.
-
“Ketika aku bimbang dan khuatir, Engkau [Yehuwa] menghiburkan dan menggembirakan hatiku.”—Mzm. 94:19.
-
“Tuhan, Bapa kita, mengasihi kita dan memberi kita kelegaan hati yang kekal dan harapan yang cerah kerana kebaikan hati-Nya yang unggul. Kami berdoa agar Dia dan Tuan kita, Yesus Kristus, melegakan hati kamu dan meneguhkan kamu.”—2 Tes. 2:16, 17. *
SIDANG—SUMBER KELEGAAN YANG PENTING
12. Apakah salah satu cara yang penting untuk melegakan hati orang lain?
12 Sidang Kristian juga dapat membawa kelegaan kepada orang yang berkabung. (Baca 1 Tesalonika 5:11.) Bagaimanakah anda dapat menguatkan dan menabahkan orang yang hancur hati? (Ams. 17:22) Ingatlah bahawa ada “waktu untuk berdiam diri dan waktu untuk bertutur.” (Pkh. 3:7) Seorang balu yang bernama Dalene berkata, “Orang yang berkabung perlu meluahkan isi hati dan fikiran mereka. Maka, hal terpenting yang dapat anda lakukan ialah mendengar tanpa mencelah.” Junia, yang abangnya telah membunuh diri, berkata, “Walaupun anda tidak dapat memahami kesedihan orang yang berkabung dengan sepenuhnya, yang lebih penting ialah keinginan anda untuk menyelami perasaan mereka.”
13. Apakah yang harus kita ingat tentang orang yang berkabung?
13 Ingatlah juga bahawa cara setiap orang mengalami dan meluahkan kesedihan adalah berbeza. Firman Tuhan menyatakan, “Suka duka seseorang dirasakannya sendiri; tiada sesiapa dapat ikut merasakannya.” (Ams. 14:10) Oleh itu, ada sesetengah orang berasa susah untuk meluahkan segala perasaan yang terpendam di sudut hati. Biarpun seseorang dapat mengungkapkan segala perasaannya, ingatlah hal ini: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.
14. Bagaimanakah kita dapat mengucapkan kata-kata yang melegakan?
14 Memanglah susah untuk mengetahui apa yang harus dikatakan kepada orang yang berkabung. Namun, Bible menyatakan bahawa “ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.” (Ams. 12:18) Untuk melegakan hati orang yang sedih, ramai orang menggunakan maklumat daripada brosur Bila Seseorang yang Anda Kasihi Meninggal. * Biasanya, perkara terpenting yang boleh anda lakukan adalah untuk ‘menangis bersama orang yang menangis.’ (Rm. 12:15) Gaby, yang kehilangan suaminya, berkata, “Hanya air mata yang dapat menyingkap perasaan di hati. Itulah sebabnya saya dilegakan apabila sahabat menangis bersama saya. Pada masa sedemikian, saya tidak berasa bersendirian.”
15. Jika anda berasa susah untuk melegakan hati orang secara bersemuka, apakah yang dapat dilakukan? (Lihat juga kotak “ Kata-Kata yang Melegakan Hati.”)
15 Jika anda berasa susah untuk melegakan hati orang secara bersemuka, anda dapat berbuat demikian melalui kad, surat, e-mel, atau SMS. Anda boleh memetik ayat Bible yang melegakan, menyebut tentang sifat baik orang yang meninggal, atau mengongsi suatu kenangan manis. Junia berkata, “Saya berasa orang lain mengasihi dan mengambil berat terhadap saya apabila saya menerima mesej yang menggalakkan atau dijemput untuk meluangkan masa bersama mereka.”
16. Apakah cara yang berkesan untuk melegakan hati orang?
16 Doa kita juga dapat membantu rakan seiman yang berdukacita. Meskipun anda perlu berdoa sambil teresak-esak menahan sebak di dada, doa anda yang sungguh-sungguh bagi pihak mereka merupakan penawar yang sangat baik untuk hati yang sedih. Dalene berkata, “Ada kalanya apabila saudari datang melegakan saya, saya meminta mereka untuk berdoa bagi saya. Semasa mereka mula berdoa, suara mereka biasanya tersekat-sekat. Tetapi setiap kali, suara mereka akan menjadi semakin tenang, lalu mereka mengucapkan doa yang paling menyentuh hati. Iman, kasih, dan keprihatinan mereka telah meneguhkan iman saya.”
TERUS MELEGAKAN HATI ORANG LAIN
17-19. Mengapakah kita patut memberikan kelegaan secara berterusan?
17 Cara orang bersedih berbeza-beza, maka bersedialah untuk membantu, bukan sahaja selama beberapa hari semasa sahabat dan saudara mara berada di sana, tetapi teruslah tawarkan bantuan pada kemudian hari apabila semua orang sudah kembali kepada rutin seharian mereka. “Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan.” (Ams. 17:17) Rakan seiman yang sedia membantu sepanjang waktu perkabungan memang sumber kelegaan yang besar.—Baca 1 Tesalonika 3:7.
18 Ada kalanya, orang yang berkabung mungkin tiba-tiba dibanjiri rasa sedih kerana lagu, bunyi, bau, foto, atau kegiatan tertentu. Perasaan yang sama mungkin melanda pada musim tertentu atau semasa ulang tahun perkahwinan. Apabila seorang balu atau duda menjalani aktiviti tertentu seorang diri buat kali pertama, seperti menghadiri perhimpunan atau Peringatan, hal itu sangat memedihkan hati. Seorang saudara berkata, “Saya sangka saya akan sengsara semasa ulang tahun perkahwinan pertama selepas kematian isteri saya. Tetapi saudara saudari telah menjemput saya ke jamuan kecil bersama beberapa orang sahabat karib supaya saya tidak kesepian.”
19 Ingatlah bahawa orang yang berkabung memerlukan galakan pada waktu yang lain juga. Junia menjelaskan, “Apabila saudara saudari membantu atau menemani saya walaupun masa itu bukanlah ulang tahun istimewa, perbuatan mereka sangat bernilai dan amat melegakan.” Memang benar, kita tidak dapat menghapuskan segala kesedihan atau mengisi semua kekosongan yang dirasai oleh orang yang berkabung, tetapi bantuan praktikal kita dapat melegakan hatinya. (1 Yoh. 3:18) Gaby berkata, “Saya sangat bersyukur kepada Yehuwa kerana para penatua yang pengasih sentiasa berada di sisi saya pada waktu kesusahan. Kerana mereka, saya dapat merasakan dakapan Yehuwa.”
20. Mengapakah janji Yehuwa sangat melegakan?
20 Yehuwa, Tuhan yang melegakan hati kita, telah berjanji untuk melenyapkan semua kesedihan dan membawa kelegaan yang kekal. Tidak lama lagi, “semua orang di dalam makam peringatan akan mendengar suara [Kristus] lalu keluar.” (Yoh. 5:28, 29) Tuhan juga akan “memusnahkan maut selama-lamanya! Dia akan menghapuskan air mata daripada setiap wajah.” (Yes. 25:8) Tidakkah harapan itu melegakan hati kita? Pada masa itu, seluruh penduduk bumi tidak perlu ‘menangis bersama orang yang menangis,’ tetapi akan ‘bersukacita bersama orang yang bersukacita.’—Rm. 12:15.
^ per. 8 Kali terakhir Bible menyebut tentang Yusuf adalah semasa Yesus berusia 12 tahun. Dia tidak disebut semasa Yesus melakukan mukjizatnya yang pertama, iaitu mengubah air menjadi wain, ataupun di peristiwa-peristiwa selepas itu. Semasa Yesus dipakukan pada tiang, dia meminta Rasul Yohanes menjaga ibunya Maria. Dia tidak akan berbuat demikian jika Yusuf masih hidup.—Yoh. 19:26, 27.
^ per. 11 Berikut ialah ayat-ayat yang juga telah melegakan hati banyak orang: Mazmur 20:2, 3; 31:8; 38:9, 10, 16; 55:23; 121:1, 2; Yesaya 57:15; 66:13; Filipi 4:13; 1 Petrus 5:7.
^ per. 14 Terdapat dalam bahasa Indonesia. Lihat juga rencana “Hiburlah Yang Berduka, seperti Yesus” dalam terbitan 1 November 2010, majalah Menara Pengawal dalam bahasa Indonesia.