“Pujilah Yah!”—Mengapa?
“Pujilah Yah! . . . Memang elok dan patut kita memuji-Nya!”—MZM. 147:1, NW.
1-3. (a) Mazmur 147 mungkin ditulis pada masa apa? (b) Apakah yang dapat kita pelajari daripada Mazmur 147?
SEMASA seseorang menjayakan tugasnya atau menunjukkan sifat Kristian yang mulia, kita akan memujinya. Jika demikian, kita mempunyai lebih banyak sebab untuk memuji Tuhan Yehuwa! Kita patut memuji-Nya kerana kuasa besar-Nya yang ternyata melalui ciptaan-Nya, atau kerana kasih-Nya kepada manusia yang dibuktikan melalui korban tebusan.
2 Penulis Mazmur 147 telah didorong untuk memuji Yehuwa. Bukan itu sahaja, dia juga menjemput orang lain untuk memuji Tuhan bersama-samanya.—Baca Mazmur 147:1, 12, 20.
3 Kita tidak tahu siapa penggubah mazmur itu, tetapi nampaknya dia hidup pada masanya apabila orang Israel kembali dari Babilon ke Yerusalem. (Mzm. 147:2) Semasa melihat Tuhan membawa umat-Nya kembali ke pusat ibadat sejati, dia pasti terdorong untuk memuji Yehuwa. Namun, dia menyebut sebab-sebab lain untuk berbuat demikian. Apakah beberapa sebab itu? Apakah hal-hal dalam kehidupan anda yang menggerakkan anda untuk memuji Yehuwa?—Mzm. 147:1.
YEHUWA MENYEMBUHKAN ORANG YANG HANCUR HATI
4. Apakah perasaan orang Israel di Babilon semasa Raja Kores membebaskan mereka? Mengapa?
4 Semasa orang Israel dibuang ke Babilon, orang yang menawan mereka berkata, “Nyanyikanlah lagu tentang Sion untuk kami!” (Mzm. 137:1-3, 6) Tetapi orang Israel tidak berdaya untuk bernyanyi. Yerusalem, sumber sukacita mereka, telah dimusnahkan. Hati mereka remuk-redam, dan mereka perlu dilegakan. Namun, seperti yang dinubuatkan Tuhan, Kores, raja Persia, telah menawan Babilon dan membebaskan umat-Nya. Bayangkan betapa leganya orang Israel di Babilon semasa mereka mendengar Kores bertitah, ‘Yehuwa telah memberikan tugas kepada beta untuk membina sebuah rumah bagi-Nya di Yerusalem, di wilayah Yehuda. Oleh itu, kamu semua yang menjadi umat-Nya mesti kembali ke sana. Semoga Yehuwa, Tuhan kamu menyertai kamu!’—2 Taw. 36:23.
5. Apakah yang dikatakan oleh pemazmur mengenai penyembuhan yang dilakukan Yehuwa?
5 Yehuwa bukan sahaja memberikan kelegaan kepada bangsa Israel, tetapi kepada hamba-Nya secara individu. Dia juga berbuat demikian hari ini. Pemazmur menulis, “Dia menyembuhkan orang yang hancur hati, dan membalut luka mereka.” (Mzm. 147:3) Ya, Yehuwa mengambil berat terhadap mereka yang menghadapi masalah emosi atau fizikal. Dia ingin melegakan kita dan mengubati hati kita yang terluka. (Mzm. 34:19; Yes. 57:15) Dia akan memberi kita kebijaksanaan dan kekuatan supaya kita dapat menangani apa sahaja masalah yang berlaku.—Yak. 1:5.
6. Apakah manfaat yang kita peroleh daripada kata-kata pemazmur di Mazmur 147:4? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
6 Seterusnya, pemazmur menyatakan bahawa Yehuwa menghitung “jumlah bintang” dan memanggil “nama setiap bintang.” (Mzm. 147:4) Mengapakah pemazmur tiba-tiba mengubah topiknya dan menyebut tentang benda-benda di langit? Fikirkan: Pemazmur dapat lihat banyak bintang di langit, tetapi dia tidak tahu berapa banyaknya jumlah bintang. Kini, manusia menganggarkan bahawa Bima Sakti mempunyai berbilion-bilion bintang, dan alam semesta kita mempunyai beberapa trilion galaksi! Jumlah bintang memang tidak terhitung, tetapi Pencipta kita telah memberi setiap bintang nama. Maksudnya, dalam pandangan Yehuwa, setiap bintang adalah unik. (1 Kor. 15:41) Jika Tuhan tahu di mana letaknya setiap bintang, sudah pasti Dia mengenal setiap orang di bumi. Dia tahu secara tepat di mana anda berada, apa perasaan anda, dan apa keperluan anda!
7, 8. (a) Apakah yang difahami oleh Yehuwa tentang kita? (b) Sebutkan contoh yang menunjukkan sifat belas kasihan Yehuwa.
7 Yehuwa bukan sahaja prihatin terhadap anda sebagai individu, malahan Dia berbelas kasihan dan mempunyai kuasa untuk membantu anda mengatasi masalah dalam hidup. (Baca Mazmur 147:5.) Anda mungkin berasa bahawa situasi anda terlalu mencabar dan beban anda terlampau berat. Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita mungkin tawar hati kerana asyik mengulangi kesilapan yang sama. Sudah berapa kali kita menyesal kerana mulut yang celupar, keinginan yang salah, atau rasa iri hati yang timbul? Meskipun Yehuwa tidak ada kelemahan sebegitu, Dia memahami keterbatasan kita dan “ingat bahawa kita ini debu belaka.” (Mzm. 103:14) Sesungguhnya, pengetahuan Tuhan tentang kita tidak terbatas!—Yes. 40:28.
Yes. 41:10, 13) Contohnya, setelah ditugaskan ke kawasan yang baharu, Saudari Kyoko sangat tawar hati. Adakah Yehuwa memahami cabarannya? Di sidang yang baharu, Kyoko menemui banyak orang yang memahami perasaannya. Dia berasa bahawa Yehuwa sedang memberitahunya, “Aku mengasihimu, bukan sahaja kerana kamu ini perintis, tetapi kerana kamu anak-Ku yang telah membaktikan diri kepada-Ku. Aku mahu kamu berkhidmat sebagai Saksi dengan gembira!” Bagaimana pula dengan anda? Bagaimanakah Tuhan pernah menunjukkan bahawa Dia amat memahami anda?
8 Anda mungkin pernah merasai bagaimana Yehuwa menghulurkan tangan-Nya untuk membantu anda mengharungi cubaan. (YEHUWA MENYEDIAKAN KEPERLUAN KITA
9, 10. Apakah yang dilakukan oleh Tuhan dahulu semasa membantu kita? Berikan contoh.
9 Ada kalanya, kita memerlukan bantuan fizikal. Contohnya, anda mungkin risau kerana tidak mempunyai makanan yang cukup. Namun, ingatlah bahawa kitaran semula jadi yang menghasilkan makanan diciptakan oleh Yehuwa, dan Dia bahkan menyediakan makanan untuk anak burung gagak yang menciap-ciap. (Baca Mazmur 147:8, 9.) Jika Yehuwa sentiasa menjaga burung gagak, sudah tentu Dia akan menyediakan keperluan fizikal anda juga!—Mzm. 37:25.
10 Penting sekali, Yehuwa menjaga keperluan rohani kita. Dia memberi kita “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia.” (Flp. 4:6, 7) Sebagai contoh, Mutsuo dan isterinya telah merasai sokongan Yehuwa selepas tsunami di Jepun pada tahun 2011. Mereka terselamat kerana memanjat ke bumbung rumah, tetapi hampir semua harta mereka musnah pada hari itu. Setelah melalui malam yang sejuk dan gelap di tingkat kedua, mereka mula mencari galakan keesokan paginya. Namun, mereka hanya dapat menemui Buku Tahunan Saksi-Saksi Yehuwa 2006. Semasa melihat kandungannya, Mutsuo ternampak satu tajuk yang berbunyi, “Tsunami yang Paling Dahsyat dalam Sejarah.” Rencana itu mengisahkan gempa bumi di Sumatra pada tahun 2004 yang telah menyebabkan tsunami yang paling dahsyat dalam sejarah manusia. Mutsuo dan isterinya menangis sambil membaca pengalaman itu. Mereka dapat rasa bahawa Tuhan menyayangi mereka dan menyediakan galakan yang diperlukan tepat pada waktunya. Yehuwa juga menjaga keperluan fizikal mereka melalui saudara saudari yang menyediakan bekalan bantuan bencana. Namun, mereka mendapat kekuatan yang paling besar menerusi saudara-saudara yang dihantar oleh organisasi untuk melawat sidang mereka. Mutsuo berkata, “Saya berasa Yehuwa seperti berada di sisi setiap orang dan menjaga kami. Hal itu sangat melegakan!” Semasa menjaga kita, Tuhan akan menyediakan keperluan rohani dahulu, kemudian Dia akan memenuhi keperluan fizikal kita.
MEMANFAATKAN BANTUAN TUHAN
11. Apakah yang harus dilakukan jika kita ingin menerima bantuan Tuhan?
11 Yehuwa sentiasa bersedia “memberikan kuasa kepada orang yang tertindas.” (Mzm. 147:6a) Namun, apakah yang perlu kita lakukan untuk menerima bantuan-Nya? Kita perlu memupuk sifat rendah hati, kerana sifat itu akan menguatkan hubungan kita dengan Tuhan. (Zef. 2:3) Orang yang rendah hati menunggu Tuhan untuk menegakkan keadilan dan mengakhiri penderitaan mereka. Yehuwa berkenan kepada orang sedemikian.
12, 13. (a) Apakah yang harus kita hindari jika kita ingin mendapat bantuan Tuhan? (b) Apakah jenis orang yang disukai Yehuwa?
12 Namun, Tuhan akan “mengalahkan dan mempermalukan orang jahat.” (Mzm. 147:6b) Jika kita ingin terus merasai kasih setia Yehuwa dan tidak membangkitkan kemurkaan-Nya, kita mesti membenci apa yang dibenci-Nya. (Mzm. 97:10) Contohnya, kita mesti membenci perbuatan seks yang tidak bermoral. Maksudnya kita akan menjauhi apa sahaja yang menjurus ke arah perbuatan itu, termasuk bahan lucah. (Mzm. 119:37; Mat. 5:28) Perjuangan itu tidak mudah, tetapi semua usaha kita berbaloi kerana akan membawa berkat Yehuwa.
13 Semasa berjuang, kita tidak patut bergantung pada kekuatan sendiri atau orang lain. Jika kita berbuat demikian, kita seperti bergantung pada “kuda yang kuat ataupun askar yang berani” untuk menang. Sudah pasti hal itu tidak menyenangkan hati Yehuwa! (Mzm. 147:10) Sebaliknya kita mesti bergantung pada Yehuwa dan terus-menerus merayu agar Dia membantu kita. Yehuwa tidak akan jemu mendengar permohonan kita. Sebaliknya, “Dia suka akan orang yang menghormati-Nya, orang yang yakin kepada kasih-Nya yang kekal.” (Mzm. 147:11) Oleh sebab Tuhan setia dan pengasih, Dia akan sentiasa menyertai kita dan membantu kita menumpaskan keinginan yang berdosa.
14. Pemazmur yakin akan hal apa?
14 Yehuwa menjamin bahawa Dia pasti membantu umat-Nya yang menghadapi kesusahan. Apabila pemazmur berfikir tentang bantuan yang diberikan Yehuwa ketika umat-Nya membina semula Yerusalem, dia bernyanyi, “[Tuhan] menguatkan pintu gerbangmu; Dia memberkati umatmu. Dia menjaga keamanan negerimu.” (Mzm. 147:13, 14) Pemazmur pasti sangat lega setelah diyakinkan bahawa Tuhan akan menguatkan pintu gerbang kota untuk melindungi para penyembah-Nya!
15-17. (a) Semasa menghadapi kesusahan, apakah perasaan kita? Namun, bagaimanakah Firman Yehuwa dapat membantu kita? (b) Berikan contoh bagaimana firman Tuhan membantu kita “dengan segera.”
15 Jika anda berasa khuatir akibat masalah tertentu, Yehuwa dapat memberi anda kebijaksanaan untuk menanganinya. Pemazmur menulis bahawa Tuhan “memberikan perintah kepada bumi, dan firman-Nya dilaksanakan dengan segera.” Kemudian, dia menyatakan bahawa “tiada sesiapa pun tahan menghadapi kesejukan” ketika Yehuwa “meliputi tanah dengan salji,” “menghamburkan embun beku,” dan “menurunkan hujan batu.” (Mzm. 147:15-18) Ya, Tuhan kita yang maha kuasa dan maha bijaksana, Tuhan kita yang mengawal hujan batu dan salji, dapat membantu anda mengatasi apa jua halangan.
16 Hari ini, Yehuwa membimbing kita melalui Bible. “Firman-Nya dilaksanakan dengan segera” supaya kita diberi pedoman pada masa kita memerlukannya. Fikirkan manfaat yang anda peroleh daripada Bible, bahan bacaan “hamba yang setia dan bijaksana,” Siaran JW, laman jw.org, para penatua, dan pergaulan bersama rakan seiman. (Mat. 24:45) Pernahkah anda dibantu kerana Yehuwa memberi anda bimbingan dengan segera?
17 Simone pernah dibantu oleh Firman Tuhan. Dia berasa bahawa dirinya tidak
berguna dan bahkan berfikir bahawa dia tidak mungkin menyenangkan hati Tuhan. Namun, semasa dia tawar hati, dia tekun berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa dan mengkaji Bible dengan rajin. Simone berkata, “Dalam segala situasi, saya sentiasa merasai kekuatan dan bimbingan Yehuwa.” Hal itu telah membantunya lebih bersikap positif.18. Apakah penghormatan istimewa yang diberikan oleh Tuhan kepada anda? Apakah sebab-sebabnya anda ingin berseru, “Pujilah Yehuwa!”?
18 Pemazmur sedar bahawa umat Tuhan zaman kuno diberi penghormatan yang istimewa. Hanya mereka yang diberi ‘firman, peraturan, dan hukum Tuhan.’ (Baca Mazmur 147:19, 20.) Hari ini, hanya kita yang menyandang nama Tuhan di bumi. Kita juga ada penghormatan istimewa kerana dapat mengenal Yehuwa, dibimbing oleh Firman-Nya, dan menjalin hubungan yang akrab dengan-Nya. Seperti penulis Mazmur 147, anda ada banyak sebab untuk berseru, “Pujilah Yehuwa!” dan menggalakkan orang lain untuk berbuat demikian juga.