RENCANA PEMBELAJARAN 30
Mencapai Hati Orang yang Tidak Beragama
“Aku melakukan apa sahaja yang terdaya untuk membantu segala macam orang, supaya dengan segala cara aku dapat menyelamatkan beberapa orang.”—1 KOR. 9:22.
LAGU 82 “Biarlah Cahaya Kamu Bersinar”
PENGENALAN *
1. Apakah perubahan yang terjadi di sesetengah negara belakangan ini?
SELAMA ribuan tahun, kebanyakan orang di dunia mempunyai agama sendiri. Namun kebelakangan ini, keadaannya telah berubah. Semakin ramai orang tidak menganuti agama. Di sesetengah negara, majoriti penduduk berkata bahawa mereka tidak beragama. *—Mat. 24:12.
2. Apakah beberapa sebabnya ramai orang tidak beragama?
2 Mengapakah semakin ramai orang menganggap diri tidak beragama? * Sesetengah orang sibuk mengejar keseronokan atau menyelesaikan masalah sendiri. (Luk. 8:14) Ada juga yang dahulunya beragama, tetapi kini tidak lagi percaya kepada Tuhan. Yang lain percaya bahawa Tuhan wujud, tetapi berpendapat bahawa agama sudah ketinggalan zaman, tidak praktikal, dan tidak selaras dengan sains dan logik. Mereka mungkin sering mendengar sahabat, guru, atau orang yang terkenal berkata bahawa kehidupan wujud melalui evolusi, tetapi jarang mendengar tentang sebab yang munasabah untuk percaya kepada Tuhan. Ada pula yang berasa jijik terhadap pemimpin agama yang tamak akan wang dan kuasa. Di sesetengah negara, pihak berkuasa menyekat kegiatan agama.
3. Apakah tujuan rencana ini?
3 Yesus menyuruh kita untuk ‘pergi kepada semua bangsa dan menjadikan mereka pengikutnya.’ (Mat. 28:19) Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang tidak beragama untuk mengasihi Tuhan dan menjadi murid Kristus? Kita mesti ingat bahawa reaksi seseorang terhadap mesej kita mungkin dipengaruhi tempat dia dibesarkan. Contohnya, reaksi orang dari Eropah mungkin berbeza daripada reaksi orang dari Asia. Mengapa? Ramai orang di Eropah tahu sedikit sebanyak tentang Bible dan pernah mendengar bahawa Tuhan ialah pencipta segala-galanya. Tetapi kebanyakan orang di Asia kurang mengenali atau langsung tidak mengenali Bible, dan mereka mungkin tidak mempercayai kewujudan Pencipta. Rencana ini akan membantu kita mencapai hati semua orang yang kita temui semasa menginjil, tanpa mengira latar belakang mereka.
TERUS BERSIKAP POSITIF
4. Mengapakah kita dapat terus bersikap positif?
4 Teruslah Bersikap Positif. Setiap tahun, terdapat orang yang tidak beragama, yang menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Ramai antara mereka sudah pun menjalani kehidupan yang bermoral sebelum menjadi Saksi, dan berasa jijik terhadap perbuatan buruk yang terjadi dalam agama. Yang lain pula perlu mengubah kehidupan mereka yang tidak bermoral dan membuang tabiat buruk. Dengan adanya bantuan Yehuwa, kita pasti dapat menemui “orang yang memiliki sikap yang diperlukan untuk menerima kehidupan kekal.”—Kis. 13:48; 1 Tim. 2:3, 4.
5. Apakah sebabnya orang lain sudi mendengar mesej kita?
5 Tunjukkanlah Kebaikan Hati dan Kesopanan. Sering kali, sebabnya orang lain sudi mendengar mesej kita adalah kerana cara kita menyampaikannya, bukan kerana kandungan mesej kita. Apabila kita bersikap baik hati, sopan, dan mengambil berat terhadap mereka, mereka amat menghargainya. Kita tidak memaksa mereka untuk mendengar pendapat kita. Sebaliknya, kita berusaha memahami pandangan mereka tentang agama. Misalnya, ada yang tidak selesa membincangkan topik agama dengan seseorang yang tidak dikenali. Sesetengah orang berasa bahawa adalah tidak sopan untuk menanyakan pendapat orang lain tentang Tuhan. Ada pula yang berasa malu jika orang lain nampak mereka membaca Bible, terutamanya bersama Saksi-Saksi Yehuwa. Tidak kira apa sebabnya, kita ingin mengambil kira perasaan mereka.—2 Tim. 2:24, nota kaki.
6. Bagaimanakah Paulus menyesuaikan penyampaiannya menurut latar pendengarnya? Bagaimanakah kita dapat mengikut teladannya?
6 Apakah yang dapat kita lakukan jika seseorang tidak selesa mendengar perkataan “Bible,” “ciptaan,” “Tuhan,” atau “agama”? Ikutlah teladan Paulus. Dia menyesuaikan penyampaiannya menurut latar pendengarnya. Semasa bercakap kepada orang Yahudi, Paulus memetik Ayat-Ayat Suci, tetapi semasa bercakap kepada ahli falsafah Yunani di Areopagus, dia tidak memetik ayat Bible secara langsung. (Kis. 17:2, 3, 22-31) Begitu juga, semasa bercakap kepada seseorang yang tidak mempercayai Bible, mungkin adalah lebih baik jika anda tidak memetik ayat Bible secara langsung. Jika anda mendapati bahawa pendengar anda tidak ingin orang lain melihatnya membaca Bible bersama anda, cubalah kaedah yang kurang ketara untuk menunjukkan ayat Bible, misalnya melalui alat elektronik.
7. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus yang digambarkan di 1 Korintus 9:20-23?
7 Berusahalah untuk Mendengar dan Memahami Mereka. Kita mesti berusaha memahami sebab di sebalik fikiran atau perasaan orang di kawasan penyebaran. (Ams. 20:5) Perhatikan contoh Paulus lagi. Dia membesar dalam masyarakat Yahudi, maka dia pasti perlu mengubah pendekatannya supaya dapat menginjil kepada orang bukan Yahudi yang kurang mengenali atau langsung tidak mengenali Yehuwa dan Ayat-Ayat Suci. Kita mungkin perlu membuat penyelidikan atau bertanya kepada ahli sidang yang berpengalaman supaya kita lebih memahami fikiran dan perasaan orang di kawasan penyebaran kita.—Baca 1 Korintus 9:20-23.
8. Apakah salah satu cara untuk memulakan perbualan tentang Bible?
8 Kita ingin mencari “orang yang layak.” (Mat. 10:11) Untuk berbuat demikian, kita perlu menanyakan pendapat orang lain dan mendengar jawapan mereka dengan teliti. Seorang saudara di England menanyakan pendapat orang tentang cara menikmati perkahwinan yang bahagia, cara membesarkan anak, atau cara untuk bertabah semasa dilayan dengan tidak adil. Setelah mendengar pandangan mereka, dia bertanya, “Apakah pendapatmu tentang nasihat ini yang ditulis hampir 2,000 tahun yang lalu?” Kemudian, tanpa menyebut perkataan “Bible,” dia menunjukkan ayat-ayat Bible yang sesuai dari telefonnya.
MENCAPAI HATI ORANG
9. Bagaimanakah kita dapat membantu orang yang tidak ingin bercakap tentang Tuhan?
9 Jika seseorang tidak ingin bercakap tentang Tuhan, kita dapat mencapai hatinya dengan membincangkan sesuatu yang diminatinya. Contohnya, ramai orang berasa kagum dengan alam semula jadi. Maka kita boleh berkata, “Banyak rekaan yang kita ada hari ini ditiru daripada alam semula jadi. Misalnya, orang yang reka mikrofon mengkaji telinga serangga, dan orang yang reka kamera mengkaji mata serangga. Pada pendapat kamu, rekaan siapakah yang sedang mereka kaji?” Selepas mendengar jawapannya dengan teliti, kita boleh menambah, “Saya rasa puisi kuno ini sangat menarik: ‘Tuhan yang membuat telinga, mustahil Dia tidak dapat mendengar. Tuhan yang membuat mata, mustahil Dia tidak dapat melihat. . . . Dialah Tuhan yang memberikan pengetahuan kepada orang!’ Beberapa orang ahli sains juga telah membuat kesimpulan yang sama.” (Mzm. 94:9, 10) Kemudian, kita boleh menunjukkan sebuah video daripada siri “Pandangan tentang Asal Usul Kehidupan.” (Di jw.org®, lihat BAHAN TERBITAN > VIDEO > TEMU RAMAH DAN PENGALAMAN.) Atau kita boleh memberinya brosur Adakah Kehidupan Diciptakan?
10. Bagaimanakah kita dapat memulakan perbualan dengan orang yang tidak suka bercakap tentang Tuhan?
10 Kebanyakan orang mendambakan masa depan yang lebih baik. Namun, ramai yang khuatir bumi akan dimusnahkan atau menjadi tidak sesuai untuk didiami lagi. Seorang penyelia lawatan di Norway berkata bahawa orang yang tidak suka bercakap tentang Tuhan biasanya sudi berbincang tentang keadaan dunia. Selepas bersalam dengan mereka, dia bertanya, “Menurut kamu, mungkinkah kita dapat menikmati masa depan yang lebih baik? Dapatkah ahli politik, Mzm. 37:29; Pkh. 1:4.
ahli sains, atau orang lain menjamin masa depan kita?” Setelah mendengar jawapan mereka dengan teliti, dia akan membaca atau memetik ayat Bible yang berkaitan dengan masa depan yang cerah. Janji Bible bahawa bumi akan berkekalan dan didiami orang yang baik untuk selama-lamanya telah menarik minat sesetengah orang.—11. Mengapakah kita harus menggunakan pelbagai cara untuk memulakan perbualan? Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Paulus yang digambarkan di Roma 1:14-16?
11 Kita harus menggunakan pelbagai cara untuk memulakan perbualan. Mengapa? Kerana setiap orang berbeza. Suatu topik mungkin menarik bagi seseorang, tetapi menjengkelkan bagi orang lain. Sesetengah orang tidak kisah untuk bercakap tentang Tuhan atau Bible, manakala yang lain lebih sudi mendengar jika kita menyebut hal-hal lain terlebih dahulu. Tidak kira apa situasinya, kita harus menggunakan setiap peluang untuk bercakap kepada semua orang. (Baca Roma 1:14-16.) Ingatlah juga bahawa Yehuwalah yang menyebabkan benih kebenaran bertumbuh dalam hati orang yang mencintai kebenaran.—1 Kor. 3:6, 7.
MENGONGSI KEBENARAN DENGAN ORANG YANG TIDAK PERCAYA KEPADA TUHAN
12. Bagaimanakah kita dapat membantu orang dari negara Asia yang tidak pernah terfikir tentang kewujudan Pencipta?
12 Ramai penyiar di serata dunia telah bertemu dengan orang yang tidak percaya kepada Tuhan, termasuk orang dari negara yang menyekat kegiatan agama. Di sebilangan negara Asia, ramai orang tidak pernah terfikir tentang kewujudan Pencipta. Ada antara mereka yang rela mempelajari Bible kerana ingin tahu lebih banyak, tetapi ada juga yang teragak-agak untuk mengkaji ajaran yang baharu. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka? Sesetengah penyiar yang berpengalaman telah bersembang dengan mereka terlebih dahulu dan mengambil berat terhadap mereka. Kemudian, pada masa yang sesuai, penyiar akan menceritakan pengalamannya tentang manfaat yang diperoleh setelah menerapkan prinsip Bible.
13. Bagaimanakah kita dapat menarik minat orang terhadap Bible? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
13 Ramai orang tertarik dengan nasihat Bible yang sesuai untuk kehidupan seharian. (Pkh. 7:12) Seorang saudari di New York yang mengunjungi orang yang berbahasa Mandarin berkata, “Saya cuba mengambil berat terhadap mereka dan mendengar luahan mereka. Jika saya dapat tahu bahawa mereka baru berpindah ke sini, saya akan tanya, ‘Sudahkah kamu membiasakan diri dengan kehidupan di sini? Sudah dapat kerja? Adakah orang di sini layan kamu dengan baik?’” Ada kalanya, perbualan sebegini membuka peluang untuk memperkenalkan ajaran Bible. Pada masa yang sesuai, saudari itu akan berkata, “Bagi kamu, apakah cara untuk menjalin hubungan yang baik dengan orang lain? Bolehkah saya tunjukkan satu nasihat dalam Bible? Nasihat ini berbunyi, ‘Memulakan pertengkaran bagaikan membuka pintu empangan; maka beredarlah sebelum perkelahian meletus.’ Adakah kamu rasa nasihat ini berguna?” (Ams. 17:14) Pendekatan sebegini dapat membantu kita mengenal pasti orang yang rela dikunjungi lagi.
14. Bagaimanakah seorang saudara di Asia Timur membantu orang yang berkata bahawa mereka tidak percaya kepada Tuhan?
14 Bagaimana pula dengan orang yang berkata bahawa mereka tidak percaya kepada Tuhan? Seorang saudara yang sudah lama menginjil kepada orang yang tidak beragama di Asia Timur menjelaskan, “Sering kali, apabila orang di sini berkata, ‘Saya tidak percaya kepada Tuhan,’ maksud mereka ialah mereka tidak percaya kepada tuhan-tuhan yang disembah oleh orang tempatan. Saya biasanya bersetuju dengan mereka bahawa kebanyakan tuhan direka oleh manusia dan tidak wujud. Saya sering membaca Yeremia 16:20, ‘Dapatkah manusia membuat tuhan sendiri? Tuhan-tuhan yang dibuat oleh mereka bukanlah Tuhan yang benar.’ Selepas itu, saya bertanya, ‘Bagaimanakah kita dapat membezakan tuhan buatan manusia daripada tuhan yang benar?’ Setelah mendengar dengan teliti, saya membaca Yesaya 41:23, ‘Beritahulah kami apa yang akan berlaku pada masa depan, supaya kami tahu bahawa kamu semua ialah tuhan.’ Kemudian saya menyatakan satu contoh tentang nubuat Yehuwa yang telah menjadi kenyataan.”
15. Apakah yang dapat kita pelajari daripada seorang lagi saudara di Asia Timur?
15 Seorang lagi saudara di Asia Timur menggunakan cara berikut semasa membuat kunjungan kembali. Dia berkata, “Saya menyebut tentang nasihat Bible yang bijak, nubuat Bible yang menjadi kenyataan, dan hukum-hukum alam. Kemudian saya menyatakan bagaimana semua itu menunjukkan bahawa Pencipta yang bijaksana memang wujud. Apabila seseorang mula setuju bahawa Tuhan mungkin wujud, saya akan menunjukkan apa yang dikatakan Bible tentang Yehuwa.”
16. Menurut Ibrani 11:6, mengapakah pelajar Bible kita perlu beriman kepada Tuhan dan Bible? Bagaimanakah kita dapat menguatkan iman mereka?
16 Semasa mengadakan pembelajaran Bible dengan orang yang tidak beragama, kita mesti terus membina kepercayaan mereka tentang kewujudan Tuhan. (Baca Ibrani 11:6.) Kita juga perlu menguatkan iman mereka terhadap Bible. Untuk berbuat demikian, sesetengah ajaran penting mungkin perlu diulangi beberapa kali. Setiap kali kita mengadakan pembelajaran, kita mungkin perlu membincangkan bukti bahawa Bible ialah Firman Tuhan. Contohnya, kita boleh membincangkan secara ringkas bagaimana nubuat Bible telah berlaku, bagaimana Bible tepat dari segi sains dan sejarah, dan bagaimana nasihat Bible sesuai diamalkan dalam kehidupan seharian.
17. Apakah kesannya jika kita menunjukkan kasih kepada orang lain?
17 Kita membantu orang lain untuk menjadi murid Kristus dengan menunjukkan kasih kepada mereka, tidak kira mereka ialah orang yang beragama ataupun tidak. (1 Kor. 13:1) Semasa mengajar mereka, berusahalah untuk menunjukkan bahawa Tuhan mengasihi mereka dan mahu mereka mengasihi-Nya. Setiap tahun, ribuan orang yang dahulunya kurang berminat atau tidak berminat tentang agama telah dibaptis, kerana mereka telah belajar untuk mengasihi Tuhan. Maka, teruslah bersikap positif, dan tunjukkanlah kasih dan keprihatinan kepada segala macam orang. Dengarlah luahan mereka dan berusahalah untuk memahami mereka. Melalui teladan anda, ajarlah mereka untuk menjadi murid Kristus.
LAGU 76 Riang Ria Hati Kita!
^ per. 5 Kini, terdapat semakin ramai orang yang tidak beragama, dan kita mungkin berjumpa dengan orang sebegini semasa menginjil. Rencana ini akan membincangkan bagaimana kita dapat mengongsi kebenaran Bible dengan mereka, membantu mereka mempercayai Bible, dan membantu mereka beriman kepada Tuhan Yehuwa.
^ per. 1 Menurut tinjauan, negara-negara sebegini termasuk: Albania, Australia, Austria, Azerbaijan, Belanda, China, Denmark, Hong Kong, Ireland, Israel, Jepun, Jerman, Kanada, Korea Selatan, Norway, Perancis, Republik Czech, Sepanyol, Sweden, Switzerland, United Kingdom, dan Vietnam.
^ per. 2 MAKSUD UNGKAPAN: Dalam rencana ini, ungkapan orang yang tidak beragama merujuk kepada mereka yang tidak menganuti mana-mana agama atau yang tidak percaya kepada Tuhan.
^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara memberikan kesaksian kepada rakan sekerjanya di hospital. Rakan sekerja itu kemudiannya melayari jw.org.