Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Apa yang Saya Lakukan Hanyalah Kewajipan Saya

Apa yang Saya Lakukan Hanyalah Kewajipan Saya

SELAMA lebih daripada 30 tahun, Saudara Donald Ridley telah menjadi peguam bela bagi Saksi-Saksi Yehuwa. Dia telah mempertahankan hak pesakit untuk menolak transfusi darah dan membantu memenangi beberapa kes di mahkamah tinggi negeri. Kawan-kawannya memanggilnya Don, dan mereka menggambarkannya sebagai seorang yang rajin, rendah hati, dan rela berkorban.

Pada awal tahun 2019, Don didapati menghidap sejenis penyakit saraf yang jarang ditemui dan yang tidak dapat diubati. Kesihatannya merosot dengan cepat dan dia meninggal pada 16 Ogos 2019. Inilah kisah hidupnya.

Saya dilahirkan di St. Paul, Minnesota, A.S. pada tahun 1954 dalam sebuah keluarga yang sederhana. Keluarga saya beragama Katolik, dan saya ialah anak kedua dalam lima adik-beradik. Semasa sekolah rendah, saya pergi ke sekolah Katolik. Masa itu, saya menjadi budak altar yang membantu paderi. Tetapi, saya hanya mempunyai sedikit pengetahuan Bible. Saya memang percaya Tuhan wujud dan menciptakan segala-galanya, tetapi saya tidak percaya gereja dapat membantu saya menghampiri-Nya.

MEMPELAJARI KEBENARAN

Semasa tahun pertama saya di Kolej Undang-Undang William Mitchell, sepasang suami isteri yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa telah datang ke rumah saya. Pada masa itu, saya sibuk mencuci kain, jadi mereka berkata bahawa mereka akan kembali pada masa lain. Semasa mereka datang lagi, saya menanya mereka dua soalan, “Mengapakah orang baik tidak berjaya dalam dunia?” dan “Apakah yang diperlukan untuk hidup bahagia?” Mereka telah memberi saya buku “Kebenaran” (The Truth That Leads to Eternal Life) dan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu, yang kulitnya berwarna hijau. Saya juga setuju untuk mempelajari Bible, dan saya telah belajar tentang banyak hal yang baharu, contohnya Kerajaan Tuhan akan memerintah manusia tidak lama lagi. Ajaran itu sangat melegakan, kerana saya sedar bahawa pemerintahan manusia sudah gagal sama sekali dan hanya menyebabkan kesakitan, penderitaan, ketidakadilan, dan tragedi.

Pada awal tahun 1982, saya membaktikan diri kepada Yehuwa dan dibaptis pada tahun yang sama semasa Konvensyen “Kebenaran tentang Kerajaan Tuhan” yang diadakan di Pusat Komuniti St. Paul. Seminggu kemudian, saya kembali ke situ dan menduduki peperiksaan untuk menjadi peguam. Pada awal bulan Oktober, saya diberitahu bahawa saya lulus dalam peperiksaan itu.

Semasa Konvensyen “Kebenaran tentang Kerajaan Tuhan,” saya berjumpa dengan Mike Richardson, seorang ahli Bethel dari Brooklyn. Dia memberitahu saya bahawa Pejabat Perundangan telah ditubuhkan di ibu pejabat sedunia. Saya teringat kata-kata pegawai Etiopia di Kisah 8:36 dan menanya diri, “Apakah yang menghalang saya daripada berkhidmat di Pejabat Perundangan?” Jadi, saya memohon untuk berkhidmat di Bethel.

Ibu bapa saya tidak gembira kerana saya menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa. Bapa saya menanya saya apa kebaikannya jika saya bekerja sebagai peguam di Watchtower. Saya memberitahunya bahawa saya bekerja sebagai sukarelawan dan akan diberikan elaun bulanan sebanyak $75 seperti ahli Bethel yang lain.

Pada tahun 1984, setelah kontrak saya untuk bekerja di mahkamah tamat, saya mula berkhidmat di Bethel di Brooklyn, New York. Pengalaman yang saya raih semasa bekerja di mahkamah telah membantu saya dalam khidmat saya di Bethel.

PENGUBAHSUAIAN BANGUNAN TEATER STANLEY

Teater Stanley semasa dibeli

Bangunan Teater Stanley di Jersey City, New Jersey, dibeli pada November 1983. Saudara-saudara kita telah memohon permit untuk mengubahsuai sistem elektrik dan sistem paip bangunan itu. Semasa berjumpa dengan pihak berkuasa, mereka menjelaskan bahawa mereka ingin menggunakan bangunan itu sebagai dewan konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa. Tetapi pihak berkuasa enggan memberikan permit, kerana menurut peraturan Jersey City, tempat ibadat mesti terletak di kawasan tempat kediaman, dan Teater Stanley terletak di kawasan perniagaan. Walaupun saudara-saudara kita membuat rayuan, rayuan mereka ditolak.

Semasa minggu pertama saya bekerja di Bethel, organisasi telah membawa kes itu ke mahkamah. Oleh sebab saya pernah bekerja selama dua tahun di mahkamah di St. Paul, Minnesota, saya sudah biasa dengan kes sebegitu. Salah seorang peguam kita menanya mahkamah mengapa acara keagamaan tidak boleh diadakan di Teater Stanley, padahal tempat itu pernah digunakan untuk pelbagai acara umum, seperti wayang dan konsert rock. Setelah mempertimbangkan kes itu, mahkamah memutuskan bahawa Jersey City telah melanggar kebebasan beragama kami dan harus memberi kami permit. Daripada kes itu, saya dapat melihat bagaimana Yehuwa memberkati organisasi-Nya yang berusaha menggunakan undang-undang untuk melaksanakan kehendak-Nya. Saya amat gembira kerana berpeluang untuk menyokong usaha organisasi Tuhan.

Projek pengubahsuaian secara besar-besaran telah dilakukan supaya Teater Stanley dapat digunakan sebagai dewan perhimpunan. Dalam masa kurang daripada setahun, iaitu pada 8 September 1985, Majlis Penyampaian Sijil Sekolah Gilead yang ke-79 telah diadakan di bangunan itu. Saya bersyukur kerana dapat bekerja dengan pasukan perundangan Bethel demi kepentingan Kerajaan Tuhan. Khidmat saya di Bethel sebagai peguam membawa kepuasan yang tidak pernah saya rasai semasa bekerja di mahkamah dahulu. Saya tidak sangka Yehuwa akan terus menggunakan saya untuk membela umat-Nya.

MEMPERTAHANKAN HAK UNTUK DIRAWAT TANPA DARAH

Sekitar tahun 1980-an, doktor dan hospital biasanya tidak menghormati permintaan Saksi dewasa yang ingin dirawat tanpa darah. Keadaannya lebih mencabar bagi wanita yang hamil. Para hakim berpendapat bahawa wanita yang hamil tidak berhak untuk menolak transfusi darah, kerana jika seorang ibu mati akibat menolak transfusi darah, bayinya akan membesar tanpa ibu.

Pada 29 Disember 1988, Saudari Denise Nicoleau mengalami pendarahan yang teruk selepas bersalin. Oleh sebab paras hemoglobinnya jatuh di bawah 5.0, doktor menyuruhnya menerima transfusi darah, tetapi dia menolak. Keesokan paginya, pihak hospital memohon kepada mahkamah supaya dibenarkan untuk memberi Saudari Nicoleau transfusi darah. Mahkamah telah meluluskan permohonan itu tanpa memberikan peluang kepada Saudari Nicoleau atau suaminya untuk menjelaskan pendirian mereka. Lebih teruk lagi, mahkamah langsung tidak memaklumkan mereka tentang keputusan itu.

Pada hari Jumaat, 30 Disember, pihak hospital telah memberikan transfusi darah kepada Saudari Nicoleau meskipun dibantah oleh suaminya dan ahli keluarganya yang berada di situ. Pada malam yang sama, beberapa orang penatua dan ahli keluarga Saudari Nicoleau telah ditangkap kerana dituduh cuba menghalang doktor daripada memberikan transfusi darah. Pada pagi Sabtu, 31 Disember, peristiwa itu telah disiarkan oleh pihak media Bandar Raya New York dan Long Island.

Bersama Philip Brumley semasa muda

Pada pagi Isnin, saya berjumpa dengan Milton Mollen, seorang hakim yang lebih tinggi. Saya memberitahunya apa yang berlaku dan menjelaskan bahawa mahkamah telah mengeluarkan perintah transfusi darah tanpa mengadakan perbicaraan. Dia menjemput saya untuk datang ke pejabatnya pada petang itu untuk membincangkan apa yang terjadi dan undang-undang yang berkaitan dengan kes itu. Penyelia saya, Philip Brumley, telah pergi bersama saya. Milton Mollen juga menjemput peguam yang mewakili hospital untuk mengikuti perbincangan itu. Suasana semasa perbincangan itu sangat tegang. Semasa membantah hujah peguam hospital, saya hampir hilang kawalan diri sehingga Saudara Brumley perlu menulis “cuba bertenang” pada buku notanya dan menunjukkannya kepada saya. Apabila mengenang kembali peristiwa itu, saya sedar bahawa nasihatnya memang bijak.

Dari kiri ke kanan: Richard Moake, Gregory Olds, Paul Polidoro, Philip Brumley, saya, dan Mario Moreno​—peguam-peguam yang mewakili organisasi di Mahkamah Agung A.S. dalam kes Watchtower lwn. Village of Stratton.​—Lihat Sedarlah! terbitan 8 Januari 2003 dalam bahasa Indonesia

Kira-kira sejam kemudian, Milton Mollen berkata bahawa kes itu akan menjadi kes pertama yang dibicarakan pada keesokan pagi. Semasa kami hendak beredar dari pejabatnya, dia berkata bahawa peguam hospital mempunyai “beban yang berat” untuk mempertahankan perbuatan pihak hospital. Saya berasa itulah jaminan daripada Yehuwa bahawa kami mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi kes itu. Saya berasa terharu kerana Yehuwa sudi menggunakan kami untuk mencapai kehendak-Nya.

Kami membuat persiapan untuk kes itu sehingga larut malam. Bangunan mahkamah terletak berdekatan dengan Bethel Brooklyn, jadi keesokan paginya, kira-kira 10 orang daripada Pejabat Perundangan kami telah berjalan ke situ. Selepas panel hakim yang terdiri daripada empat orang mendengar hujah kami, mereka memutuskan bahawa perintah untuk memberikan transfusi itu tidak patut diberikan. Mahkamah tinggi telah membuat keputusan yang memihak kepada Saudari Nicoleau dan menyatakan bahawa perbuatan mengeluarkan perintah mahkamah tanpa mengadakan perbicaraan atau memberikan notis merupakan tindakan yang melanggar hak asasi manusia.

Tidak lama selepas itu, mahkamah tertinggi di New York mengesahkan bahawa Saudari Nicoleau berhak menerima rawatan tanpa darah. Kes Saudari Nicoleau merupakan salah satu daripada empat kes mahkamah tinggi negeri yang berkaitan dengan rawatan tanpa darah. (Lihat kotak “ Kemenangan Mahkamah di Peringkat Negeri.”) Saya berbesar hati kerana berpeluang menangani kes itu. Sebenarnya, itulah kes pertama saya yang berkaitan dengan darah. Saya juga berpeluang bekerjasama dengan peguam yang lain di Bethel untuk kes yang berkaitan dengan hak penjagaan anak, perceraian, dan undang-undang tentang penggunaan tanah dan bangunan.

PERKAHWINAN DAN KELUARGA SAYA

Bersama isteri saya, Dawn

Semasa saya baru mengenali isteri saya, Dawn, dia seorang janda yang perlu bekerja untuk membesarkan tiga orang anak. Walaupun dia hidup susah, dia masih merintis dan bertekad untuk menyembah Yehuwa, dan saya sangat kagum dengannya. Pada tahun 1992, kami menghadiri Konvensyen Distrik “Pembawa Cahaya” di New York City, dan saya bertanya jika saya boleh mengenalinya dengan lebih baik. Setahun kemudian, kami berkahwin, dan saya terus bekerja di Bethel. Dawn ialah seorang yang berfikiran rohani dan suka berjenaka. Dia sesungguhnya kurniaan daripada Yehuwa yang membawa berkat kepada saya sepanjang masa kami bersama.​—Ams. 31:12.

Saya ingin menjadi bapa tiri yang baik kepada tiga orang anak kami yang masing-masing berumur 11, 13, dan 16 tahun. Jadi, saya membaca semua maklumat tentang keluarga tiri dalam bahan bacaan kita dan berusaha menerapkannya. Memang benar, ada kalanya masalah timbul juga. Tetapi, saya sangat gembira kerana mereka bertiga menerima saya sebagai sahabat dan bapa mereka. Kami sentiasa mengalu-alukan sahabat anak-anak kami ke rumah, dan kami sangat menikmati pergaulan dengan anak muda yang ceria dan bertenaga.

Pada tahun 2013, saya dan Dawn berpindah ke Wisconsin kerana perlu menjaga ibu bapa kami yang lanjut usia. Namun, saya tidak menyangka saya masih berpeluang untuk pergi ke Bethel dari masa ke masa untuk membantu di Pejabat Perundangan.

PERUBAHAN YANG MENDADAK

Pada September 2018, saya mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kerongkong saya, tetapi doktor saya tidak dapat mengenal pasti masalahnya. Kemudian, seorang lagi doktor menasihati saya untuk berjumpa dengan seorang pakar neurologi. Pada Januari 2019, pakar itu memberitahu saya bahawa saya menghidap sejenis penyakit saraf yang jarang ditemui, yang dipanggil kelumpuhan supranukleus progresif (PSP).

Tiga hari kemudian, semasa meluncur ais, saya jatuh dan pergelangan tangan kanan saya patah. Meluncur ais ialah sukan kegemaran saya, dan saya sudah melakukannya seumur hidup saya. Jadi saya tahu bahawa kebolehan saya untuk mengawal pergerakan badan sudah merosot. Saya tidak sangka penyakit saya akan bertambah teruk dengan cepat dan membuat saya susah untuk bercakap, bergerak, dan menelan.

Saya sangat berbesar hati kerana dapat menggunakan pengalaman saya sebagai peguam untuk membantu organisasi Yehuwa dan mempertahankan hak umat-Nya untuk memilih rawatan tanpa darah. Saya berpeluang menulis banyak rencana dalam majalah yang dibaca oleh golongan profesional dan memberikan ucapan dalam seminar di serata dunia. Meskipun begitu, saya berasa bahawa saya hanyalah hamba yang tidak layak dipuji, kerana apa yang saya lakukan hanyalah kewajipan saya.​—Luk. 17:10.