Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

“Kerajaanku Bukan Sebahagian daripada Dunia Ini”

“Kerajaanku Bukan Sebahagian daripada Dunia Ini”

‘Aku harus memberikan kesaksian tentang kebenaran, kerana untuk tujuan inilah aku datang ke dunia.’​—YOH. 18:37.

LAGU: 15, 74

1, 2. (a) Mengapakah dunia sekarang semakin berpecah belah? (b) Apakah isi penting yang akan dibincangkan dalam rencana ini?

“SEJAK kecil, saya hanya nampak ketidakadilan,” kata seorang saudari di selatan Eropah sambil menceritakan kisah silamnya. “Maka saya menolak sistem politik di negara saya dan menyokong dasar radikal. Selama bertahun-tahun, saya juga ada teman lelaki yang merupakan pengganas.” Seorang saudara di selatan Afrika menjelaskan sebabnya dia bersikap ganas dahulu. “Saya percaya suku saya paling unggul,” katanya. “Saya masuk satu parti politik, dan kami diajar untuk membunuh musuh dengan lembing, termasuk orang daripada suku sendiri yang sokong parti lain.” Seorang saudari di Eropah Tengah mengaku, “Saya berprasangka dan benci terhadap bangsa dan agama yang lain.”

2 Sikap yang diperlihatkan mereka bertiga dahulu semakin ketara dalam dunia sekarang. Perjuangan kemerdekaan dan perpecahan politik makin menjadi-jadi, dan di banyak negara, orang asing kian merasai bahang permusuhan. Seperti yang dinubuatkan Bible, orang zaman ini “tidak mahu dibawa berbincang.” (2 Tim. 3:1, 3) Jadi, bagaimanakah orang Kristian dapat memelihara perpaduan mereka dalam dunia yang berpecah belah ini? Marilah kita belajar daripada Yesus. Semasa dia di bumi, orang di sekelilingnya juga berpecah belah akibat isu politik. Sekarang, kita akan bincang tiga isi utama: Mengapakah Yesus enggan terlibat dalam gerakan politik? Bagaimanakah dia menunjukkan bahawa hamba-hamba Tuhan tidak boleh memihak sesiapa pun dalam soal politik? Bagaimanakah Yesus mengajar kita bahawa kita tidak boleh bertindak ganas?

SIKAP YESUS TERHADAP PERJUANGAN KEMERDEKAAN

3, 4. (a) Apakah yang diinginkan orang Yahudi pada zaman Yesus? (b) Bagaimanakah perasaan orang Yahudi mempengaruhi murid-murid Yesus?

3 Ramai orang Yahudi di kawasan penyebaran Yesus menginginkan kemerdekaan daripada kuasa Roma, dan semangat mereka diapi-apikan oleh kumpulan Zealot, sebuah kumpulan politik Yahudi yang fanatik. Ramai anggota Zealot menyokong fahaman Yudas dari Galilea, seorang mesias palsu yang menyesatkan ramai orang pada abad pertama. Menurut Josephus, seorang sejarawan Yahudi, Yudas telah “menghasut rakan sebangsanya untuk memberontak. Dia melabelkan mereka sebagai pengecut kerana bersetuju membayar ufti kepada Roma.” Akhirnya, Yudas dihukum mati oleh pihak Roma. (Kis. 5:37) Sesetengah ahli Zealot bahkan menggunakan kekerasan untuk mencapai tujuan mereka.

4 Orang Yahudi yang bukan ahli Zealot juga menanti-nantikan kedatangan Mesias. Mereka berharap agar Mesias memulihkan kegemilangan bangsa Israel dan membebaskan mereka daripada kuasa Roma. (Luk. 2:38; 3:15) Mereka juga percaya bahawa setelah Mesias menubuhkan kerajaannya di bumi, di tanah Israel, jutaan orang Yahudi di tempat asing akan kembali ke tanah air. Yohanes Pembaptis pun pernah menanya Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?” (Mat. 11:2, 3) Barangkali, Yohanes tertanya-tanya jika orang lain akan memenuhi semua harapan orang Yahudi. Selepas Yesus dibangkitkan, dua orang muridnya yang bertemu dengannya semasa dalam perjalanan ke Emaus juga berharap agar Yesus membebaskan orang Israel. (Baca Lukas 24:21.) Tidak lama selepas itu, para rasul bertanya kepada Yesus, “Tuan, adakah Tuan akan memulihkan pemerintahan Tuhan bagi bangsa Israel pada masa sekarang?”​—Kis. 1:6.

5. (a) Mengapakah penduduk Galilea ingin Yesus menjadi raja mereka? (b) Bagaimanakah Yesus membetulkan fikiran mereka?

5 Dengan adanya harapan sebegini, tidak hairanlah penduduk Galilea ingin Yesus menjadi raja mereka. Bagi mereka, Yesus ialah calon yang sempurna. Dia penceramah yang berwibawa, dapat menyembuhkan penyakit, dan bahkan dapat memberikan makanan kepada orang yang lapar. Selepas Yesus menyediakan makanan untuk 5,000 orang lelaki, orang ramai sangat terpesona. “Yesus tahu bahawa mereka akan datang dan memaksanya menjadi raja mereka. Maka sekali lagi dia pergi ke gunung seorang diri.” (Yoh. 6:10-15) Hari berikutnya, apabila orang ramai lebih bertenang, Yesus menjelaskan kepada mereka bahawa tujuan dia datang adalah untuk memberikan bantuan rohani, bukannya kebendaan. Dia berkata, “Janganlah kamu bekerja untuk makanan yang akan basi, tetapi bekerjalah untuk mendapat makanan yang kekal dan yang membawa kehidupan kekal.”​—Yoh. 6:25-27.

6. Bagaimanakah Yesus menyatakan bahawa dia tidak ingin memiliki kuasa politik di bumi? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

6 Tidak lama sebelum kematiannya, Yesus mendapati sesetengah pengikutnya menyangka bahawa dia akan mendirikan kerajaannya di Yerusalem. Maka dia menggunakan perumpamaan tentang mina untuk membetulkan fikiran mereka. Perumpamaan itu menunjukkan bahawa “seorang bangsawan,” iaitu Yesus, perlu pergi ke tempat yang jauh untuk masa yang lama. (Luk. 19:11-13, 15) Yesus juga menyatakan pendiriannya yang neutral semasa Pontius Pilatus, seorang pegawai Roma, bertanya, “Adakah kamu Raja orang Yahudi?” (Yoh. 18:33) Pilatus mungkin risau Yesus akan menghasut orang ramai untuk melawan kerajaan Roma, tetapi Yesus menjawab, “Kerajaanku bukan sebahagian daripada dunia ini.” (Yoh. 18:36) Ya, Yesus enggan mencampuri urusan politik kerana Kerajaannya terletak di syurga. Dia memberitahu Pilatus bahawa tugasnya di bumi adalah untuk “memberikan kesaksian tentang kebenaran.”​—Baca Yohanes 18:37.

Adakah anda bertumpu kepada masalah dunia atau Kerajaan Tuhan? (Lihat perenggan 7)

7. Mengapakah tidak mudah untuk mengelak daripada menyokong parti politik dalam hati kita?

7 Apabila kita meniru Yesus dengan memahami apa sebenarnya tugasan kita, kita tidak akan menyokong apa-apa perjuangan kemerdekaan, bahkan dalam hati kita. Hal itu tidak mudah. Seorang penyelia lawatan berkata, “Sikap orang di kawasan kami semakin melampau. Mereka dikuasai semangat kebangsaan dan percaya bahawa mereka akan hidup makmur selepas merdeka. Tetapi syukurlah saudara saudari tetap bersatu dengan berfokus kepada kerja memberitakan Kerajaan Tuhan. Mereka mengharapkan Tuhan untuk menyelesaikan ketidakadilan dan masalah kita yang lain.”

CARA YESUS MENANGANI ISU POLITIK

8. Apakah beban yang ditanggung oleh orang Yahudi pada abad pertama?

8 Ketidakadilan merupakan pencetus semangat politik. Pada zaman Yesus, cukai merupakan isu politik yang hangat. Sebenarnya, pemberontakan Yudas dari Galilea tercetus akibat pendaftaran yang dijalankan untuk memastikan semua orang membayar cukai kepada kerajaan Roma. Rakyat Roma, termasuk para pendengar Yesus, dikenakan banyak cukai, seperti cukai atas barangan, tanah, dan rumah. Para pemungut cukai yang tamak mengeruhkan lagi keadaan itu. Ada kalanya, mereka membeli pangkat daripada kerajaan dan menggunakannya untuk mengaut keuntungan. Salah satu contoh sebegini ialah Zakheus, ketua pemungut cukai di Yerikho, yang menjadi kaya-raya kerana memeras rakyat.​—Luk. 19:2, 8.

9, 10. (a) Bagaimanakah musuh-musuh Yesus mencuba melibatkannya dalam isu politik? (b) Apakah yang kita belajar daripada reaksi Yesus? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

9 Musuh-musuh Yesus mencuba melibatkannya dalam isu cukai. Mereka bertanya tentang “cukai kepala,” yang harganya satu denari, yang perlu dibayar oleh semua orang Yahudi. (Baca Matius 22:16-18.) Orang Yahudi sangat benci cukai ini kerana mengingatkan mereka bahawa mereka dikuasai kerajaan Roma. Jadi, para penyokong parti Herodes menggunakan soalan itu untuk memerangkap Yesus. Jika Yesus berkata bahawa mereka tidak perlu membayar cukai, dia mungkin dituduh melawan kerajaan Roma. Jika dia berkata bahawa mereka harus membayar cukai, dia mungkin kehilangan pengikutnya.

10 Yesus berwaspada agar tetap neutral dalam isu cukai. Dia berkata, “Berikanlah milik Kaisar kepada Kaisar, tetapi berikanlah milik Tuhan kepada Tuhan.” (Mat. 22:21) Yesus tahu bahawa ramai pemungut cukai bersikap tamak, tetapi dia tidak bertumpu kepada hal itu. Sebaliknya, dia berfokus kepada isu yang lebih penting, iaitu Kerajaan Tuhan yang akan menyelesaikan semua masalah manusia. Kita harus mengikut teladan Yesus. Janganlah terlibat dalam isu politik, biarpun hal yang diperjuangkan nampaknya adil dan berpatutan. Orang Kristian mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya. Mereka tidak akan memiliki pandangan yang tegas tentang ketidakadilan atau bersuara mengutuknya.​—Mat. 6:33.

11. Apakah cara yang terbaik untuk mengatasi ketidakadilan?

11 Ramai daripada Saksi-Saksi Yehuwa berjaya menyingkirkan fahaman politik yang dahulunya berakar dalam diri mereka. Seorang saudari di Britain berkata, “Selepas mengikut kelas kajian sosial di universiti, saya mula memiliki pandangan politik yang kuat. Saya mahu memperjuangkan hak orang berkulit hitam, kerana kami selalu jadi mangsa ketidakadilan. Saya selalu menang dalam perdebatan, tetapi akhirnya saya kecewa juga. Saya tidak sedar bahawa punca ketidakadilan perlu dicabut dari hati manusia. Tetapi apabila saya mula belajar Bible, saya sedar bahawa hati saya sendiri perlu dirawat dahulu. Seorang saudari orang putih telah membantu saya dengan sabar. Sekarang, saya seorang perintis biasa dalam sidang bahasa isyarat, dan saya sedang belajar untuk membantu bermacam-macam orang.”

“SARUNGKANLAH PEDANGMU”

12. Yesus menyuruh murid-muridnya mengelakkan “ragi” apa?

12 Pada zaman Yesus, agama sering dicampuradukkan dengan politik. Sebuah buku tentang kehidupan seharian di Palestin pada zaman Kristus menyatakan, “Kumpulan-kumpulan agama orang Yahudi hampir sama dengan parti-parti politik.” Itulah sebabnya Yesus memberikan amaran kepada murid-muridnya, “Berwaspadalah dan berjaga-jagalah terhadap ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” (Mrk. 8:15) Barangkali, “Herodes” yang disebut Yesus merujuk kepada pengikut parti Herodes. Orang Farisi pula ialah penyokong kemerdekaan Yahudi. Menurut catatan Matius, golongan Saduki juga disebut dalam perbualan yang sama. Orang Saduki ingin Roma terus berkuasa kerana pentadbiran Roma membolehkan mereka memiliki kedudukan politik. Yesus menegaskan bahawa para pengikutnya mesti menjauhi “ragi,” atau ajaran, ketiga-tiga kumpulan itu. (Mat. 16:6, 12) Yang menariknya, perbualan itu berlangsung tidak lama selepas orang ramai ingin menjadikan Yesus raja mereka.

13, 14. (a) Bagaimanakah isu politik dan agama mengakibatkan ketidakadilan dan keganasan? (b) Mengapakah ketidakadilan bukanlah alasan untuk bertindak ganas? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)

13 Agama yang bercampur dengan politik ialah tanah subur bagi keganasan. Yesus mengajar murid-muridnya bahawa mereka mesti tetap neutral. Itulah sebabnya ketua imam dan orang Farisi ingin membunuhnya. Bagi mereka, ajaran Yesus menggugat kedudukan politik dan agama mereka. “Jika kita membiarkan dia terus berbuat demikian, semua orang akan beriman kepadanya. Akhirnya orang Roma akan datang lalu merampas Rumah Tuhan dan bangsa kita!” kata mereka. (Yoh. 11:48) Maka, Imam Agung Kayafas telah merancang agar Yesus dibunuh.​—Yoh. 11:49-53; 18:14.

14 Kayafas menghantar askar untuk menangkap Yesus pada waktu malam. Yesus tahu tentang muslihat itu, maka semasa makan malam yang terakhir bersama para rasulnya, dia menyuruh mereka membawa pedang. Dua bilah pedang sudah cukup untuk menyampaikan satu ajaran yang penting. (Luk. 22:36-38) Semasa orang ramai datang untuk menangkap Yesus, Petrus menghunus pedangnya dan menyerang salah seorang daripada mereka. Sudah pasti dia sangat marah semasa melihat ketidakadilan yang terjadi. (Yoh. 18:10) Tetapi Yesus memberitahu Petrus, “Sarungkanlah pedangmu. Orang yang menggunakan pedang akan dibinasakan oleh pedang.” (Mat. 26:52, 53) Pengajaran itu menegaskan apa yang didoakan oleh Yesus sebelum itu: Murid-muridnya tidak boleh menjadi sebahagian daripada dunia. (Baca Yohanes 17:16.) Hanya Tuhan yang berhak memerangi ketidakadilan.

15, 16. (a) Bagaimanakah Firman Tuhan membantu orang Kristian mengelakkan konflik? (b) Apakah perbezaan yang diperhatikan oleh Yehuwa semasa Dia melihat dunia hari ini?

15 Saudari dari selatan Eropah yang disebut tadi juga belajar hal yang sama. “Saya dapati keganasan tidak membawa keadilan,” katanya. “Orang yang bertindak ganas sering kehilangan nyawa, dan yang lain pula kecewa dan sedih. Saya sangat gembira kerana Bible ajar saya bahawa hanya Tuhan yang dapat membawa keadilan sejati. Itulah berita yang saya khabarkan sejak 25 tahun yang lalu.” Saudara dari selatan Afrika itu pula telah menggantikan lembingnya dengan “pedang yang diberikan oleh kuasa suci Tuhan,” iaitu Bible, untuk mengumumkan berita kedamaian kepada semua suku. (Ef. 6:17) Selepas menjadi Saksi, saudari dari Eropah Tengah itu telah berkahwin dengan seorang saudara daripada bangsa yang dibencinya dahulu. Mereka bertiga telah berubah kerana ingin menjadi seperti Kristus.

16 Perubahan sebegini sungguh penting! Bible menggambarkan manusia seperti laut bergelora yang tidak dapat berdamai. (Yes. 17:12; 57:20, 21; Why. 13:1) Isu-isu politik membangkitkan kemarahan, memecahbelahkan orang, dan mencetuskan keganasan. Namun, penyembah Yehuwa tetap berdamai dan bersatu. Semasa memerhatikan dunia yang berpecah belah ini, Yehuwa pasti amat gembira untuk melihat perpaduan kita.​—Baca Zefanya 3:17.

17. (a) Apakah tiga cara untuk memupuk perpaduan? (b) Apakah yang akan dibincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Kita sudah belajar tiga cara untuk memupuk perpaduan Kristian: (1) Kita mengharapkan Kerajaan Tuhan untuk membasmi ketidakadilan, (2) kita tetap neutral dalam isu politik, dan (3) kita menolak keganasan. Namun, sikap prasangka mampu mengancam perpaduan kita. Rencana seterusnya akan membincangkan cara untuk mengatasi prasangka, seperti yang dilakukan orang Kristian pada abad pertama.