Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Bertindak Selaras dengan Tiupan Trompet Hari Ini

Bertindak Selaras dengan Tiupan Trompet Hari Ini

KITA semua percaya bahawa Yehuwa sedang memimpin dan menjaga umat-Nya secara rohani sepanjang “hari-hari terakhir.” (2 Tim. 3:1) Namun, kita masing-masing perlu mematuhi arahan-Nya. Keadaan kita dapat disamakan dengan orang Israel di padang belantara yang perlu bertindak selaras dengan tiupan trompet.

Yehuwa menyuruh Musa membuat dua buah trompet daripada perak tempaan “untuk memanggil orang Israel berkumpul dan untuk menyuruh mereka berangkat.” (Bil. 10:2) Cara imam meniup trompet itu akan menentukan apa yang harus dilakukan oleh orang Israel. (Bil. 10:3-8) Mari kita lihat persamaan antara tiupan trompet pada zaman kuno dengan tiga cara umat Tuhan menerima arahan pada zaman ini, iaitu semasa umat Tuhan dijemput untuk menghadiri perhimpunan besar, semasa para penyelia dijemput untuk menerima latihan, dan semasa arahan bagi sidang dikemaskinikan atau diubah.

SEMASA DIJEMPUT KE PERHIMPUNAN BESAR

Apabila Yehuwa mahu “semua orang Israel” berkumpul di sebelah timur khemah suci, iaitu di pintu masuk khemah suci, imam akan meniup kedua-dua trompet. (Bil. 10:3) Semasa dua buah trompet itu ditiup, kesemua 12 suku Israel, yang berkhemah dalam empat kelompok perkhemahan di sekeliling khemah suci, dapat mendengarnya. Orang yang berkhemah berdekatan pintu masuk khemah suci dapat datang dalam masa yang singkat, tetapi mereka yang tinggal lebih jauh mungkin memerlukan lebih banyak masa dan usaha untuk tiba. Tidak kira mereka tinggal jauh atau dekat, Yehuwa mahu semua orang datang dan mendengar arahan-Nya.

Hari ini, kita tidak berkumpul di khemah suci, tetapi kita dijemput untuk menghadiri perhimpunan besar seperti konvensyen serantau dan acara istimewa yang lain. Di situ, kita diberikan maklumat dan arahan yang penting. Umat Yehuwa di serata bumi menikmati program yang sama, jadi semasa kita menghadiri perhimpunan seperti ini, kita seolah-olah menghadirinya bersama mereka. Untuk menghadiri perhimpunan besar, sesetengah orang perlu membuat perjalanan yang lebih jauh berbanding orang lain. Namun, semua yang hadir setuju bahawa segala usaha mereka memang berbaloi.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dapat hadir kerana tinggal di tempat yang terpencil? Dengan adanya teknologi moden, mereka dapat menikmati program yang sama dan bahkan berasa bahawa mereka sedang menghadirinya bersama ribuan saudara saudari yang lain. Contohnya, semasa lawatan wakil ibu pejabat ke Benin, pejabat cawangan telah membuat siaran video ke Arlit, Niger, sebuah pekan perlombongan di Gurun Sahara. Sebanyak 21 orang saudara, saudari, dan orang yang berminat, telah mengikuti siaran itu. Meskipun mereka berada di tempat yang jauh, mereka berasa bahawa mereka sedang menghadiri program itu bersama 44,131 orang yang hadir. Seorang saudara menulis, “Kami ucapkan ribuan terima kasih kerana menyediakan siaran ini. Kami dapat rasa bahawa kamu sangat mengasihi kami.”

SEMASA PARA PENYELIA DIJEMPUT UNTUK MENERIMA LATIHAN

Apabila hanya sebuah trompet ditiup, “hanya pemimpin umat Israel, iaitu mereka yang merupakan ketua atas 1,000 orang,” yang harus datang ke khemah suci. (Bil. 10:4) Di situ, Musa akan memberi mereka maklumat dan latihan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dalam suku masing-masing. Jika anda ialah salah seorang daripada pemimpin itu, anda tentu akan berusaha sedaya upaya untuk hadir dan dilatih.

Hari ini, para penatua bukanlah pemimpin yang menguasai sidang, tetapi mereka berusaha untuk menjaga dan “menggembala kawanan Tuhan.” (1 Ptr. 5:1-3) Oleh itu, semasa mereka menerima jemputan untuk dilatih, misalnya di Sekolah Bible untuk Saudara Terlantik, mereka akan menghadirinya dengan sukacita. Latihan sebegini membantu para penatua menjaga sidang dengan lebih baik. Hasilnya, kerohanian para penatua dan ahli sidang bertambah kuat. Biarpun anda tidak berpeluang mengikuti latihan yang disediakan untuk para penatua, anda pasti pernah meraih manfaat menerusi mereka yang telah menghadirinya.

SEMASA ADANYA PERUBAHAN

Ada kalanya, imam akan meniup trompet dengan nada tinggi dan nada rendah. Itulah tandanya bahawa Yehuwa ingin semua orang Israel berangkat. (Bil. 10:5, 6) Mereka berangkat dengan sangat teratur, tetapi hal itu memerlukan banyak usaha. Sesetengah orang Israel mungkin keberatan untuk berpindah. Mengapa?

Mereka mungkin berasa bahawa mereka terlampau kerap berpindah, dan waktu berpindah susah dijangka. ‘Ada kalanya, awan itu hanya berada di atas khemah suci dari petang sampai pagi,’ tetapi pada masa lain, awan itu berada di atas khemah suci “selama dua hari, satu bulan, satu tahun, atau lebih lama daripada itu.” (Bil. 9:21, 22) Berapa kalikah orang Israel perlu berpindah? Menurut catatan di Bilangan bab 33, mereka pernah berkhemah di kira-kira 40 tempat.

Ada kalanya, semasa berada di “padang belantara yang luas dan menakutkan,” sesetengah orang Israel dapat berkhemah di tempat yang teduh. (Ul. 1:19) Tempat sebegini pasti selesa. Jadi, semasa mereka perlu berpindah lagi, mereka mungkin berfikir bahawa tempat mereka akan pergi nanti tidak sebaik tempat mereka berkhemah sekarang.

Semasa trompet ditiup dengan nada tinggi dan nada rendah, semua orang dapat mendengarnya, tetapi mereka tidak berangkat dengan serentak. Oleh itu, sesetengah orang mungkin berasa kurang sabar semasa menunggu giliran mereka. Semasa trompet ditiup, kelompok perkhemahan di sebelah timur, iaitu suku Yehuda, suku Isakhar, dan suku Zebulon, akan berangkat dahulu. (Bil. 2:3-7; 10:5, 6) Selepas itu, trompet akan ditiup lagi, dan kelompok di sebelah selatan akan berangkat. Begitulah caranya para imam memberikan arahan kepada setiap kelompok, sehingga semua orang Israel telah berangkat.

Hari ini, anda mungkin berasa susah untuk menerima sesetengah perubahan dalam organisasi. Barangkali, anda berasa bahawa terdapat terlalu banyak perubahan, atau anda mungkin sudah biasa dengan sesetengah aturan dan berharap agar aturan itu tidak diubah. Anda mungkin berasa susah untuk menyesuaikan diri, dan hal itu menguji kesabaran anda. Namun, jika kita berusaha untuk bertindak selaras dengan perubahan itu, kemungkinan besar kita akan melihat manfaatnya dan diberkati Tuhan.

Pada zaman Musa, Yehuwa telah membimbing jutaan lelaki, wanita, dan kanak-kanak merentasi padang belantara. Tanpa jagaan dan bimbingan-Nya, mereka tidak mungkin terselamat. Kini, Yehuwa membimbing kita untuk mengharungi hari-hari terakhir dengan selamat dan terus maju secara rohani. Oleh itu, semoga kita semua menjadi seperti orang Israel yang setia, yang bertindak selaras dengan tiupan trompet!