Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 24

“Satukanlah Hatiku supaya Aku Takut akan Nama-Mu”

“Satukanlah Hatiku supaya Aku Takut akan Nama-Mu”

“Satukanlah hatiku supaya aku takut akan nama-Mu. Ya Yehuwa, Tuhanku, aku akan memuji-Mu dengan sepenuh hati.”​MZM. 86:11, 12.

LAGU 7 Yehuwalah Kekuatanku

PENGENALAN *

1. Apakah maksud takut akan Tuhan, dan mengapakah orang yang mengasihi Yehuwa harus takut kepada-Nya?

ORANG Kristian mengasihi Tuhan, tetapi pada masa yang sama, mereka takut kepada-Nya. Namun, rasa takut ini berbeza daripada rasa takut yang dialami semasa berada dalam bahaya. Orang yang takut akan Tuhan menghormati-Nya secara mendalam. Mereka sangat menghargai persahabatan mereka dengan Bapa mereka yang di syurga dan tidak ingin melakukan apa-apa yang tidak disukai-Nya.​—Mzm. 111:10; Ams. 8:13.

2. Berdasarkan kata-kata Daud di Mazmur 86:11, apakah dua perkara yang akan kita bincangkan?

2 Baca Mazmur 86:11. Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Daud memahami pentingnya memiliki rasa takut akan Tuhan. Sekarang, marilah kita membincangkan dua perkara yang berkaitan dengan doa Daud. Pertama, kita akan melihat sebabnya kita harus menghormati nama Tuhan secara mendalam. Kedua, kita akan membincangkan cara untuk menunjukkan bahawa kita menghormati nama Tuhan dalam kehidupan seharian.

MENGAPAKAH KITA HARUS MENGHORMATI NAMA YEHUWA SECARA MENDALAM?

3. Apakah pengalaman yang mungkin telah membantu Musa agar tetap menghormati nama Tuhan?

3 Di Gunung Horeb, Musa berpeluang melihat cahaya kemuliaan Yehuwa setelah Yehuwa lalu di depannya. Buku “Pemahaman” (Insight on the Scriptures) menyatakan bahawa “barangkali itulah pengalaman yang paling menakjubkan yang pernah dialami manusia sebelum kedatangan Yesus Kristus.” Pada masa itu, Musa mendengar satu malaikat yang mewakili Yehuwa berfirman, “Akulah Yehuwa, Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. Akulah Yehuwa, Tuhan yang tidak cepat murka. Aku berpegang pada kebenaran dan menunjukkan kasih setia yang melimpah. Aku menunjukkan kasih setia kepada beribu-ribu generasi. Aku mengampunkan kesalahan dan dosa.” (Kel. 33:17-23; 34:5-7) Bayangkan perasaan Musa! Barangkali, dia teringat akan pengalaman itu setiap kali dia menggunakan nama Yehuwa. Maka tidak hairanlah pada kemudian hari, dia mengingatkan umat Tuhan agar “menghormati nama Tuhan yang mulia dan menakjubkan.”​—Ul. 28:58.

4. Apakah yang dapat kita lakukan supaya kita lebih menghormati Yehuwa?

4 Semasa kita memikirkan nama Yehuwa, kita juga perlu merenungkan sifat-sifat-Nya, seperti kuasa, kebijaksanaan, keadilan, dan kasih. Apabila kita merenungkan sifat-sifat Tuhan, kita akan lebih menghormati-Nya.​—Mzm. 77:11-15.

5-6. (a) Apakah maksud nama Tuhan? (b) Menurut Keluaran 3:13, 14 dan Yesaya 64:8, bagaimanakah Yehuwa melaksanakan kehendak-Nya?

5 Apakah yang kita ketahui tentang maksud nama Tuhan? Menurut ramai cendekiawan, nama Yehuwa bermaksud “Dia Menyebabkan Menjadi.” Maksud nama Tuhan mengingatkan kita bahawa tiada apa-apa pun yang dapat menghalang Yehuwa daripada melaksanakan kehendak-Nya. Bagaimanakah Yehuwa melaksanakan kehendak-Nya?

6 Yehuwa dapat menjadi apa-apa sahaja yang diperlukan untuk melaksanakan tujuan-Nya. (Baca Keluaran 3:13, 14.) Hal ini merupakan salah satu aspek yang menakjubkan tentang keperibadian Tuhan, dan kita sering digalakkan untuk berfikir tentangnya. Yehuwa juga dapat menyebabkan hamba-Nya yang tidak sempurna menjadi apa sahaja yang diperlukan untuk berkhidmat kepada-Nya dan melakukan kehendak-Nya. (Baca Yesaya 64:8.) Melalui dua cara ini, Yehuwa dapat melaksanakan kehendak-Nya dan tiada apa-apa pun yang dapat menghalang-Nya.​—Yes. 46:10, 11.

7. Apakah yang dapat kita lakukan supaya kita lebih menghargai Bapa kita yang di syurga?

7 Kita akan lebih menghargai Bapa kita yang di syurga jika kita merenungkan apa yang sudah dilakukan-Nya dan bagaimana Dia telah membantu kita melaksanakan kehendak-Nya. Sebagai contoh, apabila kita merenungkan ciptaan di sekeliling kita, kita berasa kagum dengan perbuatan Yehuwa. (Mzm. 8:3, 4) Selain itu, apabila kita merenungkan bagaimana Yehuwa telah membantu kita melaksanakan kehendak-Nya, kita akan lebih menghormati-Nya. Sesungguhnya, nama Yehuwa layak dihormati! Nama itu merangkumi keperibadian Bapa kita, segala yang telah dilakukan-Nya, dan segala yang akan dilakukan-Nya.​—Mzm. 89:7, 8.

“AKU AKAN MENGISYTIHARKAN NAMA YEHUWA”

Ajaran Musa telah menguatkan iman orang Israel dan menggalakkan mereka. Ajarannya bertumpu kepada nama Yehuwa dan sifat-sifat-Nya (Lihat perenggan 8) *

8. Menurut Ulangan 32:2, 3, bagaimanakah Yehuwa ingin hamba-hamba-Nya memandang nama-Nya?

8 Sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa mengajarkan sebuah lagu kepada Musa. (Ul. 31:19) Musa kemudiannya disuruh mengajarkan lagu itu kepada rakyat. Semasa kita merenungkan Ulangan 32:2, 3, kita dapat melihat dengan jelas bahawa Yehuwa tidak ingin nama-Nya disembunyikan seolah-olah nama-Nya terlalu suci untuk disebut. (Baca.) Sebaliknya, Dia ingin semua orang mengenali nama-Nya! Orang Israel pasti sangat bersyukur kerana dapat mendengar Musa mengajar mereka tentang Yehuwa dan nama-Nya yang agung. Seperti hujan rintik-rintik yang membasahi tumbuh-tumbuhan, ajaran Musa telah menguatkan iman mereka dan menggalakkan mereka. Bagaimanakah kita dapat melakukan hal yang sama semasa mengajar?

9. Bagaimanakah kita dapat membantu menyucikan nama Yehuwa?

9 Semasa kita menginjil dari rumah ke rumah atau melakukan kesaksian awam, kita dapat membuka Bible dan menunjukkan nama Tuhan, iaitu Yehuwa. Kita dapat menawarkan bahan bacaan, menunjukkan video, atau memperkenalkan maklumat di laman web kita yang memuliakan Yehuwa. Semasa di tempat kerja, di sekolah, atau semasa dalam perjalanan, kita mungkin dapat mencari peluang untuk memberitahu orang tentang Tuhan kita dan sifat-sifat-Nya. Ingatlah, orang yang kita temui mungkin tidak pernah mendengar bahawa Yehuwa mengasihi manusia dan mempunyai tujuan yang menakjubkan bagi manusia dan bumi. Apabila kita mengajarkan kebenaran tentang Bapa kita yang pengasih dan membantu orang sedar bahawa mereka telah diajar banyak hal yang tidak benar tentang-Nya, kita sedang membantu menyucikan nama Tuhan. Kebenaran Bible dapat menggalakkan orang dan menguatkan iman mereka.​—Yes. 65:13, 14.

10. Semasa mengadakan pembelajaran Bible, mengapakah sekadar mengajarkan hukum dan perintah Tuhan tidak mencukupi?

10 Semasa mengadakan pembelajaran Bible, kita ingin membantu pelajar kita mengenali dan menggunakan nama Yehuwa. Selain itu, kita ingin membantu mereka mengenali individu di sebalik nama itu. Dapatkah kita mencapai matlamat itu jika kita hanya mengajar pelajar kita tentang hukum dan perintah Tuhan? Seorang pelajar yang baik mungkin mengetahui perintah Tuhan dan bahkan setuju bahawa hukum Tuhan sangat bermanfaat. Namun, adakah dia akan mematuhi Yehuwa kerana mengasihi-Nya? Ingatlah, Adam dan Hawa pun mengetahui perintah Tuhan, tetapi mereka tidak mengasihi-Nya. (Kej. 3:1-6) Jadi, sekadar mengajar orang tentang hukum dan perintah Tuhan tidak mencukupi.

11. Semasa mengajar pelajar kita tentang hukum dan perintah Tuhan, bagaimanakah kita dapat membantu mereka mengasihi Tuhan yang memberikan hukum?

11 Hukum dan perintah Yehuwa sentiasa bermanfaat untuk kita. (Mzm. 119:97, 111, 112) Namun, pelajar kita mungkin tidak menyedari hal ini, maka kita perlu membantunya memahami bahawa Yehuwa memberikan hukum kerana Dia mengasihi kita. Untuk berbuat demikian, kita boleh bertanya, “Pada pendapat kamu, mengapakah Tuhan menyuruh umat-Nya melakukan sesuatu atau menjauhi sesuatu? Apakah sifat Yehuwa yang dapat kamu lihat menerusi perintah-Nya?” Jika kita membantu pelajar kita merenungkan sifat-sifat Yehuwa dan mencintai nama-Nya yang agung, kita dapat mencapai hati mereka. Hasilnya, mereka bukan sahaja akan mencintai hukum Tuhan, tetapi juga mencintai Tuhan yang memberikan hukum itu. (Mzm. 119:68) Iman mereka akan bertambah kuat, dan mereka dapat tetap tabah semasa menghadapi cubaan.​—1 Kor. 3:12-15.

“KITA AKAN MENYANDANG NAMA YEHUWA”

Daud pernah membiarkan hatinya berbelah bahagi (Lihat perenggan 12)

12. Apakah yang menyebabkan hati Daud berbelah bahagi? Apakah akibatnya?

12 Satu ungkapan penting yang ditulis oleh Daud di Mazmur 86:11 ialah “satukanlah hatiku.” Daripada pengalamannya sendiri, Daud tahu benar betapa mudahnya hati manusia berbelah bahagi. Pernah sekali, semasa di atas bumbung, Daud ternampak isteri orang lain sedang mandi. Pada masa itu, apakah yang terjadi kepada hati Daud? Dia mengetahui perintah Yehuwa supaya tidak mengingini isteri orang lain. (Kel. 20:17) Namun, dia tidak mengalihkan pandangannya. Akibatnya, hatinya berbelah bahagi. Dia ingin menyenangkan hati Yehuwa, tetapi dia juga menginginkan Bat-syeba. Walaupun Daud sudah lama mengasihi Yehuwa dan takut kepada-Nya, dia telah tunduk kepada nafsunya. Akibatnya, Daud telah melakukan dosa yang besar, menyebabkan nama Yehuwa dicela, dan menyusahkan banyak orang yang tidak berdosa, termasuk ahli keluarganya.​—2 Sam. 11:1-5, 14-17; 12:7-12.

13. Bagaimanakah kita tahu bahawa hati Daud tidak lagi berbelah bahagi?

13 Yehuwa telah mendisiplinkan Daud, dan Daud telah membaiki hubungannya dengan Yehuwa. (2 Sam. 12:13; Mzm. 51:2-4, 17) Daud tidak lupa akan masalah dan keperitan yang timbul akibat membiarkan hatinya berbelah bahagi. Sebenarnya, kata-katanya di Mazmur 86:11 juga boleh diterjemahkan sebagai, “Berilah aku hati yang tidak berbelah bahagi.” Adakah Yehuwa mengabulkan permintaan Daud? Ya, kerana Bible menggambarkan Daud sebagai seorang yang “menyembah Yehuwa, Tuhannya, dengan sepenuh hati.”​—1 Raj. 11:4; 15:3.

14. Apakah soalan yang perlu kita fikirkan, dan mengapa?

14 Kisah Daud sangat menggalakkan, tetapi pada masa yang sama, apa yang terjadi kepadanya merupakan amaran kepada hamba-hamba Tuhan zaman ini. Tidak kira kita baru mula menyembah Yehuwa atau sudah lama menyembah-Nya, kita perlu memikirkan soalan ini: “Adakah saya terus melawan usaha Syaitan untuk membuat hati saya berbelah bahagi?”

Syaitan mahu membuat hati anda berbelah bahagi. Janganlah membiarkan hasratnya tercapai! (Lihat perenggan 15-16) *

15. Bagaimanakah rasa takut akan Tuhan dapat melindungi kita jika kita ternampak gambar yang membangkitkan nafsu?

15 Sebagai contoh, jika anda ternampak sesuatu di TV atau di Internet yang mungkin dapat membangkitkan nafsu berahi, apakah reaksi anda? Dengan mudah, kita mungkin berfikir bahawa apa yang kita lihat itu bukanlah bahan lucah. Tetapi ingatlah bahawa Syaitan dapat menggunakannya untuk membuat hati kita berbelah bahagi. (2 Kor. 2:11) Gambar itu dapat disamakan dengan pasak, iaitu sebuah alat yang runcing hujungnya, yang digunakan untuk membelah kayu. Kali pertama pasak ditancapkan ke dalam kayu, retakan pada kayu itu mungkin tidak begitu ketara. Namun, apabila pasak itu ditukul berkali-kali, retakan itu akan menjadi semakin besar, dan akhirnya kayu itu terbelah. Begitu juga, gambar yang membangkitkan nafsu mungkin tidak akan membawa kesan buruk dengan serta-merta. Namun, jika seseorang terus melihatnya, hatinya akan berbelah bahagi dan akhirnya dia akan berdosa terhadap Yehuwa. Maka untuk memiliki hati yang tidak berbelah bahagi dan terus takut akan nama Yehuwa, janganlah dedahkan hati anda kepada apa-apa yang tidak senonoh.

16. Semasa menghadapi godaan, apakah soalan-soalan yang patut kita fikirkan?

16 Selain gambar yang membangkitkan nafsu, Syaitan juga menggoda kita dengan banyak perkara yang lain. Apakah reaksi kita? Memang mudah untuk berfikir, “Saya tidak akan disingkirkan kerana berbuat begitu, maka hal ini tidaklah begitu serius.” Namun, fikiran sebegini sangat berbahaya dan harus dijauhi. Sebaliknya, lebih baik kita menanya diri, “Adakah ini muslihat Syaitan untuk membuat hati saya berbelah bahagi? Jika saya menyerah kepada keinginan yang salah, adakah saya akan menyebabkan nama Yehuwa dicela? Jika saya tunduk kepada nafsu yang berdosa, adakah saya akan semakin menghampiri Tuhan atau menjauhi-Nya?” Renungkanlah soalan-soalan itu dan mohonlah kebijaksanaan supaya anda dapat menjawabnya dengan jujur. (Yak. 1:5) Dengan berbuat demikian, anda akan dilindungi dan dapat menolak godaan Syaitan. Seperti Yesus, anda dapat berdiri teguh dan berkata, “Pergilah Syaitan!”​—Mat. 4:10.

17. Mengapakah hati yang berbelah bahagi tidak ada nilainya? Berikan contoh.

17 Hati yang berbelah bahagi tidak ada nilainya. Bayangkan jika ahli-ahli dalam sebuah pasukan bola sepak sering bergaduh. Ada antara mereka yang hanya ingin mengagungkan diri sendiri, yang lain tidak ingin bermain mengikut peraturan, dan ada juga yang langsung tidak menghormati jurulatih. Pasukan sebegitu tidak dapat memenangi pertandingan. Namun, jika semua ahli pasukan bersatu padu, peluang mereka untuk menang adalah lebih besar. Hati anda bagaikan sebuah pasukan. Untuk menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, anda perlu memastikan bahawa fikiran, keinginan, dan perasaan anda, berfokus kepada hal yang sama, iaitu ibadat kepada Yehuwa. (Mat. 22:36-38) Namun, Syaitan ingin hati anda berbelah bahagi. Meskipun anda mengetahui piawaian Yehuwa dan ingin mematuhi-Nya, Syaitan mahu hati anda tertarik kepada keinginan yang salah pada masa yang sama. Janganlah membiarkan hasrat Syaitan tercapai!

18. Selaras dengan apa yang dinyatakan di Mikha 4:5, apakah tekad anda?

18 Semoga kita berdoa seperti Daud, “Satukanlah hatiku supaya aku takut akan nama-Mu,” dan semoga kita berusaha untuk hidup selaras dengan doa itu setiap hari. Ingatlah bahawa sebagai Saksi-Saksi Yehuwa, kita menyandang nama Tuhan. Maka, semasa membuat keputusan yang kecil dan besar, semoga kita bertekad untuk menunjukkan bahawa kita sangat menghormati nama suci Yehuwa. (Ams. 27:11) Dengan berbuat demikian, kita semua dapat memuliakan nama Yehuwa dan berkata seperti Nabi Mikha, “Kita akan menyandang nama Yehuwa, Tuhan kita, buat selama-lamanya.”​—Mi. 4:5.

LAGU 41 Dengarlah Doa Aku

^ per. 5 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan doa Raja Daud yang tercatat di Mazmur 86:11, 12. Apakah maksud takut akan nama Yehuwa? Mengapakah kita harus hormat dan takut akan nama itu? Bagaimanakah rasa takut akan Tuhan melindungi kita agar tidak menyerah kepada godaan?

^ per. 53 KETERANGAN GAMBAR: Musa mengajar umat Yehuwa sebuah lagu yang memuliakan Yehuwa.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Hawa tidak menolak keinginan yang salah. Tetapi kita tidak mahu melihat gambar atau mesej yang dapat menimbulkan nafsu yang salah dan menyebabkan nama Tuhan dicela.