Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 13

LAGU 127 Bagaimana Seharusnya Hidupku

Yakinlah bahawa Yehuwa Berkenan kepada Anda

Yakinlah bahawa Yehuwa Berkenan kepada Anda

“Aku berkenan kepadamu.”​—LUK. 3:22.

FOKUS

Menguatkan keyakinan kita bahawa Yehuwa berkenan kepada kita.

1. Apakah perasaan sesetengah hamba Yehuwa?

 BIBLE menyatakan, “Yehuwa berkenan kepada umat-Nya.” (Mzm. 149:4) Hal itu pasti melegakan kita. Namun, sesetengah penyembah Yehuwa ada kalanya berasa begitu tawar hati sehingga berfikir, “Adakah Yehuwa berkenan kepada saya?” Sebilangan hamba Yehuwa pada zaman Bible pun pernah berasa begitu.​—1 Sam. 1:​6-10; Ayb. 29:​2, 4; Mzm. 51:11.

2. Apakah yang perlu kita lakukan untuk mendapat perkenan Yehuwa?

2 Bible menjelaskan bahawa manusia yang tidak sempurna boleh mendapat perkenan Yehuwa. Bagaimana? Kita mesti beriman kepada Yesus Kristus dan dibaptis. (Yoh. 3:16) Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bertaubat dan berjanji kepada Tuhan untuk melakukan kehendak-Nya. (Kis. 2:38; 3:19) Apabila kita mengambil beberapa langkah ini agar dapat menjadi sahabat Yehuwa, Dia berasa sangat gembira. Selagi kita berusaha sedaya upaya untuk menunaikan ikrar pembaktian kita, Yehuwa akan berkenan kepada kita dan menganggap kita sebagai sahabat akrab-Nya.​—Mzm. 25:14.

3. Apakah yang akan kita bincangkan sekarang?

3 Sekarang, mari kita membincangkan tiga soalan berikut: Mengapakah sesetengah orang ada kalanya berasa Tuhan tidak berkenan kepada mereka? Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada kita? Bagaimanakah kita dapat bertambah yakin bahawa kita mendapat perkenan Tuhan?

MENGAPA SESETENGAH ORANG RASA YEHUWA TIDAK BERKENAN KEPADA MEREKA

4-5. Jika kita rasa diri kita tidak berguna, apakah yang harus kita ingat?

4 Ada antara kita yang berasa diri tidak berguna sejak kecil. (Mzm. 88:15) Seorang saudara yang bernama Adrián berkata, “Saya selalu rasa saya tidak berguna. Semasa kecil, saya berdoa supaya keluarga saya boleh masuk Firdaus, tapi saya rasa saya tidak layak masuk.” Tony, yang ibu bapanya bukan Saksi, berkata, “Ibu bapa saya tidak pernah kata bahawa mereka sayang saya atau bangga dengan saya. Saya selalu rasa apa yang saya buat tidak cukup baik.”

5 Jika kita ada kalanya berasa diri kita tidak berguna, kita perlu ingat bahawa Yehuwa sendirilah yang memimpin kita kepada-Nya. (Yoh. 6:44) Dia tahu sifat-sifat baik kita yang kita sendiri mungkin tidak sedari, dan Dia melihat hati kita. (1 Sam. 16:7; 2 Taw. 6:30) Jadi, jika Yehuwa berkata bahawa kita berharga bagi-Nya, percayalah bahawa apa yang dikatakan-Nya itu memang benar.​—1 Yoh. 3:​19, 20.

6. Apakah perasaan Paulus terhadap dosa yang pernah dilakukannya?

6 Ada antara kita yang berasa bersalah kerana dosa yang kita lakukan sebelum mempelajari kebenaran. (1 Ptr. 4:3) Orang Kristian yang setia pun perlu bergelut dengan kelemahan diri sendiri. Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda rasa Yehuwa tidak mungkin akan mengampuni dosa anda? Jika ya, ingatlah bahawa hamba Yehuwa yang setia juga pernah berasa begitu. Misalnya, Paulus berasa susah hati semasa memikirkan kelemahannya. (Rm. 7:24) Walaupun dia sudah bertaubat dan dibaptis, dia masih menggambarkan dirinya sebagai rasul “yang paling tidak penting” dan pendosa “yang paling teruk.”​—1 Kor. 15:9; 1 Tim. 1:15.

7. Apakah yang harus kita ingat?

7 Bapa kita yang di syurga berjanji untuk mengampuni kita jika kita menyesali dosa kita. (Mzm. 86:5) Jadi jika kita sudah bertaubat, kita harus mempercayai janji Yehuwa dan yakin bahawa Dia sudah mengampuni kita.​—Kol. 2:13.

8-9. Jika kita rasa apa yang kita lakukan tidak akan cukup untuk menggembirakan Yehuwa, apakah yang dapat kita lakukan?

8 Kita semua ingin berkhidmat kepada Yehuwa dengan sedaya upaya. Namun, sesetengah orang berasa bahawa apa yang mereka lakukan tidak akan cukup untuk menerima perkenan Tuhan. Seorang saudari yang bernama Amanda berkata, “Saya fikir memberi Yehuwa yang terbaik bermaksud saya selalu perlu memberi-Nya lebih banyak lagi. Jadi saya sering cuba melakukan lebih banyak daripada apa yang saya mampu. Apabila hasrat saya tidak tercapai, saya kecewa dengan diri sendiri, dan saya fikir Yehuwa pun kecewa dengan saya.”

9 Bagaimanakah kita dapat mengatasi perasaan sebegini? Ingatlah bahawa Yehuwa bersikap munasabah, dan Dia tidak mengharapkan sesuatu yang di luar kemampuan kita. Dia menghargai apa saja yang kita lakukan untuk-Nya asalkan kita melakukannya dengan sepenuh hati. Kita juga boleh merenungkan watak Bible yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh jiwa. Fikirkan contoh Paulus. Selama bertahun-tahun, dia menginjil dengan bersemangat, membuat perjalanan yang jauh, dan menubuhkan banyak sidang. Namun semasa situasinya berubah, dia tidak dapat menginjil seperti dahulu. Adakah Yehuwa masih berkenan kepadanya? Sudah tentu! Paulus terus melakukan apa yang dia mampu, dan Yehuwa memberkatinya. (Kis. 28:​30, 31) Begitu juga, apa yang dapat kita berikan kepada Yehuwa mungkin berubah-ubah. Namun apa yang terpenting bagi-Nya ialah motif kita. Sekarang, mari kita membincangkan beberapa cara Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya kepada kita.

CARA YEHUWA MENUNJUKKAN PERKENAN-NYA

10. Bagaimanakah kita dapat “mendengar” Yehuwa berkata bahawa Dia berkenan kepada kita? (Yohanes 16:27)

10 Melalui Bible. Yehuwa suka memberitahu orang yang dikasihi-Nya bahawa Dia berkenan kepada mereka. Dalam catatan Bible, sebanyak dua kali Yehuwa memberitahu Yesus bahawa Dia mengasihinya dan berkenan kepadanya. (Mat. 3:17; 17:5) Inginkah anda mendengar Yehuwa berkata demikian kepada anda? Walaupun Yehuwa tidak bercakap kepada kita dari syurga, kita dapat “mendengar” suara-Nya melalui Bible, terutamanya menerusi kata-kata Yesus. (Baca Yohanes 16:27.) Yesus mencerminkan keperibadian Bapanya dengan sempurna. Jadi semasa membaca bagaimana Yesus memberitahu murid-muridnya yang tidak sempurna bahawa dia berkenan kepada mereka, kita dapat membayangkan Yehuwa sedang mengucapkan kata-kata yang sama kepada kita.​—Yoh. 15:​9, 15.

Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya kepada kita dalam pelbagai cara (Lihat perenggan 10)


11. Mengapakah cubaan bukanlah tanda bahawa kita kehilangan perkenan Yehuwa? (Yakobus 1:12)

11 Melalui tindakan-Nya. Yehuwa ingin membantu kita dengan menyediakan keperluan fizikal kita. Ada kalanya, Yehuwa mungkin membiarkan kita menghadapi cubaan, seperti yang berlaku kepada Ayub. (Ayb. 1:​8-11) Namun, cubaan tidak bermaksud kita kehilangan perkenan Tuhan. Sebaliknya, cubaan yang kita hadapi memberi kita peluang untuk membuktikan betapa kuatnya kasih dan kepercayaan kita kepada Tuhan. (Baca Yakobus 1:12.) Semasa merasai bagaimana Yehuwa membantu kita mengharungi cubaan dengan tabah, kita akan lebih yakin bahawa Dia mengasihi dan menyokong kita.

12. Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Dmitrii?

12 Fikirkan pengalaman Dmitrii, seorang saudara di Asia. Dia kehilangan kerja dan tidak dapat mencari kerja yang baharu selama berbulan-bulan. Maka dia memutuskan untuk meluangkan lebih banyak masa dalam kerja penyebaran. Berbulan-bulan kemudian, dia masih tidak dapat mencari kerja. Kemudian dia sakit teruk sehingga terlantar di katil. Ketika itu, dia mula berfikir bahawa dia bukanlah bapa dan suami yang baik, dan dia tertanya-tanya jika Yehuwa tidak lagi berkenan kepadanya. Suatu petang, anak perempuannya mencetakkan ayat di Yesaya 30:15 pada sehelai kertas dan membawa kertas itu kepada Dmitrii. Ayat itu berbunyi: “Jika kamu bertenang dan percaya kepada-Ku, kamu akan dikuatkan.” Anak perempuan Dmitrii berkata, “Bila Ayah rasa susah hati, ingatlah ayat ini.” Dmitrii sedar bahawa Yehuwa masih sedang membantunya. Itulah sebabnya keluarganya masih mempunyai pakaian, makanan, dan tempat tinggal. Dia berkata, “Apa yang perlu saya lakukan ialah terus bertenang dan percaya kepada Tuhan saya.” Jika anda menghadapi cubaan sebegini, percayalah bahawa Yehuwa prihatin terhadap anda dan akan membantu anda bertabah.

Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya kepada kita dalam pelbagai cara (Lihat perenggan 12) a


13. Yehuwa mungkin menggunakan siapa untuk menunjukkan perkenan-Nya kepada kita, dan bagaimana?

13 Melalui rakan seiman. Yehuwa menggunakan saudara saudari untuk menunjukkan perkenan-Nya kepada kita. Contohnya, Dia mungkin menggerakkan mereka untuk mengucapkan kata-kata galakan tepat pada waktu kita paling memerlukannya. Itulah yang berlaku kepada seorang saudari di Asia. Dia kehilangan kerjanya dan menghidap penyakit yang teruk. Kemudian, suaminya melakukan dosa yang serius lalu diberhentikan sebagai penatua. Pada masa itu, dia sangat tertekan. Dia berkata, “Saya tidak faham mengapa semua ini berlaku. Saya fikir saya telah berbuat salah dan kehilangan perkenan Yehuwa.” Saudari kita merayu kepada Yehuwa untuk meyakinkannya bahawa Dia masih berkenan kepadanya. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doanya? Dia berkata, “Para penatua berjumpa dengan saya dan meyakinkan saya bahawa Yehuwa masih mengasihi saya.” Beberapa lama kemudian, dia meminta bantuan Yehuwa lagi. Dia berkata, “Hari itu juga, saya menerima sepucuk surat daripada saudara saudari. Selepas membaca kata-kata mereka yang melegakan, saya yakin Yehuwa telah menjawab doa saya.” Ya, Yehuwa sering menunjukkan perkenan-Nya menerusi kata-kata galakan daripada rakan seiman kita.—Mzm. 10:17.

Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya kepada kita dalam pelbagai cara (Lihat perenggan 13) b


14. Apakah satu lagi cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada kita?

14 Yehuwa juga menunjukkan perkenan-Nya menerusi teguran yang disampaikan oleh rakan seiman kita. Contohnya, pada abad pertama, Yehuwa mengilhami Rasul Paulus untuk menulis 14 pucuk surat kepada rakan seimannya. Surat-surat itu mengandungi teguran yang disampaikan dengan terus terang tetapi juga dengan penuh kasih. Mengapakah Yehuwa mengilhami Paulus untuk menegur mereka? “Kerana Yehuwa menegur orang yang dikasihi-Nya, seperti seorang bapa menegur anak yang disayanginya.” (Ams. 3:​11, 12) Jadi, jika kita diberi teguran yang berdasarkan Bible, janganlah berfikir bahawa Yehuwa sedang marah dengan kita. Sebaliknya, marilah kita menganggap teguran itu sebagai bukti bahawa Dia berkenan kepada kita. (Ibr. 12:6) Apakah bukti-bukti lain yang menunjukkan bahawa Yehuwa berkenan kepada kita?

BUKTI-BUKTI LAIN YANG MENUNJUKKAN YEHUWA BERKENAN KEPADA KITA

15. Yehuwa memberikan kuasa suci-Nya kepada siapa? Kita boleh yakin akan hal apa?

15 Yehuwa memberikan kuasa suci-Nya kepada mereka yang diperkenankan-Nya. (Mat. 12:18) Tanyalah diri, “Adakah saya menunjukkan sesetengah sifat dalam buah kuasa suci Tuhan?” Contohnya, adakah anda lebih sabar sekarang berbanding masanya anda belum mengenali Yehuwa? Apabila anda semakin berusaha untuk memupuk buah kuasa suci Tuhan, anda akan semakin yakin bahawa Tuhan berkenan kepada anda!—Lihat kotak “ Buah Kuasa Suci Tuhan Ialah . . .

Bagaimanakah anda dapat menyedari bukti bahawa Yehuwa berkenan kepada anda? (Lihat perenggan 15)


16. Yehuwa mengamanahkan kerja menyebarkan berita baik kepada siapa? Apakah perasaan anda setelah memikirkan hal ini? (1 Tesalonika 2:4)

16 Yehuwa mengamanahkan kerja menyebarkan berita baik kepada orang yang mendapat perkenan-Nya. (Baca 1 Tesalonika 2:4.) Perhatikan manfaat yang diraih oleh Saudari Jocelyn kerana mengongsi berita baik dengan orang lain. Suatu pagi, dia bangun dan rasa lemah semangat. Dia berkata, “Saya rasa tidak bermaya dan tidak berguna. Tetapi saya merintis, dan saya sudah jadualkan hari itu untuk kerja penyebaran. Jadi saya pun berdoa dan keluar menginjil.” Pagi itu, Jocelyn berjumpa dengan Mary, seorang wanita yang sudi belajar Bible. Beberapa bulan kemudian, Mary berkata bahawa semasa Jocelyn mengetuk pintunya, dia sedang berdoa meminta bantuan Tuhan. Mengenang kembali pengalaman ini, Jocelyn berkata, “Saya rasa Yehuwa seolah-olah sedang berkata kepada saya, ‘Aku berkenan kepadamu.’” Sudah tentu, bukan semua orang akan mendengar semasa kita menginjil. Tetapi Yehuwa pasti sangat gembira semasa kita berusaha sebaik-baiknya untuk mengongsi berita baik.

Bagaimanakah anda dapat menyedari bukti bahawa Yehuwa berkenan kepada anda? (Lihat perenggan 16) c


17. Apakah yang anda pelajari daripada kata-kata Vicky? (Mazmur 5:12)

17 Yehuwa menggunakan korban tebusan untuk membantu orang yang mendapat perkenan-Nya. (1 Tim. 2:​5, 6) Apakah yang dapat kita lakukan jika kita beriman kepada korban tebusan dan sudah dibaptis, tetapi masih berasa susah untuk percaya bahawa Yehuwa berkenan kepada kita? Ingatlah, perasaan kita tidak selalunya boleh dipercayai. Pandangan Yehuwa pula sentiasa benar. Jika seseorang beriman kepada korban tebusan, Yehuwa berkenan kepadanya dan berjanji untuk memberkatinya. (Baca Mazmur 5:12; Rm. 3:26) Perhatikan apa yang disedari oleh Saudari Vicky setelah merenungkan korban tebusan. Dia berkata, “Sudah begitu lama Yehuwa bersabar terhadap saya. . . . Tetapi saya seolah-olah berkata kepada-Nya, ‘Saya tidak dapat merasai kasih-Mu, dan tebusan Anak-Mu tidak cukup untuk menutupi dosa saya.’” Dengan merenungkan korban tebusan, dia mula merasai kasih Yehuwa. Jika kita melakukan hal yang sama, kita juga dapat merasai kasih dan perkenan Yehuwa.

Bagaimanakah anda dapat menyedari bukti bahawa Yehuwa berkenan kepada anda? (Lihat perenggan 17)


18. Jika kita terus mengasihi Bapa kita yang di syurga, kita dapat yakin akan hal apa?

18 Walaupun kita sudah berusaha untuk menerapkan cadangan-cadangan di atas, ada kalanya kita mungkin berasa tawar hati dan tertanya-tanya jika Yehuwa berkenan kepada kita. Jika hal itu berlaku, ingatlah bahawa Yehuwa berkenan kepada “mereka yang sentiasa mengasihi-Nya.” (Yak. 1:12) Jadi teruslah menghampiri Yehuwa dan carilah bukti bahawa Dia berkenan kepada anda. Jangan sekali-kali lupa bahawa Yehuwa “tidak jauh daripada kita masing-masing.”—Kis. 17:27.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Mengapakah sesetengah orang berasa mereka tidak diperkenankan Yehuwa?

  • Apakah beberapa cara Yehuwa menunjukkan perkenan-Nya kepada kita?

  • Mengapakah kita boleh yakin bahawa Yehuwa berkenan kepada kita?

LAGU 88 Ajarlah Aku Jalan-Mu

a KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula

b KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula

c KETERANGAN GAMBAR: Lakonan semula