Hidup Sederhana Membawa Sukacita
DANIEL DAN MIRIAM berkahwin pada September 2000 dan menetap di Barcelona, Sepanyol. Daniel berkata, “Kami menikmati hidup yang dianggap ‘biasa.’ Pendapatan kami membolehkan kami makan di restoran mewah, bercuti di luar negara, dan memiliki pakaian berjenama. Kami juga menginjil secara tetap.”
Namun, semasa konvensyen tahun 2006, sebuah ceramah telah menyentuh hati Daniel. Ceramah itu menegaskan pentingnya menyebarkan mesej Bible dan mengajukan soalan ini: “Adakah kita sedang berusaha sedaya upaya untuk membantu orang yang berada di ambang kebinasaan supaya mengikut jalan yang menuju kehidupan kekal?” (Ams. 24:11; Kis. 20:26, 27) Daniel berkata, “Rasanya Yehuwa sedang bercakap kepada saya.” Ceramah itu juga menyatakan bahawa orang yang memperluaskan khidmat kepada Yehuwa akan lebih bersukacita. Daniel tahu hal itu memang benar kerana isterinya Miriam telah menikmati banyak berkat selepas menjadi perintis.
Daniel berkata, “Saya memutuskan bahawa saya harus berubah.” Maka dia mengurangkan masa kerjanya, mula merintis, dan memikirkan sukacita yang akan diraih jika dia dan Miriam berkhidmat di tempat yang memerlukan bantuan.
CABARAN DAHULU TETAPI SUKACITA KEMUDIAN
Pada tahun 2007, Daniel dan Miriam meletak jawatan dan berpindah ke Panama, sebuah negara yang pernah dikunjungi mereka. Di situ mereka menginjil kepada orang Ngabe, penduduk peribumi Kepulauan Bocas del Toro di Laut Caribbean. Daniel dan Miriam bercadang untuk tinggal di Panama kira-kira lapan bulan, sehingga wang simpanan mereka habis.
Untuk menginjil, mereka menggunakan bot dan basikal. Kali pertama mereka berbasikal untuk menginjil, mereka telah membuat perjalanan sejauh 32 km di jalan bukit yang curam dan di bawah panas terik. Daniel hampir pengsan kerana terlalu letih! Tetapi orang Ngabe menyambut mereka dengan mesra, terutamanya setelah mereka belajar sedikit bahasa tempatan. Tidak lama kemudian, mereka mengadakan 23 pembelajaran Bible!
Setelah wang simpanan mereka habis, mereka berasa sedih. Daniel berkata, “Kami bergenang air mata semasa berfikir bahawa kami harus pulang ke Sepanyol. Kami tidak sampai hati meninggalkan pelajar Bible kami.” Tetapi sebulan kemudian, mereka menerima berita baik. Miriam berkata, “Kami dijemput untuk berkhidmat sebagai perintis khas. Kami sangat gembira kerana dapat terus di sini!”
SUKACITA YANG PALING BESAR
Pada tahun 2015, disebabkan perubahan dalam organisasi, Daniel dan Miriam diminta untuk berkhidmat sebagai perintis biasa. Apakah yang akan dilakukan mereka? Mereka tetap yakin kepada janji di Mazmur 37:5, ‘Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau.’ Setelah mendapat kerja sekular, kini mereka merintis di sebuah sidang di Veraguas, Panama.
Daniel berkata, “Sebelum meninggalkan Sepanyol, kami kurang yakin sama ada dapat hidup sederhana atau tidak. Tetapi setelah melakukannya, kami tidak berasa serba kekurangan.” Apakah sukacita terbesar yang dinikmati mereka? Mereka berkata, “Membantu orang yang berhati jujur mengenali Yehuwa membawa sukacita yang tiada tandingnya!”