Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Tahukah Anda?

Tahukah Anda?

Adakah tumbuhan papirus digunakan untuk membina perahu pada zaman Bible?

Tumbuhan papirus

RAMAI orang tahu bahawa kebanyakan kertas untuk menulis yang digunakan di Mesir kuno diperbuat daripada papirus. Orang Yunani dan orang Roma juga menggunakan kertas papirus. * Namun, ramai yang tidak mengetahui bahawa papirus juga digunakan untuk membina perahu.

Dua model perahu papirus yang dijumpai di dalam sebuah makam orang Mesir

Lebih daripada 2,500 tahun dahulu, Nabi Yesaya menulis bahawa orang yang tinggal “di kawasan sungai di Etiopia” telah “menghantar utusan-utusan melalui laut dengan perahu papirus.” Selain itu, Nabi Yeremia juga menubuatkan bahawa semasa orang Media dan Persia menyerang kota Babilon, mereka akan membakar “perahu-perahu papirus” orang Babilon supaya orang Babilon tidak dapat melarikan diri.​—Yes. 18:1, 2; Yer. 51:32.

Bible diilhami oleh Tuhan. Maka, orang yang mengkaji Bible tidak berasa hairan semasa ahli kaji purba mendapati bahawa papirus memang digunakan untuk membina perahu pada zaman Bible. (2 Tim. 3:16) Sekarang, mari kita lihat apa yang telah ditemui oleh para ahli kaji purba tentang proses pembinaan perahu papirus di Mesir.

BAGAIMANAKAH PERAHU PAPIRUS DIBINA?

Lukisan dan ukiran yang terdapat dalam makam orang Mesir menggambarkan bagaimana mereka mengumpulkan papirus untuk membina perahu. Tangkai-tangkai papirus akan dipotong lalu diikat menjadi berkas. Kemudian, berkas-berkas itu akan diikatkan untuk membentuk badan perahu. Tangkai-tangkai papirus berbentuk segi tiga. Oleh itu, tangkai-tangkai papirus yang diikat dengan ketat akan menghasilkan struktur yang amat kukuh. Menurut sebuah buku tentang sejarah Mesir, panjang perahu papirus dapat mencapai lebih daripada 17 meter dan mempunyai ruang untuk 10 atau 12 batang pendayung di setiap sisi.

Ukiran Mesir kuno yang menunjukkan bagaimana perahu papirus dibina

MENGAPAKAH PAPIRUS DIGUNAKAN UNTUK MEMBINA PERAHU?

Tumbuhan papirus mudah didapati di Lembah Sungai Nil. Tambahan pula, perahu papirus agak mudah dibina. Jadi, bahkan selepas manusia mula menggunakan kayu untuk membina kapal yang besar, nelayan dan pemburu masih menggunakan rakit dan perahu kecil yang diperbuat daripada papirus.

Perahu papirus telah digunakan oleh manusia untuk jangka masa yang sangat lama. Menurut Plutarch, seorang penulis Yunani yang hidup pada zaman para rasul, sesetengah orang pada zamannya masih menggunakan perahu papirus.

^ per. 3 Papirus bertumbuh subur di kawasan paya dan di sungai yang alirannya tidak deras. Tumbuhan papirus dapat mencapai ketinggian kira-kira 5 meter, dan tangkai di bahagian dasarnya dapat mencapai diameter kira-kira 15 sentimeter.