‘Orang yang Murah Hati Akan Diberkati’
KORBAN merupakan bahagian yang penting dalam ibadat sejati. Orang Israel mempersembahkan korban binatang, manakala orang Kristian “mempersembahkan puji-pujian sebagai korban kepada Tuhan.” Namun, terdapat korban-korban lain yang disenangi Tuhan. (Ibr. 13:15, 16) Korban-korban ini membawa sukacita dan berkat, seperti yang ditunjukkan dalam contoh berikut.
Hana, hamba Tuhan pada masa lampau, sangat menginginkan anak, tetapi dia mandul. Dalam doanya, dia berjanji bahawa jika Yehuwa mengurniakannya seorang anak lelaki, anak itu akan ‘diserahkan kepada Yehuwa seumur hidupnya.’ (1 Sam. 1:9-11) Akhirnya, Hana mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Samuel. Selepas Samuel bercerai susu, Hana membawanya ke khemah suci. Hana diberkati kerana rela berkorban. Dia mendapat lima orang anak lagi, dan Samuel menjadi seorang nabi dan penulis Bible.—1 Sam. 2:21.
Seperti Hana dan Samuel, orang Kristian hari ini juga dapat menggunakan kehidupan mereka untuk berkhidmat kepada Pencipta kita. Yesus berjanji bahawa segala pengorbanan kita demi Yehuwa akan diberkati.—Mrk. 10:28-30.
Pada abad pertama, seorang wanita yang bernama Dorkas “melakukan banyak perkara baik dan selalu membantu orang.” Apabila dia “jatuh sakit lalu mati,” seluruh sidang sangat sedih. Ketika murid-murid Yesus mendengar bahawa Petrus berada di situ, mereka merayu agar dia datang. Bayangkan sukacita mereka apabila Petrus membangkitkan Dorkas. Itulah catatan pembangkitan pertama yang dilakukan oleh seorang rasul! (Kis. 9:36-41) Tuhan tidak melupakan kemurahan hati dan pengorbanan Dorkas. (Ibr. 6:10) Teladannya telah diabadikan dalam Firman Tuhan bagi kita.
Paulus juga menetapkan teladan baik kerana selalu meluangkan masa dan prihatin terhadap orang lain. Dalam suratnya kepada sidang Korintus, dia berkata, “Aku rela menggunakan segala milikku dan sanggup mengorbankan segala-galanya untuk kamu.” (2 Kor. 12:15) Daripada pengalamannya, Paulus belajar bahawa pengorbanan yang dilakukan demi orang lain bukan sahaja mendatangkan kepuasan, malah mendatangkan berkat dan perkenan Yehuwa.—Kis. 20:24, 35.
Jelaslah, Yehuwa gembira apabila kita menggunakan masa dan tenaga untuk mengutamakan Kerajaan Tuhan dan membantu rakan seiman. Namun, apakah cara lain kita dapat menyokong kerja penyebaran dan memuliakan Tuhan? Kita dapat memberikan sumbangan sukarela untuk menyokong para mubaligh dan pekhidmat khas sepenuh masa. Sumbangan kita juga membantu dalam kerja menyediakan dan menterjemahkan bahan bacaan dan video-video, membantu mangsa bencana, dan membina Dewan Perjumpaan. Kita dapat yakin bahawa ‘orang yang murah hati akan diberkati Yehuwa.’ Tambahan lagi, apabila kita memberikan yang terbaik kepada Yehuwa, kita sedang memuliakan-Nya.—Ams. 3:9; 22:9.