Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 47

Pengajaran untuk Kita daripada Buku Imamat

Pengajaran untuk Kita daripada Buku Imamat

“Segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna.”​—2 TIM. 3:16.

LAGU 98 Bible​—Diilhami oleh Tuhan

PENGENALAN *

1-2. Mengapakah orang Kristian sekarang patut berminat untuk mengkaji buku Imamat?

RASUL PAULUS memberitahu Timotius bahawa “segenap Ayat-Ayat Suci diilhami oleh Tuhan dan berguna.” (2 Tim. 3:16) Buku Imamat juga tergolong dalam Ayat-Ayat Suci. Apakah pandangan anda terhadap buku itu? Ada yang menganggap buku itu sebagai senarai peraturan yang tidak berkaitan dengan zaman kita, tetapi orang Kristian sejati ada pandangan yang berbeza.

2 Buku Imamat ditulis kira-kira 3,500 tahun yang lalu, tetapi Yehuwa memastikan agar kandungannya dipelihara “untuk mengajar kita.” (Rm. 15:4) Kita patut berminat untuk mengkaji buku Imamat, kerana melaluinya, kita dapat memahami fikiran Yehuwa. Sebenarnya, buku itu mengandungi banyak pengajaran untuk kita. Mari kita lihat empat contoh.

CARA MENDAPAT PERKENAN YEHUWA

3. Apakah tujuan korban yang dipersembahkan pada Hari Pengampunan Dosa?

3 Pengajaran pertama: Kita perlu mendapat perkenan Yehuwa, barulah korban kita akan diterima-Nya. Setiap tahun, pada Hari Pengampunan Dosa, bangsa Israel akan berhimpun dan mempersembahkan korban-korban binatang. Korban itu bertujuan untuk mengingatkan orang Israel bahawa mereka perlu dibersihkan daripada dosa. Tetapi sebelum imam agung membawa darah korban ke dalam Bilik Maha Suci untuk memohon pengampunan dosa, dia perlu melakukan satu hal yang lebih penting terlebih dahulu.

(Lihat perenggan 4) *

4. Menurut Imamat 16:12, 13, apakah yang dilakukan oleh imam agung semasa dia memasuki Bilik Maha Suci buat kali pertama pada Hari Pengampunan Dosa? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

4 Baca Imamat 16:12, 13. Bayangkan apa yang terjadi pada Hari Pengampunan Dosa. Imam agung memasuki khemah suci Tuhan. Di sebelah tangannya, terdapat bekas yang penuh dengan kemenyan yang harum, dan di satu tangannya lagi, terdapat bekas perbaraan emas yang penuh dengan bara api. Dia berhenti sejenak di hadapan tirai yang menutup pintu masuk ke Bilik Maha Suci. Kemudian, dengan penuh hormat, dia memasuki Bilik Maha Suci dan berdiri di hadapan tabut perjanjian. Ketika itu, dia seolah-olah sedang berdiri di hadapan Yehuwa. Dengan berhati-hati, dia meletakkan kemenyan itu di atas bara api, lalu seluruh bilik dipenuhi bau yang harum. * Itulah kali pertama imam agung memasuki Bilik Maha Suci pada hari itu. Kemudian, dia akan kembali lagi untuk mempersembahkan darah daripada korban binatang. Perhatikan bahawa dia membakar kemenyan sebelum mempersembahkan darah binatang.

5. Apakah yang dapat kita pelajari daripada penggunaan kemenyan pada Hari Pengampunan Dosa?

5 Apakah yang dapat kita pelajari daripada penggunaan kemenyan pada Hari Pengampunan Dosa? Menurut Bible, doa daripada penyembah Yehuwa yang setia adalah seperti kemenyan. (Mzm. 141:2; Why. 5:8) Imam agung harus menunjukkan hormat yang mendalam semasa membawa kemenyan untuk menghadap Yehuwa. Begitu juga, semasa kita menghadap Yehuwa melalui doa, kita harus menunjukkan hormat yang mendalam. Kita sangat bersyukur kerana Pencipta alam semesta mengizinkan kita untuk menghadap-Nya dan menghampiri-Nya, sebagaimana seorang anak menghampiri bapanya. (Yak. 4:8) Kita juga sangat berterima kasih kerana Yehuwa sudi menerima kita sebagai sahabat-Nya! (Mzm. 25:14) Oleh itu, kita tidak ingin melakukan hal-hal yang akan mengecewakan-Nya.

6. Apakah yang dapat kita pelajari daripada aturan untuk membakar kemenyan sebelum mempersembahkan korban?

6 Imam agung harus membakar kemenyan untuk memastikan bahawa dia mendapat perkenan Tuhan sebelum dia mempersembahkan korban. Apakah yang dapat kita pelajari daripada hal ini? Yesus datang ke bumi untuk mengorbankan nyawanya supaya umat manusia diselamatkan. Namun, dia perlu melakukan sesuatu yang lebih penting terlebih dahulu agar Yehuwa menerima korbannya. Apakah perkara itu? Dia perlu tetap taat dan setia kepada Yehuwa sepanjang hidupnya di bumi, supaya dia mendapat perkenan Yehuwa. Dengan berbuat demikian, Yesus membuktikan bahawa hidup menurut cara Yehuwa ialah cara hidup yang betul. Yesus telah menegakkan kedaulatan Bapanya, iaitu membuktikan bahawa pemerintahan Bapanya memang adil dan benar.

7. Mengapakah seluruh kehidupan Yesus di bumi membuat Bapanya gembira?

7 Sepanjang hayatnya di bumi, Yesus telah mentaati Yehuwa dengan sempurna. Dia bertekad untuk mempertahankan pemerintahan Bapanya, meskipun dia digoda, diuji, dan diseksa sampai mati. (Flp. 2:8) Semasa menghadapi cubaan, Yesus berdoa “dengan seruan dan tangisan.” (Ibr. 5:7) Doanya yang ikhlas membuktikan kesetiaannya dan menguatkan azamnya untuk tetap taat kepada Tuhan. Bagi Yehuwa, doa Yesus adalah seperti kemenyan yang harum. Seluruh kehidupan Yesus telah menegakkan kedaulatan Bapanya dan membuat Bapanya sangat gembira.

8. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yesus?

8 Kita dapat meniru teladan Yesus dengan berusaha sebaik-baiknya untuk tetap taat dan setia kepada Yehuwa. Semasa diuji, kita berdoa dengan bersungguh-sungguh untuk meminta bantuan Yehuwa, kerana kita ingin menyenangkan hati-Nya. Dengan melakukan semua hal ini, kita menunjukkan bahawa kita menyokong kedaulatan Yehuwa. Kita juga sedar bahawa Yehuwa tidak akan menerima doa kita jika kita melakukan perkara yang dikutuk-Nya. Tetapi apabila kita melakukan perkara yang disukai-Nya, doa kita yang ikhlas akan menjadi seperti kemenyan yang harum bagi Yehuwa. Selain itu, apabila kita tetap taat dan setia, Bapa kita yang di syurga pasti berasa gembira.​—Ams. 27:11.

KASIH DAN KESYUKURAN​—SEBABNYA KITA MENYEMBAH YEHUWA

(Lihat perenggan 9) *

9. Mengapakah korban pendamaian dipersembahkan?

9 Pengajaran kedua: Kita menyembah Yehuwa kerana kita bersyukur kepada-Nya. Untuk menekankan hal ini, mari kita lihat aturan korban pendamaian. * Apakah itu korban pendamaian? Menurut buku Imamat, korban itu tidak diwajibkan, tetapi diberikan secara sukarela “sebagai tanda kesyukuran.” (Im. 7:11-13, 16-18) Seseorang akan mempersembahkan korban ini kerana dia mengasihi Yehuwa, Tuhannya. Dia, keluarganya, dan para imam akan memakan daging binatang yang dikorbankan. Tetapi, sesetengah bahagian binatang itu dikhaskan untuk Yehuwa. Apakah bahagian-bahagian itu?

(Lihat perenggan 10) *

10. Apakah persamaan antara korban pendamaian yang disebut di Imamat 3:6, 12, 14-16 dengan khidmat Yesus kepada Yehuwa?

10 Pengajaran ketiga: Kita memberi Yehuwa yang terbaik kerana kita mengasihi-Nya. Yehuwa menganggap lemak binatang sebagai bahagian yang terbaik. Dia juga menyatakan bahawa sesetengah bahagian, seperti ginjal, amat bernilai. (Baca Imamat 3:6, 12, 14-16.) Jadi, apabila seseorang mempersembahkan bahagian-bahagian itu kepada Yehuwa dengan rela hati, Yehuwa berasa sangat gembira kerana orang itu menunjukkan bahawa dia ingin memberikan apa yang terbaik kepada Tuhan. Begitu juga, Yesus berkhidmat kepada Tuhan dengan sepenuh jiwa kerana dia mengasihi Tuhan dan ingin memberikan apa yang terbaik kepada-Nya. (Yoh. 14:31) Yesus suka melakukan kehendak Tuhan, dan dia amat mencintai hukum Tuhan. (Mzm. 40:8) Betapa gembiranya Yehuwa semasa melihat Yesus begitu rela berkhidmat kepada-Nya!

Kita memberikan yang terbaik kepada Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya (Lihat perenggan 11-12) *

11. Bagaimanakah khidmat kita kepada Yehuwa adalah seperti korban pendamaian? Mengapakah hal itu melegakan kita?

11 Seperti korban pendamaian, khidmat kita kepada Yehuwa diberikan secara sukarela dan mencerminkan kasih kita terhadap-Nya. Kita memberi Yehuwa yang terbaik kerana kita mengasihi-Nya dengan sepenuh hati. Yehuwa pasti amat gembira semasa melihat jutaan penyembah-Nya berkhidmat kepada-Nya dengan rela hati kerana mereka mencintai-Nya dan perintah-Nya. Kita berasa lega semasa ingat bahawa Yehuwa bukan sahaja melihat dan menghargai perbuatan kita, tetapi juga niat hati kita. Misalnya, jika anda sudah lanjut usia dan tidak dapat melakukan banyak kerja untuk Yehuwa, yakinlah bahawa Yehuwa memahami keadaan anda. Biarpun anda rasa kemampuan anda terhad, Yehuwa nampak kasih dalam hati anda. Apabila anda melakukan apa yang terdaya, Yehuwa akan menerimanya dengan gembira.

12. Apakah perasaan Yehuwa terhadap korban pendamaian? Bagaimanakah hal itu menggalakkan kita?

12 Apakah yang dapat kita pelajari daripada korban pendamaian? Semasa bahagian-bahagian terbaik daripada korban binatang dibakar, bau harum daripada korban itu akan menyenangkan hati Yehuwa. Begitu juga, apabila anda berkhidmat dengan rela dan dengan sepenuh hati, yakinlah bahawa khidmat anda akan menyenangkan hati Yehuwa. (Kol. 3:23) Fikirkan, kasih dan usaha anda dapat mengukir senyuman di wajah Yehuwa! Tidak kira kerja yang dapat anda lakukan itu banyak atau sedikit, Yehuwa pasti mengenangnya dan menghargainya buat selama-lamanya.​—Mat. 6:20; Ibr. 6:10.

YEHUWA MEMBERKATI ORGANISASI-NYA

13. Menurut Imamat 9:23, 24, bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada para imam?

13 Pengajaran keempat: Yehuwa sedang memberkati bahagian organisasi-Nya di bumi. Fikirkan apa yang berlaku pada tahun 1512 SM, semasa khemah suci didirikan di kaki Gunung Sinai. (Kel. 40:17) Yehuwa menyuruh Musa mengadakan upacara untuk melantik Harun dan anak-anak lelakinya sebagai imam. Seluruh bangsa Israel telah berhimpun untuk menyaksikan para imam mempersembahkan korban binatang buat kali pertama. (Im. 9:1-5) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada aturan imam yang baharu itu? Semasa Harun dan Musa memberkati bangsa Israel, Yehuwa menurunkan api untuk membakar semua korban di atas mazbah sehingga habis.​—Baca Imamat 9:23, 24.

14. Mengapakah sokongan Yehuwa terhadap imam-imam daripada keturunan Harun berkaitan dengan kita?

14 Dengan menurunkan api dari langit semasa pelantikan imam agung, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia menyokong dan berkenan kepada Harun dan anak-anaknya. Semasa orang Israel melihat dengan jelas bahawa Yehuwa menyokong para imam, mereka pun mempunyai sebab yang baik untuk berbuat demikian. Apakah kaitan hal ini dengan kita? Aturan imam di Israel hanyalah bayangan kepada aturan imam yang lebih agung. Kristus, iaitu Imam Agung yang lebih besar, mempunyai 144,000 orang imam yang akan memerintah bersamanya di syurga.​—Ibr. 4:14; 8:3-5; 10:1.

Yehuwa sedang memberkati dan membimbing organisasi-Nya. Kita ingin menyokong organisasi Tuhan dengan sepenuh hati (Lihat perenggan 15-17) *

15-16. Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia berkenan kepada “hamba yang setia dan bijaksana”?

15 Pada tahun 1919, Yesus melantik sekumpulan kecil saudara-saudara terurap sebagai “hamba yang setia dan bijaksana.” Hamba itu bertanggungjawab mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran dan memberi para pengikut Kristus “makanan pada masa yang sesuai.” (Mat. 24:45) Apakah bukti bahawa Tuhan berkenan kepada hamba itu?

16 Meskipun Syaitan dan dunianya sentiasa cuba menghalang kerja hamba yang setia, hamba itu masih dapat melaksanakan tugasnya dengan bantuan Yehuwa. Fikirkan, biarpun menghadapi dua perang dunia, penganiayaan, masalah ekonomi sedunia, dan layanan yang tidak adil, hamba yang setia dan bijaksana terus menyediakan makanan rohani bagi para pengikut Kristus di bumi. Dewasa ini, kita menerima makanan rohani yang melimpah dalam lebih daripada 900 bahasa, dan semuanya diberikan secara percuma. Tidakkah hal ini membuktikan bahawa Tuhan sedang menyokong hamba itu? Perhatikan satu lagi bukti: Kerja penyebaran. Berita baik sedang dikhabarkan “ke seluruh bumi.” (Mat. 24:14) Tidak dapat dinafikan bahawa Yehuwa sedang membimbing dan memberkati organisasi-Nya hari ini.

17. Bagaimanakah kita dapat menyokong organisasi yang digunakan oleh Yehuwa?

17 Tanyalah diri, “Adakah saya bersyukur kerana dapat menyertai bahagian organisasi Yehuwa di bumi?” Pada zaman Musa dan Harun, Yehuwa menurunkan api dari langit sebagai bukti sokongan-Nya. Hari ini, kita bersyukur kerana Tuhan juga memberikan bukti yang jelas bahawa Dia sedang menyokong organisasi-Nya. (1 Tes. 5:18, 19) Bagaimanakah kita dapat menyokong organisasi yang digunakan oleh Yehuwa? Dengan mematuhi nasihat Bible yang kita terima melalui bahan bacaan, perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Selain itu, kita ingin bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja menginjil dan mengajar.​—1 Kor. 15:58.

18. Apakah tekad anda?

18 Marilah kita bertekad untuk menerapkan pengajaran daripada buku Imamat. Semoga kita berusaha mendapat perkenan Yehuwa agar korban kita diterima-Nya. Semoga kita berkhidmat kepada Yehuwa kerana kita bersyukur kepada-Nya. Semoga kita terus memberi Yehuwa apa yang terbaik kerana kita mengasihi-Nya dengan sepenuh hati. Semoga kita memberikan sokongan penuh kepada organisasi yang digunakan-Nya. Dengan melakukan semua itu, kita menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai penghormatan untuk menjadi Saksi-Saksi-Nya!

LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai

^ per. 5 Buku Imamat mengandungi hukum Yehuwa bagi orang Israel kuno. Sebagai orang Kristian, kita tidak perlu mematuhi hukum itu, tetapi hukum itu masih bermanfaat bagi kita. Rencana ini akan membincangkan pengajaran penting untuk kita daripada buku Imamat.

^ per. 4 Kemenyan yang dibakar di khemah suci dianggap suci. Pada zaman Israel kuno, kemenyan itu hanya boleh digunakan dalam ibadat kepada Yehuwa. (Kel. 30:34-38) Bible tidak pernah menyatakan bahawa orang Kristian abad pertama membakar kemenyan semasa beribadat.

^ per. 9 Untuk maklumat lanjut tentang korban pendamaian, lihat buku “Pemahaman” bahasa Indonesia, Jilid 2, ms. 501-502 dan Menara Pengawal 15 Januari 2012, ms. 19, per. 11.

^ per. 54 KETERANGAN GAMBAR: Pada Hari Pengampunan Dosa, imam agung memasuki Bilik Maha Suci sambil membawa kemenyan dan bara api untuk memenuhi bilik itu dengan bau harum. Kemudian, dia memasuki Bilik Maha Suci lagi untuk mempersembahkan darah daripada korban binatang.

^ per. 56 KETERANGAN GAMBAR: Seorang lelaki Israel memberikan seekor biri-biri kepada imam sebagai korban pendamaian untuk menunjukkan kesyukuran keluarganya kepada Yehuwa.

^ per. 58 KETERANGAN GAMBAR: Semasa di bumi, Yesus menunjukkan kasihnya yang mendalam kepada Yehuwa dengan mematuhi perintah-Nya dan dengan membantu para pengikutnya untuk berbuat demikian juga.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Meskipun menghadapi masalah kesihatan, seorang saudari yang lanjut usia tetap memberikan yang terbaik kepada Yehuwa dengan memberikan kesaksian melalui surat.

^ per. 62 KETERANGAN GAMBAR: Pada Februari 2019, para hadirin sangat teruja semasa Saudara Gerrit Lösch, seorang ahli Badan Pimpinan, mengumumkan pengeluaran edisi Terjemahan Dunia Baharu yang dikemaskinikan dalam bahasa Jerman. Kini, para penyiar di Jerman, seperti dua orang saudari ini, menggunakan Bible baharu itu semasa menginjil.