Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

KISAH HIDUP

Yehuwa Menguatkan Kami pada Masa Perang dan Masa Damai

Yehuwa Menguatkan Kami pada Masa Perang dan Masa Damai

Paul: Pada November 1985, kami sangat teruja! Kami dalam perjalanan ke Liberia, Afrika Barat, iaitu tugasan pertama kami sebagai mubaligh. Semasa pesawat kami singgah di Senegal, Anne berkata, “Satu jam lagi, kita akan tiba di Liberia!” Tiba-tiba, kedengaran pengumuman berikut: “Penumpang ke Liberia mesti turun dari pesawat. Disebabkan perampasan kuasa, kita tidak dibenarkan mendarat di situ.” Selama 10 hari berikutnya, kami tinggal bersama mubaligh di Senegal. Kami mendengar bahawa ada begitu banyak orang dibunuh di Liberia sehingga mayat perlu diangkut dengan menggunakan lori. Orang yang tidak mematuhi perintah berkurung juga akan ditembak.

Anne: Kami bukanlah orang yang suka adventure. Sejak kecil, orang panggil saya “Annie Si Cemas.” Sebenarnya, melintas jalan raya pun buat saya cemas! Namun, kami tetap mahu pergi ke Liberia.

Paul: Saya dan Anne membesar di bahagian barat England, dan tempat tinggal kami tidak jauh dari satu sama lain. Kami mula merintis sebaik sahaja tamat sekolah kerana ibu bapa saya dan ibu Anne menggalakkan kami untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Saya mula berkhidmat di Bethel pada usia 19 tahun. Selepas saya mengahwini Anne pada tahun 1982, dia juga berkhidmat di Bethel.

Majlis penyampaian sijil sekolah Gilead, 8 September 1985

Anne: Kami memang suka Bethel, tapi kami selalu mahu berkhidmat di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar. Semasa di Bethel, kami bekerja bersama saudara saudari yang pernah berkhidmat sebagai mubaligh, dan hal itu menyemarakkan lagi keinginan kami untuk berkhidmat di tempat lain. Selama tiga tahun, kami berdoa tentang hal ini secara spesifik setiap malam. Pada tahun 1985, kami sangat gembira kerana dijemput untuk menghadiri kelas Gilead yang ke-79. Kami ditugaskan ke Liberia, Afrika Barat.

DIKUATKAN OLEH KASIH SAUDARA SAUDARI

Paul: Sebaik sahaja keadaan mengizinkan, kami menaiki penerbangan pertama ke Liberia. Perintah berkurung masih berkuat kuasa dan suasana di Liberia sangat tegang. Jika ada bunyi ekzos kereta yang kuat seperti letupan, orang ramai akan panik! Untuk bantu kami bertenang, kami membaca sebahagian daripada buku Mazmur setiap malam. Meskipun begitu, kami sangat menyukai tugasan kami. Anne berfokus kepada kerja penyebaran, manakala saya berfokus kepada kerja di Bethel. Saya bekerja bersama John Charuk dan belajar banyak hal daripadanya. Dia sangat berpengalaman dan mengenali situasi saudara saudari tempatan.

Anne: Kami jatuh cinta dengan Liberia kerana saudara saudari di situ pengasih, ramah, dan setia. Mereka seperti keluarga kami dan sering memberi kami nasihat dan galakan. Kerja menginjil di sana juga sangat mantap. Penghuni rumah akan marah jika kami beredar terlalu awal! Orang suka bercakap tentang Bible bahkan di jalanan, dan kami boleh menyertai perbualan mereka pada bila-bila saja. Kami ada terlalu banyak pelajar Bible, tetapi itu memang masalah yang bagus!

DIKUATKAN MESKIPUN TAKUT

Menjaga saudara saudari yang melarikan diri ke Bethel Liberia, 1990

Paul: Empat tahun kemudian, tiba-tiba perang saudara tercetus pada tahun 1989. Tentera pemberontak menawan kawasan di sekitar Bethel pada 2 Julai 1990. Selama tiga bulan, kami tidak dapat hubungi sesiapa pun, termasuk keluarga kami dan ibu pejabat sedunia. Seluruh Liberia menjadi huru-hara selama 14 tahun yang berikutnya. Banyak orang kekurangan makanan, dan banyak wanita dirogol.

Anne: Orang daripada sesetengah suku melawan dan membunuh orang daripada suku lain. Askar yang bersenjata dan yang berpakaian aneh terdapat di merata tempat. Mereka masuk ke dalam setiap rumah dan mengambil apa sahaja yang mereka mahu. Ada antara mereka yang kata bahawa membunuh orang sama seperti sembelih ayam. Mayat bertimbun-timbun di banyak sekatan jalan, bahkan dekat pejabat cawangan. Sedihnya, ada Saksi yang dibunuh, termasuk dua orang mubaligh.

Para Saksi, termasuk mubaligh dan ahli Bethel, sanggup membahayakan diri untuk menyembunyikan Saksi daripada suku yang menjadi sasaran pembunuh. Sesetengah Saksi yang melarikan diri tinggal di tingkat bawah di Bethel atau dalam bilik ahli Bethel. Kami kongsi bilik kami dengan sebuah keluarga yang terdiri daripada tujuh orang.

Paul: Setiap hari, askar-askar akan cuba memasuki Bethel untuk melihat jika kami menyembunyikan orang yang ingin dicari mereka. Jadi kami mengaturkan dua orang untuk menjenguk dari tingkap, dan dua orang untuk berjumpa dengan mereka di pintu pagar. Jika dua orang di pintu pagar meletakkan tangan di hadapan mereka, maksudnya semua OK. Jika mereka meletakkan tangan mereka di belakang, maksudnya askar itu sangat agresif. Jika begitu, dua orang di tingkap akan cepat-cepat menyembunyikan saudara saudari.

Anne: Berminggu-minggu kemudian, sekumpulan askar yang bengis memecah masuk ke Bethel sambil membawa mesingan. Saya dan seorang saudari melarikan diri ke dalam bilik mandi di tingkat atas, lalu saya mengunci pintu. Di situ, terdapat sebuah almari yang mempunyai tempat sembunyi di bahagian bawahnya, dan saudari itu bersembunyi di dalamnya. Semasa askar-askar itu menghentam pintu bilik mandi dengan kuat, Paul merayu kepada mereka, “Tolonglah, isteri saya perlu guna tandas.” Semasa saya menutup tempat bersembunyi itu, saya mengeluarkan banyak bunyi tanpa sengaja, dan saya mengambil masa yang agak lama untuk menyusun kembali barang-barang dalam almari. Saya rasa askar-askar pasti mengesyaki saya, dan saya begitu takut sehingga seluruh badan saya menggigil. Saya tahu saya perlu bertenang, jadi saya berdoa meminta bantuan Yehuwa. Kemudian, saya membuka pintu dan menyapa mereka dengan tenang. Seorang askar terus masuk ke dalam bilik mandi dan mula menggeledah almari itu. Dia tidak menjumpai apa-apa, jadi dia dan askar-askar lain menggeledah bilik lain dan bahkan mencari di atas siling. Namun, mereka masih tidak menjumpai apa-apa.

KEBENARAN TERUS BERSINAR

Paul: Selama berbulan-bulan, kami hanya ada sedikit makanan. Program penyembahan pagi Bethel ialah satu-satunya “sarapan” kami. Tapi itulah yang kami perlukan untuk bertahan.

Jika Bethel kehabisan makanan dan air, kami akan terpaksa keluar dari situ dan saudara saudari yang bersembunyi di Bethel mungkin dibunuh. Syukurlah hal itu tidak berlaku! Yehuwa memastikan keperluan kami dijaga, dan Dia berbuat demikian tepat pada masanya dan dalam cara yang menakjubkan. Hasilnya, kami tidak begitu takut.

Apabila keadaan di Liberia menjadi semakin teruk, cahaya kebenaran bersinar dengan semakin terang. Saudara saudari perlu melarikan diri banyak kali, tetapi mereka tetap tenang dan beriman. Ada antara mereka yang kata bahawa inilah “latihan untuk kesengsaraan besar.” Para penatua dan saudara muda yang berani melakukan apa sahaja yang terdaya untuk menjaga rakan seiman mereka. Semasa melarikan diri, saudara saudari tetap bersama-sama. Mereka menginjil di kawasan yang tidak pernah dikunjungi dan mendirikan Dewan Perjumpaan sementara di hutan. Aktiviti rohani sebegini telah membantu mereka tetap tabah dan bersemangat. Semasa barang bantuan diedarkan, ramai saudara saudari minta beg menginjil dan bukannya pakaian. Sikap mereka amat menyentuh hati kami. Orang yang bukan Saksi pun dapat melihat bahawa para Saksi seperti cahaya dalam kegelapan. (Mat. 5:​14-16) Mereka hairan kerana para Saksi tetap positif dan gembira meskipun menjadi mangsa perang. Jadi mereka mahu mendengar berita baik, dan ada askar yang bahkan menjadi saudara kita.

DIKUATKAN SEMASA MENINGGALKAN LIBERIA

Paul: Ada kalanya, kami perlu meninggalkan Liberia. Sebanyak tiga kali, kami dapat kembali dalam masa yang singkat, tetapi ada dua kali kami terpaksa berada di luar negara selama setahun. Kata-kata seorang saudari mubaligh tepat menggambarkan perasaan kami: “Di Gilead, kami diajar bahawa tidak kira di mana kami ditugaskan, kami harus mengasihi saudara saudari di situ dengan sepenuh hati. Jadi semasa kami meninggalkan mereka kerana perang, hati kami hancur berkecai!” Syukurlah, kami masih dapat membantu rakan seiman di Liberia dari luar negara.

Gembira kerana dapat kembali ke Liberia, 1997

Anne: Pada Mei 1996, kami dan dua orang lagi menaiki kenderaan Bethel yang membawa banyak dokumen penting. Kami bercadang untuk memandu sejauh 16 kilometer ke sebuah tempat yang lebih selamat. Tetapi pada masa itu, kawasan kami diserang. Sekumpulan askar pemberontak menembak ke udara dan menyuruh kami berhenti. Mereka mengheret kami semua keluar kecuali Paul dan merampas kenderaan kami. Kami berdiri di tengah jalan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Tiba-tiba, kami nampak Paul berjalan ke arah kami dan dahinya berdarah. Kami sangka dia ditembak, tetapi kemudian kami fikir, jika dia ditembak, mana mungkin dia dapat berjalan. Rupa-rupanya, seorang askar telah memukul kepalanya semasa menolaknya keluar dari kenderaan. Mujurlah itu hanya kecederaan ringan.

Tidak jauh dari situ, ada sebuah kenderaan tentera yang bersedia untuk membawa orang awam meninggalkan kawasan itu. Kenderaan itu sudah penuh, jadi kami hanya dapat berpegang pada bahagian luar kenderaan. Pemandu itu memecut kenderaannya dan kami hampir terjatuh. Kami berteriak menyuruhnya berhenti, tetapi dia terus memecut kerana terlalu takut. Kami sampai di destinasi dengan selamat, tetapi kami menggigil ketakutan dan tangan kami bergetar kerana terlalu lama berpegang pada sisi kenderaan.

Paul: Masa itu, kami tiada apa-apa kecuali pakaian kami yang kotor dan koyak rabak. Kami memandang satu sama lain dan berfikir, “Betulkah kami masih hidup?” Apabila malam tiba, kami tidur di padang di sebelah helikopter lama yang penuh dengan kesan peluru. Keesokan harinya, kami menaiki helikopter itu ke Sierra Leone. Kami bersyukur kerana masih hidup, tetapi kami amat risau tentang rakan seiman di Liberia.

DIKUATKAN UNTUK MENGHADAPI CABARAN YANG TIDAK DIJANGKAKAN

Anne: Kami tiba di Bethel di Freetown, Sierra Leone, dengan selamat, dan kami dijaga dengan baik. Tetapi saya mula dihantui kenangan buruk. Pada siang hari, saya sangat takut dan panik. Segala-gala di sekeliling saya kelihatan kabur dan terasa seperti dalam mimpi. Pada waktu malam, saya akan terjaga sambil berpeluh-peluh. Saya sesak nafas dan menggigil kerana takut sesuatu yang buruk akan berlaku. Paul akan memeluk saya dan berdoa bersama saya, dan kami menyanyikan lagu rohani sehingga saya berhenti menggigil. Saya rasa saya sudah hampir gila dan tidak dapat berkhidmat lagi sebagai mubaligh.

Namun, saya tidak akan lupa apa yang berlaku pada minggu itu juga. Kami menerima dua majalah. Satu ialah majalah Sedarlah! terbitan 8 Jun 1996, yang mengandungi rencana tentang serangan panik. Selepas membacanya, barulah saya faham apa yang sedang berlaku kepada saya. Majalah yang kedua ialah Menara Pengawal terbitan 15 Mei 1996, yang mengandungi gambar kupu-kupu yang sayapnya rosak. Rencana itu kata bahawa sepertimana kupu-kupu dapat terus makan dan terbang meskipun sayapnya rosak teruk, dengan kuasa suci Yehuwa, kita dapat terus membantu orang biarpun kita pernah dilukai secara emosi. Melalui rencana ini, Yehuwa telah membantu saya tepat pada masanya supaya saya dapat bertabah. (Mat. 24:45) Saya juga mencari rencana lain yang serupa dan menyimpannya dalam satu fail. Hasilnya, trauma saya beransur-ansur reda.

DIKUATKAN UNTUK MEMBIASAKAN DIRI DENGAN TUGASAN BAHARU

Paul: Setiap kali kami kembali ke Liberia, kami sangat gembira. Pada hujung tahun 2004, kami sudah di situ hampir 20 tahun. Masa itu perang sudah berakhir, dan ada projek pembinaan yang akan berlangsung di pejabat cawangan. Tetapi tiba-tiba, kami diberi tugasan baharu.

Kami sangat susah hati kerana tidak sanggup berpisah dengan keluarga rohani di Liberia. Namun, kami teringat bagaimana Yehuwa memberkati kami semasa kami meninggalkan keluarga kami untuk pergi ke Gilead. Jadi, kami menerima tugasan baharu itu dan berpindah ke Ghana.

Anne: Kami menangis teresak-esak semasa meninggalkan Liberia. Frank, seorang saudara yang tua, memberitahu kami, “Kamu berdua harus melupakan kami!” Kami hairan apa yang dimaksudkannya. Kemudian dia jelaskan, “Kami tahu kamu tidak akan melupakan kami. Maksud saya ialah kamu harus menjalankan tugasan baru kamu dengan sepenuh hati. Tugasan ini daripada Yehuwa, maka bertumpulah kepada saudara saudari di sana.” Kata-katanya menguatkan kami untuk menerima tugasan baharu di mana kebanyakan orang tidak mengenal kami.

Paul: Namun dalam masa yang pendek, kami jatuh cinta dengan keluarga rohani kami di Ghana. Ada begitu banyak Saksi di sana! Kami belajar banyak daripada kesetiaan dan iman mereka. Selepas berkhidmat di Ghana selama 13 tahun, kami menerima kejutan lagi. Kami diminta untuk berkhidmat di pejabat cawangan Afrika Timur yang terletak di Kenya. Kami memang sangat merindui kawan-kawan kami di Ghana dan Liberia. Namun di Kenya, kami juga mendapat banyak sahabat yang baru dalam masa yang singkat. Sekarang, kami masih berkhidmat di Kenya, dan keperluan di sini sangat besar.

Bersama sahabat baharu di kawasan pejabat cawangan Afrika Timur, 2023

PENGAJARAN DARIPADA HIDUP KAMI

Anne: Cabaran yang pernah saya lalui sering buat saya menggeletar ketakutan. Situasi yang tegang atau berbahaya dapat meninggalkan kesan fizikal dan emosi kepada kita, dan kita tidak dilindungi secara mukjizat. Sekarang pun, kalau saya dengar bunyi tembakan, saya akan rasa loya dan tangan saya akan kebas. Tetapi saya sudah belajar untuk bergantung pada bantuan Yehuwa, termasuk sokongan yang diberikan-Nya menerusi rakan seiman. Saya juga belajar bahawa jika saya ada rutin rohani yang baik, Yehuwa dapat bantu saya untuk terus berkhidmat kepada-Nya.

Paul: Sesetengah orang bertanya, “Adakah kamu suka tugasan kamu?” Biarpun sebuah negara sangat cantik, keadaan di situ boleh berubah menjadi tidak stabil dan bahaya. Jadi apakah yang paling kami sukai? Keluarga rohani kami. Biarpun latar belakang kami sangat berbeza, kami sehati sejiwa. Kami sangka kami ditugaskan untuk menggalakkan mereka, tetapi sebenarnya merekalah yang menguatkan kami.

Setiap kali kami berpindah, kami dapat menyaksikan mukjizat zaman moden, iaitu persaudaraan Kristian kita. Selagi kami merupakan sebahagian daripada sidang, kami mempunyai keluarga dan tempat berlindung. Kami yakin bahawa jika kami terus bergantung pada Yehuwa, Dia akan menguatkan kami untuk bertabah tidak kira apa yang berlaku.​—Flp. 4:13.