Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 34

Cara Menyesuaikan Diri dengan Tugasan Baharu

Cara Menyesuaikan Diri dengan Tugasan Baharu

“Tuhan bukannya tidak adil. Dia tidak melupakan kerja yang telah kamu lakukan dan kasih yang telah kamu tunjukkan demi nama-Nya.”​—IBR. 6:10.

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

PENGENALAN *

1-3. Mengapakah sesetengah pekhidmat sepenuh masa mengalami perubahan dalam tugasan mereka?

“SETELAH menikmati khidmat mubaligh selama 21 tahun, kami terpaksa berhenti kerana perlu menjaga keempat-empat ibu bapa kami,” kata Robert dan Mary Jo. “Kami memang sudi menjaga mereka, tetapi kami rasa sangat sedih untuk meninggalkan tugasan kami.”

2 “Semasa kami mendapat tahu bahawa kami tidak dapat kembali kepada tugasan kami kerana masalah kesihatan, kami menangis,” kata William dan Terrie. “Impian kami untuk terus berkhidmat kepada Yehuwa di negara asing sudah berakhir.”

3 “Kami tahu bahawa pihak kerajaan ingin menutup pejabat cawangan tempatan,” kata Aleksey. “Namun, apabila pejabat cawangan terpaksa ditutup dan kami perlu meninggalkan Bethel, hal itu masih merupakan tamparan yang besar bagi kami.”

4. Apakah soalan-soalan yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Selain pengalaman-pengalaman tadi, terdapat ribuan pekhidmat sepenuh masa, termasuk ahli Bethel, yang diberi tugasan baharu. * Saudara saudari yang setia itu mungkin berasa susah untuk meninggalkan tugasan dahulu yang amat disukai mereka. Bagaimanakah mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu? Bagaimanakah anda dapat membantu mereka? Jawapannya akan membantu kita semua untuk menghadapi perubahan dalam kehidupan.

CARA MENGHADAPI PERUBAHAN

Mengapakah tidak mudah bagi pekhidmat sepenuh masa untuk meninggalkan tugasan mereka? (Lihat perenggan 5) *

5. Bagaimanakah perubahan dalam tugasan mungkin mempengaruhi kita?

5 Semasa berkhidmat di kawasan penyebaran atau di Bethel, kita mungkin menjadi sangat rapat dengan orang di sekeliling kita, dan kita bahkan mungkin mencintai tempat kita berkhidmat. Maka kita pasti sedih semasa perlu meninggalkan tugasan itu. Kita merindui rakan seiman kita, dan kita risau tentang mereka, khususnya jika perubahan tugasan kita disebabkan oleh penganiayaan. (Mat. 10:23; 2 Kor. 11:28, 29) Selain itu, apabila kita menerima tugasan baharu, sering kali kita perlu menyesuaikan diri dengan budaya tempatan, biarpun tugasan baharu itu adalah di negara asal kita. “Kami sudah tidak biasa dengan budaya sendiri dan tidak selesa menginjil dalam bahasa ibunda,” kata Robert dan Mary Jo. “Kami berasa seperti orang asing di negara sendiri.” Perubahan dalam tugasan juga mungkin menyebabkan perbelanjaan yang tidak disangka. Hal ini boleh membuat seseorang berasa tawar hati dan risau. Apakah yang dapat dilakukan?

Sangat penting untuk menghampiri Yehuwa dan yakin kepada-Nya (Lihat perenggan 6-7) *

6. Bagaimanakah kita dapat tetap menghampiri Yehuwa?

6 Tetap menghampiri Yehuwa. (Yak. 4:8) Percayalah bahawa Yehuwa ialah “Pendengar doa.” (Mzm. 65:2) Maka, Mazmur 62:8 menggalakkan kita, “Curahkanlah isi hatimu kepada-Nya.” Ingatlah bahawa Yehuwa “dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.” (Ef. 3:20) Dia bukan sahaja dapat mengabulkan permohonan kita, tetapi juga dapat menyelesaikan masalah kita dengan cara yang tidak pernah kita sangka.

7. (a) Bagaimanakah kita dapat tetap menghampiri Yehuwa? (b) Menurut Ibrani 6:10-12, jika kita terus menyembah Yehuwa dengan setia, apakah hasilnya?

7 Untuk tetap menghampiri Yehuwa, bacalah dan renungkanlah Bible setiap hari. Seorang bekas mubaligh berkata, “Teruslah mengadakan penyembahan keluarga dan membuat persiapan untuk perjumpaan secara tetap, seperti yang dilakukan dahulu.” Tambahan lagi, teruslah bergiat dengan sepenuhnya dalam kerja penyebaran bersama sidang baharu anda. Yehuwa ingat akan hamba-hamba-Nya yang terus menyembah-Nya dengan setia, biarpun mereka tidak dapat berkhidmat seperti dahulu.​—Baca Ibrani 6:10-12.

8. Bagaimanakah kata-kata di 1 Yohanes 2:15-17 dapat membantu anda terus hidup sederhana?

8 Terus hidup sederhana. Jangan membiarkan kekhuatiran dunia Syaitan “membantutkan” kegiatan rohani anda. (Mat. 13:22) Orang di dunia atau sahabat dan sanak saudara yang berniat baik mungkin menasihati kita untuk mencari kehidupan yang lebih selesa, tetapi lawanlah tekanan itu. (Baca 1 Yohanes 2:15-17.) Yehuwa telah berjanji untuk menjaga kita secara rohani, emosi, dan fizikal. Maka yakinlah bahawa Dia pasti akan memenuhi keperluan kita tepat pada masanya.​—Ibr. 4:16; 13:5, 6.

9. Menurut Amsal 22:3, 7, mengapakah kita harus mengelakkan hutang yang tidak diperlukan? Bagaimanakah kita dapat membuat keputusan yang bijak?

9 Elakkan hutang yang tidak diperlukan. (Baca Amsal 22:3, 7.) Banyak belanja diperlukan semasa berpindah ke tempat baharu. Maka jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin berhutang keliling pinggang. Untuk mengelakkan keadaan sebegini, janganlah berhutang untuk membeli barangan yang tidak diperlukan. Semasa kita tertekan, contohnya semasa menjaga ahli keluarga yang sakit, kita mungkin berasa susah untuk menentukan jumlah wang yang perlu dipinjam. Dalam situasi sebegini, mintalah bantuan Yehuwa melalui “doa dan rayuan.” Yehuwa dapat mengurniai anda kesejahteraan yang dapat ‘menjaga hati dan fikiran anda,’ supaya anda dapat bertenang dan membuat pertimbangan yang wajar.​—Flp. 4:6, 7; 1 Ptr. 5:7.

10. Bagaimanakah kita dapat menjalin persahabatan yang baharu?

10 Kekalkan persahabatan yang baik. Kongsilah perasaan dan cabaran anda dengan kawan-kawan baik, khususnya mereka yang pernah melalui situasi yang sama. Dengan berbuat demikian, anda dapat meraih kelegaan hati. (Pkh. 4:9, 10) Jangan risau, sahabat anda yang dahulu akan kekal sebagai sahabat anda. Pada masa yang sama, ingatlah bahawa anda juga memerlukan sahabat baharu di sidang yang baharu. Bagaimanakah anda dapat menjalin persahabatan yang baharu? Tunjukkanlah sikap ramah dan baik hati. Ceritakanlah pengalaman baik anda dalam khidmat Yehuwa, dan biarlah orang lain merasai sukacita anda. Biarpun bukan semua orang akan memahami sebabnya anda begitu menggemari khidmat sepenuh masa, sesetengah orang mungkin menghargai teladan baik anda dan ingin menjadi kawan rapat anda. Namun, semasa mengongsi pengalaman sendiri, janganlah asyik bercerita tentang pencapaian anda atau hal-hal yang negatif.

11. Bagaimanakah anda dapat memastikan perkahwinan anda tetap bahagia?

11 Jika anda terpaksa menghentikan khidmat sepenuh masa kerana pasangan anda jatuh sakit, janganlah menyalahkannya. Jika anda yang jatuh sakit, janganlah menyalahkan diri atau berfikir bahawa anda telah mengecewakan pasangan anda. Ingatlah, semasa berkahwin, anda berdua sudah “menjadi satu” dan berjanji di hadapan Yehuwa untuk menjaga satu sama lain tidak kira apa yang terjadi. (Mat. 19:5, 6) Jika anda terpaksa menghentikan khidmat sepenuh masa kerana kehamilan yang tidak dirancang, pastikan anak anda tahu bahawa anda lebih menyayanginya daripada tugasan anda. Yakinkanlah dia bahawa anda menganggapnya sebagai “anugerah Tuhan.” (Mzm. 127:3-5) Kongsilah dengannya pengalaman baik yang pernah anda raih dalam tugasan anda. Dengan itu, dia mungkin terdorong untuk mengikut jejak anda dan menceburi khidmat sepenuh masa.

BAGAIMANA ORANG LAIN DAPAT MEMBANTU

12. (a) Bagaimanakah kita dapat membantu para pekhidmat sepenuh masa agar mereka dapat meneruskan tugasan mereka? (b) Bagaimanakah kita dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan keadaan baharu?

12 Banyak saudara saudari dan sidang berusaha membantu para pekhidmat sepenuh masa agar dapat meneruskan tugasan mereka. Saudara saudari mungkin memberikan galakan, menawarkan bantuan kewangan atau kebendaan, atau membantu menjaga ahli keluarga mereka semasa mereka berkhidmat di tempat yang jauh. (Gal. 6:2) Jika terdapat pekhidmat sepenuh masa yang ditugaskan ke sidang anda, janganlah berfikir bahawa hal itu berlaku kerana mereka telah berbuat salah atau tidak menjalankan tugasan mereka dengan baik. * Sebaliknya, bantulah mereka untuk menyesuaikan diri. Sambutlah mereka dengan ramah dan pujilah mereka atas kerja baik mereka dahulu, biarpun kegiatan mereka kini terhad kerana masalah kesihatan. Kenalilah mereka dan raihlah manfaat daripada pengetahuan, pengalaman, dan latihan mereka.

13. Bagaimanakah kita dapat membantu mereka yang diberi tugasan baharu?

13 Mereka yang diberi tugasan yang baharu mungkin memerlukan bantuan untuk mencari rumah, pengangkutan, pekerjaan, dan keperluan asas yang lain. Mereka juga mungkin memerlukan maklumat tentang hal seperti tempat membayar bil atau tempat yang baik untuk membeli barang keperluan. Namun, ingatlah bahawa mereka paling memerlukan orang yang memahami situasi mereka. Mereka mungkin sedang bergelut dengan masalah kesihatan sendiri atau ahli keluarga mereka. Mereka mungkin berkabung kerana kematian orang tersayang. * Selain itu, mereka mungkin berasa sedih kerana sangat rindu akan sahabat mereka, walaupun mereka tidak mengungkapkan hal itu. Maka berilah mereka masa untuk berdepan dengan perasaan yang bercampur baur.

14. Bagaimanakah para penyiar tempatan membantu seorang saudari untuk membiasakan diri dengan kawasan yang baharu?

14 Sokongan dan teladan baik kita dapat membantu mereka membiasakan diri dengan keadaan baharu. “Dahulu, saya mengadakan perbincangan Bible dengan orang setiap hari,” kata seorang saudari yang berkhidmat selama bertahun-tahun di negara asing. “Tetapi sekarang di kawasan baharu, membuka Bible atau memainkan video pun susah. Namun, para penyiar tempatan mengajak saya untuk menyertai kunjungan kembali atau pembelajaran Bible mereka. Semasa saya melihat mereka mengadakan pembelajaran dengan begitu rajin dan bersemangat, pandangan saya terhadap kawasan baharu ini telah menjadi positif, dan saya juga belajar untuk memulakan perbualan. Semua itu membantu saya bersukacita semula.”

TERUSLAH MELAKUKAN YANG TERBAIK!

Carilah jalan untuk meluaskan khidmat anda di negara asal (Lihat perenggan 15-16) *

15. Bagaimanakah anda dapat berjaya dalam tugasan yang baharu?

15 Semasa diberi tugasan baharu, janganlah berfikir bahawa anda telah gagal dalam tugasan sebelumnya atau bahawa anda tidak dihargai. Anda masih dapat berjaya dalam khidmat kepada Yehuwa. Fikirkan bagaimana Yehuwa sedang membimbing anda dan teruslah menginjil. Tirulah orang Kristian abad pertama yang “mengisytiharkan berita baik tentang firman Tuhan ke merata tempat.” (Kis. 8:1, 4) Usaha anda untuk terus menginjil dapat membawa hasil yang baik. Contohnya, para perintis di sebuah negara telah diusir, maka mereka berpindah ke sebuah negara jiran. Di situ, terdapat keperluan besar untuk menginjil dalam bahasa yang dituturkan mereka. Dalam beberapa bulan, banyak kumpulan baharu dalam bahasa itu telah ditubuhkan dan bertumbuh dengan pesat.

16. Bagaimanakah anda dapat berkhidmat dengan gembira dalam tugasan baharu?

16 Bible menyatakan, “Sukacita daripada Yehuwa akan menguatkan kamu.” (Neh. 8:10) Biarpun kita sangat mencintai tugasan kita, ingatlah bahawa sumber utama kegembiraan kita ialah Yehuwa, bukan tugasan kita. Maka, teruslah berpaut erat pada Yehuwa dan mintalah kebijaksanaan, bimbingan, dan sokongan daripada-Nya. Jangan lupa bahawa anda mencintai tugasan anda yang dahulu kerana anda telah berkhidmat dengan sepenuh hati. Jika anda terus berkhidmat dengan sepenuh hati dalam tugasan yang baharu, Yehuwa akan membantu anda mencintai tugasan itu juga.​—Pkh. 7:10.

17. Apakah yang mesti kita ingat tentang tugasan kita sekarang?

17 Ingatlah, kita akan berkhidmat kepada Yehuwa untuk selama-lamanya, tetapi tugasan kita sekarang hanyalah sementara. Di dunia baharu, kita semua mungkin diberi tugasan baharu. Aleksey, yang disebut pada awal rencana ini, percaya bahawa perubahan yang dialaminya sedang melatihnya untuk kehidupan pada masa depan. “Selama ini, saya memang percaya kepada Yehuwa dan harapan dunia baharu, tetapi semua itu tidak begitu nyata bagi saya,” kata Aleksey. “Tetapi sekarang, saya seolah-olah dapat melihat Yehuwa di depan mata saya, dan saya dapat rasa bahawa dunia baharu sudah sangat dekat.” (Kis. 2:25) Maka tidak kira apa tugasan kita atau di mana kita berkhidmat, semoga kita tetap menghampiri Yehuwa. Dia tidak akan meninggalkan kita, tetapi akan membantu kita terus menyembah-Nya dengan sedaya upaya dan dengan penuh sukacita.​—Yes. 41:13.

LAGU 90 Galakkan Satu Sama Lain

^ per. 5 Ada kalanya, saudara saudari yang berkhidmat sepenuh masa mungkin perlu menghentikan khidmat mereka atau diberi tugasan baharu. Rencana ini membincangkan cabaran yang dihadapi mereka dan cara mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan itu. Rencana ini juga menyatakan bagaimana orang lain dapat menggalakkan dan menyokong mereka, serta membincangkan prinsip Bible yang dapat membantu kita semua menghadapi perubahan dalam hidup.

^ per. 4 Begitu juga, ramai saudara yang mencapai usia tertentu telah menyerahkan tugasan mereka kepada saudara-saudara yang lebih muda. Lihat rencana “Orang Kristian yang Berusia​—Yehuwa Menghargai Kesetiaanmu” dalam Menara Pengawal terbitan September 2018, dan “Tetap Tenang dan Tenteram semasa Menghadapi Perubahan” dalam Menara Pengawal terbitan Oktober 2018.

^ per. 12 Para penatua dalam sidang lama mereka harus menyediakan surat pengenalan dengan secepat yang mungkin, supaya mereka dapat berkhidmat sebagai perintis, penatua, atau pembantu sidang di sidang yang baharu dengan segera.

^ per. 13 Lihat siri rencana “Bantuan untuk Orang yang Berkabung” dalam Sedarlah! tahun 2018, terbitan No. 3.

^ per. 57 KETERANGAN GAMBAR: Sepasang mubaligh yang terpaksa meninggalkan tugasan mereka mengucapkan selamat tinggal dengan berat hati kepada ahli sidang mereka.

^ per. 59 KETERANGAN GAMBAR: Di negara asal mereka, pasangan itu berdoa dengan bersungguh-sungguh kepada Yehuwa agar Dia membantu mereka mengatasi cabaran.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Dengan adanya bantuan Yehuwa, pasangan itu menyertai khidmat sepenuh masa sekali lagi. Mereka menggunakan bahasa yang dipelajari semasa berkhidmat sebagai mubaligh untuk mengongsi berita baik dengan pendatang asing di kawasan baharu mereka.