Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 34

Peranan Penting Anda dalam Sidang Yehuwa!

Peranan Penting Anda dalam Sidang Yehuwa!

“Tubuh hanya satu, tetapi terdiri daripada banyak anggota. Walaupun anggota-anggota tubuh banyak, tubuh itu satu. Demikianlah halnya dengan Kristus.”​—1 KOR. 12:12.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALAN *

1. Apakah peluang istimewa yang kita miliki?

KITA amat bersyukur kerana berpeluang menganggotai sidang Yehuwa! Kita menikmati kebahagiaan dan kedamaian semasa menyembah Yehuwa bersama saudara saudari kita. Namun, pernahkah anda tertanya-tanya, “Apakah peranan saya dalam sidang?”

2. Apakah perbandingan yang digunakan oleh Paulus dalam perumpamaannya?

2 Untuk menjawab soalan itu, mari kita lihat sebuah perumpamaan yang digunakan oleh Paulus dalam beberapa pucuk suratnya. Dalam perumpamaan Paulus, dia membandingkan sidang dengan tubuh manusia, dan anggota sidang dengan anggota tubuh.​—Rm. 12:4-8; 1 Kor. 12:12-27; Ef. 4:16.

3. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

3 Tidak kira apa bangsa, kaum, budaya, kedudukan, tahap pendidikan, atau keadaan ekonomi kita, kita semua mempunyai peranan yang penting dalam sidang Yehuwa, iaitu untuk menguatkan sidang. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga pengajaran penting daripada perumpamaan Paulus. Pertama, kita akan belajar bahawa setiap orang mempunyai peranan dalam sidang Yehuwa. Kedua, kita akan membincangkan apa yang dapat kita lakukan sekiranya kita tidak pasti apa peranan kita dalam sidang. Ketiga, kita akan melihat sebabnya kita perlu tetap sibuk melaksanakan tugas yang diberikan oleh Tuhan.

SETIAP ORANG ADA PERANAN DALAM SIDANG YEHUWA

4. Apakah yang kita pelajari daripada Roma 12:4, 5?

4 Perhatikan hal pertama yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan Paulus. Di Roma 12:4, 5, Paulus menulis, “Tubuh kita mempunyai banyak anggota, dan setiap anggota tubuh mempunyai tugas yang berlainan. Begitu juga, walaupun kita ramai, kita semua merupakan satu tubuh yang bersatu dengan Kristus, dan kita masing-masing merupakan anggota yang dihubungkan kepada satu sama lain.” Apakah yang hendak disampaikan oleh Paulus? Setiap orang mempunyai peranan yang penting dalam sidang Yehuwa. Meskipun peranan kita berbeza-beza, setiap seorang daripada kita berharga di mata Yehuwa.

Kita memiliki peranan yang berbeza dalam sidang, tetapi kita semua berharga di mata Yehuwa (Lihat perenggan 5-12) *

5. Apakah “kurnia berupa manusia” yang diberikan Yehuwa kepada sidang?

5 Semasa anda mendengar ungkapan “orang yang mempunyai peranan dalam sidang,” anda mungkin segera mengaitkannya dengan saudara-saudara yang mengambil pimpinan, seperti ahli Badan Pimpinan, pembantu kepada Badan Pimpinan, ahli Jawatankuasa Cawangan, penyelia litar, pengajar sekolah teokratik, penatua, dan pembantu sidang. (1 Tes. 5:12; Ibr. 13:17) Memang benar, saudara-saudara ini memainkan peranan penting dalam sidang. Mereka merupakan “kurnia berupa manusia” yang diberikan oleh Yehuwa menerusi Kristus. (Ef. 4:8) Kuasa suci Tuhan telah melantik mereka untuk menjaga kawanan bebiri Yehuwa dan meneguhkan sidang.​—1 Ptr. 5:2, 3.

6. Menurut 1 Tesalonika 2:6-8, saudara-saudara yang dilantik oleh kuasa suci Tuhan berusaha melakukan apa?

6 Saudara-saudara yang dilantik oleh kuasa suci Tuhan menjalankan pelbagai tanggungjawab. Sebagaimana anggota-anggota tubuh berfungsi demi manfaat seluruh tubuh, mereka bekerja keras demi manfaat seluruh sidang. Mereka berusaha keras, bukan kerana mereka ingin disanjung, tetapi kerana mereka ingin menguatkan saudara saudari. (Baca 1 Tesalonika 2:6-8.) Tidakkah kita bersyukur kepada Yehuwa kerana mengurniakan saudara-saudara yang rela berkhidmat dan tidak mementingkan diri?

7. Apakah berkat yang dinikmati ramai pekhidmat sepenuh masa?

7 Di serata dunia, terdapat saudara saudari yang dilantik sebagai mubaligh, perintis khas, atau perintis biasa. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam sidang. Mereka menginjil sepenuh masa dan telah membantu ramai orang untuk menjadi murid Yesus Kristus. Meskipun mereka tidak memiliki banyak harta benda, Yehuwa telah memberi mereka berkat yang melimpah. (Mrk. 10:29, 30) Kita sangat mengasihi para pekhidmat sepenuh masa ini dan menghargai sumbangan mereka!

8. Mengapakah setiap penyiar berharga bagi Yehuwa?

8 Namun, adakah para saudara terlantik dan pekhidmat sepenuh masa sahaja yang memiliki peranan dalam sidang? Tidak. Ingatlah, salah satu kerja utama yang diberikan kepada sidang adalah untuk membantu orang menjadi murid Yesus Kristus. (Mat. 28:19, 20; 1 Tim. 2:4) Oleh sebab setiap penyiar, tidak kira yang belum atau sudah dibaptis, berusaha mengutamakan kerja ini, mereka semua juga berharga bagi Tuhan dan sidang.​—Mat. 24:14; Rm. 10:15; 1 Kor. 3:6-9.

9. Mengapakah kita menghargai para saudari Kristian?

9 Saudari-saudari Kristian juga mempunyai peranan yang penting dalam sidang. Para isteri, ibu, balu, dan saudari bujang, yang menyembah Yehuwa dengan setia sangat dihormati dan dihargai-Nya. Dalam Bible, terdapat banyak contoh tentang wanita yang dipuji dan mendapat perkenan Tuhan kerana kebijaksanaan, iman, semangat, keberanian, kemurahan hati, dan perbuatan baik mereka. (Luk. 8:2, 3; Kis. 16:14, 15; Rm. 16:3, 6; Flp. 4:3; Ibr. 11:11, 31, 35) Dewasa ini, terdapat saudari-saudari dalam sidang kita yang juga memiliki sifat-sifat sedemikian. Mereka sesungguhnya kurniaan yang indah daripada Yehuwa!

10. Mengapakah kita menghargai saudara saudari yang lanjut usia?

10 Kita juga bersyukur kerana mempunyai saudara saudari yang lanjut usia dalam sidang. Ada antara mereka yang telah menyembah Yehuwa seumur hidup mereka, dan ada yang baru sahaja mengenali kebenaran. Saudara saudari kita yang lanjut usia mungkin menghadapi masalah kesihatan dan tidak dapat meluangkan banyak masa dan tenaga untuk membantu sidang atau menginjil. Namun, mereka melakukan apa yang mereka mampu untuk menyebarkan berita baik dan untuk menggalakkan dan melatih orang lain. Mereka juga berusaha membantu orang lain dalam sidang menerusi pengalaman mereka. Biarpun mereka sudah beruban, mereka tetap indah dan mulia dalam pandangan Yehuwa, dan kita sangat menghargai mereka!​—Ams. 16:31.

11-12. Bagaimanakah teladan anak-anak muda dalam sidang menggalakkan kita?

11 Fikirkan juga anak-anak muda dalam sidang. Mereka membesar dalam dunia Syaitan dan sering terdedah kepada pengaruhnya. (1 Yoh. 5:19) Meskipun menghadapi begitu banyak cabaran, mereka masih berusaha memberikan komen di perjumpaan, keluar menginjil, dan mempertahankan kepercayaan mereka dengan berani. Tidakkah kita digalakkan oleh teladan mereka? Anak-anak muda sekalian, kamu juga mempunyai peranan yang penting dalam sidang Yehuwa!​—Mzm. 8:2.

12 Namun, sesetengah saudara saudari mungkin masih berasa susah untuk percaya bahawa mereka mempunyai peranan dalam sidang. Apakah yang dapat membantu mereka? Mari kita lihat.

MENGETAHUI PERANAN ANDA DALAM SIDANG

13-14. Mengapakah sesetengah orang berasa bahawa mereka tidak berguna dalam sidang?

13 Perhatikan hal kedua yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan Paulus. Dia menyebut satu cabaran yang dihadapi ramai orang hari ini, iaitu mereka berasa susah untuk percaya bahawa mereka mempunyai peranan yang penting dalam sidang. Paulus menulis, “Walaupun kaki mungkin berkata, ‘Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukan sebahagian daripada tubuh,’ kaki masih sebahagian daripada tubuh. Walaupun telinga mungkin berkata, ‘Oleh sebab aku bukan mata, aku bukan sebahagian daripada tubuh,’ telinga masih sebahagian daripada tubuh.” (1 Kor. 12:15, 16) Apakah yang hendak diajarkan oleh Paulus?

14 Anda mungkin berasa bahawa anda tidak setanding dengan orang yang pandai mengajar, mahir menggembala, atau sangat cekap semasa mengatur hal-hal sidang. Perasaan seperti ini tidak salah kerana menunjukkan bahawa anda rendah hati dan menyedari keterbatasan diri. (Flp. 2:3) Namun, berhati-hatilah agar tidak asyik membandingkan diri dengan orang lain. Jika anda asyik membandingkan diri dengan mereka yang sangat berbakat, anda akan berasa kecewa terhadap diri sendiri dan bahkan berasa bahawa anda tidak berguna dalam sidang. Bagaimanakah anda dapat mengatasi perasaan sebegini?

15. Apakah yang kita pelajari daripada 1 Korintus 12:4-11?

15 Menerusi kuasa suci-Nya, Yehuwa mengurniakan kebolehan yang berbeza-beza kepada orang Kristian abad pertama secara mukjizat. (Baca 1 Korintus 12:4-11.) Tidak kira apa kebolehan yang dikurniakan kepada mereka, mereka semua berharga bagi Yehuwa. Hari ini, kita tidak diberi kebolehan yang istimewa secara mukjizat, namun kita semua memiliki kebolehan atau bakat tersendiri. Contoh orang Kristian abad pertama mengajar kita bahawa kita semua berharga bagi Yehuwa tidak kira apa kebolehan yang kita miliki.

16. Apakah nasihat Rasul Paulus yang ingin kita terapkan?

16 Daripada membandingkan diri dengan orang lain, marilah kita menerapkan nasihat Rasul Paulus yang berbunyi, “Hendaklah setiap orang memeriksa perbuatannya sendiri, dan dengan demikian, dia akan berasa gembira kerana apa yang sudah dilakukannya dan bukannya kerana dia membandingkan diri dengan orang lain.”​—Gal. 6:4.

17. Apakah manfaatnya jika kita mengikut nasihat Paulus?

17 Jika kita mengikut nasihat Paulus untuk memeriksa perbuatan diri kita sendiri, kita mungkin mendapati bahawa kita pun memiliki bakat dan kebolehan tersendiri. Misalnya, seorang penatua mungkin tidak mahir mengajar dari pentas, tetapi dia mungkin sangat mahir membantu orang menjadi murid Yesus. Dia mungkin tidak begitu cekap mengatur hal-hal sidang seperti penatua lain, tetapi dia mungkin sangat murah hati, atau dia mungkin mudah didekati dan para penyiar berasa selesa untuk meminta nasihatnya. (Ibr. 13:2, 16) Apabila kita dapat melihat kekuatan dan kebolehan diri kita sendiri, kita dapat berkhidmat untuk sidang dengan gembira. Kita juga dapat mengelak daripada berasa iri hati terhadap mereka yang mempunyai bakat yang tidak kita miliki.

18. Bagaimanakah kita dapat menjadi penginjil yang lebih mahir?

18 Tidak kira apa peranan kita dalam sidang, kita semua harus berusaha mengasah kebolehan kita dan meningkatkan mutu khidmat kita. Untuk membantu kita berbuat demikian, Yehuwa menyediakan latihan menerusi organisasi-Nya. Sebagai contoh, semasa perjumpaan pertengahan minggu, kita dilatih untuk menjadi penginjil yang lebih mahir. Adakah anda memanfaatkan latihan itu dengan sebaik-baiknya?

19. Apakah yang dapat anda lakukan supaya berpeluang menghadiri Sekolah Latihan Penginjil?

19 Satu lagi cara Yehuwa melatih kita adalah melalui Sekolah Latihan Penginjil. Sekolah ini terbuka kepada semua pekhidmat sepenuh masa yang berumur antara 23 hingga 65 tahun. Anda mungkin berasa bahawa anda tidak dapat menghadiri sekolah ini. Tetapi daripada memikirkan sebabnya anda tidak dapat menghadirinya, fikirkanlah sebab anda ingin menghadirinya. Kemudian, buatlah rancangan untuk memenuhi syarat yang diperlukan. Dengan adanya bantuan Yehuwa dan usaha keras anda, impian itu dapat menjadi kenyataan!

GUNAKAN KEBOLEHAN ANDA UNTUK MENGUATKAN SIDANG

20. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Roma 12:6-8?

20 Hal ketiga yang dapat kita pelajari daripada perumpamaan Paulus terdapat di Roma 12:6-8. (Baca.) Setelah menyatakan bahawa setiap anggota sidang memiliki kebolehan yang berbeza, Paulus menekankan bahawa kita harus menggunakan kebolehan masing-masing untuk menguatkan sidang.

21-22. Apakah yang dapat kita pelajari daripada Robert dan Felice?

21 Fikirkan contoh seorang penatua yang bernama Robert. Setelah berkhidmat di luar negara, dia ditugaskan ke Bethel di negara asalnya. Saudara-saudara yang mengambil pimpinan memberitahunya bahawa perubahan itu dilakukan bukan kerana dia tidak melakukan tugasnya dengan baik. Meskipun begitu, Robert berkata, “Selama berbulan-bulan, saya rasa sangat tidak berguna dan tawar hati. Ada masanya saya rasa ingin meninggalkan Bethel.” Bagaimanakah dia mendapat semula sukacitanya? Seorang penatua mengingatkannya bahawa semua latihan yang diberikan oleh Yehuwa dalam setiap tugasan sebenarnya mempersiapkan kita untuk tugasan yang seterusnya. Robert sedar bahawa dia perlu berhenti berfokus kepada masa lampau dan bertumpu kepada apa yang dapat dilakukannya sekarang.

22 Saudara Felice Episcopo juga menghadapi cabaran yang serupa. Setelah dilatih di Sekolah Gilead pada tahun 1956, dia dan isterinya melakukan kerja lawatan di Bolivia. Pada tahun 1964, mereka mendapat seorang anak. Felice berkata, “Kami sangat menyukai tugasan kami dan berasa susah untuk meninggalkannya. Selama setahun, saya rasa sangat sedih. Tetapi dengan bantuan Yehuwa, saya dapat mengubah pandangan saya dan memikul tanggungjawab baharu sebagai seorang bapa.” Adakah anda berasa seperti Robert atau Felice? Adakah anda berasa tawar hati kerana tidak lagi memikul tanggungjawab yang pernah anda miliki? Jika ya, bertumpulah kepada apa yang dapat anda lakukan sekarang untuk Yehuwa dan saudara saudari. Teruslah sibuk dalam tugasan anda sekarang, dan gunakanlah bakat dan kebolehan anda untuk membantu orang lain dan menguatkan sidang. Dengan itu, sukacita anda akan bertambah.

23. Apakah yang perlu kita renungkan? Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

23 Setiap seorang daripada kita berharga di mata Yehuwa, dan Dia ingin kita berasa bahawa kita ialah sebahagian daripada keluarga-Nya. Jika kita meluangkan masa untuk merenungkan bagaimana kita dapat menguatkan saudara saudari kita dan berusaha untuk melakukannya, kita dapat mengelak daripada berfikir bahawa kita tidak berguna dalam sidang. Namun, apakah pandangan kita terhadap ahli sidang yang lain? Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai mereka? Rencana seterusnya akan membincangkan topik ini.

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

^ per. 5 Kita semua ingin dikasihi oleh Yehuwa, tetapi ada kalanya, kita mungkin tertanya-tanya sama ada kita berguna bagi-Nya atau tidak. Rencana ini akan membantu kita mengetahui peranan kita masing-masing dalam sidang.

^ per. 61 KETERANGAN GAMBAR: Tiga buah gambar yang menunjukkan apa yang berlaku sebelum, semasa, dan selepas perjumpaan. Gambar 1: Seorang penatua menyambut tetamu dengan ramah, seorang saudara muda memastikan sistem pembesar suara sudah disediakan, dan seorang saudari berbual dengan seorang saudari yang lanjut usia. Gambar 2: Ahli sidang yang tua dan muda mengangkat tangan untuk memberikan komen semasa pembelajaran Menara Pengawal. Gambar 3: Sepasang suami isteri membantu membersihkan Dewan Perjumpaan. Seorang ibu membawa anaknya untuk memasukkan wang ke dalam peti sumbangan. Seorang saudara muda menjaga kaunter bahan bacaan, dan seorang saudara menggalakkan seorang saudari yang tua.