Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 41

Kita Menyembah Tuhan yang Amat Berbelas Kasihan

Kita Menyembah Tuhan yang Amat Berbelas Kasihan

“Ya Yehuwa, Engkau baik kepada semua orang, dan belas kasihan-Mu nyata dalam segala perbuatan-Mu.”​—MZM. 145:9.

LAGU 44 Doa Orang yang Patah Semangat

PENGENALAN *

1. Apakah ciri-ciri seseorang yang berbelas kasihan?

 KITA mungkin menggambarkan seseorang yang berbelas kasihan sebagai orang yang baik hati, bertimbang rasa, dan murah hati. Sifat ini mungkin mengingatkan kita tentang lelaki Samaria yang baik hati dalam cerita Yesus. Semasa dia melihat seorang lelaki Yahudi yang dipukul dan dirompak, dia “menunjukkan belas kasihan” terhadapnya walaupun lelaki itu berlainan bangsa. Lelaki Samaria tersebut “berasa kasihan” terhadap lelaki Yahudi itu dan menjaganya dengan baik. (Luk. 10:29-37) Cerita ini mengajar kita satu sifat Tuhan yang indah, iaitu belas kasihan. Tuhan menunjukkan sifat ini kerana Dia mengasihi kita, dan Dia berbelas kasihan terhadap kita setiap hari dalam pelbagai cara.

2. Apakah satu lagi cara untuk menunjukkan belas kasihan?

2 Namun, terdapat satu lagi cara untuk menunjukkan belas kasihan, iaitu dengan tidak menghukum seseorang yang patut dihukum. Yehuwa memang berbelas kasihan terhadap kita dalam cara ini. Penulis mazmur berkata, “Dia tidak menghukum kita setimpal dengan dosa kita.” (Mzm. 103:10) Namun, ada kalanya, Yehuwa mungkin memberikan disiplin yang tegas kepada seorang pendosa.

3. Apakah soalan-soalan yang akan kita jawab?

3 Rencana ini akan menjawab tiga soalan berikut: Mengapakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan? Semasa Yehuwa memberikan disiplin yang tegas kepada seseorang, adakah Dia masih berbelas kasihan terhadap orang itu? Apakah yang dapat membantu kita untuk menunjukkan belas kasihan? Mari kita lihat jawapannya dalam Firman Tuhan.

SEBABNYA YEHUWA MENUNJUKKAN BELAS KASIHAN

4. Mengapakah Yehuwa menunjukkan belas kasihan?

4 Yehuwa suka menunjukkan belas kasihan. Rasul Paulus menulis bahawa Tuhan “berlimpah-limpah dengan belas kasihan.” Paulus berkata demikian kerana Tuhan telah memberikan harapan untuk hidup di syurga kepada hamba-hamba-Nya yang tidak sempurna. (Ef. 2:4-7) Namun, Yehuwa bukan sahaja berbelas kasihan terhadap kaum terurap. Daud menulis, “Ya Yehuwa, Engkau baik kepada semua orang, dan belas kasihan-Mu nyata dalam segala perbuatan-Mu.” (Mzm. 145:9) Oleh sebab Yehuwa mengasihi manusia, Dia berbelas kasihan terhadap mereka setiap kali Dia mempunyai sebab untuk berbuat demikian.

5. Mengapakah Yesus begitu mengenali sifat belas kasihan Bapanya?

5 Yesus paling mengenali sifat belas kasihan Bapanya. Yesus telah hidup bersama Bapanya di syurga untuk masa yang lama sebelum datang ke bumi. (Ams. 8:30, 31) Jadi, selama ribuan tahun, dia sering melihat bagaimana Bapanya berbelas kasihan terhadap manusia yang berdosa. (Mzm. 78:37-42) Oleh itu, semasa mengajar orang, Yesus sering menonjolkan sifat belas kasihan Bapanya.

Bapa itu tidak menghina anaknya. Sebaliknya dia menyambut kepulangan anak itu dengan tangan terbuka (Lihat perenggan 6) *

6. Bagaimanakah Yesus menggambarkan betapa besarnya belas kasihan Bapanya?

6 Seperti yang dinyatakan dalam rencana sebelumnya, Yesus menggunakan cerita tentang anak yang sesat untuk menggambarkan betapa besarnya belas kasihan Yehuwa. Anak itu meninggalkan keluarganya, dan dia “memboroskan harta miliknya dan hidup berfoya-foya.” (Luk. 15:13) Kemudian, anak itu bertaubat, merendahkan diri, lalu pulang. Apakah reaksi bapanya? Yesus berkata, “Apabila bapanya nampak [anak itu] dari jauh, bapanya berasa kasihan terhadapnya lalu berlari ke arahnya, memeluknya, dan menciumnya.” Ya, bapa itu tidak menghina anaknya. Sebaliknya, dia berbelas kasihan terhadapnya, memaafkannya, dan menerimanya kembali ke dalam keluarga. Dosa anak itu memang berat, tetapi memandangkan dia sudah bertaubat, bapanya mengampuninya. Bapa yang berbelas kasihan itu menggambarkan Yehuwa. Melalui cerita yang menyentuh hati ini, Yesus menunjukkan bahawa Bapanya sudi mengampuni pendosa yang bertaubat dengan ikhlas.​—Luk. 15:17-24.

7. Bagaimanakah kebijaksanaan Yehuwa mendorong-Nya untuk menunjukkan belas kasihan?

7 Yehuwa menunjukkan belas kasihan kerana Dia bijaksana. Bible menyatakan bahawa “kebijaksanaan yang datang dari syurga” penuh dengan “belas kasihan dan perbuatan yang baik.” (Yak. 3:17) Oleh sebab Yehuwa begitu bijaksana, Dia sentiasa tahu apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya. Seperti ibu bapa yang pengasih, Yehuwa tahu bahawa belas kasihan-Nya akan mendatangkan manfaat kepada anak-anak-Nya yang tidak sempurna. (Mzm. 103:13; Yes. 49:15) Dia tahu bahawa belas kasihan-Nya akan memberi mereka harapan untuk hidup selama-lamanya. Jadi, Dia akan menunjukkan belas kasihan setiap kali Dia mempunyai sebab untuk berbuat demikian. Namun, meskipun Yehuwa amat berbelas kasihan, hal itu tidak bermaksud Dia akan tutup sebelah mata terhadap perbuatan yang salah.

8. Ada kalanya, apakah tindakan yang perlu diambil, dan mengapa?

8 Jika seorang hamba Tuhan sengaja hidup tidak bermoral, apakah yang harus kita lakukan? Yehuwa mengilhami Paulus untuk menulis bahawa kita harus berhenti bergaul dengan orang itu. (1 Kor. 5:11) Ya, pendosa yang enggan bertaubat akan disingkirkan daripada sidang. Tindakan ini diperlukan untuk melindungi saudara saudari yang setia, dan untuk menunjukkan bahawa kita menjunjung piawaian Yehuwa yang suci. Meskipun begitu, sesetengah orang mungkin berpendapat bahawa apabila seseorang disingkirkan, hal itu bermaksud Tuhan tidak berbelas kasihan terhadapnya. Adakah hal ini benar? Mari kita lihat.

PENYINGKIRAN MENCERMINKAN BELAS KASIHAN TUHAN—BAGAIMANA?

Seekor bebiri yang sakit mungkin perlu diasingkan daripada kawanan, tetapi gembalanya akan terus menjaganya (Lihat perenggan 9-11)

9-10. Menurut Ibrani 12:5, 6, mengapakah aturan penyingkiran mencerminkan belas kasihan Tuhan? Berikan contoh.

9 Semasa kita mendengar pengumuman di perjumpaan bahawa seseorang yang kita kenali dan sayangi “bukan lagi seorang Saksi-Saksi Yehuwa,” kita pasti sangat sedih. Kita juga mungkin tertanya-tanya jika dia perlu dikenakan tindakan yang begitu tegas. Adakah penyingkiran benar-benar mencerminkan belas kasihan Tuhan? Sudah tentu. Memberikan disiplin kepada seorang pendosa yang enggan bertaubat memang tindakan yang mencerminkan kasih, kebijaksanaan, dan belas kasihan. (Ams. 13:24) Tindakan ini juga dapat membantu pendosa itu untuk berubah. Ramai orang yang melakukan dosa yang serius mendapati bahawa tindakan disiplin para penatua telah membuat mereka sedar lalu terdorong untuk mengubah kelakuan mereka dan kembali kepada Yehuwa.​—Baca Ibrani 12:5, 6.

10 Fikirkan contoh berikut: Seorang gembala mendapati bahawa salah seekor bebirinya sudah sakit. Dia tahu bahawa untuk merawat penyakit itu, dia perlu mengasingkan bebiri tersebut daripada biri-biri yang lain. Namun, biri-biri tidak suka hidup bersendirian dan akan menjadi gelisah jika dipisahkan daripada kawanan. Adakah kita akan berfikir bahawa gembala itu bertindak dengan kejam? Tentu tidak. Dia tahu bahawa jika bebiri yang sakit itu terus bersama seluruh kawanan, penyakitnya akan merebak. Dengan mengasingkan bebiri yang sakit itu, gembala tersebut dapat melindungi seluruh kawanannya.​—Bandingkan Imamat 13:3, 4.

11. (a) Mengapakah seorang Kristian yang disingkirkan adalah seperti seekor bebiri yang sakit? Jelaskan. (b) Apakah bantuan yang disediakan untuk orang yang telah disingkirkan?

11 Apabila seorang Kristian jatuh sakit secara rohani, hubungannya dengan Yehuwa sudah terancam. (Yak. 5:14) Ada kalanya, sikapnya mungkin memberikan pengaruh buruk kepada ahli sidang yang lain. Jika begitu, dia perlu diasingkan daripada sidang. Jadi, kita boleh mengatakan bahawa orang Kristian yang disingkirkan adalah seperti bebiri yang sakit dalam contoh tadi. Dengan memberikan disiplin yang diperlukan, Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengasihi bebiri-Nya yang setia dalam sidang. Disiplin yang diberikan juga dapat membuat seorang pendosa sedar akan kesalahannya dan mendorongnya untuk bertaubat. Setelah disingkirkan, dia masih boleh menghadiri perjumpaan untuk menerima makanan rohani dan menguatkan imannya. Dia juga boleh menonton program Siaran JW dan menerima bahan bacaan untuk dibaca dan dikaji. Para penatua akan terus memantau kemajuannya dan memberinya nasihat dari masa ke masa. Dengan itu, dia dapat pulih secara rohani dan akhirnya diterima semula sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa. *

12. Jika seorang pendosa enggan bertaubat, apakah yang akan dilakukan oleh penatua yang pengasih dan berbelas kasihan?

12 Kita harus ingat bahawa hanya pendosa yang enggan bertaubat akan disingkirkan. Para penatua tahu bahawa keputusan untuk menyingkirkan seseorang merupakan hal yang serius dan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Mereka juga tahu bahawa Yehuwa memberikan disiplin “dengan saksama.” (Yer. 30:11) Para penatua mengasihi semua saudara saudari dalam sidang dan tidak ingin melakukan apa-apa yang akan merosakkan hubungan mereka dengan Yehuwa. Meskipun begitu, ada kalanya penatua yang pengasih dan berbelas kasihan harus mengasingkan seorang pendosa daripada sidang buat suatu jangka masa.

13. Mengapakah seorang Kristian di Korintus perlu disingkirkan?

13 Perhatikan apa yang dilakukan oleh Rasul Paulus semasa seorang pendosa enggan bertaubat. Seorang lelaki Kristian di Korintus hidup bersama isteri bapanya dan berbuat cabul dengan wanita itu. Perbuatan itu memang amat menjijikkan! Mengenai perbuatan sebegini, Yehuwa memberitahu orang Israel kuno, “Jika seorang lelaki meniduri isteri bapanya, dia telah menghina bapanya. Lelaki dan wanita itu mesti dihukum mati.” (Im. 20:11) Sudah tentu, Paulus tidak boleh mengarahkan agar lelaki Kristian itu dihukum mati. Namun, dia mengarahkan sidang untuk menyingkirkan lelaki itu. Mengapa? Perbuatan lelaki itu memberikan pengaruh buruk kepada ahli sidang yang lain, sehingga ada antara mereka yang bahkan berasa bahawa perbuatannya bukanlah sesuatu yang memalukan!​—1 Kor. 5:1, 2, 13.

14. Bagaimanakah Paulus menunjukkan belas kasihan kepada lelaki di Korintus yang disingkirkan itu, dan mengapa? (2 Korintus 2:5-8, 11)

14 Beberapa lama kemudian, Paulus mendapat tahu bahawa lelaki itu telah bertaubat dan membuat perubahan yang besar dalam kehidupannya. Jadi, walaupun perbuatan lelaki itu pernah memalukan sidang, Paulus memberitahu para penatua bahawa dia tidak ingin menghukum lelaki itu dengan terlalu berat. Dia juga menasihati mereka, “Hendaklah kamu rela mengampuni [lelaki itu] dan melegakan hatinya.” Mengapa? Paulus menjelaskan, “Supaya dia tidak terlalu sedih sehingga putus asa.” Ya, Paulus mengasihani lelaki yang sudah bertaubat itu. Dia tidak ingin lelaki itu berasa begitu sedih kerana dosanya sehingga tidak lagi berusaha untuk kembali ke sidang.​—Baca 2 Korintus 2:5-8, 11.

15. Bagaimanakah para penatua dapat bertindak dengan tegas dan menunjukkan belas kasihan pada masa yang sama?

15 Seperti Yehuwa, para penatua ingin menunjukkan belas kasihan. Namun, jika mereka langsung tidak mendisiplinkan seorang pendosa, hal itu bermaksud mereka tutup sebelah mata terhadap perbuatan yang salah. Jadi, para penatua akan mengambil tindakan yang tegas apabila perlu, dan pada masa yang sama, mereka tidak akan teragak-agak untuk menunjukkan belas kasihan apabila terdapat sebab yang baik untuk berbuat demikian. Namun, adakah penatua sahaja yang perlu berbelas kasihan?

APAKAH YANG DAPAT BANTU KITA MENUNJUKKAN BELAS KASIHAN?

16. Menurut Amsal 21:13, bagaimanakah Yehuwa akan melayan orang yang tidak berbelas kasihan?

16 Semua orang Kristian harus berusaha untuk meniru belas kasihan Yehuwa. Mengapa? Salah satu sebabnya ialah Yehuwa tidak akan mendengar doa orang yang tidak berbelas kasihan. (Baca Amsal 21:13.) Kita tidak mahu hal ini berlaku kepada kita, maka janganlah kita menjadi orang yang tidak berbelas kasihan. Sebaliknya, marilah kita sentiasa bersedia mendengar “seruan orang yang lemah.” Kita juga ingin mengingat kata-kata ini: “Orang yang tidak berbelas kasihan akan dihakimi tanpa belas kasihan.” (Yak. 2:13) Jika kita rendah hati dan ingat bahawa kita pun memerlukan belas kasihan Tuhan, kita akan berasa lebih mudah untuk menunjukkan belas kasihan. Hal ini penting terutamanya apabila seorang pendosa bertaubat dan kembali ke sidang.

17. Bagaimanakah Raja Daud menunjukkan belas kasihan?

17 Terdapat contoh-contoh dalam Bible yang dapat membantu kita menunjukkan belas kasihan dan mengelak daripada bersikap kasar. Fikirkan Raja Daud. Dia sering menunjukkan belas kasihan. Contohnya, walaupun Saul ingin membunuhnya, Daud berbelas kasihan terhadap raja yang diurapi Tuhan. Dia tidak pernah mencuba membalas dendam atau menyakiti Saul.​—1 Sam. 24:9-12, 18, 19.

18-19. Bilakah Daud gagal menunjukkan belas kasihan?

18 Namun, Daud ada kalanya gagal menunjukkan belas kasihan. Misalnya, semasa Nabal, seorang lelaki yang kasar, bersikap biadap dan enggan memberikan makanan kepada Daud dan pengikutnya, Daud naik marah dan ingin membunuh Nabal serta semua lelaki dalam rumah tangga Nabal. Jika Abigail, iaitu isteri Nabal yang baik hati dan sabar, tidak campur tangan, Daud pasti berdosa kerana menumpahkan darah.​—1 Sam. 25:9-22, 32-35.

19 Pada peristiwa yang lain, Nabi Natan memberitahu Daud sebuah cerita tentang lelaki kaya yang merampas bebiri kesayangan jirannya yang miskin. Setelah mendengar cerita itu, Daud naik marah dan berkata, “Demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, beta bersumpah bahawa lelaki itu patut mati!” (2 Sam. 12:1-6) Sebenarnya Daud tahu bahawa menurut Hukum Musa, orang yang mencuri seekor bebiri cuma perlu memberikan empat ekor bebiri sebagai ganti rugi. (Kel. 22:1) Namun, reaksi Daud itu menunjukkan bahawa dia tidak berbelas kasihan. Rupa-rupanya Natan ingin menggunakan cerita itu untuk membantu Daud sedar bahawa dia telah melakukan dosa yang jauh lebih berat. Fikirkan: Daud ingin menjatuhkan hukuman mati kepada lelaki kaya dalam cerita Natan padahal dia hanya mencuri seekor bebiri. Tetapi Yehuwa mengampuni Daud meskipun dia melakukan dosa yang jauh lebih serius. Tidakkah hal ini menunjukkan betapa besarnya belas kasihan Yehuwa?​—2 Sam. 12:7-13.

Raja Daud tidak menunjukkan belas kasihan kepada lelaki kaya dalam cerita Natan (Lihat perenggan 19-20) *

20. Apakah yang dapat kita pelajari daripada contoh Daud?

20 Dalam situasi pertama, Daud ingin membunuh Nabal dan semua lelaki dalam rumah tangganya kerana Daud sangat marah pada masa itu. Bagaimana pula dengan situasi yang kedua? Daud seorang yang baik hati, jadi mengapakah dia ingin menjatuhkan hukuman mati kepada lelaki kaya dalam cerita Natan? Fikirkan apa yang terjadi sebelum itu. Hati nurani Daud sudah terganggu akibat dosanya. Apakah pengajarannya bagi kita? Jika seseorang cenderung menghakimi orang tanpa belas kasihan, hal itu merupakan tanda bahawa hubungannya dengan Yehuwa sudah terjejas. Itulah sebabnya Yesus memberi pengikutnya amaran ini: “Jangan lagi menghakimi orang lain supaya kamu tidak dihakimi. Hal ini demikian kerana kamu akan dihakimi sebagaimana kamu menghakimi orang.” (Mat. 7:1, 2) Semoga kita mendengarkan nasihat Yesus dan berusaha untuk meniru Tuhan kita yang “berlimpah-limpah dengan belas kasihan.”

21-22. Apakah sesetengah cara kita dapat menunjukkan belas kasihan?

21 Belas kasihan bukan sekadar perasaan, tetapi juga melibatkan tindakan. Oleh itu, kita semua boleh menunjukkan belas kasihan dengan mencari peluang untuk membantu orang dalam keluarga, sidang, dan masyarakat setempat. Contohnya, adakah kita mengenali sesiapa yang perlu dilegakan? Dapatkah kita memberikan bantuan yang praktikal, seperti menyediakan makanan atau melakukan hal-hal lain bagi mereka? Adakah seorang Kristian yang diterima kembali ke dalam sidang memerlukan pergaulan yang membina? Selain hal-hal ini, kita boleh mengongsi berita baik dengan orang lain, kerana inilah antara cara yang terbaik untuk menunjukkan belas kasihan.​—Ayb. 29:12, 13; Rm. 10:14, 15; Yak. 1:27.

22 Jika kita peka terhadap keperluan orang lain, kita akan mendapati bahawa kita sebenarnya mempunyai banyak peluang untuk menunjukkan belas kasihan. Apabila kita berbelas kasihan terhadap orang lain, Tuhan kita yang “berlimpah-limpah dengan belas kasihan” pasti berasa sangat gembira!

LAGU 43 Doa Kesyukuran

^ per. 5 Belas kasihan merupakan salah satu sifat Yehuwa yang paling indah, dan kita perlu memupuk sifat ini. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan sebabnya Yehuwa menunjukkan belas kasihan, mengapa kita boleh berkata bahawa disiplin yang diberikan oleh Yehuwa mencerminkan belas kasihan-Nya, dan bagaimana kita dapat menunjukkan belas kasihan.

^ per. 11 Untuk mengetahui bagaimana orang yang diterima kembali ke dalam sidang dapat memulihkan hubungan mereka dengan Yehuwa dan bagaimana para penatua dapat membantu mereka, lihat rencana “Membina Semula Persahabatan Anda dengan Yehuwa” dalam terbitan ini.

^ per. 60 KETERANGAN GAMBAR: Dari bumbung rumahnya, bapa itu nampak anaknya dari jauh, lalu berlari keluar untuk memeluk anaknya.

^ per. 64 KETERANGAN GAMBAR: Raja Daud berasa tertekan kerana hati nuraninya yang terganggu. Oleh itu, dia naik marah semasa mendengar cerita Natan dan berkata bahawa lelaki kaya itu patut mati.