RENCANA PEMBELAJARAN 44
Menerokai Firman Tuhan dengan Teliti
“Memahami dengan sepenuhnya betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya, perkara-perkara yang berkaitan dengan Tuhan.”—EF. 3:18.
LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang
PENGENALAN a
1-2. Apakah cara terbaik untuk membaca dan mengkaji Bible? Berikan contoh.
BAYANGKAN anda ingin membeli sebuah rumah. Adakah anda akan terus membeli rumah itu selepas melihat foto halaman depannya? Sudah pasti tidak. Anda tentu ingin masuk ke dalam rumah itu, memeriksa semua bilik, dan melihat segala sesuatu yang merupakan sebahagian daripada rumah itu. Anda bahkan mungkin meminta pelan rumah itu untuk melihat bagaimana rumah itu dibina. Jadi sebelum membuat keputusan, anda pasti akan memeriksa semua aspek rumah itu dengan teliti.
2 Kita perlu melakukan hal yang serupa semasa membaca dan mengkaji Bible. Seorang cendekiawan menyamakan mesej Bible kepada “sebuah bangunan besar dengan menara yang tinggi dan asas yang dalam.” Jadi bagaimanakah kita dapat mengenal kandungan Bible dengan baik? Jika anda sekadar membaca Bible dengan sepintas lalu, anda hanya akan mempelajari “hal-hal asas tentang perkhabaran suci Tuhan.” (Ibr. 5:12) Sepertimana anda harus masuk ke dalam sesebuah rumah untuk mengetahui keadaannya, anda juga harus mendalami Bible dan memeriksa perinciannya. Satu cara anda dapat berbuat demikian adalah dengan memikirkan bagaimana maklumat di satu bahagian Bible berkaitan dengan maklumat di bahagian yang lain dalam Bible, kebenaran apa yang anda percaya, dan mengapa anda mempercayainya.
3. Rasul Paulus menggesa rakan seimannya untuk melakukan apa, dan mengapa? (Efesus 3:14-19)
3 Untuk memahami seluruh Firman Tuhan dengan lebih baik, kita perlu belajar kebenaran Bible yang mendalam. Rasul Paulus menggesa rakan seimannya untuk mempelajari Firman Tuhan dengan tekun supaya mereka dapat “memahami dengan sepenuhnya betapa lebarnya, betapa panjangnya, betapa tingginya, dan betapa dalamnya” kebenaran. Dengan itu, iman mereka akan “berakar umbi dan bertapak.” (Baca Efesus 3:14-19.) Kita juga perlu melakukan hal yang sama. Sekarang, mari kita lihat bagaimana kita dapat mengkaji Firman Tuhan untuk memahaminya dengan lebih teliti.
MENGKAJI KEBENARAN BIBLE YANG MENDALAM
4. Apakah yang dapat kita lakukan untuk lebih menghampiri Yehuwa? Berikan contoh.
4 Sebagai orang Kristian, sekadar memahami ajaran asas Bible tidak cukup. Kita ingin belajar “bahkan kebijaksanaan Tuhan yang dalam,” dan melakukannya dengan bimbingan kuasa suci Tuhan. (1 Kor. 2:9, 10) Anda boleh memulakan projek pembelajaran peribadi untuk lebih menghampiri Yehuwa. Contohnya, anda boleh mengkaji bagaimana Yehuwa menunjukkan kasih kepada umat-Nya pada masa lalu dan bagaimana hal itu membuktikan bahawa Dia juga mengasihi anda. Anda juga boleh mengkaji cara Yehuwa mahu orang Israel menyembah-Nya dahulu dan membandingkannya dengan cara Yehuwa mahu kita menyembah-Nya sekarang. Atau anda boleh mengkaji dengan lebih terperinci tentang bagaimana kehidupan dan kerja penyebaran Yesus di bumi telah memenuhi nubuat-nubuat Bible.
5. Apakah topik yang ingin anda kaji sebagai projek pembelajaran peribadi anda?
5 Sesetengah orang yang suka mengkaji Bible ditanya apa kebenaran yang mendalam yang ingin mereka kaji dalam Firman Tuhan. Jawapan mereka disenaraikan dalam kotak “ Topik untuk Projek Pembelajaran Peribadi.” Anda dapat meraih sukacita yang besar dengan menggunakan Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa untuk mengkaji topik-topik itu. Pembelajaran Bible yang mendalam dapat menguatkan iman anda dan membantu anda “memperoleh pengetahuan tentang Tuhan.” (Ams. 2:4, 5) Sekarang mari kita mengkaji sesetengah kebenaran Bible yang mendalam.
RENUNGKAN TUJUAN TUHAN
6. (a) Apakah perbezaan antara rancangan dengan tujuan? (b) Mengapakah kita boleh berkata bahawa tujuan Tuhan bagi manusia dan bumi ialah tujuan yang “kekal”?
6 Mari kita lihat apa yang Bible katakan tentang tujuan Tuhan. Terdapat perbezaan yang besar antara rancangan dengan tujuan. Mempunyai rancangan adalah seperti memilih jalan yang spesifik untuk sampai ke destinasi anda. Namun, jika jalan itu ditutup, rancangan anda mungkin gagal. Tujuan pula bertumpu pada destinasinya. Jalannya tidak ditentukan dan boleh diubah-ubah jika perlu. Kita sangat bersyukur Yehuwa telah menyingkapkan ‘tujuan kekal-Nya’ kepada kita secara beransur-ansur. (Ef. 3:11) Tidak kira apa yang berlaku, Yehuwa pasti berjaya kerana “segala-galanya [akan] berlaku sesuai dengan tujuan-Nya.” (Ams. 16:4) Tujuan Tuhan bagi manusia dan bumi ialah tujuan yang “kekal” kerana hasil daripada tujuan Yehuwa akan kekal buat selama-lamanya. Apakah tujuan Yehuwa, dan apakah perubahan yang dilakukan oleh Yehuwa untuk melaksanakan tujuan-Nya?
7. Selepas Adam dan Hawa memberontak, apakah yang telah Yehuwa lakukan agar tujuan-Nya tercapai? (Matius 25:34)
7 Yehuwa memberitahu Adam dan Hawa apa tujuan-Nya bagi mereka. Dia berkata, “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya. Hendaklah kamu menguasai . . . semua makhluk hidup di bumi.” (Kej. 1:28) Selepas Adam dan Hawa memberontak, mereka mewariskan dosa kepada keturunan mereka. Namun, tujuan Yehuwa tidak berubah dan Dia cuma perlu mengubah cara yang digunakan-Nya untuk mencapai tujuan-Nya. Dengan serta-merta, Dia memutuskan bahawa Dia akan menubuhkan sebuah Kerajaan di syurga supaya tujuan asal-Nya bagi manusia dan bumi tercapai. (Baca Matius 25:34.) Dia telah mengutus Anak tunggal-Nya ke bumi pada masa yang ditentukan oleh-Nya. Di bumi, Anak-Nya mengajar manusia tentang Kerajaan Tuhan dan mengorbankan nyawanya untuk menebus manusia daripada dosa dan kematian. Kemudian, Yesus dibangkitkan ke syurga untuk memerintah sebagai Raja Kerajaan Tuhan. Namun, terdapat banyak lagi yang boleh kita belajar tentang tujuan Tuhan.
8. (a) Apakah tema utama dalam Bible? (b) Menurut Efesus 1:8-11, apakah tujuan Yehuwa yang terunggul? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)
8 Tema utama dalam Bible ialah penyucian nama Yehuwa. Nama-Nya akan disucikan apabila Dia melaksanakan tujuan-Nya bagi bumi melalui Kerajaan Mesias. Tujuan Yehuwa tidak akan diubah dan Dia memberi kita jaminan bahawa tujuan-Nya pasti berjaya. (Yes. 46:10, 11; Ibr. 6:17, 18) Tidak lama lagi, bumi akan menjadi sebuah firdaus. Keturunan Adam dan Hawa yang berhati jujur dan yang sempurna akan “menikmati kehidupan buat selama-lamanya!” (Mzm. 22:26) Namun, itu bukan tujuan Yehuwa yang terunggul. Tujuan Yehuwa yang terunggul adalah untuk menyatupadukan semua hamba-Nya yang di syurga dan di bumi. Selepas itu, mereka akan tunduk kepada-Nya sebagai Pemerintah Yang Berdaulat. (Baca Efesus 1:8-11.) Tidakkah anda berasa kagum seraya melihat cara Yehuwa melaksanakan tujuan-Nya?
RENUNGKAN MASA DEPAN ANDA
9. Apabila membaca Bible, apakah yang akan anda ketahui tentang masa depan?
9 Fikirkan nubuat yang diucapkan oleh Yehuwa di Taman Eden, seperti yang tercatat di Kejadian 3:15. b Nubuat itu merujuk kepada peristiwa-peristiwa yang akan berlaku semasa tujuan Tuhan dilaksanakan. Namun, semua itu mengambil masa beribu-ribu tahun untuk menjadi kenyataan. Satu peristiwa yang berkaitan dengan nubuat itu ialah salah seorang daripada keturunan Abraham akan menjadi Mesias, iaitu keturunan utama wanita itu. (Kej. 22:15-18) Kemudian, pada 33 Masihi, seperti yang dinubuatkan, tumit Yesus seolah-olah dicederakan. (Kis. 3:13-15) Peristiwa terakhir dalam nubuat itu, iaitu penghancuran kepala Syaitan, akan berlaku lebih daripada 1,000 tahun dari sekarang. (Why. 20:7-10) Selain itu, Bible juga menyingkapkan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku apabila permusuhan antara sistem Syaitan dengan organisasi Yehuwa menjadi semakin sengit.
10. (a) Apakah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku tidak lama lagi? (b) Bagaimanakah kita dapat mempersiapkan hati dan minda kita? (Lihat nota kaki.)
10 Apakah peristiwa-peristiwa yang akan berlaku? Mula-mula, seruan “semuanya damai dan selamat” akan diisytiharkan. (1 Tes. 5:2, 3) “Tiba-tiba,” kesengsaraan besar akan bermula apabila bangsa-bangsa menyerang semua agama palsu. (Why. 17:16) Selepas itu, tanda yang luar biasa di langit mungkin akan kelihatan apabila “Anak Manusia datang di atas awan dengan kuasa dan kemuliaan yang besar.” (Mat. 24:30) Yesus akan mengumumkan penghakiman ke atas semua manusia dan mengasingkan biri-biri daripada kambing. (Mat. 25:31-33, 46) Namun, Syaitan tidak akan berpeluk tubuh. Dengan marah, dia akan menggerakkan bangsa-bangsa yang bersekutu, yang dipanggil Gog dari tanah Magog, untuk menyerang penyembah Yehuwa. (Yeh. 38:2, 10, 11) Pada masa tertentu semasa kesengsaraan besar, baki kaum terurap akan dikumpulkan untuk menyertai Kristus dan angkatan tenteranya di syurga untuk bertempur dalam perang Armagedon. c (Mat. 24:31; Why. 16:14, 16) Kemudian, Pemerintahan Seribu Tahun Kristus akan bermula.—Why. 20:6.
11. Bagaimanakah peluang untuk hidup selama-lamanya mempengaruhi hubungan anda dengan Yehuwa? (Lihat juga gambar.)
11 Sekarang, mari kita memikirkan apa yang akan berlaku selepas Pemerintahan Seribu Tahun Kristus. Bible berkata bahawa Pencipta kita telah “menyematkan keabadian ke dalam hati manusia.” (Pkh. 3:11) Fikirkan bagaimana hal itu akan mempengaruhi anda dan hubungan anda dengan Yehuwa. Buku Hampirilah Yehuwa, muka surat 319, menyatakan, “Selepas kita hidup selama berbilion-bilion tahun, kita pasti dapat mempelajari banyak hal tentang Yehuwa. Namun pada masa itu pun kita akan terus belajar tentang Tuhan. . . . Ya, kehidupan di dunia baharu pasti sangat memuaskan. Tetapi perkara yang paling memuaskan pada masa itu ialah peluang untuk terus menghampiri Yehuwa buat selama-lamanya.” Sementara menantikan masa itu tiba, apakah hal lain dalam Bible yang boleh kita kaji?
LIHATLAH KE SYURGA
12. Bagaimanakah kita seolah-olah dapat melihat apa yang berlaku di syurga? Berikan contoh.
12 Firman Tuhan memberi kita sedikit maklumat tentang kehadiran Yehuwa di syurga. (Yes. 33:5) Bible menyingkapkan hal-hal yang menakjubkan tentang Yehuwa dan bahagian organisasi-Nya di syurga. (Yes. 6:1-4; Dan. 7:9, 10; Why. 4:1-6) Contohnya, kita dapat membaca tentang hal-hal luar biasa yang dilihat oleh Yehezkiel semasa “langit terbuka dan [dia] mendapat penglihatan daripada Tuhan.”—Yeh. 1:1.
13. Menurut Ibrani 4:14-16, apakah yang anda hargai tentang peranan Yesus di syurga?
13 Fikirkan juga peranan Yesus di syurga sebagai Raja dan Imam Agung yang berbelas kasihan. Melalui dia, kita dapat berdoa dan “menghadap takhta Tuhan” untuk “menerima belas kasihan dan kebaikan hati yang unggul semasa kita memerlukan bantuan.” (Baca Ibrani 4:14-16.) Semoga kita tidak membiarkan satu hari pun untuk berlalu tanpa merenungkan hal-hal baik yang Yehuwa dan Yesus lakukan untuk kita. Kasih mereka harus menyentuh hati kita dan mendorong kita untuk berkhidmat kepada Tuhan dengan bersemangat.—2 Kor. 5:14, 15.
14. Apakah salah satu cara terbaik kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan Yesus? (Lihat juga gambar.)
14 Salah satu cara terbaik kita dapat menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dan Yesus adalah dengan membantu orang lain menjadi penyembah Yehuwa dan murid Yesus. (Mat. 28:19, 20) Itulah yang dilakukan oleh Rasul Paulus untuk menunjukkan penghargaannya kepada Yehuwa dan Yesus. Dia tahu bahawa Yehuwa “menghendaki segala macam orang diselamatkan dan memperoleh pengetahuan yang tepat tentang kebenaran.” (1 Tim. 2:3, 4) Maka, dia bekerja keras dalam kerja penyebaran agar dapat membantu seramai orang yang mungkin untuk diselamatkan.—1 Kor. 9:22, 23.
MERAIH SUKACITA DENGAN MENGKAJI BIBLE
15. Menurut Mazmur 1:2, apakah yang dapat membuat kita bahagia?
15 Penulis mazmur menyatakan bahawa orang yang “suka akan hukum Yehuwa” dan “yang membaca serta merenungkan hukum itu siang dan malam,” ialah orang yang bahagia dan berjaya. (Mzm. 1:1-3) Dalam buku yang ditulis oleh Joseph Rotherham yang bertajuk Studies in the Psalms, dia menyatakan bahawa seseorang harus “begitu suka akan bimbingan Tuhan sehingga dia mahu mencarinya, mempelajarinya, dan meluangkan masa untuk merenungkannya.” Dia menambah, “Setiap hari yang dibazirkan tanpa mengkaji kebijaksanaan Tuhan ialah hari yang sia-sia.” Anda dapat meraih sukacita semasa mengkaji Firman Tuhan dengan meneliti perincian dalamnya dan melihat bagaimana semua itu berkait rapat dengan satu sama lain. Sememangnya, kita akan berbahagia jika kita menerokai Firman Tuhan!
16. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?
16 Kebenaran indah yang diajarkan oleh Yehuwa kepada kita dalam Firman-Nya tidaklah terlalu susah untuk difahami. Dalam rencana seterusnya, kita akan membincangkan satu kebenaran yang mendalam, iaitu tentang Rumah Rohani Yehuwa, yang ditulis oleh Paulus dalam suratnya kepada orang Kristian Ibrani. Semoga mengkaji hal itu membawa sukacita yang besar kepada anda!
LAGU 94 Bersyukur atas Kurniaan Firman Tuhan
a Mengkaji Bible boleh membawa sukacita sepanjang hidup kita, memberi kita manfaat yang berkekalan, dan membantu kita menghampiri Bapa kita yang di syurga. Dalam rencana ini, kita akan lihat bagaimana kita dapat menerokai lebar, panjang, dalam, dan tinggi Firman Tuhan.
b Lihat rencana “Sebuah Nubuat yang Berkaitan dengan Anda” dalam Menara Pengawal terbitan Julai 2022.
c Untuk belajar cara mempersiapkan diri bagi peristiwa-peristiwa dahsyat yang bakal berlaku, lihat buku Kerajaan Tuhan Kini Memerintah! ms. 259.